4 Sep 2010

Tembak Mati: Polis Perlu Hentikan Tindakan Tidak Mahu Bertanggungjawab

Panel Aminulrasyid lakar penambahbaikan IGSO

Panel khas yang ditubuhkan untuk memantau siasatan kematian Aminulrasyid Amzah, mencadangkan penambahbaikan terhadap Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dengan memasukkan beberapa pendekatan yang diguna pakai di negara-negara maju.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata cadangan IGSO yang dianggap "sebahagian besarnya" itu, akan dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk diteliti, pada akhir bulan ini.

"Cadangan IGSO baru ini setelah kita bandingkan dengan perintah tetap yang digunakan oleh anggota-anggota penguatkuasa di negara-negara maju seperti di Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Daripada konsep-konsep yang mereka gunakan itu, maka kita buat perintah tetap yang sesuai dengan keadaan kita," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat akhir panel khas berkenaan di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Pada 25 April lalu, Aminulrasyid mati terkena tembakan polis di Seksyen 11 Shah Alam ketika didakwa cuba melarikan diri selepas knderaan dipandunya terserempak dengan kereta peronda polis.

"Apabila menyemak semula IGSO kita, kami juga melihat dokumen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menggunakan satu garis panduan mengenai penggunaan

kekerasan dan senjata api oleh pegawai penguatkuasa undang-undang di seluruh negara," katanya.

Abu Seman, yang juga pengerusi panel, bagaimanapun berkata panel khas itu tidak dapat mendedahkan lebih lanjut berhubung pemantauan mereka terhadap siasatan kes berkenaan kerana ia di peringkat mahkamah sekarang.

Dalam pada itu, beliau berkata panel khas itu mendapati siasatan yang dijalankan oleh polis adalah telus serta adil dan tiada keterangan yang disembunyikan oleh pasukan penyiasat dalam kes berkenaan.

Beliau berkata seorang anggota polis iaitu Koperal Jenain Subi, 48, telah dihadapkan ke mahkamah dan didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

"Pihak panel ada membuat beberapa perakuan tetapi sebagaimana kita sedia maklum, laporan ini adalah rahsia, jadi kita tidak boleh umumkan sehingga dikemukakan kepada menteri dalam negeri.

"Menteri akan melihat dan teliti laporan yang dikemukakan oleh panel khas ini," katanya. -mk

Ulasan GB

Penggunaan kekerasan dan senjata api secara melulu oleh anggota polis sewajarnya disemaksemula dan perlu ada garis panduan yang lebih ketat mengenainya sekalipun di atas alasan membenteras jenayah.

Kes adik Aminul-Rasyid, kes Suwandi dan Azman di Terengganu jelas menunjukkan polis telah bertindak secara wewenangan dengan menggunakan senjata api dan rakyat telah melahirkan rasa marah serta tidak puashati terhadap apa yang disifatkan penyalahgunaan kuasa oleh anggota polis terutama kepada orang awam.

Modus operandi "menembak mati supaya mudah tidak lagi dibebankan dengan pembuktian di mahkamah" perlu dihentikan segera kerana ia adalah satu tindakan pengecut yang mana polis dilihat tidak mahu bertanggungjawab di atas tindakan mereka sendiri.

PDRM perlu menghormati hak untuk hidup setiap manusia semasa menjalankan tugas. Dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia, Artikel 3 menyatakan bahawa “Setiap orang berhak untuk hidup” dan Artikel 5 menyatakan bahawa “Tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan.”

Artikel 4 dalam Prinsip Asas Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pihak Penguatkuasa 1990 (Basic Principles on the Use of Force and Firearms by Law Enforcement Officials) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa “Pegawai-pegawai pihak penguatkuasa, dalam menjalankan tugas seboleh mungkin menggunakan cara tidak keras sebelum terpaksa menggunakan kekerasan dan senjata api.”

Mengikut statistik rasmi kerajaan, antara tahun 2007 hingga 2009, terdapat sebanyak 183 nyawa dikorbankan akibat ditembak mati oleh polis.

SUARAM sebelum ini telah menggesa pihak polis untuk menggunakan alternatif lain selain daripada senjata api dalam operasi penangkapan suspek penjenayah. Malah, rakyat risau dan bimbang dengan penggunaan senjata api oleh pihak polis khususnya, kerana sehingga hari ini tiada satu mekanisme dan akauntabiliti dalam kes-kes penggunaan senjata api oleh pihak polis.


MB Terengganu Melenting Rahsia E-book Bocor

Ahmad Said Marah Jabatan Audit Bocor Laporan Top IT

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said menuduh Jabatan Audit seolah-olah mensabotaj kerajaan negeri kerana maklumat laporan audit keatas syarikat Top IT Industries Sdn Bhd. terdedah kepada umum.

Ahmad dipetik Bernama berkata, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri memanggil pihak daripada Jabatan Audit yang dipercayai mendedahkan beberapa maklumat mengenai syarikat itu kepada pembangkang.

“Saya tidak faham mengapa Jabatan Audit telah memberi laporan berkenaan kepada pihak pembangkang jika ada berlaku perkara sedemikian. Apa tujuan Audit berbuat demikian seolah-olah hendak sabotaj kerajaan negeri dalam perkara ini?.

“Sepatutnya Audit memberi laporan terlebih dahulu kepada kerajaan sebelum mendedahkan kepada pihak lain jika ada sebarang perkara yang tidak kena berlaku,” tegasnya

Sebelum itu, Ahmad telah memberi pengesahan bahawa, kilang Top IT Industries Sdn Bhd, syarikat yang memasang e-Book adalah selamat dan tidak mendatangkan bahaya kepada pekerjanya.

Beliau berkata perkara itu disahkan oleh juruperunding dan pembinaan kilang itu mengikut peraturan yang ditetapkan.

Kilang itu hanya mengalami keretakan biasa pada dinding yang tidak mendatangkan bahaya kepada pekerja, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahamad Nawawi pada Khamis lepas bahawa kilang anak syarikat kerajaan negeri berharga RM12 juta itu tidak selamat kerana retak selain tidak ada sijil layak menduduki (CF).

Menteri Besar berkata: “Sekarang CF sudah tidak dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan lagi tetapi oleh juruperunding dan mereka menyatakan bangunan itu selamat untuk digunakan”.

Beliau menegaskan bahawa kilang berkenaan hanya berharga RM7.9 juta dan bukannya RM12 juta seperti didakwa. sumber: buletinonline

BERITA BERKAITAN SEBELUM INI

Pembaziran Kerajaan Terengganu Dalam Program E-book

Ulasan GB

Macamana Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu cuba pula nak tutup maklumat mengenai Laporan Audit negerinya sedangkan laporan audit sebenarnya adalah tidak rahsia, telus dan terdedah kepada umum?

Mungkin selama ini Ahmad Said telah terbiasa dengan kerja-kerja menutup penyelewengan yang tak dapat dihidu oleh Jabatan Audit Negara. Jadi apabila terdedah yang satu ini, melentingnya amat sangat sampai menyatakan negerinya disabotaj oleh agensi kerajaan Jabatan Audit Negara.


Berita BERNAMA Bawa Sial Kepada New Sarawak Tribune

Kakitangan Sarawak Tribune diarah 'tutup mulut'

Arahan 'tutup mulut' telah dikeluarkan kepada kakitangan akhbar New Sarawak Tribune berikutan penggantungan tugas editor eksekutifnya, Paul Si berhubung sebuah artikel pada 30 Ogos lalu yang dikatakan tidak disenangi oleh Ketua Menteri sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Menurut sumber, kakitangan berkenaan diarahkan supaya 'tutup mulut' berhubung penggantung ke atas Si itu dan ia dipercayai adalah atas arahan anak perempuan bongsu Taib - Hanifah.

Hanifah dilaporkan mencaci editor kanan dan pengurusan akhbar berkenaan pada mesyuarat lewat petang Isnin lalu berhubung artikel berkenaan yang berlarutan sehingga keesokan hari.

Hari berikutnya, yang kebetulan Hari Kemerdekaan, Si digantung tugas. Dia enggan mengulas apabila dihubungi hari ini.

Semuanya gara-gara tindakan Si yang memilih laporan berjudul 'Adakah Taib Mahmud sekadar mahu menguji?' yang dibekalkan oleh Bernama sebagai tajuk halaman utama akhbar itu.

Laporan itu memetik pendapat penganalisis politik yang mempersoalkan motif Abdul Taib mengumumkan kesediaannya melepaskan jawatan ketua menteri menjelang pilihan raya negeri akan datang yang mesti diadakan sebelum Jun tahun depan.

Menurut mereka yang diwawancara Bernama, Abdul Taib tidak mempunyai niat untuk mengundurkan diri setelah memegang kuasa selama 29 tahun dan tawarannya itu dilihat cubaan untuk memancing sokongan daripada pemimpin tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, ahli lembaga pengarah Sarawak Tribune, James Ritchie menafikan laporan bahawa beliau telah dilucutkan daripada jawatannya sebagai 'penasihat editorial' berhubung penerbitan artikel itu.

Ritchie juga berkata beliau sangsi jika Abdul Taib secara langsung ataupun tidak - terbabit dengan keputusan menggantung Si.

“Ketua menteri mempunyai dasar tidak campur tangan. Saya sangsi dia secara peribadi terlibat dengan keputusan memecat sesiapa di the Tribune,” katanya, ketika dihubungi.

Khamis lalu sebuah portal berita melaporkan bahawa Ritchie telah dipecat berhubung penyiaran artikel berkenaan.

The Tribune dilancarkan semula dengan penjenamaan baru pada 19 Mei tahun ini dan dirasmikan oleh Abdul Taib.

Akhbar berbahasa Inggeris paling tua di Sarawak itu pernah digantung pada 9 Februari 2006 kerana menerbitkan semula karikatur kontroversial yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Pihak pengurusan akhbar berusia 61 tahun itu kemudiannya mengambil keputusan untuk menutup akhbar berkenaan meskipun arahan penggantungan itu kemudiannya ditarik balik. Mereka sebaliknya menerbitkan Eastern Times.

Edisi terakhir Eastern Times diterbitkan pada 19 Mei, iaitu sehari selepas Sarawak Tribune berada di pasaran semula.

Akhbar itu dipercayai mempunyai kaitan dengan Abdul Taib. Ia adalah anak syarikat Naim Cendera Holdings Bhd, yang dimiliki oleh Abdul Hamed Sapawi.

Abdul Hamed adalah sepupu Abdul Taib dan mengikut majalah Forbes, beliau adalah dalam senarai 40 orang paling kaya di Malaysia. -MK

Khir Toyo Sangka Orang Semua Busuk Macam Dia

Khalid sengaja tunjuk baik"

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, terpulang kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu menerima insentif sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata, Abdul Khalid sepatutnya mengarahkan Pengurus Besar PKNS, Othman Omar meletak jawatan sekiranya tidak bersetuju dengan pemberian insentif berkenaan.

Ini katanya, Othman merupakan individu yang bertanggungjawab mengeluarkan insentif tersebut.

“Kalau dia (Khalid) tak setuju, pecat saja Pengurus Besar PKNS kerana dia yang keluarkan cek. Dia sengaja tunjuk baik kononnya pimpinan terdahulu mengamalkan pemberian insentif ini.

“Sebenarnya, bila PKNS mendapat untung ia akan beri bonus kepada pengerusi, timbalannya dan ahli lembaga pengarah serta semua pegawainya,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama media, di sini semalam.

Katanya, pemberian insentif itu bukan perkara baru dan dilakukan oleh mana-mana syarikat yang menerima keuntungan.

Beliau berkata, pemberian insentif itu telah dimulakan sejak pimpinan Datuk Harun Idris lagi.

“Pemberian bonus ini bukan satu perkara yang baru. Ia telah dilakukan sejak awal penubuhan PKNS lagi.

“Saya fikir Khalid mahu tunjukkan kepada semua orang bahawa dia merupakan seorang individu yang baik,” katanya.

Kata Mohamad Khir lagi, Abdul khalid yang pernah menjadi pengerusi kepada GLC sebelum dilantik menjadi Menteri Besar pernah menerima insentif berkenaan.

“Dia pernah menerima pemberian insentif serupa semasa menjadi pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Guthrie Berhad.

“Tetapi kenapa bila menjadi Menteri Besar dia berpura-pura terkejut dan enggan menerima pemberian insentif daripada PKNS itu,” katanya. -SH


Lebih Baik Diam Khir Toyo

Khir Toyo sebaiknya berdiam diri saja kerana dakwaan yang ditimbulkannya terhadap pentadbiran Selangor hanya akan memakan diri sendiri, kata setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Faekah Husin. Faekah mendakwa banyak masalah yang berlaku di negeri itu pada masa sekarang sebenarnya berpunca daripada keputusan yang dibuat sewaktu pentadbiran Khir Toyo.

Faekah memberi contoh, keadaan itu boleh dilihat dalam isu melibatkan pembahagian tanah kepada peneroka di sebuah tanah rancangan di Bandar Alam Perdana, Kuala Selangor. Jelasnya, peneroka berkenaan telah memohon untuk mendapatkan geran kecil bagi tanah seluas antara 60 hingga 120 ekar itu. Bagaimanapun, terdapat beberapa individu yang mengemukakan injunksi di mahkamah bagi menghalang geran berkenaan dikeluarkan.

"Di sinilah bermula komen-komen negatif itu. Jadi kerajaan negeri kena jawab dan cari apakah punca masalah sebenar," katanya lagi. Tambahnya, beliau telah membuat siasatan dan terkejut apabila mendapati terdapat antara pemilik tanah tersebut merupakan pemimpin Umno di negeri itu. "Sangat malang apabila saya terjumpa beberapa nama. Doktor gigi pun ada yang jadi peneroka Felda," katanya yang telah menyiasat nama pemilik tanah berkenaan.

Beliau juga mendedahkan mengenai amalan pemberian bonus oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada menteri besar."Tidak hairanlah isu bonus menjadi fokus apabila kita timbulkan isu kecurian pasir," kata Faekah lagi dalam satu temubual dengan Malaysiakini semalam. Katanya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini berang apabila diberitahu bahawa beliau diberi bayaran sebanyak RM135,000 oleh syarikat milik kerajaan negeri itu.

Faekah berkata, beliau kemudiannya diarahkan oleh Khalid untuk menyiasat siapakah yang memberi arahan untuk meluluskan bayaran berkenaan dan apakah prosedur yang telibat. Faekah kemudiannya berkata, beliau telah menghubungi pegawai kewangan PKNS yang menjelaskan bahawa pemberian bonus kepada menteri besar merupakan amalan biasa sejak pentadbiran terdahulu. "Sebab itu saya kata, kalau saya jadi Khir Toyo saya akan berdiam diri sahaja," kata Faekah lagi. -MK


Ulasan GB

Khir Toyo ingat semua orang busuk macam dia. Yang busuk hanyalah MB dan KM dari BN. MB dari PR tak buat kerja macam tu.

Itu baru dari satu anak syarikat Khir Toyo dah dapat RM135,000. Belum lagi anak-anak syarikat yang lain. Silap gaya duit bonus jer berjuta nilainya. Yang bodoh yang bebal hanyalah ahli-ahli UMNO kampungan yang dapat RM50 - RM60 yang disuruh sokong pemimpin macam Khir Toyo.

Berapa banyak sebenarnya Khir Toyo dah mentekedarah wang rakyat negeri Selangor sewaktu beliau menjadi MB? Hanya Allah juga yang Maha Tahu.

Pakatan Rakyat dah buat beratus aduan polis dan SPRM. SPRM serah kepada Peguam Negara yang cuba untuk cover-up kes Khir Toyo dengan Disney Landnya dahulu. Bila dikatakan mereka lembu-lemmbu UMNO, mereka melenting. Dan sememangnya mereka lembu-lembu UMNO.

Kelembuan dan kejahatan SPRM satu hari akan tetap terbongkar juga.

Tunggu, kebenaran akan tetap muncul. Peguam Negara akan terhumban juga nanti paling tidak ke penjara. Kalau mereka berani terus pertahankan kerajaan UMNO BN korup yang sedia ada. Saya beri amaran, jangan lawan arus kebangkitan rakyat.

Happy ending hanya untuk yang baik-baik, yang jahat, yang celaka, yang lembu akan terima balasannya. Itu sunnatullah!

Apa Nak Diharapkan Pada Ismail Omar?

Ismail Didesak Pastikan Anggota Polis Hormati Hak Asasi Rakyat

Badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyeru bakal Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar supaya melaksanakan penambahbaikan dan reformasi segera terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang kini mempunyai imej buruk di mata masyarakat umum, terutamanya di dalam isu menghormati hak asasi manusia.

Suaram berkata dalam satu kenyataan media semalam, Ismail perlu memastikan kesemua cadangan Suruhanjaya DiRaja Mengenai Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM khususnya dalam hal berkaitan penindasan hak asasi manusia oleh anggota polis dilaksanakan dengan segera.

"Bakal KPN Ismail Omar perlu memandang berat ketidakpatuhan kepada undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa di kalangan anggota polis. Ini merupakan perkara serius yang dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya DiRaja pada tahun 2005 dan juga berdasarkan pemantauan Suaram.

"Di bawah pimpinan KPN Musa Hassan selama empat tahun (16 September 2006 sehingga kini), PDRM mempunyai rekod dan reputasi yang teruk di dalam isu hak asasi manusia," kata Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung.

Suaram berkata statistik rasmi kerajaan menunjukkan bahawa seramai 183 orang telah mati akibat ditembak polis dari tahun 2007 hingga 2009.

Antara kes yang paling serius adalah kejadian menembak mati remaja berusia 14 tahun Aminulrasyid Amzah dan pemuda 18 tahun, Mohammad Afham Arin oleh polis.

"Suaram juga menyeru bakal KPN supaya mendedahkan kepada umum Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dengan segera selepas menjawat jawatan KPN agar anggota polis akan lebih bertanggungjawab apabila menggunakan senjata api," ujar Heng Lung.

Tambah Suaram, terdapat 153 kes kematian dalam tahanan polis antara tahun 1999 hingga 2008.

Pada tahun 2009, seramai tujuh orang telah mati di dalam tahanan polis antara yang menjadi perhatian umum kematian A Kugan, R Gunasegaran dan Mohd Anuar Sharip.

Sehubungan itu badan itu menyeru Ismail untuk memastikan anggota polis mematuhi Akta Kaedah-kaedah Lokap (L.N.3289/1958)(4) supaya hak setiap Orang Kena Tahan (OKT) dihormati.

"Contoh lain pelanggaran hak asasi manusia yang serius boleh dilihat di dalam tindakan keras anggota polis terhadap peserta perhimpunan aman termasuk perhimpunan aman membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos 2009 di mana seramai 589 orang termasuk kanak-kanak telah ditahan.

"Penggunaan kekerasan oleh anggota polis untuk menyuraikan peserta perhimpunan awam terutamanya dalam perhimpunan yang bertujuan untuk membantah dasar kerajaan telah menjadi kebiasaan di Malaysia.

"Hal ini menunjukkan PDRM tidak menghormati piawaian hak asasi yang turut termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, dan juga telah menyebabkan persepsi umum bahawa PDRM seringkali bertindak sebagai alat pemerintah untuk menekan suara bangkangan terhadap dasar kerajaan," tegas Suaram.

Heng Lung berkata, Suaram menggesa KPN baru untuk memastikan semua anggota polis bersifat adil di dalam menjalankan tugas mereka agar persepsi umum dapat diubah.

KPN juga mesti memastikan PDRM menghormati piawaian hak asasi manusia antarabangsa semasa mengawal perhimpunan awam.

"Lebih daripada itu, Suaram berpendirian imej buruk PDRM tidak mampu dipulihkan hanya dengan penggantian KPN. Perubahan struktural, bebas, telus dan adil untuk memantau salah laku anggota polis perlu dilaksanakan dengan kadar segera untuk memastikan akauntabiliti PDRM dan mengurangkan penyalahgunaan kuasa di kalangan anggota polis.

"Suaram mengulangi gesaan supaya penubuhan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang disarankan oleh Suruhanjaya DiRaja pada 2005 dilaksanakan dengan serta merta," kata badan itu lagi. -SK


Polis Ambil Sikap Politik Tangani Perhimpunan Anti ISA

Pakatan Rakyat Perak dan Gerakan Mansuh ISA menggesa agar satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat tindakan ganas pihak polis terhadap peserta perhimpunan aman anti ISA minggu lalu yang kini digunakan bagi kepentingan dan kelangsungan politik Umno-Barisan Nasional.

Ahli Dewan Undangan Negeri Teja, Chang Lih Kang berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang sebelum itu telah memberi amaran kepada kepada orang awam supaya tidak menghadiri perhimpunan memasang lilin yang dianggap sebagai perhimpunan haram.

"Kami merasakan pihak polis telah bertindak melampaui batas, mereka sepatutnya menjaga keamanan dan bukan sebaliknya
.

"Perhimpunan aman memasang lilin itu tidak ada kena-mengena dengan pihak polis, apa yang rakyat mahukan adalah kerajaan Umno-BN memansuhkan undang-undang drakonian itu," kata beliau.

Katanya, sekiranya ada unsur yang mengancam keselamatan negara, barulah pihak polis boleh mengambil tindakan.

Tambah Lih Kang, apa yang berlaku pada perhimpunan tersebut, pihak polis tidak bersikap bebas dan sebaliknya mengambil pendirian bersifat politik.

Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Ipoh pukul 11 Rabu lalu, Pakatan Rakyat dan GMI meminta Ismail disiasat kerana menyalahguna kuasa beliau dengan mengambil pendekatan kuku besi dalam menangani protes terhadap peserta anti ISA.

Ismail juga didakwa gagal menjalankan tanggungjawab memelihara ruang demokratik di Malaysia dan pada masa yang sama telah mendasarkan keputusan beliau atas pertimbangan politik dan bukan atas isu keselamatan awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat yang turun bersama rakyat untuk memberi sokongan kepada perhimpunan mansuh ISA telah dihalang masuk ke Dataran Bandaraya Ipoh apabila pihak polis bertindak menutup jalan masuk utama ke situ.

Berpuluh-puluh anggota polis telah mengepung sekitar dataran DBI bagi menghalang orang ramai daripada menghampirinya.

Polis menangkap kira-kira 30 peserta perhimpunan aman anti ISA ditahan di lapan lokasi di seluruh negara. -SK (6/8/10)