15 Apr 2009

NIZAR : Perjalanan Menuju Ke Puncak

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendapat kejutan apabila dicalonkan sebagai Naib Presiden PAS oleh dua bahagian parti itu.

Dua pencalonan itu dibuat oleh PAS kawasan Kelana Jaya dan Temerloh.

Langkah tersebut dijangka mendapat sambutan daripada kawasan-kawasan PAS lain diseluruh negara menjelang persidangan dan permilihan parti Jun depan.

Datuk Seri Mohammad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dilihat tokoh muda lantang yang mempunyai potensi dan masa depan cerah dalam PAS.

Ketokohan dan semangat juang beliau terserlah apabila berhadapan dengan krisis perlembagaan Perak berikutan episod rampasan kuasa kerajaan negeri oleh Umno dan Barisan Nasional.

Turut mendapat perhatian perwakilan ialah Menteri Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang dicalonkan sebagai Timbalan Presiden oleh PAS kawasan Temerloh.

Beliau dijangka membuat "comeback" setelah kalah dalam pertandingan bagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan lalu.


Isu Elizabeth Wong: Menyanggah Kenyataan media YB Kulim BB

Saya ingin mengulas kenyataan media yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, YB Zulkifli Noordin yang telah mengambil pendirian untuk tidak bersetuju dengan keputusan YAB & Kerajaan Negeri Selangor yang membuat keputusan untuk mengekalkan YB Elizabeth Wong sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan ADUN Bukit Lanjan.

Beliau juga mengambil keputusan kononnya untuk memufaraqah dan memisahkan dirinya daripada keputusan tersebut.

Beliau beralasan "Keputusan YAB MB & Kerajaan Negeri Selangor memaksa YB untuk terus mengekalkan kedudukan beliau sebagai Exco dan ADUN memberi gambaran seolah-olah YAB MB & Kerajaan Negeri tidak menghormati keputusan YB Eli untuk meletak jawatan."

Persoalan pokok ialah bagaimana seorang peguam boleh terus menerjah kepada kesimpulan sedemikian sedangkan tidak ada lansung unsur paksaan yang dikenakan oleh YAB MB dan Kerajaan Selangor?

Apakah beliau tidak membaca perenggan-peranggan awal kenyataan media berkenaan yang jelas menyatakan:

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) hari ini telah membuat keputusan untuk menawarkan YB Elizabeth Wong agar kembali meneruskan tugas beliau sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan.

Justeru itu, jika YB Elizabeth menerima keputusan ini, beliau akan diminta kembali dari cuti untuk meneruskan perkhidmatan beliau kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Selangor mulai esok."

Saya hairan sikap Zulkifli yang baru saja menjadi YB tiba-tiba kini cuba menunjukkan sikap angkuh dan tidak menghormati keputusan yang dibuat secara mesyuwarah oleh sebuah kerajaan Pakatan Rakyat apatah lagi di atas premis yang salah.

Isu gambar tidak sopan Elizabeth Wong sekarang ini berada di dalam siasatan polis. Kita tidak mengetahui sampai bila kes itu akan disiasat, seminggu, sebulan setahun atau mungkin sahaja sedekad.

Namun kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mempunyai obligasi kepada penduduk di Bukit Lanjan untuk ditunaikan. Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara itu tergantung sine die - tanpa mengetahui bila akhirnya kerana yang rugi ialah rakyat, yang rugi ialah pengundi Bukit Lanjan.

Menteri Besar Selangor di dalam kenyataannya menyebut lagi:

"Kerajaan Negeri juga berpendapat keputusan ini adalah wajar dan adil setelah mengambil kira pandangan semua pihak, kepentingan rakyat serta perkembangan mutakhir siasatan polis yang sehingga kini gagal membuat sebarang keputusan muktamad.

DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah diberi taklimat tentang keputusan ini. Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Negeri Selangor, saya menjujung kasih ke atas pendirian Tuanku untuk tidak mencampuri urusan politik serta memberi kepercayaan penuh kepada Kerajaan Negeri bagi membuat keputusan yang adil dan terbaik."

Malah kenyataan daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor satu ketika dulu jelas menunjukkan baginda sendiri turut bersimpati dengan apa yang menimpa Elizabeth.

"Sultan Selangor turut menyatakan rasa bimbang dan dukacita baginda dengan perkembangan akhir-akhir ini di mana perbuatan menceroboh hak peribadi dan privasi individu dijadikan sebagai suatu alat untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang.

“Adalah satu perkara yang menyedihkan apabila kehidupan dan hak peribadi individu itu dijadikan satu publisiti dan topik hangat untuk disebarkan (melalui media massa) kepada orang ramai,” tambah kenyataan dari Setiausaha Sulit Sultan lagi.

Seandainya Sultan Selangor sendiri bersimpati dengan Elizabeth, apa nak kisahkan dengan kata-kata dan tulisan-tulisan YB Zul atau Khir Toyo yang selama ini perasan diri mereka bagus sangat tetapi banyak yang boleh dipersoal itu.

Seandainya benar Zulkifli ini seorang yang mengetahui soal tanzim (berorganisasi) apa tah lagi menggunakan istilah Islam seperti mufaraqah (bukan memufaraqah - Arab + Melayu?) maka sepastinya beliau menundukkan keegoaannya dari berkata sesuatu yang di luar daripada bidangnya.

Sebenarnya ini bukan kali pertama Zulkifli gagal untuk menunjukkan "adab" di dalam di dalam berorganisasi.

Satu ketika dulu di dalam kes beliau mengetuai Himpunan Aman membantah tindakan Bar Council mengadakan satu forum beliau juga bertindak sendirian - tanpa restu daripada organisasinya hanya dengan menggunakan alasan "for me, Islam come first, the rest are second".

Benar Islam itu mesti di dahulukan, tetapi bukan mengikut acuan dan pemahaman sendiri-sendiri tetapi hendaklah berpegang kepada Al-Quran, Sunnah, Ijma Ulamak dan Qias.

Jika berpegang kepada kefahaman sendiri-sendiri itulah yang menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam kerana ketiadaan wahdatul-fikr yang akhirnya menimbulkan perpecahan yang mengakibatkan kegagalan dan kehancuran.

Selepas daripada mengetuai himpunan tersebut, beliau dilaporkan "hilang" beberapa hari, tidak dapat dikesan.

Tetapi ramai menemuinya di Kampung Baru Kuala Lumpur dimana beliau ada bersama-sama Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria yang pada ketika itu amat mengusahakan supaya PAS "bersatu" dengan UMNO untuk membentuk kerajaan di Perak (di Kedah dan Selangor juga?)

Beliau juga turut dipersoalkan kerana telah mengambil sikap pasif dan dingin di dalam membantu calon Pakatan Rakyat sewaktu di dalam pilihanraya kecil Bukit gantang atau Bukit Selambau 7 April lalu.



Elizabeth Wong Setuju Kekal Exco dan ADUN

Akirnya, Ketua Penerangan Wanita PKR, Elizabeth Wong bersetuju untuk menerima tawaran kerajaan negeri Selangor agar kekal sebagai Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan.

"Ini adalah satu keputusan yang berat dalam hidup saya, saya menerima tawaran yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk kekalkan jawatan saya," katanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan kira-kira pukul 5 petang tadi iaitu empat jam selepas tawaran diberikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Elizabeth berkata:

"Hasrat saya mahu berkhidmat kepada pengundi-pengundi saya dan negeri (Selangor) sebaik yang mungkin dan dengan bantuan dan kerjasama orang ramai, untuk menjadikan negeri ini, negara ini tempat terbaik bagi semua.

"Perjuangan berterusan dan tugas kita baru sahaja bermula," kata beliau dalam kenyataan satu halaman itu. Terdahulu pada sidang media Khalid berkata, keputusan supaya Wong meneruskan khidmatnya itu dibuat dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

Ketika ditanya sama ada Wong, 37, yang sebelum ini bertegas mahu meletak semua jawatannya, telah memberikan jawapan sama ada akan kembali bertugas, Abdul Khalid berkata : "Anda kenalah datang esok."

Katanya, jika Wong menolak tawaran untuk meneruskan tugasnya, beliau perlu meletakkan jawatannya seperti yang dinyatakan dalam suratnya dahulu.

"Kerajaan negeri tidak akan memberikannya pilihan seperti melepaskan jawatan exco tetapi mengekalkan jawatan ADUN Bukit Lanjan," kata Khalid.

Pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas, Wong yang juga Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat, mengalahkan calon Barisan Nasional Datin Paduka Yong Dai Ying dengan majoriti 5,155 undi.

- mstar

Elizabeth Wong Ditawar-semula Exco, Kekal ADUN

Mesyuarat Exco Selangor hari ini memutuskan menawarkan semula jawatan Exco kepada Elizabeth Wong dengan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan kekal.

Mengumumkan demikian, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sekiranya Elizabeth setuju dengan tawaran itu, ia berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, Sultan Selangor juga sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu hari ini.

Jika beliau bersetuju menerima keputusan itu yang dibuat oleh Majlis Kerajaan Negeri hari ini, Wong perlu menyambung semula khidmat mulai esok.

Pembantu Wong ketika dihubungi memaklumkan bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataannya lewat petang ini.

Perkembangan terbaru ini diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di sini sebentar tadi.

Ketika ditanya sama ada keputusan itu seolah-olah memperlihatkan kerajaan Selangor membelakangkan isu moral, Khalid memberitahu, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memandang serius isu moral dan sentiasa memastikan pimpinan negeri menjunjung prinsip ini.

"Oleh itu jika ada sebarang bukti yang kukuh, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Namun demikian pendirian ini juga harus diimbangi dengan prinsip menghormati hak peribadi seseorang dan kerajaan negeri amat serius mempertahankan hak ini," katanya.

Menteri Besar memaklumkan bahawa keputusan tersebut juga telah dimaklumkan kepada Sultan Selangor pagi tadi.

Khalid yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kerajaan negeri berpendapat keputusan ini adalah wajar setelah mengambil kira pandangan semua pihak, kepentingan rakyat serta siasatan polis sehingga kini gagal membuat sebarang keputusan muktamad.

Wong merupakan Ketua Penerangan Wanita PKR.

Keputusan itu diumumkan pada penghujung cuti dua bulan yang diberikan kepada Wong ekoran isu tersebut.

Pada Februari lalu, Wong mengemukakan surat tawaran untuk meletakkan jawatan Exco dan ADUN berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun Khalid meminta beliau mengambil cuti dan memikirkan semula keputusannya.

Ditanya sama ada keputusan itu adalah pendirian PKR, beliau menafikan andaian tersebut.

Jelasnya, itu adalah keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri setelah dibincangkan oleh Exco yang mewakili semua parti dalam Pakatan.

Berbanding dengan kes Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Fairus Kamaruddin yang telah meletakkan jawatan 8 April lalu, Khalid memberitahu, Wong juga membuat langkah yang sama dengan menulis surat tawar meletakkan jawatan.

Namun, katanya, penelitian kerajaan negeri bahawa apa yang berlaku ialah beliau adalah mangsa keadaan dan oleh itu "ditawarkan semula ke jawatannya."

KENYATAAN MEDIA MENTERI BESAR SELANGOR

SHAH ALAM: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) hari ini telah membuat keputusan untuk menawarkan YB Elizabeth Wong agar kembali meneruskan tugas beliau sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan.

Justeru itu, jika YB Elizabeth menerima keputusan ini, beliau akan diminta kembali dari cuti untuk meneruskan perkhidmatan beliau kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Selangor mulai esok.

Kerajaan Negeri juga berpendapat keputusan ini adalah wajar dan adil setelah mengambil kira pandangan semua pihak, kepentingan rakyat serta perkembangan mutakhir siasatan polis yang sehingga kini gagal membuat sebarang keputusan muktamad.

DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah diberi taklimat tentang keputusan ini. Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Negeri Selangor, saya menjujung kasih ke atas pendirian Tuanku untuk tidak mencampuri urusan politik serta memberi kepercayaan penuh kepada Kerajaan Negeri bagi membuat keputusan yang adil dan terbaik.

Perlu ditekankan di sini Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor memandang serius isu moral dan akan senantiasa memastikan pimpinan Negeri menjunjung prinsip ini. Oleh itu, jika ada sebarang bukti yang kukuh, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya. Namun demikian, pendirian ini juga harus diimbangi dengan prinsip menghormati hak peribadi seseorang dan Kerajaan Negeri amat serius mempertahankan hak ini.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR




UMNO Terengganu : Perancangan Idris Untuk Rebut RM650 juta Gagal

Perancangan Geng 10 untuk membawa usul tidak percaya kepada Menteri Besar Terengganu gagal apabila kesemua mereka yang memboikot persidangan DUN kembali ke dewan hari ini setelah diarahkan Najib berbuat demikian semalam.

Tujuan utama undi tidak percaya itu dikemukakan dipercayai mereka mendapat tahu kerajaan negeri menerima sebanyak RM650 juta kelmarin daripada jumlah keseluruhan yang sepatutnya diterima iaitu sebanyak RM1.394 billion sepanjang tempoh September 2008 hingga Mac 2009.

Justeru itu mereka merasakan bahawa Idris Jusoh yang layak menjadi Menteri Besar menggantikan Ahmad Said supaya "mudah" wang itu untuk diagihkan kerana Idris berpengalaman menguruskan dana sebanyak itu sebelum ini.

Sementara itu sepuluh ADUN Barisan Nasional (BN) yang memulaukan sidang DUN semalam menyifatkan apa yang berlaku semalam sebagai "puncak krisis politik" melanda negeri itu.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, mereka telah mengharungi siri masalah sejak Datuk Ahmad Said mengetuai kerajaan negeri sebagai Menteri Besar bermula Mac 2008.

"Ini adalah puncak kepada banyak masalah (sejak Mac 2008)," kata beliau.

Jelas beliau, walaupun pihaknya merupakan ADUN tetapi telah diperlekeh banyak kali sepanjang kepimpinan Ahmad sebagai Menteri Besar.

Alasan Rosol sehingga kini mereka tidak pernah diajak mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar mengenai isu-isu semasa termasuk soal pembangunan.

"Dulu ketika era, Idris selaku Menteri Besar, beliau akan menemui setiap wakil rakyat sekali dalam sebulan... tetapi tidak di bawah Ahmad.

"Sehingga kini (sejak 2008), kami sekali pun tidak dapat berjumpa dengan Menteri Besar," katanya.

Pendedahan Rosol berkenaan menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan wujudnya undi tidak percaya terhadap MB Terengganu ditimbulkan bagi mewujudkan kekeliruan di kalangan anggota BN terhadap Datuk Ahmad Said.

UMNO ONLINE menuduh kononnya ada pihak lain yang cuba wujudkan konflik di Terengganu.

Yang jelas ialah perebutan wang royalti minyak yang kini tidak dapat dikuasai oleh kumpulan Idris Jusoh tetapi telah di pegang oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Ahmad Said.

Menurut Ahmad Said, kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan lebihan wang tersebut melalui perundingan sambil menjelaskan perkembangan terkini melibatkan perjanjian penarikbalikan kes mahkamah masih belum mencapai kata putus.

Selain itu, dalam soalan lisan semalam, wakil Wakaf Mempelam (Pas), Mohd Abdul Wahid Endut turut mempertikai jumlah yang hanya diperoleh kerajaan Terengganu ketika ini hanya RM6.27 bilion daripada jumlah sebenar yang sepatutnya diperoleh.

Menjawab soalan tersebut, Ahmad berkata, kerajaan negeri sedang melakukan rundingan proses kedua dan akan meneruskan hingga proses ketiga untuk mencapai kata putus berhubung jumlah sepatutnya diterima setelah mengambil kira perbelanjaan yang digunakan oleh negeri Terengganu.

Wataniah: UMNO BN Bakal Mempunyai 600 Ribu Pengundi Tambahan

Di blog ini kami telah mendedahkan taktik dan perancangan jahat UMNO/BN untuk mengekalkan kuasa menghadapi pilihanraya akan datang melalui menubuhkan satu batalion Tentera Wataniah di kesemua 222 kawasan Parlimen dalam usaha memantapkan sistem pertahanan bagi seluruh negara

Kami menyatakan: "Mengimbas kembali pilihanraya 1999 Najib hanya menang dengan majoriti 242 undi. Itu pun selepas dibawa masuk tambahan 2,400 undi dalam bentuk undi pos. Apabila konstituensi itu diubah semula, satu kem pasukan tentera darat dan tentera udara telah diselitkan daripada kawasan Mentakab dan Kuantan, sekali gus menokok 4,000 undi dalam lingkungan kawasan pilihan raya Pekan. Pada luaran sahaja Dato Najib pasti mampu menang mudah di sana. Kemenangan Najib bagi tahun 2004 jauh lebih besar."

Hal tersebut amat jelas satu konspirasi yang telah lama diketahui tetapi rakyat tidak mampu mendedahkannya lantaran Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah lama menjadi sebuah badan yang diperkosa oleh UMNO/BN.

Penggunaan askar wataniah sebagai taktik untuk menambahkan undi pos yang berpihak kepada UMNO/BN nanti akan lebih difahami apabila kita melakukan penelitian yang mendalam terhadap konspirasi tersebut.

Sebagai contoh, persoalan samada seorang askar Wataniah itu hanya dibenarkan mengundi sekali.

Gambar di bawah ialah screen shot (imbasan skrin komputer) daftar pemilih untuk Dewan Undangan Negeri N39 Kota Damansara, Selangor, bertarikh Jun 2005. Perhatikan bahawa kesemua 31 nama yang tersenarai mempunyai dua kad pengenalan – satu kad pengenalan awam dan satu kad pengenalan tentera (nombor berpangkal ‘T’ di hujung nama). Dalam kes ini semua penama berdaftar untuk mengundi di ‘Unit Peti Undi (UPU)’ Kem Sungai Buloh.



Diberi pemilih mempunyai dua kad pengenalan, persoalan cepumasnya ialah, beranikah SPR menjamin bahawa pemilih hanya dibenarkan mengundi sekali sahaja dan tidak dibolehkan mengundi dua kali. Yakni, mengundi di UPU X dengan kad pengenalan tentera, dan sekali lagi di UPU Z dengan kad pengenalan awam, sedangkan SPR sendiri yang telribat mengatur dan merencanakan konspirasi itu?



ONE MALAYSIA : Nizar Mendahului Najib

One Malaysia - demikian wawasan baru dari Prime (Crime?) Minister baru Malaysia, Najib Tun Razak.

"Saya adalah pemimpin dan Perdana Menteri untuk semua komuniti. Dengan kepercayaan dan hormat menghormati sesama kita, Malaysia akan lebih kukuh dan makmur untuk menghadapi cabaran abad ke-21," kata Najib.

"Jangan pula ada yang melihat perbezaan warna kulit atau dari komuniti mana asalnya seseorang itu ketika mahu menghulurkan bantuan, sebaliknya pertolongan perlu diberi kepada sesiapa saja yang memerlukannya," katanya lagi pada majlis sambutan Hari Vaisakhi di Kuil Tatt Khalsa Diwan, Jalan Raja Alang, Chow Kit di sini, semalam.

Maka tersiarlah gambar beliau yang masih bertali leher dan bersongkok dikelilingi kaum wanita Sikh mencuba bakat memasak capati pada majlis sambutan Hari Vaisakhi - tetapi dengan gelagat nampak kekok dan kurang meyakinkan.




Saya macam pernah tengok gelagat ini, tapi siapa dan dimana? Di Bukit Gantang rupa-rupanya, calon Pakatan Rakyat Datuk Seri Nizar Jamaluddin dengan aksi yang lebih natural dan bersahaja.




Rupa-rupanya, penterjemahan kepada realiti konsep ONE MALAYSIA Nizar mendahuluinya.






MUHASABAH: Penyakit BN Hinggapi Pakatan Rakyat

Najib Razak telah ditabalkan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-enam. Khairy Jamaluddin pula telah berjaya menduduki kerusi Ketua Pemuda UMNO. Muhyiddin Yassin pula nampaknya telah berjaya pula meletakkan dirinya pada kedudukan “kerusi beracun” Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Pakatan Rakyat (PR) pula telah berjaya memenangi hati pengundi pada pilihanraya kecil dua bukit (Bukit Selambau dan Bukit Gantang). Barisan Nasional (BN) pula cuma dapat menang dikawasan yang sememangnya kubu kuat mereka iaitu di Batang Ai.

Persoalannya sekarang ini, rata-rata maklumat yang saya terima dari rakyat marhaen adalah;

1. Sikap sesetengah pimpinan parti (PR dan BN) yang terlebih lagak sehinggakan susah untuk dilihat hampir dengan rakyat.
2. Sikap sesetengah pimpinan parti (PR dan BN) yang cuma mengambil berat itu masyarakat hanya sewaktu musim pilihanraya
3. Sikap besar kepala pimpinan parti (PR dan BN) yang semakin menonjol, walaupun telah dinasihatkan beberapa kali.
4. Sikap bermuka-muka pimpinan parti (PR dan BN) yang dilihat tidak konsisten dengan perjuangan parti.


Kepimpinan Barisan Nasional sememangnya terkenal dengan sikap pekak dan buta terhadap masalah yang menimpa rakyat marhaen walaupun BN telah berkuasa lebih dari 50 tahun. Sikap ini tidak dapat dihakis sama sekali kerana mereka (pimpinan BN) merasakan bahawa mereka adalah sama taraf atau lebih berbanding dengan Sultan atau Raja. Sebab itulah mereka terkenal membelakangkan aspirasi rakyat marhaen apabila mereka berada dipuncak kuasa. Tidak pelik sekiranya anda boleh melihat ramai pimpinan BN yang bersikap sedemikian.

Kini penyakit yang sama juga telah merebak dan menjangkiti ramai dikalangan pimpinan parti (Pakatan Rakyat) sehinggakan ianya boleh dilihat dengan ketara selepas kemenangan besar pada Pilihanraya Umum Ke 12 yang lalu. Penyakit kronik ini pada awalnya menjangkiti Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini telah merebak dengan teruknya kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS). Walaupun begitu penyakit ini nampaknya kurang berjaya menjangkiti pimpinan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Ketika penyakit besar kepala ini menghinggapi pimpinan Parti Keadilan Rakyat, kita semua masih tidak ambil kisah perkara ini kerana pada anggapan umumnya, pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sememangnya tidak pernah dapat membuang imej UMNO/BN yang telah lama mereka sarungkan, sebelum mereka menyertai PKR. Tapi bila penyakit besar kepala ini berlaku didalam Parti Islam SeMalaysia (PAS), maka ramailah rakyat marhaen yang agak terkejut dan musykil termasuklah saya sendiri.

Saya dapati beberapa pimpinan utama dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah teruk dijangkiti oleh penyakit besar kepala ini sehinggakan semua keputusan yang dibuat oleh mereka ini langsung tidak boleh dipertikaikan. Malah pimpinan ini nampaknya telah menjauhkan diri mereka daripada rakyat marhen dan amat suka dianggap sebagai orang besar (tidak berusaha untuk menunjukkan imej merendah diri).

Malah orang-orang yang dahulunya masuk menyertai Parti Islam SeMalaysia (PAS) seawal 1999 telah menunjukkan taring mereka yang selama ini disimpan dengan baik. Kemasukan mereka kedalam PAS tidak dapat ditentukan dasarnya, namun setelah mendapat kuasa dan sebagainya mereka nampaknya menjadi lupa diri dan berasa besar kepala.

Jika ianya berterusan, tidak mustahil rakyat marhaen akan mengambil tindakan drastik untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat tidak lama lagi. Kepada ahli mana-mana parti didalam Pakatan Rakyat, saya nasihatkan anda supaya mencantas “dedalu” dan “kanser” ini sebelum ianya merebak dan seterusnya akan menyebabkan kemudaratan yang lebih besar. Pimpinan yang berpenyakit ini perlulah disingkirkan demi untuk kelangsungan Pakatan Rakyat.

Akhir kata, sekalung tahniah kepada Ir Nizar kerana berjaya di Bukit Gantang. Peringatan dari saya ialah supaya Ir Nizar tidak besar kepala. Jika anda besar kepala, pastinya saya akan menentang anda sehabis mungkin.

Ingat, Rakyat Adalah Hakim.

Ketua Perusuh

UMNO masih dalam sindrom menafikan

Ketika berucap, pemimpin-pemimpin Umno mengelak daripada menggunakan istilah Pakatan Rakyat, maka ternyata mereka masih berada dalam 'denial syndrome' atau sindrom menafikan bahawa mereka sedang ditolak rakyat. Sebab itulah dalam ucapan-ucapan pemimpin Umno dan disiarkan dalam akhbar-akhbar kawalan mereka, istilah Pakatan Rakyat dilarang daripada digunakan.

Sebaliknya mereka menggunakan istilah pakatan pembangkang. Sekurang-kurangnya mereka terima juga istilah pakatan yang menjadikannya suatu identiti untuk berbeza daripada Barisan Nasional (BN). Tetapi mereka memang enggan menggunakan istilah rakyat bagi menyebut pihak pakatan itu.

Perkara pertama, istilah pakatan pembangkang itu tidak tepat. Ia seolah-olah orang menyebut BN sebagai barisan kerajaan. Ini kerana BN tidak menguasai semua kerajaan negeri. Mereka tidak menguasai lima negeri. Di lima negeri itu, Pakatan Rakyat yang menjadi kerajaan. Maka istilah pakatan pembangkang adalah tidak tepat.

Tetapi hujah mereka adalah Pakatan Rakyat tidak didaftar tidak seperti BN, dan tidak mempunyai satu simbol. Apabila dikemukakan hujah itu, maka pemikiran BN itu cuba dilayankan terhadap Pakatan Rakyat, yang sebenarnya tidak tepat dan mengelirukan. Pakatan Rakyat sememangnya berbeza banyak segi daripada BN.

Hujah BN ini sebenarnya bertujuan melemahkan dan memecah-belahkan Pakatan Rakyat. Ini kerana mereka sebenarnya mencabar Pakatan Rakyat supaya mendaftar. Tetapi andai kata Pakatan Rakyat cuba mendaftar, pastinya akan ditolak atas pelbagai alasan.

Pada suatu masa dahulu, ada usaha untuk mendaftarkan Barisan Alternatif (BA) yang terdiri daripada PAS, DAP, KeADILan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Tetapi usaha ini gagal kerana pihak pendaftar pertubuhan menetapkan bahawa gabungan hendaklah lebih daripada suatu angka yang ditetapkan. Peraturan ini baru dan angka yang boleh dianggap sebagai satu gabungan boleh berubah mengikut kehendak mereka. Jadi BN boleh didaftar kerana bilangan parti di dalamnya adalah sekian dan sekian. Sementara parti di luar BN tidak boleh berbuat demikian kerana angkanya tidak mencukupi.

Maka segala usaha akan dibuat bagi menghalang Pakatan Rakyat didaftar. Maka kemudian akan dinyatakan bahawa Pakatan Rakyat gagal bersatu menubuhkan satu gabungan. Sedangkan dalam sejarah, Perikatan sendiri terdiri daripada hanya tiga parti iaitu Umno, MCA dan MIC. Boleh pula diluluskan. Begitu juga Front Sosialis yang merupakan gabungan Parti Buruh Malaya, Parti Rakyat Malaya dan Parti Konvensyen Malaya boleh pula ditubuhkan.

Andai kata Pakatan Rakyat benar-benar mahu didaftarkan, maka syarat bilangan parti itu boleh diperoleh. Ajaklah parti-parti kecil lain untuk menyertai Pakatan Rakyat, di Semenanjung Malaysia pun sudah banyak, apatah lagi bila dicampurkan dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Di Semenanjung, selain daripada PAS, KeADILan dan DAP, ajaklah parti-parti kecil yang menjadi sekutu Pakatan Rakyat seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Demokratik Malaysia (MDP), PRM yang dihidupkan semula, Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Hizbul Muslimin (Hamim). Sudah lapan parti, maka ia boleh melepasi syarat yang mungkin dikenakan oleh pihak pendaftar.

Simbol tangan dilarang

Tetapi andai kata Pakatan Rakyat hendak didaftarkan dengan bilangan parti yang mencukupi, adakah pihak pendaftar akan menerimanya? Ini bergantung pada menteri dalam negeri. Lihatlah betapa susahnya PSM hendak mendaftar. Setelah diluluskan pendaftarannya pula, ia menghadapi masalah simbol. Tangannya dilarang digunakan. Demokrasi apa? Itu tidak boleh, ini tidak boleh. Genggaman tangan pun tidak boleh.

Bagaimanapun, sememangnya dalam sejarahnya, pendaftar pernah mengganggu penggunaan simbol. PAS sendiri mengalaminya. Dahulu lambangnya adalah bulan sabit dan bintang. Ia menggunakan lambang itu dalam banyak pilihan raya.

Tetapi kemudian ia dilarang menggunakan simbol itu kerana simbol itu dianggap simbol agama Islam. Sedangkan hakikatnya apa salahnya? PAS sememangnya mempunyai dasar memperjuangkan Islam. Kalau Umno berasa mereka memperjuangkan Islam, maka tidak sejak tahun 1946 ketika penubuhannya, ia menggunakan simbol Islami. Ini tidak, mereka menggunakan simbol keris dan tali melingkar entah apa-apa maknanya.

Tetapi apabila PAS menggunakan simbol yang serupa dengan Islam, ia pula dipertikaikan. Maka PAS menggunakan simbol bulan purnama yang ada sekarang. Bukannya simbol yang boleh membawa kemenangan kepada PAS. Dengan simbol bulan sabit dan bintang, PAS hanya berupaya menawan Kelantan dan Terengganu pada tahun 1959.

Tetapi dengan simbol bulan purnama, ia berjaya bukan saja menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi menubuhkan kerajaan campuran di Perak dan Selangor. Tetapi dalam hal ini banyak pihak yang tidak memahami konsep pakatan dengan barisan.

Pakatan itu bermaksud muafakat di mana anggotanya adalah sama taraf dan pelaksanaan tindakan politik adalah berdasarkan pegangan atas asas-asas yang boleh dipersetujui. Soal ideologi yang berbeza tidak digabungkan tetapi menjadi identiti parti masing-masing. PAS, DAP dan Keadilan menghormati ideologi masing-masing dan tiada paksaan ke atas satu sama lain.

Sedangkan barisan pula dikuasai dan didominasi oleh sebuah parti utama di mana yang lain terpaksa menuruti, walaupun boleh bersuara tetapi tidak boleh berunding di atas kedudukan yang serupa. Begitulah BN yang didominasi dan dikuasai oleh Umno. Sedangkan pada asalnya kerajaan campuran Perikatan-PAS dan Perikatan-Gerakan adalah merupakan pakatan. Tetapi setelah berkuasa pada tahun 1974 ia dikuasai penuh oleh Umno. Malah PAS sendiri tidak boleh menentukan calon menteri besar negeri yang ia miliki majoriti. Akibatnya PAS keluar barisan.

Asal usul konsep barisan dalam politik adalah datangnya daripada strategi pihak komunis pada masa Perang Dunia Kedua. Maka Stalin menubuhkan barisan bersatu dengan parti-parti bukan komunis untuk menghalang pihak fasis. Tetapi dalam realiti yang menguasainya ialah parti komunis dan apabila sudah menang, parti lain dipinggirkan dan hanya tinggal nama. Ini berlaku di banyak negara yang menjadi komunis seperti di Korea Utara, Eropah Timur, malah di Rusia dan China sendiri.

Maka pada tahun 60-an, konsep barisan ini turut digunakan oleh Parti Buruh dan Parti Rakyat dalam Front Sosialis. Tetapi barisan ini gagal kerana ada pihak yang mahu mendominasi barisan itu. Isunya adalah soal bahasa kebangsaan. Maka barisan ini pun tumbang.

Ini berbeza sendiri dengan Perikatan yang di dalamnya adalah Umno. Pada asalnya, ia merupakan perikatan yang agak hampir dengan Pakatan. Malah istilah "Alliance" dalam bahasa Inggeris digunakan untuk Pakatan dan Perikatan. Tetapi sebenarnya kedua-duanya membawa makna berbeza. Ikatan dan pakatan membawa huraian berbeza.

Tetapi apabila BN ditubuhkan, konsep Perikatan sudah hilang kerana dalam Barisan, terdapat parti yang menjadi ketua dan dominasi iaitu Umno. Apabila sudah faham mengenai gagasan ini, maka sudah tentu Pakatan Rakyat mempunyai konsep yang lebih baik daripada Barisan. Walaupun buat masa ini, Anwar Ibrahim dianggap sebagai ketua Pakatan Rakyat, tetapi ia lebih sebagai penyatu dan jurucakap, tetapi bukannya menguasai Pakatan Rakyat keseluruhannya.

Kuasa pada pakatan datangnya daripada rakyat. Pakatan membezakan antara parti, kerajaan dan rakyat dan berperanan menurut kedudukan masing-masing yang sah. Sedangkan Umno pula keliru, ia menyamakan Umno dengan BN, dan parti dengan kerajaan. Sebab itulah projek kerajaan pun dinamakan projek kerajaan Barisan Nasional. Sedangkan ia adalah projek rakyat yang diuruskan oleh kerajaan bagi pihak rakyat.

Abu Firdaus

PASCA BUKIT GANTANG : Penduduk Kesal Imam Masjid Simpang Dipecat

Jemaah Masjid Ikhwaniah, Simpang tidak berpuas hati apabila salah seorang daripada imam yang bertugas Jumaat lepas di masjid berkenaan telah dilucutkan jawatan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Pak su berkata, pelucutan jawatan imam berkenaan dibuat secara lisan.

“Apabila ditanya mengenai perkara tersebut imam berkenaan memberitahu dia menerima maklumat itu daripada Pengerusi Masjid yang mendapat arahan daripada pihak lain.

"Kita mesti menghormati dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan, jika kita tidak suka, kita tidak boleh tolak begitu sahaja," katanya.

Sementara itu, Seorang Pegawai Masjid, Ahmad Din berkata, pada hari kejadian, dia mendapat panggilan telefon daripada seorang rakan bahawa Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin akan datang ke masjid berkenaan untuk berjemaah.

Menurutnya, dia yang mengambil saf hadapan terlihat Nizar lalu menjemputnya ke saf hadapan sambil mempelawa beliau menjadi imam.

“Saya menjemputnya ke saf hadapan sebagai tanda menghormati beliau sebagai ketua dan jika hendak diikutkan hukum Fiqah, pemerintah atau pemimpin layak menjadi imam. Kedua, orang yang dilantik iaitu imam,” katanya.

Seorang lagi Pegawai Masjid, Harun Mat Piah berkata, pada hari yang sama dia juga berkhidmat seperti biasa, melalukan iqamat selepas khatib membaca khutbah.

Bagaimanapun, sebaik terlihat kehadiran Nizar, dia menyerahkan mikrofon untuk mengimamkan solat berkenaan.

"Sebaik selesai solat Jumaat, ada kalangan jemaah yang bertanya siapa yang menjadi imam.

“Di sini tidak timbul siapa yang menjadi imam, yang penting orang itu boleh mengimamkan jemaah, pihak masjid mengalu-alukan. Tidak kira sama ada orang itu pemimpin atau orang biasa,” katanya.

Menurutnya, meskipun imam berkenaan tidak menjalankan tugasnya pada hari berkenaan, jemaah masih mahu imam terbabit meneruskan khidmatnya dan pelucutan jawatan itu perlu ditarik balik.

"Dalam negara yang demokrasi ini, kita bebas untuk memilih sesiapa untuk menjadi pemimpin," katanya.

Sementara itu, jurucakap Majlis Agama Islam Taiping (MAIT) yang dihubungi Sinar Harian berkata, pihak Majlis tidak mempunyai kuasa di atas masjid berkenaan kerana tidak diwartakan sebagai tanah wakaf Majlis tetapi diwakafkan atas nama Tan Sri Bashir.

Bagaimanapun katanya, bagi masjid yang diwartakan di bawah Majlis, soal pelucutan jawatan imam tidak timbul jika tiada sebarang laporan lengkap bertulis dibuat.

- sinarharian