25 Feb 2009

Perhimpunan Bantah PPSMI

UUMNO dan Barisan Nasional digesa berhenti memanipulasi keputusan peperiksaan untuk mengabui mata rakyat terhadap kegagalan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.

Gesaan itu dibuat oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang di dalam satu perhimpunan yang dihadiri oleh 2 ribu orang di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.

Sambil menggelarkan mereka yang masih mahu meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai golongan celaka, beliau turut menyelar tindakan merendahkan peratus kelulusan pelajar semata-mata kerana mahu mempertahankan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Tindakan tersebut kata beliau merupakan satu perbuatan yang dianggap sebagai menipu bangsa sendiri.

"Pemimpin jenis ini merupakan pengkhianat kepada bangsa dan bahasa serta lebih menyedihkan lagi kerana mereka sanggup meneruskan dasar PPSMI ini kerana memetingkan kroni," tegas beliau dalam satu forum himpunan dan ikrar mansuh PPSMI malam tadi.

Selain itu, Hadi juga menegaskan, tamadun bangsa yang pernah wujud mempunyai bahasa masing-masing dan kemajuan tamadun ini berkembang bersama dengan perkembangan bahasa mereka.

Beliau menggesa supaya rakyat di didik dengan ilmu dengan menggunakan bahasa sendiri dan bukan dengan bahasa asing.

"Tidak salah belajar bahasa asing tetapi rakyat perlu di ilmukan dengan bahasa kebangsaan," kata beliau.

Lebih kurang 20 orang pemuda yang dipimpin oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) Kamaruzaman Mohamad membaca ikrar taat setia dan berjanji akan mempertahankan Bahasa Kebangsaan.

Majlis tersebut yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor itu turut diserikan dengan bacaan sajak oleh Dinsman.

Turut berucap pada forum tersebut adalah Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali yang menggantikan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Presiden GMP, Dato' Dr Hassan Ahmad, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Dato' Abu Bakar Chik dan Presiden Teras Hj Azmi Abdul Hamid.


1 ulasan:

awang kata berkata...

Kesal kerana Elizabeth sebagai rakyat masih tidak menggunakan bahasa Melayu, yakni bahasa negara Malaysia. Dia bukan baru menjadi warga negara.