1 Jan 2009

PRK P036 : Calon PAS Diumum Malam Ini

kulitCalon untuk pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu akan diumumkan malam ini di stadium negeri Terengganu oleh Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Ramai yang sudah membuat perhitungan tentang siapakah bakal calon PRK P036 yang akan diumumkan malam ini. Sebuah akhbar media arus perdana MSTAR, telah membuat telahan bahawa Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Ahmad - salah seorang daripada mereka akan terpilih menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan ini.

Samada ramalan itu benar atau pun tidak, ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Namun ketiadaan nama Naib Presiden PAS, Mohamad bin Sabu agak meresahkan banyak pihak. Tetapi berdasarkan perkembangan mutakhir nampaknya nama Mohamad Sabu seperti seolah-olah telah terpinggir.


Meskipun sebelum telah banyak luahan pandangan dan pendapat yang menjurus kepada memilih Mohamad Sabu agar dikekalkan untuk bertanding semula di dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu setelah tewas dengan majoriti kecil pada PRU ke 13 pada 8 Mac yang lalu, namun terdapat juga pihak yang agak kurang senang dengan nama tersebut dengan alasan-alasannya yang tersendiri.

Ahli-ahli PAS yang terkenal dengan sikap "tidak begitu kisah" dengan siapa pun bakal dikedepankan oleh pimpinan sebagai calon pilihanraya (demi menjaga akhlaq sebagai seorang ahli jemaah), pandangan mereka kurang mendapat penilaian dan pemerhatian pimpinan PAS Pusat.

Mengimbau PRU ke 13, Mohamad Sabu yang dipanggil untuk bertanding di Kuala Terengganu (sekalipun beliau menyatakan pada masa itu beliau lebih selesa bertanding di negerinya Pulau Pinang), pimpinan PAS Pusat mengharapkan sesuatu kejutan tercipta di dalam keputusan pilihanraya 2008 untuk negeri Terengganu. Namun Mohamad Sabu gagal, bukan kerana faktor dirinya, tetapi oleh banyak faktor-faktor lain, tewas tipis dengan 628 undi di tangan Datuk Razali Ismail.

Namun apa yang perlu dilihat ialah kepatuhan dan kesungguhan Mohamad Sabu dengan mengenepikan kehendak peribadinya untuk bertanding di negerinya sendiri untuk menanggung risiko bertanding di negeri lain wajarlah dijadikan renungan semula jika benar kini nama beliau dicicirkan dari senarai calon pilihanraya kecil yang akan datang ini.

Apakah habis madu sepah dibuang? Dan kenapakan tetiba kali ini faktor "calon luar" kedengaran di dalam sebuah parti yang tidak sepatutnya meletakkan garis sempadan kenegerian sebagai faktor utama di dalam pemilihan calon?

Kita tidak akan terkejut dengan sikap Mohamad Sabu yang akan terus patuh dengan keputusan pimpinan, tetapi ahli-ahli PAS majoritinya akan terkejut dengan sikap kepimpinan PAS jika mereka mengenepikan Mohamad Sabu daripada menjadi calon pilihanraya kecil kali ini.

Mursyidul AM PAS, YAB TuanGuru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat telah secara peribadi dan terbuka serta paling awal mencadangkan nama Mohamad Sabu sebagai calon. Ketua dan Timbalan Muslimat PAS Pusat turut menyokong cadangan peribadi Mursyidul Am PAS yang mahu Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dikekalkan.

Rasanya tidak keterlaluan untuk menyatakan bukan sahaja ahli PAS yang terperanjat malah ia akan turut mengecewakan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. Ini terbukti apabila exco Selangor Ronnie Liu berharap Naib Presiden Pas Mohamad Sabu terus dipilih sebagai calon Pas untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Yang berbeza ialah pendirian Pemuda PAS Terengganu yang telah mengakui telah menghantar nama rakyat Terengganu sendiri sebagai calon.

Namun, walau siapa pun yang bakal diumumkan sebagai calon pada malam ini, kita berharap ia telah menimbang semua pandangan dan pendapat masyarakat umum supaya nanti tidaklah orang akan memujuk Mohamad Sabu dengan seloka "apa diharap tanah seberang.."

Berita TKOfm 1 Jan 2009

Imbauan peristiwa utama 2008. Bermula dengan PRU 13 pada 8 Mac dimana BN hanya menang dengan majoriti mudah. Kembalinya Datuk Seri Anwar ke persada politik negara apabila menjadi Ketua Pembangkang. Harga minyak naik 78 sen kemudian kerajaan berdolak dalik menurunkan harga secara berperingkat sekalipun harga minyak dunia telah merudum ke paras terendah. Pengumuman peralihan kuasa PM. Razak Baginda terlepas. Kembalinya Chua Soi Lek di dalam baris kepimpinan MCA. Sayap wanita UMNO bergolak. Tragedi Bukit Antarabangsa.

PAS nafikan alami konflik ekoran strategi melewatkan mengumumkan calon PRK P036 K.Terengganu. Manickavasagam letak jawatan Timbalan Pengerusi PKR Selangor. Perak umum tanah hak milik kekal di Grik.