2 Okt 2008

Berita Yang Memeranjatkan

S
aya baru terbaca berita mengenai perletakan jawatan Webmaster TKO, akhi SongkokPutih (SP) pagi ini sekalipun saya telah mendapat signalnya beberapa hari sebelum menjelang 1 Syawal. Namun tak disangka ia berlaku begitu cepat dan di dalam keadaan saya masih mengatur ayat paling sesuai agar akhi SP memikirkan semula keputusan yang diambilnya.

Sebagai seorang yang paling hampir dengannya (saya sebagai Pembantu WM) sekalipun tidak pernah bersua muka di alam realiti, saya belum pernah menemui seorang ketua dan seorang rakan sebaik dan semulia SP. Beliau seumpama saudara kembar bagi saya dan kebanyakan keputusan beliau yang beliau ambil, beliau seringnya berbincang bersama-sama dengan saya.

Sikap persaudaraan yang akhi SP tunjukkan selama ini (setidak-tidaknya kepada saya) melewati sekadar seorang sahabat. Beliau adalah ahli jemaah yang tulen, yang telah menerima tarbiyah yang mantap sehinggakan apa juga kesusahan yang dialami oleh saudaranya, beliau sendiri menghayati dan merasainya. Persis keperihatinan seorang Ansar menerima ketibaan Muhajirin - begitulah sikap persaudaraan yang mendalam yang ada pada akhi SP terhadap saya.

Seorang sahabat biasanya akan lari apabila sahabatnya yang lain bergelumang dengan pelbagai masalah dan pelbagai ujian. Orang kata teman ketawa senang dicari, tetapi teman menangis terlalu sukar untuk ditemui. Namun tidak bagi Pak SP!

Tatkala saya menemui jalan buntu terkepung dengan pelbagai fitnah dan masalah peribadi, Pak SP adalah orangnya yang sentiasa memberikan saya semangat dan dorongan untuk terus bekerja dan berusaha - memimpin tangan saya dan membersihkan saya dari sekelian "lumpur" yang terpalit di badan saya tatkala orang lain sedang mentertawa serta mencemuh keadaan saya yang "compang-camping" itu. Demikian sikap kesetiakawanan dan ukhwah Islamiah yang ditunjukkan oleh Pak SP kepada saya - yang belum pernah saya perolehi dari rakan-rakan yang lain. Demikian persaudaran Islam yang kental yang diserlahkan oleh akhi SP.

Saya mengikuti dengan rapat tulisan-tulisan Pak SP sebanyak 3 siri mengenai jawapan beliau terhadap serangan Tulang Besi kepada beliau.

SIRI 1
SIRI 2
SIRI 3

dan saya selama ini telah mengelak untuk mengulas serta turut serta di dalam polemik berkenaan.

Ini kerana sekalipun saya berbeza pendapat dengan Pak SP di dalam sesuatu isu, namun tidak bererti saya menyokong pula serangan Tulang Besi terhadapnya.

Kami berdua adalah insan yang berasingan sekalipun dalam banyak hal kami sering seiring sejalan. Justeru itu, tidak dapat tidak ada juga beberapa ketika pandangan Pak SP dan GB mungkin juga berbeza, namun perbezaan pendapat kami tidak pernah kami luahkan kerana di dalam konteks berjemaah saya akur kepada ketua dan menjadi kewajipan untuk berlaku taat di dalam keadaan saya suka atau pun tidak suka terhadap sesuatu keputusan itu.

Itulah juga sifat yang diajar oleh Islam, dan tatkala sahabat-sahabat Rasulullah berbalah di dalam sesuatu isu, sentiada para sahabat akur terhadap keputusan "khalifah" yang ada seperti Umar yang tidak bersetuju dengan metode Abu Bakar menyelesaikan gejala "riddah" selepas kewafatan Rasulullah. Namun Umar tetap bersama Abu Bakar memerangi mereka yang murtad waktu itu sekalipun pada awalnya beliau tidak menyetujui sikap Abu Bakar berkenaan. Pandangan dan keputusan peribadi diketepikan untuk mengutamakan kemaslahatan jemaah.

Mungkin pembaca TKO menyedari perbezaan pendapat saya dengan Pak SP di dalam isu-isu yang melingkari jemaah mutakhir ini. Namun TKO tetap memainkan peranannya sebagai penyambung bicara ummah dengan segala kerencaman dan kepelbagaian pandangan, bukan sekadar sesama jemah malah dari luar juga.

Kami bertindak sebagai satu pasukan. SP dan GB banyak ketikanya mengenepikan sentimen peribadi demi mejaga kredibiliti TKO supaya ia medan perbincangan dan penyampaian yang bebas kecualilah bahan-bahan yang bersifat mencerca atau yang keterlaluan penyampaiannya sehingga menginjak nilai-nilai akhlak Islamiah. Yang sedemikian itu tiada komprominya.

Dan hasil kerjasama intim itu, TKO berjaya memainkan peranannya yang mantap di dalam menghadapi PRU12 yang lalu.

Dengan kurniaan kemenangan oleh Allah s.w.t., tiba-tida jemaah PAS umpama dilanda badai - sebagai satu ujian kematangan dan pemantapan untuk jemaah sebelum ia diberikan amanah yang lebih besar oleh Allah s.w.t. untuk bersama-sama memimpin negara di dalam parti yang bernama Pakatan Rakyat.

Tiba-tiba jemaah PAS bergolak dengan isu-isu kontemporari bermula dengan isu muzakharah, muqabalah merenteti isu Anwar, isu Harakah, isu 16 Sept dan kini isu perkongsian kuasa di dalam Pakatan Rakyat ekoran dari perbezaan pandangan dan pendirian pimpinan-pimpinan.

Sepatutnya segala-galanya telah selesai dengan selesainya muktamar PAS yang lalu. Dan sepatutnya saf jemaah kembali berpadu untuk menentang musuh bukan untuk berbalah sesama sendiri.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datok Dr Haron Din yang menyatakan perkara itu menjadi kecoh kerana ada ahli parti yang tidak cukup disiplin terhadap keputusan yang dibuat Majlis Syura.

Katanya, sudah ada petanda awal keputusan yang dibuat Majlis Syura Ulama tidak dipatuhi oleh sesetengah ahli.

Sedangkan sepatutnya ahli perlu komited kepada segala keputusan yang dibuat Majlis Syura Ulamak, selagi perkara itu tidak bercanggah dengan agama.

Menurut beliau dalam perlembagaan PAS ada peruntukan menyebut Majlis Syura Ulamak berkuasa untuk membuat sebarang keputusan selagi ia tidak bercanggah dengan Islam.

Justeru itu tidak dapat tidak peranan Majlis Syura Ulamak adalah penting untuk menyatupadukan ahli jemaah.

Dan bagi saya kini, yang terlebih utama ialah Majlis Syura itu sendiri perlu diperkasakan dan diletakkan ke tempatnya yang lebih abadi dengan menyatukan fikrah ke sekalian anggotanya supaya akhirnya dapat melahirkan keputusan yang nantinya dipatuhi oleh sekalia ahli jemaah.

Di dalam kesempatan polemik yang ada, terdapat juga serangan-serangan dilontarkan kepada barisan kepimpinan dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul AM PAS tak terlepas daripada hinaan dan cercaan.

Di dalam satu tulisan Pak SP sebelum ini, beliau mendedahkan "harakah dan TKO tersepit di tengah-tengah kemelut yang ada. Perbezaan pendirian dan pandangan yang sepatutnya membawa rahmat kepada jemaah kini bertukar menjadi musibah yang tak terduga hebatnya apabila ada pihak memperbesar-besar perbezaan pandangan TG Nik Abdul Aziz dengan Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Bagi saya kedua-duanya adalah ulamak dan setiap keputusan mereka lazimnya didahului dengan memohon pentujuk Allah s.w.t.

Ijtihad salah seorang dari mereka berdua sekalipun salah tetap dikurniakan Allah ganjaran pahalaNya - namun kenapa kita di bawah ini yang berhiruk-pikuk enggan pula untuk berlaku adil dengan tiba-tiba melakukan serangan kepada salah seorang daripada mereka?

Di dalam isu Anwar kononnya PAS diresapi kumpulan Erdogan, sepatutnya kita tidak ketelaluan. Jawapan TG Haji Abdul Hadi Awang sendiri di dalam isu ini sejak 1998 lagi sepatutnya dipegang oleh sekalian ahli jemaah. Berikut ialah petikannya:

PAS adalah Parti Islam,sandaranya mestilah mengikut ajaran Islam. PAS mestilah menghukum mengikut ajaran Islam. Perkara kemungkinan yang tersembunyi adalah bukan urusan kita. Ini berpandukan kepada Hadith Nabi SAW yang bermaksud

"Sesungguhnya kami menghukum apa yang zahir, hanya Allah sahaja yang mengendalikan apa yang tersembunyi. Perkara yang tersembunyi Kepunyaan Allah dan akan dibicarakan dihari akhirat"

Jadi disini kita hanya menghukum apa yang zahir sahaja. Mengikut kaedah hukum hudud, seseorang itu boleh disabitkan dengan kesalahan zina dan liwat dengan adanya ikrar secara sukarela secara rasmi dihadapan hakim, sebanyak 4 kali.

Justeru itu kita bertanggungjawab pula nanti seandainya cuba untuk melangkaui garis sempadan yang diizinkan oleh Allah s.w.t.

Di dalam isu kononnya UMNO telah meresapi PAS laksana anai-anai, saya menyangkal dakwaan ini. Ia hanyalah satu persepsi semata-mata lantaran wujudnya pandangan berbeza di dalam isu muqabalah. Dan kita sepatutnya mengelakkan diri dari persangkaan yang bukan-bukan.

Di dalam isu bilangan majoriti-minoriti ahli parlimen Islam di dalam barisan Pakatan Rakyat yang jika ditakdirkan memerintah negara, sepatutnya kita berpendirian bahawa kitalah yang perlu berusaha gigih meramaikan ahli parlimen Islam di dalam Pakatan Rakyat jika kita khuatir terjadi keadaan sedemikian.

Kita perlu yakin dengan janji Allah:

"..dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk mengatasi orang-orang yang beriman” [An-Nisa : 141]

Kembali kepada isu perletakan jawatan akhi SP, saya (dengan izin) mewakili semua moderator, ahli-ahli dan para pengunjung TKO meminta akhi SP menimbang semula keputusan beliau.

Sesungguhnya pengorbanan masa, tenaga, material dan spritual yang telah ditunjukkan akhi SP untuk kelansungan TKO selama ini tidak mungkin dapat digantikan oleh insan lain. Hanya jauhari yang mengenal mutu manikam.

Sedangkan lidah lagi tergigit......

TKO berjaya berada di puncak, Alexa Ranking menyenaraikan TKO diantara lamanweb paling ramai dilawati di negara ini, Akhbar dan siaran television Malaysia satu ketika menyiarkan dan mengulas berita dari laporan yang tersiar dari TKO serta TKO menjadi buruan rakyat negara ni sebagai satu sumber berita alternatif negara selain Harakahdaily dan malaysiakini

Nama SongkokPutih sudah sinonim dengan TKO. Ada forummer yang cuba-cuba untuk pergi meninggalkan TKO, namun jarang sekali tak datang lagi kerana penangan TKO tidak mungkin dapat dihindari. Layout, desain serta sistem-sistem baru yang diperkenalkan untuk memantapkan TKO yang menggnakan sistem PHPNUKE ini sekalipun sukar dan jenuh untuk dilakukan Pak SP berjaya juga akhirnya. Terlalu ramai yang mencadangkan itu dan ini namun tak ramai yang tahu keperitan Pak SP mengimplementasikan cadangan-cangan tersebut selama ini.

- ini semua berlaku semasa akhi SP memimpin TKO! Semuga Allah memberkati dirimu dan keluargamu terhadpa segala sumbangan yang tak ternilai harganya ini.

Sekalipun saya amat menyedari tentang ketegasan prinsip akhi SP selama ini, inilah rayuan kami agar akhi SP meletakkan kepentingan jemaah mengatasi segala-galanya. Mungkin akhi SP lebih mengetahui bahwa jika tidak kerana jemaah ini dan kerana budi baik akhi SP sendiri, GBlah sepatutnya yang telah terlebih awal meletakkan jawatannya daripada akhi!