25 Feb 2009

"Derhaka", "Kurang Ajar" Diperlukan Walaupun Digeruni

Dua perkataan yang amat digeruni oleh masyarakat Melayu iaitu "derahaka" dan "kurang ajar".

Seorang pengkritik sastera Melayu Moden tersohor, Mohd Affandi Hassan menyatakan istilah derhaka digunakan sewenang-wenangnya untuk mengelirukan kebenaran. Malah terdapat raja Melayu sendiri mengutuk rakyatnya sebagai perderhaka hanya kerana mereka dengan tegas menyatakan perbezaan pendapat dan perasaan meluat mereka terhadap penipuan yang berlaku di sekeliling mereka.

Beliau menyatakan semua ini terjadi bukan kerana kejahilan tentang perlembagaan dan undang-undang, tetapi kerana mempersetankan nilai-nilai kebenaran yang diajarkan oleh Islam.

"Ulama sendiri tidak mahu menegaskan bahawa hanya terdapat tiga jenis penderhakaan sebenar: menderhaka undang-undang Allah SWT; menderhaka kepada ajaran Nabi SAW; dan menderhaka kepada ibu bapa," jelas beliau lagi.

"Dua jenis penderhakaan pertama itu boleh dihapuskan sekiranya penderhaka tadi memohon ampun daripada Allah Ta’ala; tetapi perderhakaan ketiga hanya akan hapus jika ibu bapa yang didurhakai itu mengampunkan anaknya yang terlanjur itu."

"Dalam Islam, apabila seseorang membunuh, yang berhak mengampunkannya hanya ahli waris yang terbunuh, bukan orang lain yang tidak kena mengena. Itulah ketentuan hukum, yang cuba ditutup oleh ulama yang mendapat naungan daripada naungan selain naungan Allah Ta’ala. Apabila hakikat ini ditutup, maka berlakulah keriuhan gila-gilaan tentang “penderhakaan” yang dipermainkan untuk mencapai maksud politik yang sangat jahat," tambahnya.

Beliau menjelaskan bahawa masih terdapat orang Melayu yang agamanya Islam tetapi berpegang kepada konsep Hindu di dalam kehidupan yang menganggap ketua negara tidak berdosa dan tidak boleh dikritik.

Affandi mengingatkan kisah Saidina Abu Bakar yang menegaskan ketika menerima perlantikan sebagai Khalifah, bahawa beliau wajib ditaati jika melaksanakan undang-undang Allah Ta’ala, bukan kerana sebab-sebab lain. Kerana terdapat ulama yang menyembunyikan hakikat ini, maka terjadilah keriuhan gila-gilaan berasaskan kejahilan tentang hukum Islam dan penderhakaan terang-terangan terhadap ajaran Islam


GB ingin menukilkan kembali sebuah puisi nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang sebagai pelengkap terhadap kata-kata Affandi diatas iaitu Kurang Ajar.

Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu.

Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu.

Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar

Tiada ulasan: