28 Mei 2015

[KES NUR SYALEZA] Suaminya, Norazman Terlepas Dari Hukuman Mati


Suami eksekutif TV9 terlepas hukuman gantung

Seorang bekas eksekutif syarikat minyak dan gas menangis dan memeluk keluarganya selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam sebentar tadi membebaskannya daripada tuduhan membunuh isterinya, tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Norazman Bashah Ahmad Bashah selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes.

Menurutnya, wujud kelemahan dalam penyiasatan polis selain kemurungan yang dialami mangsa mendorongnya membunuh diri.

"Selepas meneliti semua keterangan yang dikemukakan dalam prosiding pendakwaan dan perbicaraan, mahkamah dengan ini melepas dan membebaskan kamu daripada pertuduhan membunuh," katanya.

Norazman Bashah,34, didakwa membunuh eksekutif pentadbiran TV9, Nur Syaleza Jaafar, 31, di kediaman mereka di No 115, Tingkat 1 Blok O, Apartmen Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, di antara jam 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan 64 eksibit dikemukakan sepanjang perbicaraan bermula pada 16 Oktober tahun lalu.

Norazman diwakili peguam, Muhamad Fadli Sutris dan Shah Rizal Abdul Manan.

IMBAS KEMBALI


Kronologi Kematian Arwah Syaleza Jaffar

Berikut adalah krologi penuh kematian Ekesekutif Pentadbiran Berita stesen televisyen TV9, Syaleza Jaffar bermula dari penerimaan status Blackberry Messenger terakhir Syaleza sehingga penahanan suami mangsa iaitu Norazman Bashah.

• Status Blackberry Messenger terakhir Syaleza yang sempat ditulis berbunyi ‘sabar duhai hati’ kira-kira pukul 4 petang Sabtu lalu.

• Beberapa jam kemudian, Syaleza didakwa bertengkar dengan suaminya, Norazman Bashah, di rumah mereka di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Sungai Buloh.

• Syaleza dipercayai mula mengurung diri dalam bilik selepas bertengkar.
Norazman mendakwa dia bertindak memecah masuk pintu bilik selepas terdengar bunyi dentuman dari dalam bilik ketika hendak memanggil isterinya berbuka puasa.

• Norazman kemudian mendakwa melihat isterinya tergantung pada siling dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira pukul 7 malam.

• Abang sulung Syaleza didakwa menerima berita kematian arwah pada pukul 9.30 malam selepas dimaklumkan oleh Norazman.

• Pasukan bantuan perubatan tiba pada pukul 10.30 malam.

• Norazman kemudian ditahan sebaik upacara pengebumian Syaleza di Segamat, Johor selesai pada pukul 10.15 malam kelmarin.

P/S semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang beriman. Alfatihah


Saham Felda Jatuh Ke Paras RM1.92, Bakal Dikeluarkan Dari Senarai Bursa Malaysia


Kejatuhan harga saham Felda Global Venture (FGV) yang kini hanya tinggal RM2.02 sesaham pada 25 Mei 2015 (RM1.92 pada hari semalam 27 Mei 2015 5.01 ptg -GB) menyebabkan enam pemegang saham utamanya mengalami kerugian hampir RM5.4 bilion.

Penasihat Ekonomi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Dr. Rosli Yaakop berkata, keenam-enam pemegang utama saham FGV memegang saham lima hingga lapan peratus yang disifatkan satu jumlah yang agak besar.

Enam pemegang tersebut adalah Lembaga Tabung Haji, KWSP, Kumpulan Wang Persaraan, Felda Badan Berkanun, Felda Asset Holding Company SB dan Kerajaan Negeri Pahang.

Menurut Rosli, keenam-enam pemegang saham terbabit membeli saham pada 25 April 2013 pada harga RM4.55 berjumlah RM9.6 bilion dan nilai saham ini pada 25 Mei lalu telah merundum kepada RM4.3 bilion.

Felda Badan Berkanun mengalami kerugian sebanyak RM1.84 bilion, Felda Aseet Holding Company SB rugi sebanyak RM1.26 bilion, Lembaga TH rugi RM717.7 juta, KWSP pula rugi RM527.7 juta, Kumpulan Wang Persaraan rugi sebanyak RM546.2 juta dan Kerajaan Negeri Pahang menanggung rugi RM461.5 juta.

"Keenam-enam pemegang ini memegang kira-kira 2/3 daripada jumlah saham FGV yang diurus niaga di Bursa Saham Malaysia. Keadaan ini umpama pemilikan yang tidak sihat bagi mana-mana pasaran saham apabila saham merundum pemegang akan kerugian. Hanya dalam masa dua tahun kerugian yang begitu besar," katanya kepada Harakahdaily.

Berdasarkan semakan saham FGV pada jam 11 pagi hari ini harga saham itu terus turun kepada RM1.92 sesaham.

Yang menjadi kebimbangan, katanya, prospek harga saham FGV akan kekal rendah dalam tempoh dua hingga enam tahun dan jauh sekali untuk mencapai nilai saham RM4 hingga RM5 sesaham.

Ini kerana katanya, beberapa faktor penting akan menekan harga saham FGV iaitu harga minyak sawit rendah, kos pengurusan FGV agak tinggi, dan hasil buah sawit yang terhad kerana 50% pokok sudah tua.

"Dalam jangka masa pendek ini enam badan dan dana awam terbabit akan terus tanggung kerugian yang besar.

"Kenapa badan ini melabur begitu banyak dalam FGV sedangkan FGV sebuah syarikat perladangan khasnya kelapa sawit. Risiko barang-barang sektor pertanian ini sangat tinggi. Kita hairan mengapa syarikat ini sudah tahu risiko tinggi tetapi terus melabur dalam FGV," soal beliau.

Justeru, katanya, Anak menuntut pengurusan badan-badan dana awam ini memberi penjelasan mengenai perkara ini sama ada kepada pendeposit Tabung Haji dan pencarum KWSP.

"Ini adalah perkara yang kita perlu beri perhatian, sepatutnya pemegang saham ini melabur dalam pelaburan yang selamat dan menguntungkan bukannya berisiko tinggi. Akhirnya rakyat yang menampung kerugian ini," katanya.



ULASAN GB

GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Seperti yang GB pernah utarakan sebelum ini, perkataan-perkataan jelek dan hina itu akan kembali kepada penuturnya. Masihkah ingatkan kita tentang perkataan HARAMJADAH yang dituturkan oleh seorang PM bernama Mohd Najib kepada peneroka FELDA yang membantah penyenaraian saham Felda Global Ventures (FGV)? Apa jadi akhirnya? Najib ditimpa HARAMJADAH sampai ke hari ini dan sebuah akhbar melaporkan FGV bermungkinan terpaksa dikeluarkan dari senarai Bursa Malaysia kerana mengalami kerugian yang berterusan...

Terbaik Dari Ust Ahmad Awang: Perkasakan Pakatan Rakyat!


Perkasakan Pakatan, kata Ahmad Awang

Pencabar bagi jawatan presiden PAS Ahmad Awang berkata, beliau akan memperkukuhkan parti serta menyatupadukan ahlinya yang mempunyai pelbagai latar belakang sekiranya menang jawatan tersebut.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, bekas naib presiden PAS itu berkata, perkara itu perlu dilakukan memandang ia merupakan tanggungjawab dan kewajipan seorang presiden parti bagi memastikan semua ahli bersatu.

"Pertama sekali ialah perkukuhkan dan perbaiki parti serta menyatupadukan sebahagian aliran-aliran yang telah membawa kepada seolah-olah tak boleh ada kebersamaan.

"Itu tugas dan kewajipan presiden," katanya yang turut berharap supaya tiada perpecahan ahli PAS selepas muktamar pada awal Jun depan.

Ahmad berdepan pertembungan satu lawan satu dengan Hadi dalam pemilihan PAS kali ke-61 di Kuala Selangor.

Hadi pertama kali dicabar sepanjang 13 tahun kepimpinannya.

Ini dipercayai susulan kenyataan dan tindakannya yang didakwa tidak menguntungkan Pakatan Rakyat.

Berikut sedutan temubual Ahmad bersama Malaysiakini.

Selepas tahun 1956 - selepas 13 tahun, kenapa baru sekarang ustaz bertanding jawatan presiden parti. Selama ini jawatan itu menang tanpa bertanding. Apa yang menyebabkan ustaz memutuskan untuk bertanding jawatan itu?

Bila kata mencabar, saya tak ambil pengertian "mencabar" presiden. Cuma saya menganggap saya ambil tanggungjawab memenuhi tuntutan atau permintaan daripada sebahagian ahli parti yang mencalonkan saya untuk jawatan tersebut. Dan dalam PAS, memang kita parti yang amalkan sistem demokrasi dan dalam perlembagaan, kita diberi hak kepada setiap ahli untuk dicalonkan apa jua jawatan dalam parti. Dari jawatan presiden sampailah ke peringkat ahli jawatankuasa.

Soal sebelum ini tak ada mana-mana pihak yang dicalonkan untuk mengisi jawatan itu, itu bergantung pada keadaan parti setiap masa. Mungkin disebabkan parti sekarang melihat jawatan presiden perlu ada calon lain. Calon presiden sekarang adalah golongan yang dilihat sebagai golongan agamawan atau ulama dan (calon) yang lain saya lihat tak ada persediaan (untuk bertanding), jadi saya menyahut dan hormati kehendak sebahagian mereka (ahli).

Jadi kecenderungan ramai mahu saya dicalonkan. Dan apabila saya fikir dan timbang serta hormati kehendak ahli, berdasarkan perlembagaan parti dan dari segi hukum agama pun tak jadi kesalahan jika seseorang bersedia untuk dicalonkan bagi parti gerakan Islam.

Ini bukan perlawanan nak tentang satu sama lain tapi ini satu pertandingan dan persaingan yang sihat dan sebagai persaingan idea, pemikiran untuk dilihat oleh perwakilan. Mereka boleh memilih bagi menentukan sama ada sesuai atau tidak menerajui PAS sekarang yang dilhat sebagai pertubuhan bukan hanya sebuah parti seperti zaman 30-an dulu yang macam kampungan. Kerana dalam PAS sekarang ada pelbagai ahli dari latar belakang berbeza. Jadi saya sahut cabaran untuk bersetuju menerima pencalonan ini setelah berfikir amat dalam.

Ustaz dianggap memecah tradisi parti?

Saya menghormati beliau (Hadi) dan kalau jumpa pun saya panggil dengan panggilan mesra iaitu 'ayah chik'. Itu menunjukkan kemesraan kami. Walaupun lima tahun sejak kebelakangan ini jarang bersama. Dan saya rasa tak timbul (pecah tradisi), saya tetap hormati dia sebagai rakan, sahabat dan juga salah seorang naib presiden Persatuan Ulama Sedunia. Saya pula ada menubuhkan cawangan Persatuan Ulama Sedunia dan dengan sendiri dalam konteks hubungan Persatuan Ulama Sedunia pun kami bersama.

Dulu walau ada konflik dalaman parti, jawatan presiden tetap tidak dicabar. Adakah masalah yang melanda PAS sekarang begitu kronik sehingga ahli meminta ustaz bertanding?

Amalan demokrasi itu satu perkara. Macam kita lihat tadi, barangkali PAS dalam suasana politik hari ini berada dalam politik negara dan parti nasional kerana duduk di dalam Pakatan Rakyat dan ia merupakan saingan kepada BN. Jadi perkara mutakhir ini mungkin dirasakan sebahagian ahli untuk melihat persaingan di kalangan pimpinan dalam konteks kepimpinan iaitu pelaksanaan tanggungjawab dalam parti supaya lebih komprehensif yang menunjukkan kepada amalan kebijaksanaan dalam kepimpinan. Mungkin mereka kini nak lihat sesuatu yang lebih baik. Bukan bermakna sekarang tak baik.

PAS kini dilihat terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ahli PAS yang pro-ulama dan profesional. Ustaz yang mana satu?

Pada saya PAS hanya satu kelompok kumpulan sahaja iaitu ahli Parti Islam Se-Malaysia. Saya akui ahli mempunyai pelbagai latar belakang. Ada yang profesional, berpendidikan dan pelbagai arah pemikiran. Tapi kita melihat kepelbagaian pemikiran, pandangan, sudut pandang berbeza dalam parti itu sebagai satu perkara yang baik. Dan apabila diurus, dengan kepelbagaian itu capai objektif yang komprehensif dan keputusan bersama dapat diperolehi.

Berbeza pendapat, pandangan ini kepelbagaian yang cantik tapi perlu diolah dan diselaraskan sehingga lahir satu kesepakatan. Dalam Islam, ia mengaturkan prinsip dalam jamaah berdasarkan kepada permesyuaratan.

Jadi ustaz tak meletakkan diri ustaz di mana-mana pihak?

Saya kira yang memberi gelaran pro-ulama dan sebagainya ini, pada saya ia masalah yang mesti kita perbetulkan dan selaraskan. Dan dalam PAS pun ada perlembagaan parti dan menjadi tugas pemimpin untuk menyatupadukan ahli dengan segala usaha dan ikhtiar dan menjadikan parti yang didukung ini, ahlinya bersatu dengan pendapat yang berbeza. Dan akhirnya, pemikiran yang terbaik itu akan dipilih untuk dijadikan keputusan bersama.

Berdasarkan pemilihan kawasan, Hadi dilihat mempunyai peluang dan kelebihan yang lebih besar. Mungkin ustaz ada strategi ustaz untuk berkempen memenangi jawatan ini?

Soal berkempen tak timbul. Tetapi bila ahli calonkan saya, saya setuju dan oleh itu saya kena berusaha. Mereka yang calonkan saya juga kena usaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan. Dalam pertandingan ada menang dan kalah. Kalau masuk untuk main-main dan tak nak menang, saya pun tak menerima pencalonan ini. Tapi saya melihat, kita berusaha dan ikhtiar dan ahli perlu beri dukungan. Dengan ikhtiar ini, insya-Allah boleh capai kemenangan.Semua itu kita serahkan pada perwakilan. Ini usaha kita. Ia bukan tak boleh dicapai. Kita percaya dengan keyakinan itu, kita serahkan dan dalam berusaha, kita juga perlu beri maklumat yang diharapkan sampai kepada perwakilan.

Adakah ustaz meletakkan peratusan keyakinan untuk menang pada pemilihan kali ini?

Soal yang penting ialah usaha dan ikhtiar dan ia meyakinkan saya boleh capai kemenangan. Serah pada perwakilan. Benda ini bukan perkara yang tak boleh dicapai dan dari situ datang peratusannya.

Apa ustaz harapkan apabila menjadi presiden? Dan apakah perkara pertama ustaz akan lakukan sekiranya menang jawatan ini?

Pertama sekali ialah perkukuhkan dan perbaiki parti serta menyatupadukan sebahagian aliran-aliran yang telah membawa kepada seolah-olah tak boleh ada kebersamaan. Saya balik pada teras asal. PAS yang ada ini sudah baik dah, tetapi baiki berasaskan prinsip dan perlembagaan PAS. Itu tugas dan kewajipan presiden. Dan perkasakan Pakatan Rakyat. Tetapi sebelum ke sana, saya nak perkasakan jamaah dulu. Bagaimana cara nak laksanakannya, bagi saya menang dulu.

Saya tak mahu melihat yang kalah (dalam pemilihan) nanti diasingkan. Dan saya selalu mengetengahkan bahawa yang kalah jangan tubuh parti atau kumpulan lain. Saya percaya semua ahli PAS sayang parti seperti saya. Saya tak mahu terus ada perpecahan dalam PAS selepas muktamar. Usaha ini boleh dilaksanakan. Tambahan pula Majlis Syura ini terdiri daripada ulama dan mereka beri nasihat untuk membimbing agar jangan berlaku perselisihan faham pada jamaah.

Jika ustaz kalah, adakah tetap akan meneruskan visi ini?

Insya-Allah. Saya bersama sahabat saya pun, tujuan kita dalam kedudukan PAS adalah untuk terus maju ke hadapan bersama Pakatan dan slogan "PAS For All" kita nak terus terbina. (PAS) bukan hanya untuk Melayu dan ahli PAS sahaja.

Dalam erti kata lain, adakah presiden sekarang gagal untuk menyatupadukan dan kukuhkan parti?

Yang itu saya punya visi. Yang orang itu, dia punya visi dia. Kena tanya dia. -mk

ULASAN GB

GB katakan TERBAIK... kerana Ustaz Ahmad Awang tegas dengan misinya... PERKUKUHKAN PAKATAN RAKYAT. Itulahlah resolusi Muktamar PAS bertahun-tahun yang cuba dicabuli oleh sesetengah pemimpin di dalam PAS kini.

Mereka lansung tidak menghormati suara ahli di dalam PAS. Malah ada ahli MSU dan pimpinan tertinggi PAS sendiri yang berulangkali membuat kenyataan "semak semula kedudukan PAS dalam PR", sedang mereka terlupa MSU itu sendiri dibentuk oleh Muktamar.

mereka lansung tidak bersyukur dengan nikmat dan rahmat kemenangan yang Allah kurniakan kepada PAS melalui Pakatan Rakyat. Perencanaan jahat sesetengah pihak untuk membawa keluar PAS dari PR akan tetap gagal.

InsyaAllah kami doakan Ustaz Ahmad Awang berjaya di dalam pemilihan PAS nanti sebagai Presiden PAS yang baharu.