25 Feb 2009

RM20 juta Rasuah. Rakyat Mahu Najib Bersumpah

Konspirasi Barisan Nasional yang didalangi oleh Timbalan Perdana Menteri kini semakin terdedah apabila pada hari ini muncul dua orang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat yangmembuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa mereka ditawar sehingga RM20 juta serta jawatan oleh pihak tertentu supaya menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai Barisan Nasional (BN).

Mereka yang membuat laporan di pejabat SPRM di Ipoh ialah Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh daripada DAP dan Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamsari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bercakap kepada pemberita di luar pejabat itu, Keshvinder berkata beliau menerima pelbagai tawaran daripada beberapa ejen mendakwa mewakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan seorang daripada ejen itu ialah seorang wartawan akhbar berbahasa Cina tempatan, lapor Bernama.

Adun Malim Mawar itu berkata antara tawaran yang diterima ialah imbuhan RM20 juta jika beliau keluar daripada DAP dan mengisytiharkan diri sebagai wakil bebas dan menyokong BN seperti yang dilakukan tiga Adun pakatan pembangkang sebelum ini.

BN menubuhkan kerajaan baru di Perak bulan ini selepas menguasai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila tiga Adun Pakatan keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas dan menyokong BN.

Keshvinder turut mendakwa bahawa tawaran lain yang diterima adalah beliau akan dilantik sebagai pengerusi MIC Perak sekiranya menyertai parti itu dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri.

Tawaran jawatan exco adalah yang terbaru dibuat oleh seorang ejen sebaik selepas BN mengambil alih kerajaan negeri, katanya.

"Saya minta Datuk Seri Najib tampil membuat kenyataan berhubung perkara ini kerana perbuatan ini jelas menunjukkan kerajaan negara ini terlalu korup dan amat terdesak," katanya.

Walaupun Najib pernah menafikan terhadap gejala politik wang ini, namun bukti-bukti yang ada menunjukkan bahawa penafian beliau adalah rapuh malah rakyat akan mempastikan beliau tidak akan menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia ke 6 sebelum beliau benar-benar membuat pengakuan secara bersumpah bahawa beliau tidak menggunakan wang untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata selain tawaran wang tunai antara RM3 hingga RM8 juta, beliau turut ditawarkan konsesi kawasan balak sekiranya beliau meninggalkan partinya.

Beliau berkata tawaran berkenaan dibuat oleh beberapa orang ejen yang terdiri daripada ahli perniagaan yang mendakwa mewakili kepimpinan kerajaan negeri Perak.

Turut menemani dua Adun berkenaan ke pejabat SPRM adalah tujuh Adun pakatan pembangkang yang lain iaitu Ramli Tusin (Semanggol); A Sivasubramaniam (Buntong); Chan Ming Kai (Simpang Pulai); Chang Lih Kang (Teja); Sum Cheok Leng (Bercham); Leong Mee Meng (Jalong) dan Khalil Idham Lim Abdullah (Titi Serong).

Sebelum daripada ini bekas ADUN Selambau Kedah pernah membuat laporan bahawa beliau ditawarkan habuan sebanyak RM5 juta untuk keluar parti. tetapi Arumugam memilih jalan untuk meletakkan jawatannya setelah menerima pelbagai jenis ugutan dan tekanan sehingga kerusi Bukit Selambau terpaksa menyaksikan satu pilihanraya kecil diadakan pada April nanti.

Ramai meyakini bahawa kesemua empat orang ADUN yang melompat parti di Perak sehingga terbentuknya rampasan kuasa oleh BN adalah dengan modus operandi yang serupa bahawa masing-masing telah ditawarkan jutaan ringgit termasuklah dua orang ADUN yang sebelum ini mengkritik Najib tetapi akhirnya menjadi orang yang "menculik" ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim.

Tiada ulasan: