5 Jan 2014

Lagi Laporan Polis Terhadap Harussani


Satu lagi laporan polis dibuat oleh Jingga13 terhadap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melabelkan peserta Himpunan TURUN sebagai ‘Penderhaka kepada kerajaan, dihalalkan darah dan bughah (pemberontak)’.

Laporan polis dibuat oleh sdr Mohd Nizam bin Che Mohamad Ali, Koordinator Jingga13 Kelantan bertempat di IPD Pasir Puteh, Kelantan kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Sebelum ini pada hari kelmarin, Jingga13 telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ketua Koordinator JINGGA 13, Fariz Musa dalam laporannya di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi waktu itu berkata, kenyataan Tan Sri Harussani Zakaria itu berbaur hasutan untuk membunuh.

Beliau menggesa Harussani disiasat bawah Seksyen 503 dan 505(c) Kanun Keseksaan atas dakwaan menakutkan secara jenayah dan khianat awam dengan mengapi-apikan golongan tertentu.

"Mufti Perak seharusnya sedar perhimpunan itu adalah tanda protes rakyat terhadap tindakan kerajaan Umno-BN menaikkan segala kos sara hidup yang bakal ditanggung rakyat dalam tahun 2014.

"Justeru, kenyataan beliau merupakan satu hasutan dan dorongan untuk melakukan keganasan, kecederaan termasuk untuk melakukan pembunuhan terutamanya terhadap mereka yang hadir pada di perhimpunan aman itu," katanya.

Beliau merujuk kepada berita "Harussani: Peserta demo 'bughah', halal darah" yang disiarkan Malaysiakini dengan memetik kenyataan asalnya dalam akhbar Berita Harian.

Berita Harian telah melaporkan Harussani sebagai berkata, semua peserta perhimpunan pada 31 Disember lalu sepatutnya ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan “dihalalkan darah golongan bughah (pemberontak)”.

Fariz turut menggesa Harussani agar meletakkan jawatan kerana kenyataannya itu mencemarkan nama baik institusi mufti.

"Jika Harussani seorang yang waras, beliau sewajarnya meletakkan jawatan sebagai mufti Perak kerana kini dilihat bukan sahaja sebagai boneka kerajaan Umno-BN tetapi memalukan institusi mufti yang seharusnya dihormati dan disegani rakyat," katanya.

[BERGAMBAR] Kemalangan Sampai Enjin Kereta Proton Preve Tercampak Keluar


Kuala Berang - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas seorang wanita selepas terselamat walaupun kereta dipandunya terbabas dan terbalik beberapa kali dalam kejadian di Kilometer 400.9 LPT Kuala Lumpur-Kuala Terengganu (Ajil-Telemong), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Afill Amalina Llailie Lokhman, 25, dalam perjalanan dari arah Bukit Besi menuju ke arah Ajil dan kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Preve dipandunya secara tiba-tiba terbabas ketika di lokasi kejadian.

Menurut sumber, mangsa yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Serdang memulakan perjalanan dari Serdang kira-kira jam 4 pagi menuju ke Bukit Payung, Besut bagi pulang bercuti ke kampungnya.

“Kereta dipandu mangsa tanpa penumpang dipercayai terbabas ke kiri dan kanan jalan sehingga merempuh pengadang jalan, selain turut terbalik beberapa kali. Keadaan itu turut menyebabkan enjin kereta tersebut tercabut.

“Bagaimanapun, mangsa terselamat dan hanya mengalami luka kecil di bahagian mata sebelah kiri serta jari. Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim ketika dihubungi mengesahkan laporan kemalangan itu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu termasuk mematuhi had laju ditetapkan. -SH

Hujjah Harussani Rapuh, "Guling Kerajaan" Jadi Sandaran "Bughah"


Sejak kenyataannya mengenai peserta demonstrasi malam 31 Disember lalu dikaitkan dalam golongan bughah (pemberontak), Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria terus menerima pelbagai cemuhan hingga ada desakan yang mahukan beliau meletakkan jawatan. Ada juga yang percaya kenyataannya disalah tafsir beberapa pihak. Wartawan Sinar Harian, Haslina Kamaludin mendapatkan penjelasan beliau berhubung isu berkenaan.

Apakah kenyataan sebenar Tan Sri mengenai demonstrasi baru-baru ini?

Kenyataan asal saya adalah berdasarkan demonstrasi pertama, iaitu ‘guling kerajaan’.

Kumpulan ini berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat. Oleh kerana mereka mahu menggulingkan kerajaan, saya kaitkan dengan firman ALLAH SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 9 yang bermaksud; ‘Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.’ Nama 'guling kerajaan' itu telah ditukar kerana tidak mendapat sokongan ramai, dan diganti dengan Turun. Walaupun mereka menukar nama, tetap dengan maksud sama.

Apakah pandangan Tan Sri apabila ada pihak mendakwa kenyataan bughah itu sebagai terlalu berat?

Bughah atau darah halal itu dalam konteks membahayakan nyawa orang lain dan niat mereka mahu menggulingkan kerajaan. Mereka kata mereka benar, tetapi cara mereka salah. Ayat (al-Quran) itu sudah lengkap. Walau apa pun alasan, cara itu tetap salah. Saya juga tidak bercakap kosong. Lihat sahaja pada hari kejadian, polis menjumpai pelbagai senjata seperti parang dan juga bom buatan sendiri.

Apakah itu dikatakan aman? Jika benar tidak setuju dengan harga barang dan kenaikan kos sara hidup, buatlah cara yang betul. Pergi pejabat Perdana Menteri, beri memorandum. Demonstrasi bukan penyelesai kepada masalah, malah ia menambah masalah kepada orang lain. Saya sendiri, kalau ada yang tidak kena, saya akan jumpa perdana menteri dan nyatakan apa yang benar mengikut ajaran Islam. Tapi, kalau berkaitan ekonomi atau yang lain-lain, itu bukan kepakaran saya.

Timbul dakwaan mengatakan Tan Sri tidak bijak dalam mengeluarkan kenyataan kerana demonstrasi itu tidak seperti digambarkan?

Macam-macam orang lempar kenyataan kepada saya, tetapi saya tidak kisah kerana saya bercakap berlandaskan al-Quran. Bukan saya pandai-pandai cakap.

ULASAN GB

Oh rupa-rupanya Mufti Perak itu ternyata menyandarkan hujjah dan kenyataannnya berdasarkan kepada pendirian UMNO dan media massa arus perdana yang mengecap demonstrasi TURUN tempohari sebagai satu rancangan untuk "guling kerajaan".

GB pernah membuat ulasan bahawa jika selalu perkataan "guling kerajaan" disebut-sebut, maka benarlah ia akan terjadi demikian. Petikan:

"Himpunan Guling Kerajaan" - itulah ungkapan dan istilah yang digunakan oleh pihak berkuasa, terutama pihak polis bersama-sama dengan UMNO, para pencacainya dan NGO-NGO mesra-UMNO serta media massa arus perdana terhadap perhimpunan TURUN yang akan diadakan malam esok.

GB merasa lega kerana pihak TURUN, parti-parti komponen Pakatan Rakyat, NGO-NGO mesra-PR tidak terlibat dengan himpinan yang dimaksudkan untuk guling kerajaan tersebut. Yang ada ialah himpunan untuk mendesak kerajaanj menurunkan harga barang akibat kenaikan kos sara hidup jika kenaikan harga barang tidak dibendung.

.........

Menurut Ilmu Psikologi, sesuatu perkara yang tidak wujud tetapi apabila acapkali disebut dan diulang-ulang ia bakal menjadi kenyataan. Itu dinamakan Hukum Suggesti (cadangan). Apabila perkataan "guling kerajaan" diulang-ulang, ia akan diterima oleh alam separa-sedar sebagai "perkara yang benar" dan alam separa sedar akan bertindak mengikut seperti yang disebutkan. Maka akan berlakulah "realiti" iaitu kerajaan akan terguling!
Baca: Sebutlah Selalu "GULING KERAJAAN", Maka Benar-benar Kerajaan UMNO BN Akan Terguling!

Kedua jika "guling kerajaan" itu "bughah" bagaimana pula dengan episod rampasan kuasa oleh UMNO terhadap kerajaan negeri Perak yang telah dipilih oleh rakyat secara sah dahulu? Bukankah itu lebih jelas "bughah"nya?

Kemudian Mufti berkenaan menggunakan Surah Al-Hujurat ayat 9 di dalam konteks dan pemahamannya yang salah. Di dalam ayat tersebut jelas menyatakan: maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH),

Jika salah satu bersikap zalim terhadap yang lain - siapa sekarang yang berlaku zalim? Bukankah kerajaan UMNO BN yang terus berkeras ingin menaikkan harga sekaligus menaikkan kos sara hidup itu yang zalim? Kalau peserta TURUN itu yang zalim, dimana bukti kezaliman mereka? Timbulkan huru-hara? Bilamasa berlaku huru-haranya? Kerana tersekatnya pesta bunga api di majlis detik 12 malam yang penuh dengan acara pembaziran wang rakyat itu dikatakan zalim? Sungguh keliru pemikiran Mufti berkenaan!

Mufti itu mengeluarkan hujjah lagi :

Saya juga tidak bercakap kosong. Lihat sahaja pada hari kejadian, polis menjumpai pelbagai senjata seperti parang dan juga bom buatan sendiri.

Rakyat sehingga kini tertanya-tanya: siapa letak bom? Siapa bawa parang tak bersarung? Sehingga kini belum ada tangkapan, belum ada peserta TURUN yang ditahan kerana kedua-dua insiden berkenaan. Bererti, sehingga kini, tiada BUKTI yang ianya dilakukan oleh peserta TURUN. Daripada sekalian 10,000 mereka yang hadir menyertai demonstrasi TURUN tempohari, TIADA yang membawa sebarang senjata. Jika ada mana laporannya? Mana tangkapannya? Mana pendakwaannya?

Yang memainkan isu bom dan parang itu hanyalah pihak berkuasa dan media massa yang takut dengan bayang-bayang. Ia adalah FITNAH yang amat besar? Bukankah yang memfitnah itu zalim dan bukankah yang zalim itu yang perlu diperangi jika berdasarkan ayat yang dibacakan oleh Mufti itu tadi?

Selanjutnya Mufti berkenaan berkata:

Jika benar tidak setuju dengan harga barang dan kenaikan kos sara hidup, buatlah cara yang betul. Pergi pejabat Perdana Menteri, beri memorandum. Demonstrasi bukan penyelesai kepada masalah, malah ia menambah masalah kepada orang lain. Saya sendiri, kalau ada yang tidak kena, saya akan jumpa perdana menteri dan nyatakan apa yang benar mengikut ajaran Islam. Tapi, kalau berkaitan ekonomi atau yang lain-lain, itu bukan kepakaran saya.

Suruh hantar memorandum? Kalau hendak dikira, hakikatnya berjuta rakyat nak jumpa PM nak hantar memorandum. BERSIH pernah menghantar memorandum bukan setakat kepada PM malah kepada Agong untuk menuntut SPR dibersihkan. Namun pihak berkuasa tetap menghalang. Tetap menyatakan itu perhimpunan haram. Tetap menyatakan itu nak gulingkan kerajaan.

Apa pilihan lain selain daripada demonstrasi aman sekadar rakyat nak meluahkan bantahannya kepada kerajaan? Perlembagaan sendiri menjamin rakyat berhimpun secara aman. Apakah Tuan Mufti jahil mengenainya?

Apa sebenarnya kepakaran Mufti? Di dalam hal agama? Katakanlah benar, di dalam hal agama (samada qatie atau ijtihadi), jika semua berpegang kepada kepakaran dan pendapat masing-masing, hancur binasalah ummah. GB sudah ulas hal ini. Petikan:

Sepatutnya apabila timbul sesuatu yang menimbulkan pertikaian, umat Islam hendaklah merujuk kepada Al-Quran, Hadith, Ijma dan Qias. Bukan berpegang kepada pendapat sendiri. Malah jika berstatus ulamak sekalipun yang berkemampuan berijtihad, di dalam Islam yang perlu dipegang ialah IJMA ULAMAK (kesepakatan ulamak), bukan kepada pendapat seorang dua ulamak.

Jika masing-masing ulamak meninggalkan IJMA dan mengguna-pakai tafsiran dan pendapat masing-masing, maka di situlah timbul perpecahan dan perbalahan di kalangan ummah.

Jika semua hanya berpegang kepada pendapat masing-masing dan bukan IJMA ULAMAK atau sekurang-kurang jika tiada ijma (kesepakatan) maka digunakan pendapat JUMHUR (majoriti) ULAMAK, maka sudah tentu pincanglah ummah. Nanti akan ada pula yang mengeluarkan "fatwa", Harussani wajar dihukum bunuh kerana menimbulkan & menggalakkan pertumpahan darah dan dia juga berkata "fatwa" itu dikeluarkan mengikut kefahamannya terhadap agamanya sepertimana jawapan Harussani juga. Apa akan jadi jika berlaku demikian?

Baca di Jawapan Harussani Buktikan Kefahaman Islamnya Dangkal!

Jawapan Harussani Buktikan Kefahaman Islamnya Dangkal!


Bughah: Itu adalah fahaman saya terhadap Islam, jawab Harussani

Berita Harian melaporkan tentang kenyataan fatwa Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkaitan ‘bughah’ halal darah peserta perhimpunan sebelum ini.

Beliau berkata tidak gentar jika ada pihak yang mengecam kenyataannya dan bukan bertujuan mencari publisiti murahan.

“Saya berkata yang benar, bukan mencari publisiti murahan dan tidak akan berganjak daripada pendirian,” tegas beliau.

“Jika ada yang hendak buat laporan polis, itu hak mereka. Apa yang dikatakan itu adalah fahaman saya terhadap Islam. Saya bukan hendak mencari publisiti.”

“Saya bertanggungjawab ingatkan umat Islam yang terbabit akibat hasutan orang kafir, sedangkan orang kafir tidak menyertai perhimpunan haram itu, sampai bila umat Islam (mahu) diperbodohkan,” katanya lagi.

Pengakuan Mufti ini tentang fahamannya maksud ‘bughah‘ yang dikeluarkan sebelum ini. Hanya setakat itu yang beliau faham tentang maksudnya berlainan dengan kefahaman pakar-pakar agama lain.

Jadi kepada yang marah dan tak berpuas hati, janganlah marah sangat kerana hanya itu yang beliau faham!!



ULASAN GB

Sekadar itu sajakah kefahaman Mufti berkenaan tentang "bughah"?

Sepatutnya apabila timbul sesuatu yang menimbulkan pertikaian, umat Islam hendaklah merujuk kepada Al-Quran, Hadith, Ijma dan Qias. Bukan berpegang kepada pendapat sendiri. Malah jika berstatus ulamak sekalipun yang berkemampuan berijtihad, di dalam Islam yang perlu dipegang ialah IJMA ULAMAK (kesepakatan ulamak), bukan kepada pendapat seorang dua ulamak.

Jika masing-masing ulamak meninggalkan IJMA dan mengguna-pakai tafsiran dan pendapat masing-masing, maka di situlah timbul perpecahan dan perbalahan di kalangan ummah.


Jika semua hanya berpegang kepada pendapat masing-masing dan bukan IJMA ULAMAK atau sekurang-kurang jika tiada ijma (kesepakatan) maka digunakan pendapat JUMHUR (majoriti) ULAMAK, maka sudah tentu pincanglah ummah. Nanti akan ada pula yang mengeluarkan "fatwa", Harussani wajar dihukum bunuh kerana menimbulkan & menggalakkan pertumpahan darah dan dia juga berkata "fatwa" itu dikeluarkan mengikut kefahamannya terhadap agamanya sepertimana jawapan Harussani juga. Apa akan jadi jika berlaku demikian?

(Itu sebabnya di Malaysia ini hanya Parti Islam SeMalaysia PAS meletakkan Majlis Syura Ulamak sebagai badan tertinggi parti. Kemua hal mengenai hukum dan dasar adalah diputuskan melalui permesyuaratan ahli-ahli Majlis Syura, bukan diputuskan oleh seorang dua ulamak).

Telah didedahkan sebelum ini bahawa mufti berkenaan hanya berkelulusan diploma. Ini bererti ruang-lingkup ilmu Islamnya masih terlalu cetek dan perlu belajar lagi. Akibat kecetekan ilmu menyebabkan seringkali keluar daripadanya "fatwa-fatwa" yang juga cetek dan dangkal hasil kefahaman Islamnya yang cetek dan dangkal itu.

Itu sebab mengapa kini timbul suara lantang bahawa Harussani perlu dipecat dari jawatan mufti. Kenyataan dan pendapat beliau yang tak bertapis itu perlu diambil tindakan, malah wartawan dan akhbar yang melaporkannya juga perlu diberikan tindakan yang wajar. Ini kerana "fatwa" yang dikeluarkan berunsur jenayah yang boleh mengundang bahaya besar dan pertumpahan darah di kalangan umat Islam.