25 Feb 2009

MCA Bergolak: Ong Nafi Dakwaan Chua Soi Lek

Presiden MCA, Ong Tee Kiat menafi DVD seks Timbalannya, Chua Soi Lek “dihidupkan” semula untuk menumpaskan cubaan pihak tertentu mengadakan sidang khas parti untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap dirinya.

Ong berkata tidak ada pihak yang perlu mengaitkan siasatan polis membabitkan Chua kepada sebarang isu lain.

"Jangan cuba mengaitkannya dengan perkara-perkara lain. Sekiranya anda tidak bersalah, maka anda tidak bersalah.

"Apakah perlu hendak berdebat lagi, adalah anda hendak menyalahkan seluruh dunia?"

Ong yang juga Menteri Pengangkutan menyifatkan khabar angin ada usaha di dalam MCA untuk menggerakkan undi tidak percaya terhadapnya sebagai spekulasi semata-mata.

"Saya tidak mempunyai masa yang banyak untuk menjawab soalan-soalan berbentuk spekulasi ini.

"Mereka cuba hanya mahu membangkitkan dan kemarahan orang. Kita tidak akan terganggu," katanya di Parlimen hari ini.

Semalam, polis mengesahkan bahawa timbalan presiden MCA itu kini sedang disiasat berhubung dakwaan melakukan seks di luar tabiee dalam DVD seks berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Hasnan Hassan berkata, polis sedang menyiasat DVD seks tersebut mengikut seksyen 377(A) Kanun Keseksaan yang, jika disabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, serta sebat.

Ditanya sama ada, DVD seks itu akan mencemar imej parti, Ong menjawab: "Sama ada ada ia akan mencalar imej MCA, patut ditanya kepada orang yang melakukan perkara tersebut. Perkara ini berlaku pada tahun lepas, patutnya tanya kepada beliau."

Ditanya pendiriannya berhubung isu tersebut, Ong berkata: "Adakah awak berpendapat bahawa kami perlu menyokong perkara yang melanggar undang-undang? Kalau begitu sila beritahu kami..."



Tiada ulasan: