28 Jul 2010

Peguam Negara Perlu Jawab Hubungan Sulit Farah-Saiful

Adakah Saiful ada hubungan sulit dengan DPP?

Peguam bela Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kepastian daripada pihak pendakwaan sama ada ‘ya’ atau ‘tidak’ Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Farah Azlina Latif mempunyai hubungan sulit dengan pengadu Saiful Bukhari Azlan.

Demikian menurut Sankara Nair yang mendesak jawapan balas daripada Peguam Cara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berhubung dakwaan cinta itu yang telah dikemukakannya 26 Julai lalu.

Menerusi surat itu, Sankara menggariskan tiga permintaan penting memandangkan satu penerbitan secara meluas diterbitkan sebuah portal online bertajuk "Sodomy II prosecutor faces chop amid ‘affair’ allegation".

Kedua melalui penerbitan itu juga ia memberi implikasi serius terhadap integriti pasukan pendakwaan ekoran sebahagian mereka mempunyai capaian kepada maklumat-maklumat sensitif yang tidak boleh didedahkan kepada Saiful.

"Malah jawapan Yusof pada 22 Julai lalu dalam penerbitan itu mengundang pelbagai spekulasi apabila wujud jawapan yang tidak jelas dan tegas," katanya.

Ketika ditanya mengenai pengguguran Farah Azlina yang diumumkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail semalam, beliau nyata tidak menerima keputusan itu.

"Saya tidak dapat terima keputusan Peguam Negara itu sebab menjadi keutamaan adalah untuk Datuk Mohd Yusof memberi jawapan balas kepada surat kami itu.

"Nak ketepikan Farah Azlina bukan menjadi hal tetapi ia bergantung kepada jawapan pihak pendakwaan sama ia atau tidak wujud hubungan itu sehingga menimbulkan spekulasi.

"Dengan keputusan itu membawa lebih banyak spekulasi mengenainya. Mungkin ada kebenaran di sebalik perkara itu,"
katanya yang dihubungi Free Malaysia Today.

Peguam Negara mengesahkan semalam bahawa Farah Azlina Latif digugurkan daripada pasukan pendakwaan dalam kes liwat itu serta dari bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara.

Langkah itu katanya susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai "hubungan romantis" dengan saksi utama kes tersebut, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.


Mohon tangguh perbicaraan

Dalam perkara berkaitan, pihak pembelaan mohon penangguhan kes dijadualkan 2 Ogos ini sehingga keputusan berhubung rayuan Anwar mendapatkan laporan perubatan dan bahan bukti diberi.

"Kami akan mohon penangguhan sehingga Mahkamah Rayuan beri keputusan sama ada rayuan kami berjaya atau sebaliknya.Bagaimana kita mahu meneruskan prosiding sedangkan mahkamah belum membuat keputusan?" soalnya.

"Ini akan menyusahkan pihak pembelaan kerana tanpa laporan itu bagaimana kami boleh meneruskan perbicaraan.

"Maka kami akan minta penangguhan sehingga keputusan daripada Mahkamah Rayuan diberi," jelasnya.

Tambahnya lagi, Pendaftar Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam telah menghantar surat yang memaklumkan permohonan rayuan itu ditetapkan 6 Ogos depan.

Anwar yang didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun, 2008. -FMT

Umno-BN Bawa Orang Melayu Kembali Ke Zaman Jahiliyah

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menganggap idea yang dibawa oleh Ketua Menteri Melaka dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengatasi masalah sosial sebagai dangkal dan bodoh.

Azan berkata pemimpin Umno-Barisan Nasional tidak lagi mampu mencetuskan idea baru dalam dunia era digital yang serba canggih dan moden tetapi sebaliknya mencerna pemikiran yang membawa rakyat khusunya orang Melayu ke zaman kegelapan jahiliyah.

Beliau merujuk kepada cadangan Datuk Seri Ali Rustam agar diwujudkan sekolah perempuan mengandung bagi mengatasi masalah buang bayi.

"Ini menunjukkan kebodohan politik pemimpin Umno yang menggalakkan lagi perbuatan keji ini. Kalau dulu orang kutuk perbuatan seperti mengandung anak luar nikah akibat perbuatan seks rambang, Ketua Menteri Melaka pula seperti memberikan galakan.

"Umat Islam negara ini seharusnya menolak Ali yang dilihat memberikan kenyataan yang menjijikkan," ujarnya.

Begitu juga idea yang memalukan oleh Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya suntikan pangkal rahim diberikan kepada remaja perempuan bagi mengelakkan barah rahim akibat mengadakan seks rambang.

"Ini membuktikan pendekatan yang digunakan pemimpin Umno-BN jauh menyimpang dari landasan, tidak kena cara dan polisinya.

"Perbuatan yang sepatutnya dicegah, tidak dicegah tetapi diberikan ubat untuk mengelakkan penyakit daripada perlakuan sumbang itu."Mereka menggunakan pendekatan kufur seperti di zaman kegelapan Jahiliyah," kata Azan sambil menyifatkan tindakan Umno-BN yang merasuah orang Melayu sama seperti zaman jahiliyah.

Tambah Azan, aApa dikesalkan adalah ulama Umno seperti Tan Sri Harussani Zakaria tidak pula bersuara malahan menyokong perkara yang menganjurkan orang Melayu kembali ke zaman jahiliyah.

Beliau turut mencabar kerajaan Umno-BN khususnya Shahrizat supaya mengeluarkan maklumat dan statistik tentang berapa ramai remaja perempuan yang membuang bayi di klinik swasta akibat perbuatan seks rambang dan luar nikah. -SK

Kepala Lembu: Penganut Hindu Kecewa Keputusan Mahkamah

Hukuman Ringan, Pengganut Hindhu Kecewa

Persatuan Malaysia Hindhu Sanggam menganggap keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam yang meminda pertuduhan terhadap 12 tertuduh yang terlibat dalam demontrasi kepala lembu pada 28 Ogos tahun lalu, menghampakan penganut Hindu.

Setiausahanya, Baskaran Masilamany kesal kerana mahkamah hanya menjatuhkan hukuman ringan sedangkan ia adalah isu besar dan menyentuh sensitiviti antara kaum dan agama berikutan pertukaran pertuduhan.

“Memang ini isu yang sensitif,” kata Baskaran.

Suka atau tidak, Baskaran dan seluruh penganut Hindu yang terkilan dengan demontrasi yang menghina haiwan suci agama mereka, terpaksa akur dengan keputusan mahkamah.

“Itu keputusan mahkamah dan itu bukan keputusan awam. Saya tidak boleh komen keputusan mahkamah kerana mahkamah yang membuat pengakhiran keputusannya,” katanya.

Pun begitu, beliau berharap insiden seumpama itu tidak berulang sekalipun mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepada 12 tertuduh berkenaan.

“Masalahnya kita tidak mahu di dalam negara kita ada apa-apa pergaduhan antara kaum atau agama. Kita mahu hidup dengan aman, kalau ada masalah, kita perlu berbincang dan selesaikan masalah tetapi ini adalah sesuatu yang dia orang tidak patut buat bawa kepala lembu macam ke pejabat setiausaha ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan pandangan Hakim yang menasihati semua tertuduh supaya tidak melalukan sebarang perbuatan secara terburu-buru.

“Saya berasa di Malaysia ini bukan satu bangsa dan agama sahaja. Memang kami mengaku semua agama boleh membuat perayaan tersendiri, kita hidup dengan aman. Kita perlu membuat pengakhiran dan jangan timbul lagi apa-apa hal boleh bincang,” katanya. -TVS


12 Tertuduh Tunjuk Perasaan Kepala Lembu Akhirnya Mengaku Bersalah

12 individu yang didakwa mencetuskan ketegangan agama melalui tunjuk perasaan kepala lembu pada 28 Ogos tahun lalu hari ini mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Hasbi Hassan menjatuhkan hukuman RM1,000 atau satu bulan penjara ke atas setiap seorang daripada mereka.

Hakim Hasbi juga menghukum seorang daripada individu berkenaan, Eyzva Ezhar denda RM3,000 dan seminggu penjara atas kesalahan membawa kepala lembu.

Bagaimanapun oleh kerana Eyzva kini sedang menjalani hukuman kesalahan lain di Penjara Sungai Buloh, Hakim mengarahkan tertuduh memulakan hukuman penjaranya mulai 4 Ogos ini.

Sementara, Mohd Azmir Mohd Zain yang dituduh membawa dan memijak kepala lembu didenda RM3000 dan sekiranya gagal membayar akan dipenjara selama tiga bulan.

Empat lagi tertuduh, Ibrahim Sabri, Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, Mohd Hilmi Ni dan Ahmad Shuhairi dilepaskan tanpa dibebaskan bagaimanapun tetap perlu membayar denda RM1000.

Hakim membuat keputusan ini selepas Peguam, Afifiudin Hafifi memohon hakim meringankan hukuman terhadap kesemua tertuduh memandangkan mereka mengaku bersalah dan sudah insaf di atas perbuatan mereka itu.

Menurut pendakwa pada 28 Ogos tahun lalu kesemua tertuduh melakukan kesalahan bagi mencapai niat bersama dengan sengaja melukakan perasaan penganut agama Hindhu dengan membawa dan memijak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira jam 2.30 petang.

Mereka bertindak demikian kerana tidak berpuas hati atas cadangan kerajaan negeri mahu membina kuil di Seksyen 23, Shah Alam.

Hakim Hasbi mahu kesemua tertuduh menyedari perbuatan mereka menjejaskan kepentingan awam. Oleh itu mereka seharusnya mempertimbangkan pendekatan yang praktikal dan holistik dalam menangani isu sensitif seperti ini.

Pendakwaraya bagi kes ini ialah Ishak Mohd Yusuf dan tertuduh dibela oleh Afifudin Hafifi.


Kredibiliti Saiful Tercampak Ke Tong Najis, Gugurkan Segera Kes Liwat!

DPP Farah didakwa ‘bercinta’ Saiful digugur dari pasukan pendakwa

Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk menggugurkan timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif sebagai anggota pasukan pendakwa dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran dakwaan hubungan romantik dengan saksi utama dan pengadu.

Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan tindakan itu ekoran dakwaan bahawa Farah Azlina menjalin hubungan romantik dengan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan yang juga pengadu dalam kes itu.

Beliau berkata langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai “hubungan romantis” dengan saksi utama kes tersebut.

Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

“Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

“Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius,” katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Beliau menjelaskan penglibatan Farah Azlina dalam kes itu sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai perbicaraan tersebut.

“Beliau tidak mempunyai akses langsung kepada kertas siasatan kes atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang ada pada pihak pendakwaan.

Semalam peguam Anwar mendesak Peguam Negara memberi respons kepada dakwaan Raja Petra Kamarudin dalam blognya minggu lalu.

Raja Petra mendakwa seorang timbalan pendakwa raya wanita, yang merupakan anggota junior dalam pasukan pendakwa, sedang menjalin “hubungan romantik” dengan Saiful yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar Jun 2008.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider minggu lalu, Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menekankan bahawa sebarang keputusan sama ada anggota itu akan kekal dalam pasukannya boleh diketahui apabila kes disambung awal bulan depan.

“Saya tidak boleh mengatakan kepada anda buat masa sekarang. Saya tidak mendengar tentang dakwaan atau tuduhan ini.

“Bagaimanapun saya akan berbincang dengan pasukan saya dan kita akan melihat pada 2 Ogos ini sama ada dia akan bersama pasukan kami atau tidak,” kata Mohd Yusof.

Pasukan pendakwa terdiri daripada lapan anggota iaitu Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azmad dan Farah Azlina sendiri.

Kata Mohd Yusof, anggota itu hanya dibawa untuk membantu pasukannya bagi menguruskan data dan mengambil nota prosiding kerana seorang pendakwa raya telah meninggalkan pasukan itu.

Selain itu menurut beliau, anggota berkenaan juga pendakwa raya yang turut mengendalikan kes-kes lain.

“Jika kami memutuskan untuk tidak menyertakan dia dalam pasukan kami, ia adalah kerana kami boleh mengendalikan kes ini tanpa dia... ini kerana dia juga ada kes lain untuk dikendalikan,” kata Mohd Yusof lagi.

Mohd Yusof sambil berkata beliau tiada maklumat mengenai tuduhan terbaru ini, apa yang dilakukan oleh anggota pasukannya adalah urusan peribadi.

Pada 19 Julai lalu perbicaraan kes liwat Anwar, Ketua Pembangkang, ditangguhkan sehingga 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh, memperolehi cuti sakit selama dua minggu.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. -TMI

Ulasan GB

Ternyata bahawa kredibiliti Saiful sebagai pengadu dan saksi utama kes liwat 2 hancur berderai dan Saiful adalah seorang manusia yang tidak berkahlak, tidak boleh dipercayai dan tidak mempunyai kredibiliti untuk berdiri sebagai seorang saksi di mahkamah.

Kali pertama dulu ialah pengakuan Saiful sendiri di mana seluar dalam LEVI'S warna biru gelap yang dipakai pada hari kejadian, telah diserahkan di rumah tunangnya yang diambil di mesin basuh. Menjelaskan kepada kita bahawa beliau bukan muslim yang baik apabila ada hubungan semacam itu dengan tunangnya.

Kini kali kedua - yang pasti lebih hebat - perlakuan yang lansung jauh dari akhlak Islamiah apabila beliau didakwa ada mengadakan hubungan sulit dengan anggota perempuan pasukan pendakwa.

Jika mahkamah meneruskan juga kes liwat tersebut, amat nyata bahawa sistem kehakiman kita sebenarnya bersubahat dengan pihak yang sengaja mahu menganiaya Anwar Ibrahim, tidak kira hebat mana sekalipun hakim berkenaan.

Ternyata juga bahawa Peguam Negara nampaknya seolah-olah seperti mahu meneruskan juga kes tersebut sekalipun tampak jelas kewibawaan Saiful kini tercampak ke tong najis selaku pengadu dan saksi utama, dan masyarakat tidak akan lagi mempercayai sistem kehakiman negara yang selama ini penuh dengan korupsi dan amat berat sebelah.

Ia akibat perbuatan dari Peguam Negara dan para hakim durjana yang menjadikan diri mereka lembu-lembu politikus UMNO BN.

Nak putar apa lagi?