3 Okt 2011

Najib & Rosmah Saksi Penting, Saiful Menemui Mereka Sebelum Buat Aduan Diliwat

Karpal: Keterangan Najib, isterinya sangat penting

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Keterangan Datuk Seri Najib Razak dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sangat penting kerana ia akan membantu mengenal pasti keadaan mental pengadu, kata peguam utama Ketua Pembangkang, Karpal Singh.

Karpal berhujah bahawa Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan pada sebelah malam 24 Julai 2008 sebelum pengadu mendakwa Anwar telah meliwatnya.

Kata Karpal, keterangan Perdana Menteri tentang apa yang berlaku ketika pertemuan itu akan membantu mahkamah dalam perbicaraan ini.

Peguam berkata afidavit Najib ada menyebut bahawa Perdana Menteri telah menasihati Saiful agar membuat laporan polis selepas dia mendakwa pada 24 Julai bahawa Anwar telah meliwatnya.

“Adalah perlu untuk memperoleh keterangan daripada Perdana Menteri berkenanan keadaan fikiran SP1 (Saiful) dan sama ada dia takut atau sama ada Perdana Menteri kemungkinan mengharapkan SP1 akan mematuhi nasihat beliau,” kata Karpal.

“Sudah pasti, seseorang akan mematuhi nasihat personaliti tidak kira pangkat, terutama seorang timbalan perdana menteri (ketika itu), yang nasihatnya diperoleh,” katanya.

Tetapi peguam-peguam Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor berhujah bahawa keterangan kedua-dua mereka tidak relevan dalam kes Anwar.

Datuk Hisyam Teh, peguam mewakili Najib dan Rosmah berkata, Ketua Pembangkang telah gagal menyediakan bukti bahawa keterangan kedua-dua mereka adalah penting. -TMI

Peguam: Najib, Rosmah bukan saksi relevan dalam kes liwat Anwar

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Datuk Seri Najib Razak dan isterinya bukan saksi relevan dan tidak dapat menyediakan keterangan penting dalam keterangan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata peguam-peguam mereka hari ini.

Datuk Hisham Teh, salah seorang peguam yang mewakili Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor (gambar) berkata ketua pembangkang itu telah gagal menyediakan bukti kukuh bahawa mereka adalah saksi yang relevan.

Peguam itu berkata permohonan Anwar untuk memaksa Najib dan Rosmah untuk memberi keterangan hanya bertujuan “memancing” maklumat daripada mereka.

“Saya tidak boleh memberi keterangan yang relevan tentang apa yang dibawa oleh responden pertama (Anwar),” kata Hisham yang membacakan kandungan afidavit Najib.

Afidavit Rosmah juga mempunyai penjelasan yang sama.

“Bagaimanapun kami ingin berhujah bahawa pertemuan pada 24 Jun tiada neksus, tiada kaitan dengan insiden 26 Jun 2008.

“Responden pertama mahukan Perdana Menteri memberi penjelasan. Penjelasan, pengesahan mengenai apa yang berlaku pada 24 Jun tiada kaitan dengan tingkah laku utama... insiden pada 26 Jun, bukan sehari awal ataupun selepas itu,” kata Hisham.

Oleh itu kata beliau, mereka tidak ada hak perundangan untuk memanggil mana-mana orang yang tiada kaitan dan tiada relevan dengan tuduhan.



Ong Tee Keat Rela Potretnya Diturunkan Drp Digantung Bersebelahan Soi Lek

Bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau tidak kisah jika potretnya diturunkan daripada ibu pejabat parti itu di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

Ini kerana katanya, beliau juga tidak mahu potretnya digantung bersebelahan “orang yang korup dari segi moral.”

Adalah menjadi tradisi MCA untuk meletakkan potret presiden di ibu pejabat parti itu.

Justeru, menurut Ong, legasi beliau terhadap parti Cina itu juga bukan bagi presiden MCA sekarang, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk memutuskannya.

"Beliau mempunyai kuasa untuk mengeluarkan potret saya dari ibu pejabat MCA jika mahu berbuat demikian. Lagipun, tidak apa yang seronoknya bagi potret seseorang (digantung) bersebelahan dengan orang yang korup dari segi moral,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Ong mengulas serangan lisan yang dibuat oleh Chua terhadapnya semasa perhimpunan agung parti itu semalam. Chua menyifatkan Ong sebagai "nota kaki" dalam sejarah MCA.

Ong juga mengulas kenyataan Chua mendesaknya meletak jawatan jika dia tidak lagi percaya atau menaruh ketyakinan terhadap parti itu.

"Benar, saya telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau tetapi ini sama sekali disalah fahamkan sebagai hilang kepercayaan terhadap parti saya pilih untuk menyertai pada tahun 1981."

Mengenai desakan supaya beliau meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Pandan, Ong berkata mandatnya itu diberikan oleh pengundi pada pilihan raya umum Mac 2008 dan bukannya datang daripada Chua.

"Adalah menjadi kewajipan saya untuk mengingatkan beliau bahawa tidak ada seorangpun presiden sebelum ini yang secara terbuka mengarahkan seseorang ahli meninggalkan parti itu semata-mata kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan seseorang kerana MCA bukan harta persendirian presiden.

"Begitu juga, parti tidak harus ditadbir sebagai sebuah pertubuhan mafia semata-mata mengikut kehendak penerajunya, jika beliau benar-benar menghormati demokrasi." -mk

Sekali lagi, Nong Chik Cuba Menipu Penduduk Kg.Baru

RUU Kg Baru: Kata tarik balik, kenapa bentang baru

KUALA LUMPUR, 3 Okt: PAS kesal dengan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg. Baru (RUU PPKB) yang baru tanpa sebarang perbincangan dengan wakil penduduk kampung terlebih dahulu.

Raja Nong Chik di Dewan Rakyat pagi tadi mengumumkan penarikan balik RUU PPKB yang lama namun membentangkan RUU PPKB yang baru.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, meskipun pihaknya menyambut baik penarikan RUU PPKB yang lama itu, namun tetap kecewa dengan pembentangan RUU PPKB baru yang disifatkan sebagai membelakangkan pandangan penduduk Kg. Baru.

"Walaupun Rang Undang-Undang yang lama ini dimansuhkan pagi tadi tapi tetap menggambarkan sikap kerajaan yang tak mengambil kira pandangan penduduk apabila membentangkan Rang Undang-Undang baru.

"Tak sewajarnya Rang Undang-Undang ini dimasukkan tanpa menteri memanggil sekretariat bagi mendraf Rang Undang-Undang ini," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Justeru Salahuddin berkata, PAS akan mengambil masa paling singkat seminggu untuk meneliti RUU tersebut dan merujuk kepada panel peguam yang menguruskan Kg. Bharu sebelum menyatakan sebarang pandangan.

"Kami belum ada masa untuk meneliti Rang Undang-Undang ini kerana baru dibentangkan tadi.

"Kami melalui panel dan sekretariat akan meneliti Rang Undang-Undang baru ini dan akan kami ulas kemudian.

"Kami memerlukan masa mungkin seminggu untuk rujuk kepada panel peguam Kg Baru," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mahu wakil penduduk Kg. Baru khususnya Lembaga Pentadbiran Kg Bharu dipanggil untuk membincangkan RUU yang baru itu.

"Kerajaan seharusnya sebelum membentangkan Rang Undang-Undang ini,seharusnya ia dirujuk kepada penduduk Kg Baru sebab ia khusus kepada penduduk Kg Bharu

"Kalau terus bentang di Parlimen yang akan bahas bukan orang Kg Bharu, mesti tak dapat gambaran sebenar.

Buktikan 90 peratus setuju RUU PPKB

Salahuddin dalam pada itu sekali lagi mencabar Raja Nong Chik membuktikan dakwaannya bahawa 90 peratus penduduk Kg Bharu bersetuju dengan RUU PPKB.

"Kita cabar menteri dedahkan referendum yang diedar kepada penduduk itu dan betulkah 90 peratus setuju.

"Kalau betul 90 peratus setuju kenapa Rang Undang-Undang ditarik balik? Banyak perkara yang disembunyikan dalam Rang Undang-Undang ini," katanya.

Raja Nong Chik dalam kenyataannya minggu lalu berkata sebanyak 90 peratus penduduk Kg Bharu bersetuju dengan RUU PPKB dan akan meneruskan bacaan kali ke-2.

Namun pagi tadi beliau mengumumkan RUU tersebut ditarik balik kerana mengambil kira pandangan penduduk. -HD






MCA Lalui Zaman Gelap, Bakal Hilang Dari Peta Politik Negara

Peranan kaum Cina kepada pembangunan dan kestabilan politik negara sangat besar dan sesiapa pun tidak boleh menafikannya.

Sejak sekian lama, sejak sebelum merdeka lagi, MCA menjadi tunjang kepada pergerakan dan penyatuan masyarakat Cina dalam pembangunan negara bersama Umno dan MIC.

MCA dan komponen Barisan Nasional (BN) atau lebih awal yang dipanggil Perikatan sama-sama menuntut kemerdekaan daripada penjajah British dan kemudiannya memakmurkan negara seperti yang ada hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA di Kuala Lumpur semalam dengan tegas memperakui bahawa MCA merupakan komponen penting kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) ini.

“Apa makna kepada BN jika MCA berpecah belah,” kata pengerusi BN yang membawa maksud bahawa MCA mesti sentiasa bersatu padu dan kuat sepanjang masa.

Peringatan Presiden Umno itu berkait rapat dengan kekalahan besar MCA dalam PRU 2008; ia kekalahan terbesar MCA dalam sejarah politik negara.

PRU 13 yang dijangka tahun depan akan menjadi penentu kepada MCA, seperti kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Masa depan parti itu ditentukan oleh ahli parti sendiri.

Saat sukar

Tetapi MCA hari ini bukan lagi seperti MCA 10 atau 20 tahun lalu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan MCA sedang menghadapi saat-saat sukar untuk mengembalikan kepercayaan pengundi Cina.

Ugutan jika MCA kalah teruk dalam PRU 13 bahawa parti tidak akan menerima jawatan menteri kabinet menggambarkan bahawa parti itu sangat terdesak untuk memenangi semula kerusinya.

Umum mengetahui bahawa MCA dicabar hebat DAP sejak sekian lama. Keputusan PRU 2008 menunjukkan MCA sudah hampir tidak relevan lagi kepada orang Cina.

Walaupun sudah tiga tahun PRU 2008 berlalu belum nampak tanda-tanda MCA pulih sepenuhnya. Kepimpinan Dr Chua, bekas menteri kesihatan yang menewaskan Datuk Ong Tee Keat dalam pemilihan parti tahun lalu seperti masih tidak diendahkan oleh ahli parti itu sendiri.

Ketika beliau menyampaikan ucapan dasar presiden dalam bahasa Mandarin, banyak kerusi yang kosong di barisan depan dan belakang di Wisma MCA di ibu negara itu.

Beberapa perwakilan yang ditemui memberitahu, orang Cina tidak percaya lagi kepada MCA kerana terlalu mengikut BN yang dikawal Umno.

Zaman gelap

“Kredibiliti Dr Chua sebagai presiden penuh tanda tanya. Adakah beliau boleh menjadi lebih baik dari Tan Sri Ong Ka Ting atau pun Tun Dr Ling Liong Sik.

“MCA menghadapi zaman gelap di bawahnya,” kata Kuan Wei Hong dari Pulau Pinang. Sudah tentu MCA menjadi tidak relevan jika orang Cina terus menolaknya. Malang sekali ditolak kerana kesilapan sendiri.

Krisis kepimpinan MCA yang berpanjangan menyebabkan parti ini lemah secara perlahan dan diam-diam. Umum mengetahui MCA tidak pernah sunyi dari krisis kepimpinan namun semuanya berjaya diselesaikan menjadikan parti itu kekal relevan.

Sudah tiba masanya untuk MCA kembali ke pangkal jalan dengan menjadi parti nombor satu bagi orang Cina di negara ini. Sayang jika sumbangan dan pengorbanan selama ini dilupakan begitu sahaja.

Kini musuh MCA bukannya DAP walaupun parti serpihan PAP dari Singapura itu menang cemerlang dalam PRU 2008.

Musuh nombor satu MCA tidak lain tidak bukan adalah berpunca dari krisis kepimpinan yang berpanjangan, yang telah memusnah kepercayaan dan menghakis keyakinan ahli kepada parti.

Dengan PRU 13 semakin hampir, MCA sudah tidak ada masa untuk terus berkocak dari dalam. Jika kalah lagi, MCA akan hilang dari peta politik negara. -FMT

PR Namakan Dr.Hatta, Antony Loke & Azmin Untuk PSC, Bersih Bagi PSC Peluang [updated]

Dr Hatta, Azmin, Antony Loke wakil Pakatan di PSC

Pakatan Rakyat hari ini mengulangi pendirian mereka menyokong pembentukan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen berhubung pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini tetapi menegaskan bahawa tindakan itu tidak sepatutnya dijadikan alasan bagi Suruhanjaya Pilihan Raya bagi tidak melaksanakan reformasi atas usaha mereka sendiri.

“Kami tidak mahu PSC dijadikan sebagai alasan kepada SPR untuk menangguh, menunggu dan tidak melaksanakan sebarang reformasi,” kata ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada siadang media bersama dengan PAS dan DAP di dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga mengumumkan bahawa tiga perwakilan dari Pakatan akan menganggotai jawatankuasa berkenaan.

“Dari PKR adalah Azmin Ali, dari PAS pengarah pilihan rayanya, Dr Hatta Ramli dan dari DAP pula adalah juga pengarah pilihan rayanya Anthony Loke,” katanya.

"Pendirian Pakatan Rakyat sepakat untuk beri laluan dan kerjasama. Serta saya ingatkan jangan jadikan alasan melengahkan dan untuk ketepikan tuntutan BERSIH.

"Jaminan belum ada. Kalau Perdana Menteri serius dia patut bangun dan pertahankan prinsip SPR yg bebas dan adil," katanya.

Sebelum itu Anwar pada sidang Dewan Rakyat hari ini mempersoalkan peranan SPR yang mengabaikan tanggungjawab untuk menguruskan pilihan raya secara adil dan bersih.

Beliau menyatakan SPR seolah-olah mengambil sikap bersahaja terhadap tuntutan gabungan BERSIH 2.0 pada Julai lalu. -mk

Bersih "bagi can" kata PSC

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menyeru gerakan-gerakan awam supaya menerima ‘tanpa prasangka’ hasrat kerajaan persekutuan untuk membaikpulih sistem pilihan raya, sebelum mengambil tindakan susulan seperti mengadakan satu lagi perhimpunan.

Ambiga berkata jawatankuasa terpilih parlimen (PSC) yang akan ditubuhkan bagi objektif itu harus diberi peluang untuk menjalankan tugas mereka.

Disamping itu PSC juga perlu berjumpa dengan Bersih bagi membincang cara terbaik bagi membaiki kelemahan sistem yang ada seperti senarai pemilih yang didakwa penuh dengan pengundi hantu dan proses undi pos yang tidak telus, Ambiga berkata.

“Kita patut memberi peluang dan tengok kalau mereka serius dalam melaksanakan tuntutan kita. Kita percaya kes kita kukuh, kita tengah menyediakan kes kita dan kita berharap PSC bertemu dengan kita. Kalau tidak kita akan dedahkan hasil siasatan kami (di dalam sistem pilihan raya) akan kami dedahkan.

Ambiga berkata demikian dalam sesi soal-jawab pada festival filem ‘Freedom Film Fest 2011 di sini semalam.

Seorang peserta mengemukakan soalan apakah tindakan pergerakan itu selepas perhimpunan besar-besaran yang disertai gerakan-gerakan awam dan pemimpin Pakatan Rakyat yang di adakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai.

Hasil daripada tekanan perhimpunan itu, kerajaan persekutuan Barisan Nasional membentuk PSC.

Tetapi, pembentukan badan itu dipersoal kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak enggan memberi jaminan bahawa apa-apa cadangan atau keputusan PSC akan dilaksanakan sebelum pilihraya ke-13.

Jika pilihan raya terus diadakan tanpa pembaikpulihan, Ambiga berkata, cara paling berkesan untuk menangani penipuan pilihan raya adalah dengan menyeru rakyat Malaysia supaya keluar mengundi secara besar-besaran.

Salah satu cara untuk membanteras penipuan adalah dengan keluar untuk mengundi secara besar-besaran. Kerana orang boleh menipu dengan bilangan yang kecil seperti seribu atau dua ribu (undi) tetapi kalau kita membanjiri sesuatu kawasan itu, kita boleh mengurangkan penipuan.




Penerbit Filem, Datuk Adzhar & Dua Anaknya Dihukum Penjara Dan Denda

Tiga Beranak Peneraju Noradz Travel & Services Dihukum Penjara, Denda

KUALA LUMPUR: Seorang penerbit filem, Datuk Adzhar Sulaiman dan dua anak perempuannya yang menerajui syarikat pelancongan, Noradz Travel & Services pada Isnin, dihukum penjara dan denda selepas disabitkan bersalah atas tuduhan menerima deposit berjumlah lebih RM100 juta tanpa lesen dan 360 tuduhan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM59 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozana Ali Yusoff memerintahkan Adzhar, 56, dihukum penjara selama dua tahun dan menjelaskan denda RM1 juta atau berhadapan dengan penjara 10 bulan, bagi kesalahan mengambil deposit tanpa lesen, dan bagi tuduhan mengubah wang haram, dia dihukum penjara selama tiga tahun.

Sementara itu, anak perempuannya, Noradzma, 35, yang turut menghadapi tuduhan mengambil deposit secara haram dihukum penjara selama setahun dan denda RM500,000 atau jika gagal membayarnya diarahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Selain itu, Noradzma yang berstatus ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lapan tahun juga diarahkan untuk menjalani hukuman penjara selama dua tahun atas kesalahan menggubah wang haram.

Syarikat Noradz Travel & Services juga diarahkan untuk menjelaskan denda sebanyak RM5 juta atas tuduhan mengambil deposit tanpa lesen yang sah.

Pada prosiding sama, seorang lagi anak wanita Adzhar, Noradzrin, 26, yang pernah mencuba nasib dalam bidang seni menerusi lagu Pujaan Malaya juga diarahkan untuk menjalani hukuman penjara selama setahun atas tuduhan menggubah wang haram.

Pada penghakimannya, Rozana berkata pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi danm pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

"Keterangan yang dikemukakan oleh tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata tanpa disokong oleh keterangan lain, selain keterangan tersebut juga tidak konsisten dan sering berubah-ubah. Ini mengakibatkan mahkamah sukar untuk mempercayai keterangan bersumpah tertuduh," kata Rozana.

Rozana juga menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa mereka tidak mempunyai pengetahuan berhubung perjalanan syarikat kerana berpendapat keterangan yang dikemukakan di mahkamah pada perbicaraan menunjukkan semua tertuduh memainkan peranan yang aktif dalam syarikat tersebut.

Selain itu, Rozana turut mengharapkan supaya hukuman yang dijatuhkan beliau akan menginsafkan tertuduh-tertuduh supaya mereka semua boleh kembali semula ke pangkal jalan.

"Mencari kekayaan bukan dengan cara ini, mengambil kesempatan terhadap orang ramai yang tidak mengetahui perjalanan perniagaan kamu," tambahnya. Rozana seterusnya membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara yang dimohon oleh peguam Afifuddin Mohd Hafifi kerana akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, dan memerintahkan supaya jaminan tertuduh sebanyak RM1 juta dengan cagaran RM500,000 ditambah lagi RM500,000. Pada 22 Disember 2009, Adzhar mengaku tidak bersalah atas 28 pertuduhan terlibat dalam pengurupan wang haram manakala Noradzma dan Noradzrin masing-masing menghadapi 166 pertuduhan.

Mereka didakwa menggunakan wang haram tersebut membeli beberapa hartanah di Perak dan Pahang serta membeli produk insurans selain pelaburan dan memindahkan wang ke dalam akaun milik anak syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bebarapa buah bank di sekitar ibu negara seperti EON Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Ambank (M) Berhad antara 14 Ogos 2007 dan 6 Januari 2009.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, syarikat tersebut, Adzhar dan Noradzma turut didakwa atas kesalahan menerima deposit daripada orang awam tanpa memegang lesen yang sah di antara Julai 2006 hingga Oktober 2008 di No 14-1A, Jalan 3/10, Pandan Jaya, di sini.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa di bawah seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989(Akta 372) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Syarikat Noradz mempunyai beberapa rangkaian syarikat yang terlibat dalam perniagaan penyewaan kereta, agensi pelancongan, pelaburan dan penerbitan filem seperti filem lakonan Saiful Apek bertajuk ‘Shhh...Dia Datang’ dan beberapa drama.


Penerbit Syyh.. Dia Datang, Datuk Adzhar Sulaiman (lima dari kiri) bersama-sama barisan pelakon Syh.. Dia Datang para majlis pelancaran filem tersebut

Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman dan Pegawai-Pegawai Pendakwa dari Bank Negara, Anthony Kularaj Kulasingam dan Fahmi Abd Moin manakala tertuduh diwakili peguam Afifuddin Mohd Hafifi. Sehingga berita ini ditulis, tertuduh masih belum menjelaskan denda. -mstar

Siapakah Dato' Adzhar Sulaiman?

Nama penuh beliau ialah Adzhar bin Sulaiman K/P 550712-10-5625. Dilahirkan di Selangor pada 12 julai tahun 1955 . mempunyai 4 orang isteri.

Seorang daripada isterinya bernama Norjan bt Ali K/p : 680419 - 06 - 5316.

Beliau mempunyai ramai anak namun anak yang diketengahkan melalui Syarikat Noradz ini adalah Noradzma Adzhar dan Noradzlin Adzhar.

Seorang lagi anaknya iaitu Noradrin Adzhar dikatakan turut sama terlibat dalam perniagaan ini.

Bahkan ada sumber yang mengatakan bahawa Dato Adzhar telah memasukkan lebih RM 30 juta kedalam akaun anak-anaknya ini.

Dato Adzhar juga dikatakan telah membeli insuran Etika untuk anak-anaknya dengan nilai yang amat tinggi.

Tahap pendidikan Dato Adzhar Sulaiman hanyalah di peringkat sekolah menengah sahaja.

Manakala dalam kerjayanya pula, beliau merupakan bekas seorang pembantu tadbir di Majlis amanah rakyat MARA Kuala Lumpur.

Sebenarnya tidak ada apa yang menarik tentang kerjaya Dato Adzhar Sulaiman sebelum beliau menceburkan diri dalam bidang perniagaan pada tahun 1982.

Dalam bidang politik pula, Adzhar merupakan Timbalan Ketua Umno bahagian Parlimen Cheras bagi sessi lepas.


Putrajaya Tarik Balik Rang Undang-undang Kg Baru

Rang undang-undang Kg Baru ditarik balik

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru yang sepatutnya dibaca kali kedua di parlimen hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, undang-undang kontroversi itu akan digantikan dengan versi baru yang ditambah baik selepas mendapat maklum balas pelbagai pihak.

Sebelum itu, Pakatan mengisytiharkan kemenangan terhadap perjuangan menentang rang undang-undang itu selepas menteri menariknya kembali dalam sidang parlimen ke-12 yang bersambung hari ini.

"Viva, kejayaan untuk Pakatan Rakyat dan arwah Dr Lolo," kata Tian yang juga naib presiden PRK, merujuk kepada bekas anggota parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali yang meninggal dunia Mei lalu akibat barah.

PAS menjadi peneraju utama kempen menentang rang undang-undang itu. Mereka menuntut termanya dirunding semula dengan penduduk, pemilik tanah dan kampung tradisional Melayu.

Rang undang-undang yang antaranya bertujuan menubuhkan perbadanan bagi mengambil alih pembangunan di Kampung Baru dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember, 2010.

Bacaan kedua rang undang-undang itu sepatutnya dibuat semasa persidangan Parlimen pada Mac, tetapi ditangguhkan bagi membolehkan tuan tanah dan waris mereka memberi maklum balas. -mk

Putrajaya tarik balik akta baru pembangunan Kg Baru

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Di sebalik tekanan dan bantahan berterusan, Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru yang sepatutnya dibacakan buat kali kedua di Parlimen yang bermula hari ini, ditarik balik.

Perkara itu dimaklumkan pada hari pertama sidang Dewan Rakyat pagi ini oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Memaklumkan perkara itu menerusi mesej Twitter sebentar tadi, Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, ia satu kemenangan kepada perjuangan Pakatan Rakyat.

“Agenda pertama di sesi Parlimen ini, Menteri Wilayah Persekutuan Raja Nong Chik tarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru. Kemenangan Pakatan, Kg Baru selamat!” katanya.

Selain itu beliau yang juga Ahli Parlimen Batu turut menulis bahawa “penduduk Kg Baru boleh beraya betul-betul hari ini, buat kenangan pengorbanan (Allahyarhamah) YB Titiwangsa Dr Lo’Lo yang banyak berusaha membantah Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru.”

Maklumat mengenai perkara itu turut dimaklumkan oleh seorang lagi Naib Presiden PKR Fuziah Salleh, yang antara berkata, “Menteri Wilayah umum tarik balik Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru.”

Pertengahan bulan lalu, Raja Nong Chik berkata rang undang-undang yang tertangguh tiga kali sebelum ini akan dibawa ke Parlimen pada sesi yang bermula bulan depan bagi membolehkan pembangunan dilakukan di kawasan itu.

Beliau berkata, input dalam rang undang-undang itu antara lain adalah daripada perbincangan mendalam dengan beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan, pemilik dan waris tanah di kawasan itu.

Tambah beliau, pihak Peguam Negara juga meneliti rang undang-undang tersebut tanpa membelakangkan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan di kawasan penempatan eksklusif orang Melayu itu.

Raja Nong Chik berkata dengan adanya akta khusus bagi pembangunan Kampung Baru, ia akan membawa kawasan itu setanding dengan lain-lain kawasan yang pesat membangun di bandar raya ini.

Bagaimanapun pengumuman Raja Nong Chik bulan lalu menerima reaksi bercampur-campur.

Pemilik tanah di kawasan penempatan eksekutif orang Melayu itu terus menentang keras akta pembangunan itu dilaksanakan.

Malah ketika ditemui The Malaysian Insider, rata-rata pemilik dan pewaris tanah berusia 111 tahun itu mahu Putrajaya membatalkan terus cadangan penubuhan sebuah perbadanan di kawasan itu.

Selain itu, ada juga antara mereka menegaskan tidak pernah sama sekali memberi persetujuan agar rang undang-undang digubal bagi membangunkan kawasan itu.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat MAS Shamsuri Suradi berkata, tiga klausa penting yang mendapat bantahan keras daripada pemilik dan pewaris tanah harus dipinda sebelum ia dibawa untuk bacaan kali kedua.

“Kita mahu MAS tidak dibubarkan, keanggotaan kepada pemilik dan pewarisn tanah ditambah dan imuniti kepada perbadanan dipinda, ini yang perlu dilakukan.

“Sebelum ini ia telah banyak kali dibincangkan dan kerajaan bersetuju untuk meminda tiga perkara ini, jadi saya harap ia dilaksanakan,” katanya.

Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru dibaca kali pertama pada Disember lalu, tetapi menerima protes berterusan daripada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Kemudian Putrajaya mengadakan referendum di kalangan pemilik dan pewaris tanah tetapi difahamkan sambutan kurang memuaskan.

Akhir Jun lalu, majlis pentadbir Kampung Baru meminta Putrajaya agar menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru memandangkan respons ke atas referendum dingin.-TMI


Ulasan GB

Walau bagaimanapun Pakatan Rakyat perlu berhati-hati taktik licik UMNO BN ini.

Mereka mungkin sedang mengatur penipuan, rang undang-undnag yang sama bakal dibentangkan semula selepas pilihanraya umum ke 13.

Hubaya-hubaya!

Laporan sebelum ini
sila klik untuk baca





Apabila Pengarah Seronok Pungut Jutaan Ringgit Hasilkan Filem Hantu Perbodohkan Rakyat

Pengarah: Jangan hukum filem genre seram, hantu

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Penggiat dan pengarah filem hantu dan seram menafikan karya mereka menjadi punca kepada suburnya amalan kepercayaan tahyul di kalangan penonton atau merosakkan akidah mereka, selain percaya ia mempunyai banyak nilai positif seperti kekeluargaan dan agama.

Ada antara mereka berpendapat filem sedemikian lebih bercorak hiburan, mendapat permintaan tinggi dan diselitkan dengan unsur komedi, bukan untuk meracuni minda masyarakat.

Pengarah yang banyak menghasilkan filem seram, Ahmad Idham Ahmad Nadzri turut dilapor mempertikaikan cadangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mahu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem itu kerana ia disifatkan sebagai tidak adil, sekali gus berniat untuk membunuh kerjaya mereka.

Sebaliknya beliau meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menemui pemain-pemain utama industri filem bagi membincangkan pengisian yang sepatutnya, sekali gus mengawal lambakan filem genre sebegitu.

“Jangan menghukum filem genre seram atau menjadikannya alat untuk kepentingan politik,” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

Laporan media semalam memetik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan menerusi filem ketika ini boleh menggalakkan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat berproduktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik.

Beliau berkata lambakan cerita hantu yang berasaskan mitos banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu.

“Filem dan drama televisyen memaparkan kisah hantu hanya menggalakkan kepercayaan tahyul yang tidak mempunyai asas sama sekali.

“Kita, terutama umat Islam, perlu tahu bahawa hanya Allah mempunyai kuasa ke atas segala-galanya,” kata Dr Mahathir.

“Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, manusia mempunyai apa yang dipanggil sebagai ‘peripheral vision’.

“Jadi sekumpulan pelajar perempuan di asrama yang bercerita mengenai hantu akan melihat imbasan lembaga atau bayang-bayang melalui ekor mata dan terkena serangan histeria,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia kini perlu memberi tumpuan kepada usaha mencari kaedah lebih saintifik untuk menyelesaikan masalah.

Majlis Fatwa Kebangsaan pula mahu kerajaan membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam.

Ahli jawatankuasa majlis itu, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pihaknya mahu kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem atau drama hantu yang jelas berunsur khurafat dan mempromosikan karut.

Mengulas lanjut, Ahmad Idham yang baru-baru ini menjadi fokus kontroversi filem Hantu Bonceng juga berkata dalam filem seram perkara yang perlu diberi perhatian oleh pembikin filem ialah isi kandungan filem itu sendiri.

“Dengan lambakan filem seram sejak kebelakangan ini, satu perkara yang dapat membezakan setiap filem seram itu adalah isu kandungannya.

“Isi kandung filem hantu perlu dikaji semula supaya pemikiran penonton tidak terus dibelenggu dengan kepercayaan karut,” katanya.

Malah katanya, “sebelum ini pun saya pernah menghasilkan filem seram yang tidak bergantung kepada jampi serapah atau bomoh sebagai penyelesaian.”

Misalnya, kata beliau, filem Damping Malam menggunakan pendekatan saintifik seperti yang dikatakan oleh Dr Mahathir apabila “pelakon filem mendapatkan pakar khidmat terapi untuk menyelesaikan masalah mereka.”

Turut bersetuju dengan Ahmad Idham ialah pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Zombie Kampung Pisang, Mamat Khalid yang memberitahu bahawa tidak semua cerita seram menyuburkan kepercayaan kolot di kalangan penontonnya.

“Kalau filem seram melambak di pasaran dan kebanyakan mesej di dalamnya positif, saya tidak anggap ia salah.

“Lainlah jika filem itu dalamnya yang boleh merosakkan akidah, memang patut disekat,” kata beliau.

Pengarah urusan Cube Film Sdn Bhd dan juga pengarah yang banyak menghasilkan drama seram, Michael Ang berkata, kebanyakan judul seram dihasilkannya memberi pengajaran kepada penonton.

“Saya terbitkan filem seram bukan sekar untuk menakutkan penonton, tetapi sebagai memberikan hiburan kepada mereka.

Setengah penonton mendakwa perasaan takut sewaktu menonton filem hantu memberikan keseronokan buat mereka,” katanya yang pernah menghasilkan filem Hantu Kum Kum, Pontianak Kampung Batu dan Dendam Sundel Bolong.

Lagipun katanya, kebanyakan “filem seram kami dibuat dalam bentuk komedi dan juga bukanlah daripada cerita hantu yang asal.” -TMI

Ulasan GB

Demikian hebat perwatakan pengarah dan penerbit filem genre hantu dan seram sehinggakan sanggup melawan dan menentang sesiapa saja kerana mengaut keuntungan tanpa memperdulikan kaedah dan cara.

Kita juga ingin tahu tinggi manakah ilmu agama Ahmad Idham itu sehingga sudah berani mempertikaikan cadangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mahu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem hantu dan seram?

Semata-mata kerana filem sedemikian kononnya bercorak hiburan, mendapat permintaan tinggi dan diselitkan dengan unsur komedi yang mempersendakan agama diabaikan?

Malah beliau menuduh pula tindakan majlis Fatwa itu berniat untuk membunuh kerjayanya sedangkan kerjayanya itu sendiri telah disalahgunakan untuk hasilkan filem-filem yang merosakkan aqidah dan mempersendakan nilai-nilai agama!

Beliau juga menuduh Majlis Fatwa ada mempunyai kepentingan politik.

“Jangan menghukum filem genre seram atau menjadikannya alat untuk kepentingan politik,” katanya.

Kepentingan politik siapa Ahmad Idham maksudkan? UMNO? PAS? BN? PR?

Kita ingin ulangkan kepadanya, ini bukan soal kepentingan politik. Tetapi sekali lagi kita tegaskan, ia soal penyelewengan akidah dan pemunduran minda rakyat!

Ahmad Idham juga meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menemui pemain-pemain utama industri filem bagi membincangkan pengisian yang sepatutnya, sekali gus mengawal lambakan filem genre sebegitu.

Demikian, keceluparan Ahmad Idham sudah melampau. Banyak besar pangkat kamu sampai orang terpaksa jumpa dan tunduk kepada kamu semata-mata kamu sekarang sudah kaya-raya kerana pungutan hasil filem sedemikian? Sepatutnya kamu yang mengadap Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum menghasilkan filem-filem berkenaan.

Justeru itu, rakyat perlu MENGHUKUM mereka ini dengan mempastikan filem-filem hantu dan seram ditolak dan kerajaan perlu proaktif bagi mempastikan tiada lagi unsur khurafat, syirik dan tahyul dibenarkan ditayangkan kepada masyarakat.

Kesatuan Sekerja Berpiket Depan Parlimen Bantah Pindaan Akta Pekerjaan [updated]

Aktivis piket bantah pinda akta pekerjaan

Kira-kira 120 anggota Kesatuan Pekerja (MTUC) hari ini mengadakan piket di hadapan parlimen membantah pindaan undang-undang terhadap Akta Pekerjaan 1955.

Ini kerana mereka mendakwa pindaan akta tersebut "tidak menyebelahi pekerja" dan kerajaan tidak mengadakan rundingan dengan kesatuan itu sebelum pindaan dibuat.

Piket tersebut bermula jam 10.55 dengan membawa beberapa kain rentang yang mendesak menteri sumber manusia menarik balik pindaan undang-undang buruh yang menghakis hak pekerja.

Mereka berbaris diluar pintu parlimen sambil melaung "Tarik Balik Undang-undang Buruh" dan "Hidup MTUC".

Nyanyian dan laungan bantahan mereka juga diiringi dengan paluan kompang menghangatkan suasana piket mereka. -mk

Laporan sebelum ini:


Akta Kerja: MTUC tetap piket di Parlimen Isnin ini

PETALING JAYA, 1 Okt — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tetap dengan pendirian mahu mengadakan piket di Parlimen Isnin ini berhubung kontroversi pindaan undang-undang buruh.

Keputusan itu dibuat hari ini selepas badan induk kesatuan sekerja tersebut dan Kementerian Sumber Manusia gagal dalam mencari titik pertemuan berhubung rasa tidak puas hati mengenai pindaan ke atas Akta Kerja 1955.

Keputusan muktamad dicapai susulan forum empat jam hari ini. Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata pihaknya akan menghimpunkan 1,000 ahlinya untuk mengadakan protes mengenai Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010, yang akan dibawa untuk bacaan kali kedua pada sesi Parlimen yang akan bermula Isnin ini.

“Mereka mahu membentangkan rang undang-undang ini meskipun tidak dibincangkan di NLAC (Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan),” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat pascaforum tengah hari ini.

“Mereka tidak pernah membentangkan pindaan ini di NLAC. Sekarang mereka cuba nak bentang di Parlimen. Ini tidak adil. Kami tidak tahu apa-apa, apa yang berlaku,” katanya.

Khalid berkata tujuh pegawai kanan MTUC akan tetap menghadiri mesyuarat NLAC pada pukul 10 pagi Isnin ini, yang diaturkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Mesyuarat NLAC itu, majlis yang dihidupkan semula dua minggu lalu, diaturkan selepas MTUC mengambil keputusan mahu berpiket Ahad lalu.

Katanya, selepas mesyuarat itu pihaknya akan menyertai piket di luar Parlimen, yang dijangka bermula 11 pagi.

Khalid menambah, MTUC bersedia untuk berhadapan dengan kesan daripada tindakan mereka termasuk kemungkinan halangan daripada pasukan polis.

“Kami dari MTUC, mewakili pekerja, demi hak pekerja... biarkan mereka adakan piket. Kami akan tetap hadir di sana (Parlimen),” katanya lagi.

Selasa lalu, Kementerian Sumber Manusia berkata MTUC yang bercadang mengadakan tindakan berpiket tidak wajar membangkitkan bantahan mereka di “saat pembentangan di Parlimen.”

“Kementerian ingin menegaskan bahawa sebelum pindaan ini dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan, semua cadangan pindaan ini telah melalui proses konsultasi bersama wakil-wakil pertubuhan majikan dan kesatuan sekerja.

“Sebanyak 18 kali sejak awal tahun 2010 lagi. Selain itu, draf cadangan pindaan turut telah dipanjangkan untuk pandangan dan maklum balas daripada wakil majikan dan pekerja. Justeru, pindaan ini tidak dibuat secara tergesa-gesa kerana telah melalui proses konsultasi yang komprehensif bersama pihak-pihak yang berkepentingan,” kata Kementerian Sumber Manusia.

Sehubungan itu, kata kementerian, adalah diharapkan cadangan pindaan ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak demi memelihara kebajikan pekerja dan menjamin keharmonian perhubungan perusahaan.

Kenyataan itu dikeluarkan mengulas laporan The Malaysian Insider sebelum ini memetik Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata, mereka akan berpiket pada hari pertama sidang Parlimen bulan depan jika Putrajaya meneruskan perbahasan rang undang-undang buruh tanpa perbincangan di majlis melibatkan tiga pihak.

Bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja telah ditangguhkan dua kali sebelum ini. Antara lain Rang Undang-undang Kerja didakwa merugikan kaum pekerja kerana jika diluluskan akan membolehkan sistem kontraktor pekerja, yang pernah digunakan sebelum negara merdeka, diamalkan kembali.

MTUC mendakwa ia akan merugikan pekerja dari segi kebajikan mereka dan menjejaskan masa depan pergerakan kesatuan sekerja di negara ini.

Halim berkata dalam pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam sebelum ini MTUC telah diberi jaminan bahawa rang undang-undang buruh termasuk Rang Undang-undang Kerja tidak akan dibawa ke Parlimen tanpa perbincangan selanjutnya dalam NLAC, yang hanya diaktifkan minggu lalu.

NLAC merupakan majlis dianggotai kerajaan, majikan dan pekerja. Selain peruntukan berkenaan sistem kontraktor sosial, MTUC mahu kerajaan memasukkan cuti bersalin 90 hari dan menaikkan had kerja lebih masa sehingga 130 jam sebulan. -TMI




Penduduk Protes Di Jalanraya Bantah Amah Diberikan Hak Penduduk Tetap

Hong Kong – Kira-kira 500 penduduk Hong Kong berarak di bandar raya ini bagi membantah satu keputusan mahkamah yang membenarkan ribuan amah asing hak untuk menjadi penduduk tetap.

Gambar: SEJUMLAH penunjuk perasaan duduk di sebatang jalan raya di Hong Kong semalam bagi menentang hak amah asing memohon taraf penduduk tetap.

Tunjuk perasaan itu dibuat selepas seorang amah dari Filipina, Evangeline Banao Vallejos yang tinggal di sini sejak 1986 berjaya dalam kesnya di mahkamah.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa undang-undang imigresen yang melarang amah asing kebanyakannya dari Filipina dan Indonesia tinggal secara tetap di Hong Kong adalah sebenarnya melanggar perlembagaan mini pulau ini yang dikenali sebagai Undang-Undang Asas.

“Kami tidak mahu amah untuk datang ke Hong Kong secara tetap, mereka akan mengambil keuntungan sosial kita,” kata seorang penunjuk perasaan, Dennis Leung selepas tunjuk perasaan tersebut berarak melalui bandar raya ini ke pejabat kerajaan.

Warga asing boleh tinggal di Hong Kong selepas tujuh tahun, memperoleh akses untuk mengundi dan hak tinggal di bandar raya ini tanpa visa kerja.

Amah turut termasuk dalam peruntukan itu.

Menerusi taraf penduduk tetap, seorang amah tidak lagi terikat kepada majikan, boleh melakukan sebarang pekerjaan dan mendapat manfaat daripada skim perumahan awam.

Pihak pemerintah kini membuat rayuan terhadap keputsuan mahkamah itu. – AFP

Ulasan GB

Demikian kisah rakyat sebuah negara yang tidak mudah untuk menerima warga asing diberikan hak penduduk tetap.

Berbeza yang berlaku di Malaysia, semata-mata untuk menjaga kepentingan survival parti pemmerintah, warga asing begitu mudah diberikan hak penduduk tetap, malah kewarganegaraan pun turut diberikan. JPN dan SPR punya kerja.


Lelaki Dakwa Hospital Cuai, Isterinya Darah O Tapi Diberi Darah B

Kuala Lumpur: Seorang wanita yang baru melahirkan anak ketiganya mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada kecuaian kakitangan hospital yang tersilap memasukkan darah jenis berlainan ke tubuhnya.

Kejadian itu berlaku 22 September lalu dan Faridah Abd Aziz, 34, yang juga pegawai bank kini terpaksa menjalani rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas beberapa hari terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Suaminya, Ku Nazri Ku Yaakob, 34, mendakwa petugas hospital berkenaan memasukkan darah jenis B ke tubuh isterinya yang mempunyai darah jenis O dan kesilapan itu boleh mengundang maut.

“Ketika kejadian, isteri saya baru melahirkan anak ketiga kami secara pembedahan, jadi dia kekurangan darah dan memerlukan doktor memasukkan darah ke dalam tubuhnya,” katanya yang ditemui di Balai Berita di sini, semalam.


Ku Nazri berkata, isterinya terpaksa menjalani rawatan susulan dan terlantar sakit di HKL serta diberitahu akan dibenarkan pulang dalam tempoh dua minggu lagi.

Katanya, kejadian itu memberi kesan emosi yang teruk terhadap mereka sekeluarga, malah anak ketiganya itu tidak dapat diberikan susu ibu.

“Saya mengambil cuti sejak 10 hari lalu untuk menjaga isteri di hospital dan membawa ibu berusia 74 tahun dari kampung di Jitra, Kedah, untuk menjaga bayi kami,” katanya.

Katanya, pihak pengurusan hospital sudah memanggilnya dan mengakui kesilapan mereka yang cuai terhadap pesakit, malah satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian terbabit.

Susulan itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang 23 September lalu dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya sudah memanjangkan perkara ini kepada pihak berkuasa, namun sehingga kini saya tidak dihubungi bagi mendapatkan penjelasan perkembangan semasa kes isteri saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit dan memberi maklum balas dalam masa terdekat. -hm

Dua Peragut Lakukan Ragutan Ke Atas Wanita Dicekup

Kuala Lumpur: "Saya meragut sebab tak ada duit... lagipun saya baru habis belajar," demikian pengakuan salah seorang daripada dua suspek yang ditahan selepas cuba meragut beg seorang wanita di Jalan Sultan Ismail di sini, awal pagi semalam.

Gambar: DUA peragut yang ditahan selepas cuba meragut beg seorang wanita di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Mereka yang ditahan empat anggota polis ketika melakukan rondaan cegah lumba haram pada jam 4 pagi, turut mengaku melakukan empat jenayah ragut di sekitar ibu negara sejak sebulan lalu untuk mencari wang belanja harian.

Kedua-dua suspek, seorang bekas penuntut sebuah kolej swasta di Bangi dan seorang lagi pekerja stor syarikat utiliti air ditangkap ketika cuba meragut beg mangsa di hadapan sebuah pusat hiburan.

Bagaimanapun, tindakannya menggenggam kuat beg tangannya berjaya menggagalkan cubaan ragut itu, namun mangsa cedera selepas diseret tiga meter.

Pada ketika sama, sepasukan empat anggota polis dari Unit Khas Polis Trafik Kuala Lumpur yang kebetulan sedang menjalankan tugas meronda di kawasan berkenaan menyaksikan kejadian itu bertindak mengejar kedua-dua lelaki terbabit.

Menyedari mereka dikejar, kedua-dua suspek berusia 20 dan 23 tahun itu bertindak memecut motosikal yang dinaiki mereka ke arah Jalan Kuching sebelum ditahan di Jalan Kinabalu, empat kilometer dari tempat kejadian dan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan mendapati motosikal Yamaha 125-Z yang dibaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kami jarang dapat wang tunai, kadang-kadang kami hanya dapat melarikan telefon bimbit yang kemudian dijual untuk dapatkan wang belanja,” katanya kepada pegawai penyiasat.

Kedua-dua mereka kemudian diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan tanpa senjata. -bh

4 Nyaris Maut Pesawat Kecil Rempuh Roda Ferris

Canberra: Sebuah pesawat ringan merempuh roda Ferris di kawasan hiburan di timur Australia, semalam, menyebabkan dua kanak-kanak yang menaiki alat permainan itu terperangkap selama hampir dua jam.

Gambar: Empat orang termasuk kanak-kanak dilaporkan terperangkap di bahagian roda Ferris selepas dirempuh pesawat ringan di lokasi pesta di Taree, Australia, hari ini. — Foto Reuters

Turut terperangkap, dua yang lain dalam pesawat ringan berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dilaporkan.

Pesawat Cheetah S200 itu membawa dua lelaki tersangkut di bahagian atas roda Ferris berkenaan.

Kanak-kanak yang terperangkap itu berusia sembilan dan 13 tahun.

Juruterbang berkenaan berusia 52 tahun, manakala penumpangnya 32 tahun.

Jurucakap bomba berkata, mereka menggunakan kren untuk menyelamatkan semua empat mangsa. - AP

Angkara Manusia Durjana, Dia Kini Tidak Mempunyai Mata Lagi

Mangsa asid tiada biji mata

PADANG BESAR – Deria penglihatannya terpaksa dibuang, manakala kedua-dua kelopak mata ditutup serta dijahit dan sedikit lubang ditinggalkan bagi membolehkan air matanya mengalir keluar.

KEADAAN wajah Muhamad Hanif selepas terkena simbahan asid di Padang Besar, Perlis.

Begitulah sengsara ditanggung seorang pemandu lori, Muhamad Hanif Sunaid @ Shuib, 25, yang menderita akibat disimbah asid oleh seorang individu di Kampung Sentang, Utan Aji dekat sini pada Mei lalu.

Muhamad Hanif menjadi sedemikian rupa disebabkan simbahan asid tersebut terkena matanya yang mengakibatkan pancaindera tersebut terpaksa dibuang selain dia melecur hampir 50 peratus di muka dan badan.

Dia memberitahu, kulit pada belakang badan, paha dan kaki dijadikan pengganti kulit di bahagian muka dan badan depannya yang rosak teruk terkena simbahan asid tersebut.

“Kini seluruh badan saya terpaksa berbalut kerana sedang bersalin kulit dan ini menyukarkan saya bergerak selain hanya mampu terlantar di atas katil.

“Dulu saya tidak macam ini tetapi kini dah jadi begini, saya hanya mampu reda dan cuba menyesuaikan diri,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Baru, Batu Bertangkuk dekat sini semalam. -kosmo

Ulasan GB

Banyak perkara boleh menimpa kebidupan kita, namun kisah di atas diantara yang menyayatkan hati kita.

Marilah sama-sama kita berdoa agar Allah kurniakan ketabahan dan ketenteraman di jiwa Muhammad Hanif disamping memberikannya kekuatan untuk mengahadapi kehidupan. Seterusnya kita berdoa agar yang durjana itu diberikan pembalasan yang setimpal.