1 Jun 2015

Hanya Si "Tolol" Percaya Laporan Akhbar Mat Sabu Sindir Hadi


Mat Sabu bukan sindir Hadi, kata naib presiden PAS

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyarankan orang ramai memahami keseluruhan ucapan Mohamad Sabu pada satu ceramah di Tumpat malam Jumaat lalu sebelum membuat kesimpulan, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, kelantangan ucapan timbalan presiden PAS itu mengenai kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan sesuatu yang berbentuk sindiran atau memperlekehkan kredibiliti presiden parti itu.

Menurut Salahuddin, Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu, dalam ucapannya itu meletakkan satu konteks yang mana apabila PAS bersama dengan gabungan politik, barulah parti itu dapat memperluaskan wilayah dan pengaruhnya.

"Apabila buat satu kesimpulan mengenai isu yang dibawa seseorang dalam ceramah, kita harus baca keseluruhan ucapan. Kadang-kadang kita bercakap untuk memberitahu tentang satu gambaran atau senario politik yang besar, dengan memberi satu contoh beberapa individu.

"Mohamad bercakap tentang PAS boleh luaskan wilayah apabila kita berada dalam kesepakatan politik," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut perkara itu,Salahuddin berkata, PAS boleh menawan Kelantan apabila PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah pada era 80-an, begitu juga dengan Terengganu apabila bersama Barisan Alternatif.

"Kemudian, sekarang ini PAS boleh menang di Johor dan kita ada kerusi di Pantai Barat, apabila bersama atas nama Pakatan Rakyat (PR)," beliau dipetik berkata akhbar itu.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan, ucapan Mat Sabu itu bukan satu sindiran sekiranya seseorang itu membaca atau melihat keseluruhan ucapan itu.

Sebelum ini dilaporkan, Mat Sabu mempertikaikan kegagalan Hadi menawan Terengganu, selain menyindir tindakan presiden PAS itu yang mahu keluar PR.

"Pidatonya (Hadi) begitu hebat. Ceramahnya, kuliahnya, Rusila, kereta parking berbatu, jadi macam pekan sehari bila Tok Guru Hadi beri kuliah. Tapi bila pilihan raya umum, (tetap) tak boleh ambil Terengganu (daripada Barisan Nasional).

"(Sehinggalah pada) tahun 1999 kita berpakat dengan PKR, dapatlah kita memerintah Terengganu. Ertinya kita ambil Terengganu pun melalui pakatan. Bagaimana nak kuasa? Kita kena berpakat," katanya pada ceramah isu semasa PAS di Tumpat, Kelantan Jumaat lalu.

Turut hadir pada ceramah itu ialah Ahmad Awang yang akan menentang Hadi bagi jawatan presiden pada pemilihan PAS nanti.

Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan membawa PAS keluar daripada PR jika DAP mencetuskan provokasi ke atas parti itu selepas tidak bersetuju dengan usaha parti Islam itu melaksanakan hudud di Kelantan. – TMI


Mat Sabu timbang saman Bernama, akhbar

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita nasional dan dua akhbar utama yang menyiarkan laporan mendakwa beliau menyindir Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mohamad berkata ucapannya dalam ceramahnya di Tumpat Jumaat lalu "diputar belit" sehingga mencetuskan "keresahan ahli, memburukan imej beliau dan menjadi ketidakharmonian dalam parti."

Sinar Harian dan Utusan Malaysia menyiarkan laporan tersebut di muka depan semalam.

"Oleh itu saya akan berbincang dengan peguam. Kalau ada kes, tindakan undang-undang akan diambil.

"Tulisan (laporan) itu berniat jahat terhadap saya dan terhadap parti saya," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kuala Lumpur petang ini.

Kelmarin Bernama melaporkan krisis dua pucuk pimpinan utama PAS dilihat semakin meruncing menjelang pemilihan parti itu awal Jun ini, dengan Mohamad semakin lantang mengkritik kepimpinan Abdul Hadi.

Menurut laporan itu, beliau lebih dikenali Mat Sabu mempertikaikan kegagalan Hadi menawan Terengganu, selain menyindir Hadi yang mahu keluar daripada pakatan pembangkang.

Mengulas lanjut, beliau mencabar ketiga-tiga media itu mengeluarkan atau menyiarkan transkrip penuh ucapan yang didakwa menyindir Abdul Hadi.

"Ucapan saya tu orang dah dengar dah. Bukan benda baru. Saya berucap di konvensyen di Perak, (perkara) ini juga," katanya.

Pada masa yang sama, beliau memuji kehebatan, ketokohan serta akhlak pemimpin PAS termasuk bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Nor dan bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sehingga berjaya memukau kehadiran rakyat menerusi kuliah dan ceramah.

Kalau nak sindir, sindir semua

Bagaimanapun, katanya, apabila tiba beberapa pilihan raya umum sebelum ini, kedua-dua mereka gagal menguasai Kedah dan Kelantan sehingga PAS membentuk dan bekerjasama politik.

Menurutnya lagi, Nik Aziz berjaya menguasai Kelantan selepas berpakat secara politik dengan Semangat 46 dan menang pilihan raya umum 1990 selepas Umno berpecah.

Katanya, dalam pilihanraya umum pada 1978, 1982 dan 1986 PAS gagal menguasai Kelantan.

Begitu juga, kata Mohamad, di Kedah PAS berjaya menguasai negeri melalui Datuk Seri Azizan Abdul Razak selepas mengadakan persefahaman politik pada 2008 ditambah pula dengan pengundi bukan Islam sedia mengundi PAS.

Sebelum itu, katanya, PAS hanya berjaya menguasai tiga kerusi pada pilihan raya umum 1986.

"Kalau saya nak menyindir, saya sindir (termasuk) Datuk Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz (sama). Itulah baru sindiran.

"Ertinya saya nak tekankan berbelas kali dalam ucapan saya, iaitu PAS tidak boleh bersendirian untuk tawan negeri. Inilah pokok ucapan saya (di muktamar)," katanya.
-mk




ULASAN GB

Hanya si "tolol" yang membuat kesimpulan dan yang percaya bahawa Mat Sabu menyindir Haji Hadi tidak kiralah si "tolol" itu dalam PAS atau di luar PAS.

Dari ucapan mat Sabu jelas bahawa beliau hanya melakukan perbandingan ucapan Haji Hadi semasa PAS berada dengan PR dengan sewaktu belum wujud PR. Itu saja.

Tetapi telah dimanipulasikan oleh BERNAMA dan akhbar untuk menggambarkan kononnya Mat Sabu menyindir Haji Hadi untuk mencalarkan imej Mat Sabu dan menimbulkan kebencian rakyat terhadapnya. Sama seperti kes Mat Indera satu ketika dulu.

Kita menyokong penuh Mat Sabu untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas BERNAMA dan para akhbar yang melaporkan berita fitnah tersebut.

Pilih Ahmad Awang Untuk Kukuhkan PAS Dan Pakatan Rakyat


Nizar: Pilih Ahmad Awang demi kukuh PAS, Pakatan

Presiden dan barisan kepimpinan yang baru perlu diwujudkan di dalam PAS bagi memastikan parti itu terus kukuh bersama Pakatan, bekas menteri besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Nizar berkata beliau hanya mahukan parti itu dipimpin oleh individu yang tidak memperkecilkan rakan pimpinan dalam Pakatan demi menjaga keharmonian parti.

"Selepas muktamar apa yang saya mahu ialah muka presiden yang baru dan Pakatan akan kukuh seperti asal pada 2008 yang mana persefahaman pemimpin Pakatan jauh lebih akrab dan tidak keluarkan kenyataan yang memperkecilkan rakan pimpinan Pakatan.

"Presiden perlu baru, perlu juga pimpinan yang baru yang campuran bersama ulama. PAS perlu dipimpin oleh ulama dan siapa ulama itu? Dia ialah Ustaz Ahmad Awang.

"Dia (Hadi) boleh cakap Arab, dia (Ahmad) juga boleh bercakap dalam bahasa Arab, dia (Ahmad) boleh bercakap dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, dia (Hadi) tidak boleh.

"Kita perlukan kepimpinan yang dihormati parti dan negara kita. Dan dengan kepimpinan baru yang raikan Pakatan ia akan menghilangkan khurafat yang mengatakan hanya Umno boleh pimpin orang Melayu," kata Nizar.

Beliau berkata demikian dalam forum 'Mampukah PAS dilonjakkan Pasca Jun 2015' di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Turut hadir sebagai ahli panel dalam forum itu ialah calon Presiden Ahmad Awang dan bekas menteri besar Selangoor Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Nizar berkata, walaupun beliau tewas untuk mengekalkan jawatan yang dipertua PAS Kawasan Kampar, namun beliau tetap bertanding mempertahankan kerusi ahli jawatankuasa PAS Pusat pada pemilihan kali ini.

Beliau turut mendakwa, semasa pemilihan PAS kali ini, beliau teruk difitnah "orang dalam parti" berbanding yang pernah dilakukan oleh Umno semasa pilihan raya umum lalu. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan individu terbabit.

Nafi tolak ulama

Katanya, fitnah yang dilemparkan bahawa beliau menolak kepimpinan ulama tidak benar sama sekali memandangkan segala kritikan yang diberi kepada kepimpinan PAS demi sayangkan parti.

"Adakah betul kumpulan profesional nak gulingkan ulama sedangkan saya beranggapan kalau tiada ulama (Majlis Syura) untuk tangani masalah yang di bawa Umno, dah lama PAS merudum.

"Ulama sebenarnya yang menyelamatkan parti kerana mereka ada ilmu yang boleh menyelamatkan parti. Tiba-tiba saya hari ini dituduh anti ulama dan nak jatuhkan presiden.

"Sedangkan kalau di dalam mesyuarat, kalau saya beri kritikan itu bermakna saya sayangkan orang tersebut tetapi saya lebih sayangkan parti.

"Saya beri pandangan dan kritikan kerana saya nak mereka membangun, bukankah itu peradaban dalam Islam. Semasa dipimpin oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Allahyarham Datuk Nik Aziz (Nik Mat), saya beri kritikan yang sama dan mereka raikan pandangan mana-mana ahli PAS.

"Hari ini pandangan dalam PAS, kalau kritik presiden, ini lah orang yang sokong bawa rebah," kata ADUN Changkat Jering itu lagi.

Susulan kenyataan Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang yang dilapor memberi kata dua kepada perwakilan dan bebas memilih pemimpin sama ada yang mengikut telunjuk DAP atau sebaliknya, Nizar mempersoalkan sama ada perwakilan mahukan presiden yang didakwanya menjadi boneka DAP atau Umno.

Menurut Nizar, dalam situasi banyak pihak mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, terdapat pihak dalam PAS yang mengeluarkan kenyataan supaya mengekalkan ahli parlimen Pekan itu sebagai ketua negara.

"Umno sekarang dalam keadaaan paling lemah apabila Tun Mahathir Mohamad, (timbalan perdana menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan adik najib turut menghentam (Najib), tetapi ada pihak pula yang kata kekalkan Najib.

"Kalau macam itu saya boleh kata, nak jadi presiden yang jadi boneka DAP atau boneka Umno?" soal Nizar yang mendapat tepukan daripada hadirin. -mk

Ahmad Awang berazam satukan PAS kembali


Calon presiden Ahmad Awang akan memberikan fokus kepada penyatuan ahli parti yang berpecah teruk sekarang sekiranya beliau terpilih memenangi kerusi itu dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 minggu ini.

Ini kerana, beliau berpendapat, isu ini, terutama perpecahan antara golongan konservatif dan profesional, tidak diuruskan dengan baik oleh presiden PAS sekarang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Ia perkara yang tidak wajar berlaku dalam satu jemaah Islam dan saya akan lakukan islah (pembaikan) ke atasnya," kata bekas pesuruhjaya PAS Perak itu dalam wawancaranya dengan The Malaysian Insider.

Ahmad, yang juga bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia, akan menentang Hadi pada muktamar bermula 4 hingga 6 Jun ini di Kuala Selangor.

Berikut petikan wawancara beliau dengan The Malaysian Insider (TMI).

TMI: Mengapa anda terima pertandingan?

Ahmad: Saya rasa ia kehendak pihak akar umbi di pelbagai peringkat dalam PAS, melalui pencalonan yang diberikan, dan melayakkan saya untuk bertanding. Ke mana saja saya pergi dan berjumpa mereka, mereka merayu agar saya jangan menolak pencalonan itu.

Daripada 179 kawasan PAS, 115 sahaja yang membuat pencalonan untuk presiden (Hadi), manakala 82 lagi tidak membuatnya. Saya mendapat 7 pencalonan manakala Datuk Husam Musa, 8. Jadi, bagi saya, peluang ada di situ.

TMI: Apakah masih ada harapan untuk PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) selepas apa yang berlaku dalam PAS dan selepas muktamar nanti? Atau lebih baik PAS bersama Umno?

Ahmad: Cakap-cakap para pemimpin yang ada nampaknya bersama dengan PR, tetapi tindakan dan perbuatan, ke arah tidak bersama lagi. Multaqa Ulama di Kedah beberapa tahun lalu juga menjelaskan usaha untuk mengkaji hubungan ini. Ia boleh dilihat melalui perbahasannya. Cuma tidak menyerang PR secara langsung tetapi menyerang pemimpin PAS yang mahu bersama PR.

Kewujudan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dijadikan alasan untuk mengaitkan kononnya sesetengah pemimpin tidak wala' (taat) kepada pemimpin parti, tetapi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebenarnya, jika kita sokong Anwar, bermakna kita sokong PAS, kerana PAS berada dalam PR.

Jadi, PAS dan PR ini bergantung kepada siapa yang memimpin PAS selepas ini.

TMI: Bagaimana hubungan dengan Umno?

Ahmad: Kita, PAS dan saya, secara peribadi bersama dengan Umno sebelum ini. Umno bersetuju untuk berdakwah apabila kita bersama mereka. Maka, lahirlah Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri dan terbentuknya Pusat Islam, dan saya menjadi pengarah dakwahnya.

Namun selepas itu, PAS ditendang daripada Umno dan kemudiannya saya ditendang daripada Pusat Islam dan ditukar ke Kementerian Pelajaran atas arahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu.

Ia berlaku apabila saya bersetuju yang mangsa tragedi Memali adalah syahid, sebagaimana dikatakan pemimpin PAS ketika itu.

Sepanjang pengalaman ini, saya kenal Umno dan tidak akan bersama dengan Umno lagi.

TMI: Apa pandangan anda mengenai sikap penentangan DAP terhadap hudud?

Ahmad: Memang kita tahu DAP dari awal tak pernah sokong hudud. Karpal Singh pernah berkata 'langkah mayat saya dulu untuk laksana hudud'. Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah jumlah Karpal mengenainya walaupun dia tahu sikap Karpal. Yang pasti, boleh berbincang mengenainya. Ia tidak menggugat PR selagi ada perbincangan.

Tetapi, ia berjaya menggugat PR apabila Datuk Seri Jamil Khir Baharom (menteri di Jabatan Perdana Menteri) berkata di Dewan Rakyat, kerajaan pusat sedia membantu Kelantan melaksanakan hudud, lalu terbentuknya Jawatankuasa Teknikal mengenainya.

Apabila ia dibangkitkan DAP, PAS bersetuju berbincang mengenainya sebelum dibawa ke Dewan Rakyat. Tetapi nampaknya bukan saja kepada DAP, kepada Jawatankuasa PAS Pusat juga, ia tidak ditunjuk dan diajak berbincang apabila rang undang-undang persendirian hendak dibentangkan.

Bagi saya, DAP menentang kerana mereka tidak diberi ruang mendengar apa yang PAS nak bawa. Kalau diterangkan yang hanya (melibatkan) Akta 355 yang sudah ada dalam Perlembagaan, ia tidak menjadi seteruk ini. Tetapi kerana tidak dibincangkan, jadilah macam ini.

Lagipun, kalau BN yang berkata menyokongnya, membawanya ke Parlimen, ia lebih baik kerana DAP boleh memberikan alasan kepada penyokongnya yang ia bukan dibawa PAS, tetapi Umno.

Perkara ini timbul kerana PAS percaya sangat kepada Umno. DAP lihat ini sebagai permainan politik. DAP juga pelajari hal ini dengan membaca buku Yusof Qardhawi. Tetapi bagi sesetengah pemimpin PAS, ia tidak baik. Walaupun bagi saya, ia baik, kerana DAP mula mempelajari Islam.

TMI: Apa pandangan anda tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ekonomi dan Islam yang progresif dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia?

Ahmad: Apa yang berlaku kepada 1MDB menambahkan lagi bobroknya pentadbiran negara di bawah presiden Umno, khasnya yang ada sekarang.

Saya secara peribadi terlibat dalam pembinaan Putrajaya ketika menjadi panel penasihat syariah RHB Bank. RHB diberikan amanah untuk menguruskan pengeluaran bon kerajaan bagi membina Putrajaya dan kami kena kaji hal ini.

Isu penyelewengan ini memang teruk dari dulu lagi, cuma bertambah sekarang. Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kini berada di kemuncaknya selepas teruk sekian lama.

Tan Sri Aziz Abdul Rahman yang pernah menjadi pemimpin MAS pernah berkata, beliau meninggalkan MAS dengan harta dan aset yang banyak, tetapi apa berlaku kepada MAS sekarang?

Bagi saya, kegagalan paling besar Najib ialah kegagalan memisahkan dirinya dengan pelaksana dasar, sedangkan dia pembuat dasar. Konsep pemisahan kuasa dalam pentadbiran itu dilanggar. Itulah yang berlaku dalam kes 1MDB. Dia perdana menteri, dia menteri kewangan dan dia pengerusi 1MDB.

TMI: Apa peranan ulama dalam masyarakat moden dan parti politik?

Ahmad: Bagi saya, ulama kena jadi pakar rujuk umat. Antaranya membuat kajian ilmiah supaya orang Islam, dan ahli PAS khasnya, berpolitik dengan betul dan memahami konsep politik Islam.

Misalnya bila bertahaluf dengan DAP, kita kena sokong calon DAP walaupun siapa rakan tahaluf itu, kerana itulah prinsipnya. Bukan kita kena campur semua. Pendek kata, kajian hukum fikah politik, kena buat.

Yang kedua, ulama perlu membuat kajian mendalam bagaimana melaksanakan konsep atau pendekatan ulama yang profesional dan profesional yang ulama. Ulama kena kaji untuk mengintegrasikan semua ini agar mereka tidak senang dipecahkan macam sekarang.

TMI: Apa yang anda boleh tawarkan yang tidak ada pada presiden PAS sekarang?

Ahmad: Yang saya tawarkan ialah menyatukan semua kelompok ahli PAS yang sedang berpecah sekarang. Ini perkara yang tidak wajar berlaku dalam satu jemaaah Islam, dan saya akan lakukan islah (pembaikan) ke atasnya yang dia (Hadi) tidak hendak tawarkan.

Saya juga akan usahakan agar orang Melayu dan Islam yang berada dan bergantung kepada Umno berpaling dan bergantung kepada PAS. Bagi saya, PAS belum berupaya menarik mereka selama ini.

Saya juga akan berusaha agar pemimpin PAS diterima sebagai pemimpin PR dan memasukkan banyak parti lagi ke dalam PR bukan setakat tiga sahaja, kerana dengan cara itu kita boleh kukuhkan PR dan tumbangkan BN.

TMI: Hudud sebahagian kecil syariah saja dan perlu kajian mendalam sebelum dilaksanakan. Boleh anda jelaskan?

Ahmad: Solat ini wajib bagi umat Islam, tetapi ada syarat untuk solat. Begitu juga hudud wajib, tetapi bagaimana ia hendak dilaksanakan? Perlu ada syarat-syaratnya. Hudud juga bukan keutamaan dalam Islam kerana berdasarkan fikah, ia terletak terkemudian berbanding dengan yang lain.

Fikah Islam disusun dengan memulakan ibadat dan ibadat yang utama pula solat. Selepas itu barulah muamalah dan selepas itu barulah undang-undang jenayah yang termasuk dalamnya hudud itu. Jadi kita perlu dahulukan yang dahulu dan kemudiankan yang kemudian.

Solat diutamakan dalam Islam kerana perlu dilaksanakan di mana saja kerana ia adalah asas untuk mendidik manusia mematuhi perintah Allah. Bila kita sudah terdidik dan patuh dengan Allah, apa yang diperintah oleh Allah semuanya akan mudah.
-TMI


UG Bertelagah, TITM Serang DAP, PAS Selangor Kata Tak Ada Isu Dgn DAP


Isu yang dibesarkan'

KLANG - Tekanan DAP terhadap Pas menjelang Muktamar Tahunan Pas ke-61 nanti cuma isu yang diperbesarkan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tidak ada isu tekanan DAP terhadap Pas sebagaimana yang digembar-gemburkan.

“Saya rasa ia cuma satu isu yang diperbesarkan sahaja. Saya kira tak ada apa isunya,” katanya selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Guru dan Penyampaian Anugerah Hari Kualiti Pendidikan 2015 Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), semalam.

Bercakap mengenai muktamar, Ahmad Yunus berkata, ia adalah jalan penyelesaian ke atas perkara-perkara yang didebatkan.

Katanya, keputusan akan dicapai selepas penggulungan dilakukan walaupun senarionya pelbagai.

“Ia macam tradisi yang biasa berlaku. Saya rasa ahli-ahli pun dah dewasa berkaitan dengan isu yang berlaku.

“Saya harap muktamar pada kali ini akan berakhir dengan baik. Macam carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga,” katanya. -SH


DAP banyak campur tangan urusan Pas

SHAH ALAM – Terlalu banyak campur tangan pimpinan DAP dalam pentadbiran Pas membuatkan seolah-olah wujud kumpulan dalam Pas yang suka mengikut nasihat DAP.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun DAP merupakan rakan komponen dalam PR, tetapi parti itu tidak sepatutnya mencampuri urusan dalam Pas.

“Seperti sekarang, pimpinan DAP seolah-olah cuba campur tangan dalam pemilihan Pas yang akan berlangsung Jun ini. Antaranya ialah DAP sering menyebut mengenai keperluan untuk Pas menukar kepimpinan.

“Apabila ada kenyataan daripada DAP, ia seolah-olah mencerminkan wujud situasi begitu (golongan yang menyokong DAP). Sepatutnya tiada orang luar yang menentukan hala tuju Pas,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin bahawa wujud dua golongan dalam Pas, iaitu yang menyokong DAP dan golongan yang setia mempertahankan dasar Pas.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, segala kritikan dan campur tangan DAP tidak akan menjejaskan dasar parti Islam itu.

“DAP pernah menyatakan tidak menerima kepimpinan Abdul Hadi, tetapi masih kerjasama dengan Pas. Ini sesuatu yang pelik.

“DAP tidak perlu tunggu sehingga selepas muktamar ini untuk melihat dasar dan polisi Pas. Ini kerana, bagi kita, terutamanya golongan ulama dalam Pas, sama ada sebelum atau selepas muktamar, perjuangan kita tetap sama dan tidak berubah,” katanya.
-SH


ULASAN GB

Benci sangat dengan DAP... keluar lah Pakatan Rakyat.. apa tunggu lagi? Tapi tak mahu...

Haji Hadi sampai beri katadua kepada perwakilan, pilih dirinya atau calon yang ikut telunjuk DAP.

Dan beberapa pemimpin termasuk Tuan Ibrahim Tuan Man (calon Timbalan Presiden) menyokong kenyataan Haji Hadi seperti laporan di atas kononnya DAP cuba campurtangan dalam pemilihan PAS.

Kenyataan Haji Hadi dan Tuan Ibrahim itu sebennarnya menyusahkan kumpulan mereka di Selangor yang kini membentuk kerajaan dengan PKR dan DAP di Selangor. Itu sebab exco Selangor dari PAS, Mohd Yunus Hairi membuat kenyataan "tekanan DAP terhadap Pas itu cuma isu yang diperbesarkan."

Dan kebanyakan ADUN-ADUN PAS Selanor tahu kemenangan mereka dulu adalah kerana sokongan kaum Cina yang rata-rata penyokong DAP. Serangan terhadap DAP akan meenyebabkan kedudukan mereka tergugat terutama yang dah jadi exco-exco. Kini kerusi exco-exco PAS bergegar, masing-masing dah kecut akan tertanggal semua. Mereka boleh kehilangan jawatan jika PAS keluar atau dikeluarkan dari Pakatan Rakyat. Malah ramai yang akan kecundang dalam pilihanraya jika PAS terus mengambil sikap bermusuh dengan DAP. Haji hadi dan TITM tak kasihan dan tak bersimpati pun dengan mereka.

Haji Hadi lansung tak memikirkan negeri-negeri yang multi-racial. Yang dilihat hanya Terengganu, dimana kaum Cina tidak ramai. Begitu jua Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanding di Jengka.... dimana kaum Cina boleh dibilang dengan jari.

Terus bermusuhan dengan DAP, berakirlah riwayat PAS Selangor...

31 Mei 2015

Serang Peribadi & Tuduh Ikut DAP Tanda Pro-UG Kehabisan Modal


Ahmad: Serang peribadi bukti habis modal

Pencabar bagi jawatan presiden PAS Ahmad Awang kesal apabila budaya fitnah-memfitnah kini dilakukan pihak tertentu dalam parti itu khususnya menjelang pemilihan parti yang semakin hampir ke kemuncaknya.

Bekas naib presiden PAS itu mendakwa terdapat pihak yang melakukan "pembunuhan watak" dengan melakukan serangan peribadi kerana tidak mempunyai "modal" untuk mengecamnya berikutan keputusannya bertanding jawatan tertinggi parti.

"Mereka dah tak tahu nak kata apa lagi, sebab saya istiqamah dalam gerakan Islam
, saya juga dah ceritakan kenapa lima tahun dulu saya tidak aktif, saya juga ulama.

"Jadi sekarang ini apa yang dilakukan ialah pembunuhan watak.

"Dulu orang Umno yang fitnah, tapi sekarang ini orang PAS pula," katanya dalam forum Mampukah PAS dilonjakkan Pasca Jun 2015 di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Kira-kira lima hari lagi sebelum muktamar, Ahmad kini diserang oleh kumpulan pendukung status quo dalam PAS sebagai mengetuai "kumpulan yang lunak dengan DAP" .

Malah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut memberi kebebasan kepada perwakilan untuk memilih pemimpin yang mengikut telunjuk DAP atau sebaliknya.

Turut hadir sebagai ahli panel pada forum itu ialah bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas menteri besar Selangoor Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Sementara itu bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib berkata perpecahan yang berlaku dalam PAS kini turut melibatkan pihak luar daripada parti.

Profesional lari

Beliau juga mendakwa Umno tidak akan membiarkan PAS terus kuat bersama Pakatan dan menjadi punca berlaku perpecahan sehingga wujudnya dua kem dalam parti Islam itu.

"Politik adalah seni kepada kemungkinan. (Umno) kena buat sesuatu, kalau tidak imej Umno akan merudum. Jadi cara yang mesti dilakukan ialah pecahbelahkan Pakatan, PAS dan DAP perlu dilagakan.

"Dan cara nak pecahkan PAS pula ialah dengan memisahkan mereka dengan pihak ulama dan profesional. Saya tengok PAS jadi mangsa, sesetengah pemimpin PAS jadi mangsa.

"Selepas itu mereka kata golongan profesional nak menentang hudud. Mana ada pihak yang nak tentang hudud, yang saya tau (nak tentang hudud) Umnolah,
" katanya.

Justeru itu, bekas naib presiden Umno itu berkata lagi, menjelang muktamar PAS ke-61, beliau berharap agar parti itu tidak akan menyingkirkan golongan profesional.

Ini kerana, sekiranya PAS mengambil pendirian untuk menolak golongan profesional, dikhuatiri ia akan menjadikan parti itu lemah dan golongan tersebut tawar hati untuk menyertai PAS selepas ini.

"Kalau ulama buang profesisonal, lepas ini golongan ini tak nak masuk lagi ke dalam PAS. Yang tinggal hanya ulama.

"Lebih baik (PAS) jadi badan dakwah sahaja. Kita nak PAS dengan kekuatan yang boleh jadi alternatif kepada pimpinan negara,"
katanya lagi. -mk


Bekas MB Selangor ramal PAS dipinggir profesional selepas muktamar

Bekas menteri besar Selangor yang rancak bersama PAS sejak tahun 2013, Tan Sri Muhammad Muhd Taib memberi amaran parti Islam itu bakal dipinggirkan golongan profesional selepas muktamar ke-61 Jun ini.

Kenyataan itu dibuatnya selepas seminggu lalu mengkritik sesetengah pemimpin PAS yang pakar dalam agama, tetapi jahil ilmu ekonomi dan perkembangan semasa negara.

"Kalau selepas ini PAS buang golongan profesional, selepas ini golongan profesional tidak mahu masuk PAS lagi," kata bekas naib presiden Umno itu pada forum "Mampukah PAS Dilonjakkan Pasca Jun 2015?", malam tadi.

Pada 23 Mei lalu, Muhammad berkata mereka yang menghafal Al-Quran dan hadis, tetapi tidak dapat memahami isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak layak memimpin negara.

Disebabkan perkara itu, beliau dilaporkan mengaku mula hilang minat dengan PAS.

Menurut Muhammad yang juga dikenali sebagai Mat Taib, beliau akan menunggu selesai muktamar untuk menilai barisan kepimpinan baru PAS.

Namun, pada forum semalam, Muhammad menjelaskan beliau bukannya "merajuk" dengan seperti disangka sesetengah pihak.

"Bukan saya tidak minat dengan PAS, tetapi tidak minat perangai sesetengah pimpinan PAS," katanya pada forum anjuran Free Public Forum Malaysia itu.

Sementara itu, Muhammad turut menyatakan sokongan terbukanya kepada calon presiden PAS, Ahmad Awang yang mencabar penyandang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau yakin bekas naib presiden PAS itu mampu meletakkan parti pada landasan betul dalam kerangka kerjasama Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP dan PKR.

Pesannya, PAS perlu mengelak dari memilih calon yang mahu menyokong Umno ketika parti itu hampir tumbang ditolak rakyat.

"Kita hendak orang yang memperkukuhkan PAS, dan memperkukuhkan PR. Oleh itu saya tengok Ustaz Ahmad Awang dia boleh memperkukuhkan PR,"
katanya.

Turut hadir pada forum itu adalah Ahmad Awang sendiri serta bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
-TMI


Zuhdi Marzuki Sah Bermulut & Tangan Yang Cirit Birit....


Zuhdi buat hal lagi, kali ini perlekeh anak Nik Aziz

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Ahmad Zuhdi Marzuki sekali lagi menimbulkan kontroversi kali ini memperlekehkan anak bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengatakan ayahnya lebih mengutamakan Pakatan Rakyat (PR) daripada anak-anaknya sendiri.

Melalui perbualan di sebuah kumpulan WhatsApp, Zuhdi dikatakan mengkritik Nik Omar Nik Abdul Aziz yang bercakap pada sebuah forum malam tadi.

"Bila TGNA meninggal dunia, yang solatkan dia dan menguruskan jenazahnya adalah anak-anak dia, tak nampak pula Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng lakukan semua itu," kata Zuhdi, di dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada anggota kumpulan WhatsApp tersebut yang hanya dikenali sebagai “Sayuti Shah Alam” yang memuat naik "Tok Guru Nik Aziz tatang Pakatan Rakyat lebih dari tatang anak sendiri, Nik Omar Nik Aziz," rentetan forum bertajuk “PAS dan Masa Depan Politik Islam Malaysia” yang dianjurkan di Shah Alam semalam.

"Eloklah kamu buat wasiat dari sekarang Sayuti, kalau kami mati nanti, minta Shaykh Kit Siang atau Sidi Guan Eng jadi imam, sebab kamu tatang mereka lebih dari anak sendiri," kata Zuhdi dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

Sumber daripada Pemuda PAS berkata kepada The Malaysian Insider, kenyataan Zuhdi itu menunjukkan sikap sebenar pemimpin PAS tersebut.

"Secara peribadi saya tidak bersetuju, tetapi saya enggan respons," katanya.

The Malaysian Insider turut difahamkan, petikan kenyataan Zuhdi itu turut tersebar apabila ada anggota kumpulan WhatsApp itu menyebarkannya kepada pihak lain.

"Zuhdi sudah marah, dia kata ada pengkhianat yang sebar isi kandungan kumpulan WhatsApp," katanya, dan menambah, kumpulan khidmat pesanan mesej itu adalah kumpulan terbuka.

Zuhdi sebelum ini mencetuskan kontroversi melalui khidmat pesanan sama, apabila mencadangkan PAS bekerjasama dengan Umno bagi mengekalkan kepimpinan susulan krisis menteri besar Selangor ketika itu.

Melalui paparan skrin mesej WhatsApp dalam kumpulan AJK PAS Pusat yang bocor itu adalah:"Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk seterusnya. Kita 15 kerusi+TSKI+seorang lagi Adun PKR+12 Umno dalam kenyataannya mutakhir ini boleh terima TSKI jadi MB.

"Lepas ini kalau DAP, gereja dan non Muslim melalak isu serban, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So, mana-mana suara non Muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini," katanya, dalam mesej tersebut.

ULASAN GB

Sungguh dasyat mentaliti assabiyah golongan pro-UG ini.. sehingga tergamak bercakap demikian.

Kerana apa? Kerana DAP dikatakan menentang hudud. DAP sajakah menentang hudud? Gerakan dan MCA yang bersama UMNO itu tidak? Malah UMNO sendiri selama ini menyokong hudud?

Sebenarnya kumpulan UG ini memang anti-progresif. Masih lagi ingat kes-kesnya yang sebelum ini yang cuba menuduh Anwar nak serahkan Selangor kepada UMNO walhal beliaulah yang mencanangkan membentuk UG di Selangor:



Di dalam satu kes demontrasi di depan pejabar PAS, Zuhdi Marzuki pernah ditegur oleh Mustafa Ali sendiri menyatakan Zuhdi ini bukan saja bermulut cirit-birit, tetapi tangan pun sama. Baca: "Guling" Hadi: Mustafa Ali Tempelak Zuhdi Marzuki & Geng Mokhtar Senik

[VIDEO] Apa Kata Almarhum TGNA Tentang Mat Sabu?


Apakah Anda Sudah Lupa Pesanan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat 4 Tahun Lalu???

Kata Tok Guru:-

Aku nak mati dah sekarang ni. Aku tinggal ke Mu dua perkara selagi kamu berpegang kepada dua perkara ini kamu tidak akan sesat. Pertama, kitabullah yang Kedua, Sunnah Rasulullah SAW.

Yang Mulia Tuan Pengerusi al fadhil ahli ahli yang telah dilantik Timbalan Presiden Saudara Mat Sabu.

Naib-Naib Presiden termasuk seorang exco kerajaan Kelantan, ahli Jawatan Kuasa termasuk seorang exco Kelantan.

Pada hadirin sekelian, saya pagi tadi tak boleh datang sini kerana masalah kesihatan.

Pada malam ini pun saya minta bercakap awal sikit kerana kurang sihat.

Mula-mula sekali saya ucapkan tahniah di atas perlantikan yang dibuat oleh tuan-puan semua.

Ramai dari penulis khususnya daripada Utusan Malaysia lagakan antara Ulamak dan Professional.

Para hadirin semua, Ulamak Profesional sengaja diadakan-adaka oleh UMNO dan saya minta kepada tuan-puan semua jika hendak tahu mengenai PAS ini tak usah baca surat khabar dia. Dengarlah dari mulut orang PAS sendiri.

Khalid Ibnu Walid r.a tak mengaji mana-mana pun, selepas 3 bulan dia masuk Islam, terus dilantik jadi panglima perang.

Mohamad Sabu ni lama dah. Mohamad Sabu ni menang bukan kerana

My Card palsu.

Bukan undi orang Bangladesh,

Bukan undi orang Burma,

Bukan undi orang Pakistan,

Undi dari orang Pas.

Dia menang!!!!

Sejak daripada dia terlibat dengan politik masa universiti lagi, di ITM lagi, dia terus bersama dengan PAS.

Tak pernah terlibat dengan UMNO, ini kelebihan Mat Sabu.

2 kali Mohamad Sabu disumbat dalam ISA.

Dia tunduk kepada Umno kah?

Dia sujud pada Umno kah?

Tidak!!!

Bermakna, baik antara Mohamad Sabu dengan balik (dari universiti) Azhar hok jadi Pemuda Umno,

Mana baik?


Sidang hadirin sekalian, masalahnya kita menumpang atas bumi Allah.

Bila kita menumpang sebagaimana kita semua tahu, kita mesti patuh kepada tuan punya bumi.

Dan manusia untuk manusia hidup di bumi ini, Allah Taala buat langit, kalau bumi sahaja tak dak langit, manusia tak boleh hidup.

Siapa yang buat bumi? Allah.

Siapa yang buat langit? Allah.

Siapa yang membuat kita? Allah.

Manusia semua atas dunia dilihat seakan haiwan.

Burung, dia boleh berkokok jer.

Kucing boleh mengiow jer. Anjing boleh menyalak jer.

Lembu boleh mengeboh jer.

Manusia boleh belaka..

Ada manusia boleh menyalak, ada manusia boleh berkokok, ada manusia boleh mengeboh.

Yang pasti manusia ni boleh bercakap dan mempunyai akal, oleh itu Islam mengajar manusia manusia kenal diri.

الذي خلف الموت والحياة ليبلوكم ايكم احسن عمل
Allah yang menjadikan manusia mati hidup liyabluwakum supaya di antara manusia yang lebih baik dari segi amalanya.

Jadi oleh yang demikian, saya berasa bangga mendapat seorang Timbalan Presiden seperti Mohamad Sabu.

Dia sangat dibenci oleh musuh.

Alhamdulillah, insya Allah kita doa mudah-mudahan Mohamad Sabu dirahmati oleh Allah dengan taufikNya, hidayatNya, dan dia insya Allah ke mana dia pergi sebelum dia jadi Timbalan Presiden lagi orang ramai suka.

Dimana Mohamad Sabu ceramah di Kelantan orangnya ramai sebagaimana Pesuruhjaya PAS Kelantan pergi ramai orang.

Mohamad Sabu lebih mesra dengan Non Muslim, dengan watak dia, dengan penampilan dia.

Dengan non Muslim, Cina baik, India baik, amat mesra dengan dia. Kalau saya pergi tu, Cina masuk jugak tapi malu-malu. Boleh jadi penampilan saya lain sikit tapi Mohamad Sabu lebih rapat.

Insya Allah UMNO tak boleh nak tidur selepas ini.

Insya Allah saya mintak Mohamad Sabu diletak portfolio dia golongan Non Muslim supaya non Muslim lebih mesra dengan Pas dan Mohamad Sabu.


Insya Allah kita doalah mudah-mudahan Allah menyebarkan fahaman Islam lebih cepat daripada biasa.

Kerana Mohamad Sabu ni jenis orang turun padang, bukan dok kalut atas surau saja.

Para hadirin semua, saya mengucapkan tahniah Jika ada kesilapan nasihatkan saya, tolong maafkan saya, saya nak berhenti setakat tu.

Takbir.

Ucapan Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz Nik Mat di Di Muktamar Pas ke 57
Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar
4 Jun 2011



30 Mei 2015

Kukuhkan Pakatan Rakyat: 3 Anak Bekas Pimpinan Tertinggi PAS Berkongsi Pentas

Dari kiri, Faiz Fadzil (anak Almarhum Fadzil Noor), Mujahid Yusof (anak almarhum Yusuf Rawa) & Nik Omar Nik Aziz (anak almarhum TG Nik Aziz)

Ayah ambil berat Pakatan lebih daripada anak sendiri, kata anak Nik Aziz

Anak kepada bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata ayahnya lebih mengambil berat hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR) berbanding kepentingan anak sendiri.

Menurut Nik Omar Nik Abdul Aziz, menjelang muktamar PAS, perwakilan tidak seharusnya memikirkan sama ada memilih golongan ulama atau profesional diangkat sebagai pimpinan, sebaliknya mereka yang dapat memberi sumbangan kepada parti.

“Ulama ada takrifan tersendiri. Maknanya bagi dia (Nik Aziz), pimpinan PAS semua ulama cuma mengikut tahap masing-masing.

“Ulama ini orang yang takut, maknanya dengan ilmunya, dia takut pada Allah. Pengajiannya dalam bidang sains atau sejarah, yang dia belajar menyebabkan dia kembali kepada Allah. Dia termasuk dalam ulama,” katanya dalam sebuah forum “PAS dan Masa Depan Politik Islam di Malaysia” malam tadi, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Faiz Fadzil, anak kepada bekas presiden PAS, Datuk Fadzil Noor.

Ditanya ciri-ciri yang dimiliki bapanya sehingga dapat menarik sokongan pelbagai kaum di Kelantan, Nik Omar berkata terdapat tiga ciri utama yang dipegang bapanya.

Katanya, tiga ciri tersebut ialah warak, zuhud dan istiqamah yang ditonjolkan semasa mentadbir negeri Kelantan dan juga ketika bersama keluarga.

“Dia ada sifat atas sikit makamnya, iaitu zuhud. Zuhud biasa orang terjemah tak nak pada dunia. Saya perhati Tok Guru seolah-olah tak ada segelumit pun dia minat pada dunia tetapi dia duduk atas dunia.

“Dunia duduk di tangannya bukan pada hatinya. Dia urus dunia, bukan dunia yang urus kehidupannya.

“Apabila dia menang (menteri besar), antara benda yang dia buat untuk diri dia, dia potong gajinya 45% untuk khazanah negeri dan parti. Dia cakap pada saya, sampai akhir pun 'ayah tidak tahu gaji ayah berapa'. Dia nak guna duit, dia beritahu pegawai dia,”
katanya mengenang kenangan bersama allahyarham.

Sementara Faiz berkata, ulama atau profesional bukanlah menjadi kriteria utama pemilihan dalam muktamar kali ini, sebaliknya pimpinan beraliran pragmatik perlu diangkat mempelopori PAS untuk tempoh dua tahun akan datang.

Faiz yang juga merupakan peguam syarie berkata, ciri pemimpin berkenaan penting dalam memastikan PAS terus relevan dan bergerak maju ke depan.

“Untuk kita bergerak sebagai sebuah parti politik untuk perintah negara ini, kita perlu pilih pemimpin beraliran pragmatik, yang tajdid yang boleh berfikir ke depan bukan sekadar buka kitab dan baca apa yang ada dalam kitab.

“Kalau tuan-tuan sayang pada PAS, sayang pada agama Islam, wajib memilih pemimpin yang tajdid sama ada mereka yang berkelayakan agama atau profesional.

“Kalau pragmatik menang, kita akan tarbiah golongan ekstrim, reform model tarbiah, usrah dan bawa mereka kenal budaya Malaysia.

Kita bukan tinggal di Mongolia, Arab Saudi, nak jadi ekstrem, kita bukan duduk di Syria. Kita tinggal di Malaysia. Kita anti keganasan,” katanya.

Faiz berkata PAS perlu terus bersama PR dan menunjukkan kepada DAP bahawa Islam sebuah agama yang universal dan boleh dikongsi untuk bersama-sama membentuk kerajaan.

Katanya, mereka yang berpandangan jumud dan sempit sahaja akan menganggap kerjasama di antara PAS dan DAP akan menggadai maruah Islam.

“Perlulah kita berdakwah kepada orang bukan Islam tetapi sekarang seolah-olah kita nak benci orang Cina, bila kita nak berdakwah dengan mereka?

“Kalau dilihat Buku Jingga, ia mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi. Kalau DAP tolak Islam, dia akan buang.

“Polisi bersama dalam PR memperjuangkan keadilan, membanteras penyelewengan, rasuah dan kita nak bentuk kerajaan yang mengamalkan urus tadbir yang baik. Ini (diajar) dalam Islam,” katanya.

Katanya, bagi memastikan parti Islam itu terus relevan maka keahlian perlu dibuka kepada bukan Islam dan bukan sekadar Dewan Himpunan Penyokong PAS.

“Sebab itu dalam PAS saya memikirkan visi pada masa depan, PAS perlu menjadi (parti) pelbagai kaum dan agama.

"Pemikiran ini bukan baharu. Saya akan meneruskan perjuangan itu. Saya kata bukan sekadar Dewan Himpunan, saya mahu bukan Islam jadi ahli PAS.

“Saya akan lawan siapa-siapa saja yang hijack PAS untuk kepentingan sempit. Saya akan lawan.

“Jangan bimbang dengan suara-suara ekstrem, Isis, Taliban, sebab suara ini akan berlalu. Yang akan memimpin PAS, insya Allah, suara yang melihat masa depan negara dan melihat satu sumbangan untuk meletakkan rahmat sekalian alam sebagai dasar utama yang diperjuangkan parti,”
katanya. -TMI

[VIDEO] Lelaki Cuba Bunuh Diri Terjun Dari Menara Masjid Kampung Baru


Terjun daripada menara masjid untuk bunuh diri

Percubaan seorang lelaki yang dikatakan untuk cuba membunuh diri dengan terjun daripada menara Masjid Kampung Baru tidak kesampaian.

. Dalam kejadian sekitar jam 6.50 petang Jumaat, dia hanya mengalami patah kaki kanan selepas jatuh di atas bumbung bangunan di kawasan berdekatan.

Menurut laporan Harian Metro Online, lelaki terbabit di percayai mempunyai masalah mental, sebelum itu cuba dipujuk orang ramai yang berada berhampiran.

Bagaimanapun percubaan itu gagal.

Sejurus selepas diselamat, dia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Bernama pula melaporkan mangsa yang hanya dikenali sebagai Abshah, 23, seorang warga tempatan patah kedua-dua belah kaki dan tangan serta mengalami kesan lebam pada belakang kepalanya. -FMT


Nasib tak mati

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun daripada Masjid Kampung Baru, di sini, bernasib baik apabila dia hanya patah kaki kanan.

Dalam kejadian kira-kira 6.50 petang itu, mangsa berusia 23 tahun dilihat memanjat menara masjid Kampung Baru.

Lelaki terbabit di percayai mempunyai masalah mental itu kemudian bertindak terjun dari menara terbabit sebelum jatuh ke atas bumbung di kawasan berdekatan.

Difahamkan orang ramai yang berada di kawasan terbabit cuba memujuk tetapi tidak diendahkan.

Mangsa kemudian di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
-HM





[VIDEO] Masa Depan & Harapan PAS & PR Bergantung Kpd Ustaz Ahmad Awang


Ahmad Awang ada kredibiliti satukan ahli Pas

Calon Presiden Pas, Ahmad Awang disifatkan mempunyai kredibiliti untuk menyatupadukan kembali perpecahan dalaman Pas dan PR namun kemampuannya untuk melaksanakan perkara tersebut tidak dapat dijangka lagi.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohammad Fuad Othman berkata, pengalaman Ahmad kira-kira 17 tahun dalam Persatuan Ulama Malaysia menjadi antara bekalan buat bekas Naib Presiden Pas itu.

“Ahmad Awang ini mempunyai kredibiliti atau ada nama dalam ulama. Dia dulu merupakan pemimpin Persatuan Ulama Malaysia selama 17 tahun. Jadi, dari situ mungkin dia ada kapasiti atau pengaruh untuk menyatukan ketiga-tiga golongan dalam Pas (ulama, profesional dan aktivis) sebab dia dikatakan keluar daripada kelompok yang pro ulama walaupun dia ulama.

“Jadi, mungkin atas dasar itu, dia melihat sebagai orang luar yang boleh menyatupadukan ketiga-tiga golongan itu. Jika melihat kepada pengalamannya dalam Pas sebagai Naib Presiden dan Persatuan Ulama Malaysia ini, mungkin dia ada peranan yang boleh dimainkan di situ,” katanya kepada Sinar Online.

Namun katanya, sejauh mana Ahmad mampu menyatukan kelompok dalam Pas itu akan menjadi satu cabaran yang besar.

“Tetapi sejauh mana dia boleh menyatukan ketiga-tiga kelompok dalam Pas ini, adalah satu cabaran yang besar buat dia. Sebab apabila berlaku pemilihan parti, akan berlaku keretakan, pergeseran dan perpecahan.

“Jadi, sejauh mana dia ada kekuatan dan pengaruh untuk menyatukan kembali Pas selepas bulan depan ini adalah cabaran untuk beliau,” katanya.

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpandangan kenyataan Ahmad yang akan memperkukuhkan parti serta menyatupadukan ahli yang pelbagai latar belakang sekiranya menang jawatan Presiden itu sekadar untuk memenangi hati perwakilan yang tidak sekapal dengan Abdul Hadi.

“Mungkin tujuan beliau menyatakan sedemikian rupa untuk memenangi (hati) kumpulan yang tidak bersetuju dengan Tuan Guru Hadi. Tapi sejauh manakah beliau mempunyai sokongan dalam parti yang membolehkan beliau menang? Itu yang menjadi persoalan.

“Kerana saya rasa, beliau hadir sebagai calon yang mahu menunjukkan rasa tidak puas hati dalam kalangan yang tidak bersetuju dengan Hadi,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad dilaporkan berkata penyatuan itu perlu kerana ia merupakan satu tanggungjawab seorang presiden parti.

Pemilihan Pas akan berlangsung minggu depan di Muktamar Pas ke-61 yang bertempat di Kuala Selangor. -SH


Ahmad Awang tidak kisah dituduh proksi DAP

Calon presiden PAS, Ahmad Awang tidak tergugat dengan dakwaan pihak tertentu yang melabelkannya proksi DAP sambil menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai strategi pembunuhan karakter yang menghalangnya merebut jawatan nombor satu parti.

Bekas naib presiden PAS itu berkata tiada sebab untuk melabelnya sebagai proksi DAP kerana hubungan yang baik bersama parti dalam Pakatan Rakyat (PR) dapat mengukuhkan kerjasama pakatan pembangkang.

“Saya tidak tergugat dengan dakwaan menjadi proksi DAP.

“Mungkin pengalaman bersama pimpinan DAP dan PKR membentuk kerajaan pakatan di Perak sebelum ini menyebabkan saya dituduh sebagai proksi DAP.

“Ini usaha pihak tertentu membunuh karakter politik tetapi semua orang tahu peranan saya dalam memperkukuhkan parti,” katanya kepada akhbar kawalan kerajaan, Berita Harian.

Ahmad, 79, yang cuba merebut jawatan presiden PAS daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa beliau mempunyai peluang cerah berdasarkan sokongan akar umbi yang diterimanya.

Katanya, cabaran kepada Hadi dibuat selepas mendapat sokongan banyak pihak dan ia semakin bertambah selepas borang pencalonan dikemukakan.

“Saya dapat banyak mesej dan panggilan yang menyokong pencalonan dan paling penting, saya sering dijemput turun ke kawasan atas permintaan mereka.

“Ia menunjukkan sokongan akar umbi kepada saya amat menggalakkan walaupun ada pihak cuba menghalang saya hadir ke program berkenaan,” katanya kepada akhbar itu.

Ahmad tampil mencabar Hadi selepas jawatan tertinggi PAS itu tidak pernah ditandingkan sejak 12 tahun lalu.
-TMI





29 Mei 2015

Akhirnya Pro-UG Yang Kelupoq & Tersungkoq....


Rahsia demi rahsia terdedah menjelang muktamar PAS

Menjelang Muktamar Tahunan PAS ke-61 Khamis depan, pelbagai rahsia dalam parti itu kini makin terdedah, menimbulkan persepsi ahli parti Islam itu pada realitinya berbeza daripada imej yang ditonjolkan mereka selama ini.

Paling panas, masih menimbulkan persoalan, siapakah di belakang "laman hantu" di media sosial yang sedikit sebanyak menyumbang kepada perpecahan dalam parti itu selama ini.

Terbaru, audio perbualan telefon antara pegawai media di pejabat presiden PAS, Nurul Islam Mohamad Yusof, dengan Tuc Tok Usin Ceroi, didedahkan sendiri oleh pengguna Facebook yang tidak dikenali siapa tuannya yang sebenar itu.

Rakaman perbualan selama 10 minit 41 saat itu, yang menjadi viral dengan begitu cepat di media sosial, turut mendedahkan siapa di belakang kerja menyerang sebahagian pemimpin PAS hari ini.

Ia mendedahkan, Nurul sangat mengenali Tuc Tok Usin Ceroi itu dan perbualan mereka membabitkan nama Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik yang banyak menyerang pimpinan parti itu.

Mokhtar dikatakan antara "orang di belakang" mereka selama ini, begitu juga seorang yang disebut sebagai "Ustaz Din", dipercayai merujuk kepada salah seorang ahli Parlimen PAS.


"Cuba amati minit akhir rakaman audio ini, jelas Nurul bocorkan identiti Tok pada orang luar... Nurul dah bocorkan identiti Tok pada polis.


"Dia fitnah Tok pada pimpinan dan jamaah, serta mengkhianati Tok dan 'team' Tok," tulis Tuc Tok Usin Ceroi dalam Facebook miliknya hari ini.

Tuc Tok Usin Ceroi juga mengaku, Nurul sebahagian dari pasukannya dalam melawan pihak yang digelar "jebon", iaitu nama yang diberikan Tuc Tok Usin Ceroi kepada pemimpin PAS yang dilihat tidak bersama ulama menjelang muktamar kali ini.

Sebelum dilantik sebagai pegawai media pejabat presiden, Nurul merupakan ketua unit media baru Dewan Pemuda PAS yang dipimpin Nasrudin Hassan ketika beliau menjadi Ketua Pemuda sebelum ini.

Semalam, peguam Zulhazmi Sharif pula mendedahkan dalam Facebook miliknya, pihak yang bertanggungjawab di belakang kesilapan mencetak kertas undi Muktamar PAS 2013 lalu yang menyebabkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi, mengambil tanggungjawab dan menawarkan peletakan jawatan.

Asmuni diserang dengan hebat, termasuk oleh menantu presiden parti Islam itu, yang juga ahli Majlis Syura Ulama (MSU), Zaharudin Mohamad, kerana kesilapan yang bukan dilakukannya tetapi oleh seorang pemimpin PAS lain.

Zulhazmi tidak menamakan pemimpin PAS berkenaan tetapi menulis: "Hamba Allah itu lepas dari pertanggungjawaban sehingga hari ini, malah hamba Allah itulah yang 'pulun' buat rang undang-undang persendirian untuk (ahli Parlimen Marang) sekarang."

"Siapa hamba Allah itu, hangpa cari sendiri lah... silap-silap selepas pemilihan kali ini dia akan ketepikan Datuk Mustafa Ali untuk jadi setiausaha agung," tulisnya lagi.

Baru-baru ini, Zaharudin juga membuat pendedahan besar ketika berdialog dengan naib presiden PAS, Salahudin Ayub.

Beliau berkata, MSU membuat keputusan penting tentang hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat (PR), namun ia belum diumumkan lagi.

Ekoran itu anak bekas presiden PAS, Muhammad Faiz Fadzil membuat kenyataan meminta MSU mendedahkan keputusan yang dibuat, yang sepatutnya menjadi rahsia di kalangan ahli MSU sahaja.


Faiz dalam postingnya itu bertanya, benarkah MSU dalam satu forum pada 24 Mei lalu membuat keputusan berkenaan kedudukan PAS dalam PR.

"Jika benar, apakah keputusan yang dikatakan dibuat MSU itu? Sama ada MSU mahu kedudukan PAS dalam PR dikaji semula, atau PAS mengambil ketetapan untuk keluar daripada PR?" soal Faiz, juga seorang peguam, dalam tulisannya itu.

Muktamar parti itu dari 4 hingga 6 Jun ini akan diadakan di Kuala Selangor.

Ia bakal menyaksikan hampir semua jawatan utama dipertandingkan termasuk jawatan presiden di mana Hadi akan ditentang bekas pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang.

Turut dicabar ialah timbalan presiden Mohamad Sabu yang akan berdepan naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam mempertahankan jawatannya.-TMI


Surat terbuka kepada Majlis Syura Ulama PAS (MSU).

Saya rasa terpanggil untuk memohon penjelasan jujur MSU berkaitan kekeliruan yang timbul berkaitan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat. Ini adalah kerana dalam satu forum yang diadakan pada 24 Mei 2015, seorang ahli MSU telah menyatakan bahawa MSU telah membuat keputusan berkenaan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat dan akan menyerahkan keputusan tersebut kepada Jawatankuasa PAS Pusat.

Kebimbangan berkenaan perkara ini diperkuatkan dengan qarinah (circumstantial evidence) oleh kenyataan tokguru Presiden PAS yang dikasihi bahawa PAS bersedia memutuskan hubungan dengan DAP serta kenyataan Timbalan Mursyidul Am bahawa Presiden PAS telah fikir panjang berkenaan hubungan PAS dan DAP.

Saya dengan rendah diri memohon penjelasan persoalan berikut:-

1) Apakah benar MSU telah mengadakan satu mesyuarat membincangkan isu kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat?
2) Jika soalan 1 positif, apakah keputusan yang dikatakan telah dibuat MSU; samaada MSU mahu kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat dikaji semula atau PAS mengambil ketetapan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat?
3) Jika betul memang wujud keputusan berkenaan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, bilakah keputusan tersebut akan diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat supaya satu ketetapan boleh dibuat oleh Jawatankuasa PAS Pusat?

Saya amat yakin bahawa berdasarkan Perlembagaan PAS, kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat hanya boleh diputuskan dalam Muktamar PAS Pusat kerana ia badan tertinggi yang telah memutuskan penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Saya juga amat yakin bahawa majority ahli dan penyokong PAS serta rakyat masih berharap PAS terus berada dalam Pakatan Rakyat untuk bersama-sama menentang kezaliman dan penyelewengan UMNO Barisan Nasional dan membentuk sebuah kerajaan yang adil dan bersih di Persekutuan.

Maka, amat penting untuk kekeliruan yang timbul ini dijelaskan agar ahli dapat terus bekerja menentang UMNO Barisan Nasional tanpa pemikiran positif kami terganggu.

Satu jaminan yang konkrit amat diperlukan dalam suasana nyawa UMNO Barisan Nasional sudah berada di hujung tanduk.

Sekian, terima kasih.

~ Faiz Fadzil
-FB Faiz Fadzil


ULASAN GB

GB sudah lama mempersoalkan hal yang sama: mengapa tiada tindakan ke atas golongan yang melampau batas ini?

Gejala budaya samseng semakin menjadi-jadi di dalam PAS dan lebih memalukan ia dilakukan oleh kumpulan yang mendakwa diri mereka pro-ulama dan bergelar "ustaz". Semasa di Muktamar PAS yang lalu sudah ada unsur samseng di dalam PAS, sekumpulan "50 gagak hitam" yang meninggalkan dewan semasa Timbalan presiden berucap dan ada kumpulan yang memboo semasa AJK PAS Pusat Hanipa Maidin berucap. Apakah ini akhlak Islam yang ditonjolkan oleh kumpulan yang mendabik dada menyatakan kononnya mereka pro-ulama, pro-MSU, pro Presiden?

Selepas daripada tindakan keluar muktamar dan mengeboo ucapan penangguhan seorang AJK PAS Pusat, mereka sekali lagi membuat kacau dengan sekumpulan pemuda kononnya pro-ulamak berbadan besar yang telah mengepung Safwan Anang, Pengarah Eksekutif LENSA berhampiran bangunan pejabat PAS. Safwan bukan saja dikepung malah beliau diugut akan dipukul.

Kesemua budaya berkenaan adalah budaya samseng dan budaya liar yang jauh dari akhlak Islamiah ... tetapi tiada sebarang tindakan diambil hanya semata-mata kerana mereka kononnya kumpulan pro-ulamak. ini?

Kemudian timbul satu demonstrasi di Pejabat Agung PAS. Mokhtar Senik turut serta. Mokhtar Senik (merupakan seorang bekas anggota Al-Maunah) ini Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang.

Presiden PAS sendiri telah turut menegur tindakan Mokhtar Senik and the gang di dalam satu siri jelajah AJK Dewan Harian PAS Pusat ke Pahang Hj Hadi menyelar demo di hadapan Pejabat Agong Pas. Haji Hadi berkata semua itu kerja yang tidak betul. Demo sepatutnya untuk lawan umno sahaja.

Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali turut menegur Pengarah Pperasi Pusat Penyelidikan PAS Zuhdi Marzuki agar jangan "cirit birit mulut dan tulisan" dalam menjalankan tugasnya.

"Ini kerana, Zuhdi bukan sahaja cirit birit mulut, tetapi tangan pun, kerana ada tulisan dan cakapnya yang berikan persepsi negatif kepada PAS," kata Mustafa.

Mereka (golongan pro-ulamak) ini adalah penyokong Presiden yang membawa rebah. Tindakan-tindakan mereka itulah yang bakal menumbangkan Hj Hadi sebagai Presiden PAS.

Diperburukkan lagi dengan kemunculan "papagomo-papagomo" versi PAS seperti Tok Usin Ceroi, El-Haraki, Al-Bangi, Huzir Sulaiman dan beberapa yang lain.


Ada lagi yang lain, malas GB nak layan kerana mereka ini semua baru aktif dalam jemaah. Tarbiyah yang dilalui oleh mereka hanya tarbiyah zahiriah dan bukan ruhiyyah, akibatnya lahirlah watak-watak dajal berserban dan kelihatan hebat agama di penampilannya tetapi masih syaitaniah di lubuk hatinya.

GB amat yakin golongan pro-ulamak yang melampau batas ini akan tetap menerima hukuman Allah kerana SUNNATULLAH itu tidak berubah, yang melampau batas akan tetap terhukum walaupun PAS Pusat sengaja tidak mengambil tindakan ke atas mereka ini. Tunggu, insyaAllah akan sampai masanya.

Apa yang GB jangkakan, alhamdulillah, kini menjadi kenyataan. Masa mereka berantakan yang akhirnya akan menyebabkan mereka "kelupoq dan tersungkoq" (tag yang digunakan oleh mereka sendiri untuk menyerang kumpulan progresif") pun sampailah...

[PANAS] Tok Usin Ceroi Lawan Nurul Islam Batu... Pro-UG Berantakan...


Ramai sahabat2 dok whatsapp dan inbox kenapa tok mcm dah kurang serang jebon sejak sebulan ni?

Ya mmg betoi tok mmg kurang buat posting pasai jebon sebulan ni, tok x serang kerana group tok dah pon tok bubarkan, tambahan pula fitnah terhadap tok juga masih berterusan dijalankan oleh geng hero Tamil yg gila jawatan dan gila nak jadi hero, antaranya Nurul Islam yg byk menjalankan kerja fitnah terhadap tok dan team tok, malah segelintir ahli team tok pon ada juga yg termakan hasutan itu hinggakan depa juga turut menyerang tok dgn tuduhan tok ni SB dan ejen umno.

Pada tok semua ni terjadi berpunca drpd sikap kecelakaan Nurul Islam yg melemparkan fitnah pada tok, malahan pimpinan juga ramai yg percaya pada mamak tu, tok kata begitu kerana ramai juga pimpinan hubungi tok dan bertanyakan perkara tersebut setelah Nurul Islam berjumpa dgn depa dan bgtau bahawa tok usin ni adalah SB dan barua umno.

Bagi tok Nurul Islam mmg barua yg gila jawatan dan manusia jenis ni lebih bahaya drpd jebon kerana dlm hatinya penuh dgn agenda busuk demi keuntungan peribadi.


Amat Malang lah jika pemuda memilih beliau dlm muktamar nanti sebagai ajk pemuda pusat, dia cukup licik dlm mencari nama dan milagge politik.

Tok sebolehnya xnak keluarkan audio ni tetapi tok terpaksa apabila si Nurul Islam ni semakin menjadi2 sikap adu dombanya...hampa nak nilai tok mcm mana pun hampa nilailah kerana tok lgsg xda apa2 kepentingan terhadap apa yg tok buat selama ini, tok bukannya kejarkan nama atau jawatan tetapi tok buat atas tanggungjawab tok terhadap Allah bg mempertahankan jemaah ini dan kepimpinan ulama.

Cuba amati minit akhir rakaman audio ni. jelas nurul bocorkan identiti tok pd org luar ... Nurul dah bocorkan identiti tok pada polis,dia fitnah tok pada pimpinan dan jemaah serta mengkhianati tok dan team tok..

Jadi tok rasa cukuplah sampai disini tugas tok dan selamat bermuktamar semua nanti, semoga jemaah ini terus dipimpin oleh para ulama dan mereka yg benar2 ikhlas kerana Allah.

Tok memohon seribu kemaafan kepada semua jika ada yg terkasar atau terkhilaf selama tok berada di Fb ini....

Akhir kata singkirkan jebon dan singkirkan nurul islam pengkhianat.....wassalam.

Tok usin ceroi
28/5/2015



ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan.

Segala-ganya akan terburai. Kumpulan pro-UG berantakan sesama sendiri....

Bukankah GB sudah menyatakan sebelum ini... segala apa yang difitnahkan oleh kumpulan ini terhadap golongan profesyenal akan kembali memakan diri mereka sendiri...



28 Mei 2015

[KES NUR SYALEZA] Suaminya, Norazman Terlepas Dari Hukuman Mati


Suami eksekutif TV9 terlepas hukuman gantung

Seorang bekas eksekutif syarikat minyak dan gas menangis dan memeluk keluarganya selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam sebentar tadi membebaskannya daripada tuduhan membunuh isterinya, tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Norazman Bashah Ahmad Bashah selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes.

Menurutnya, wujud kelemahan dalam penyiasatan polis selain kemurungan yang dialami mangsa mendorongnya membunuh diri.

"Selepas meneliti semua keterangan yang dikemukakan dalam prosiding pendakwaan dan perbicaraan, mahkamah dengan ini melepas dan membebaskan kamu daripada pertuduhan membunuh," katanya.

Norazman Bashah,34, didakwa membunuh eksekutif pentadbiran TV9, Nur Syaleza Jaafar, 31, di kediaman mereka di No 115, Tingkat 1 Blok O, Apartmen Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, di antara jam 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan 64 eksibit dikemukakan sepanjang perbicaraan bermula pada 16 Oktober tahun lalu.

Norazman diwakili peguam, Muhamad Fadli Sutris dan Shah Rizal Abdul Manan.

IMBAS KEMBALI


Kronologi Kematian Arwah Syaleza Jaffar

Berikut adalah krologi penuh kematian Ekesekutif Pentadbiran Berita stesen televisyen TV9, Syaleza Jaffar bermula dari penerimaan status Blackberry Messenger terakhir Syaleza sehingga penahanan suami mangsa iaitu Norazman Bashah.

• Status Blackberry Messenger terakhir Syaleza yang sempat ditulis berbunyi ‘sabar duhai hati’ kira-kira pukul 4 petang Sabtu lalu.

• Beberapa jam kemudian, Syaleza didakwa bertengkar dengan suaminya, Norazman Bashah, di rumah mereka di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Sungai Buloh.

• Syaleza dipercayai mula mengurung diri dalam bilik selepas bertengkar.
Norazman mendakwa dia bertindak memecah masuk pintu bilik selepas terdengar bunyi dentuman dari dalam bilik ketika hendak memanggil isterinya berbuka puasa.

• Norazman kemudian mendakwa melihat isterinya tergantung pada siling dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira pukul 7 malam.

• Abang sulung Syaleza didakwa menerima berita kematian arwah pada pukul 9.30 malam selepas dimaklumkan oleh Norazman.

• Pasukan bantuan perubatan tiba pada pukul 10.30 malam.

• Norazman kemudian ditahan sebaik upacara pengebumian Syaleza di Segamat, Johor selesai pada pukul 10.15 malam kelmarin.

P/S semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang beriman. Alfatihah


Saham Felda Jatuh Ke Paras RM1.92, Bakal Dikeluarkan Dari Senarai Bursa Malaysia


Kejatuhan harga saham Felda Global Venture (FGV) yang kini hanya tinggal RM2.02 sesaham pada 25 Mei 2015 (RM1.92 pada hari semalam 27 Mei 2015 5.01 ptg -GB) menyebabkan enam pemegang saham utamanya mengalami kerugian hampir RM5.4 bilion.

Penasihat Ekonomi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Dr. Rosli Yaakop berkata, keenam-enam pemegang utama saham FGV memegang saham lima hingga lapan peratus yang disifatkan satu jumlah yang agak besar.

Enam pemegang tersebut adalah Lembaga Tabung Haji, KWSP, Kumpulan Wang Persaraan, Felda Badan Berkanun, Felda Asset Holding Company SB dan Kerajaan Negeri Pahang.

Menurut Rosli, keenam-enam pemegang saham terbabit membeli saham pada 25 April 2013 pada harga RM4.55 berjumlah RM9.6 bilion dan nilai saham ini pada 25 Mei lalu telah merundum kepada RM4.3 bilion.

Felda Badan Berkanun mengalami kerugian sebanyak RM1.84 bilion, Felda Aseet Holding Company SB rugi sebanyak RM1.26 bilion, Lembaga TH rugi RM717.7 juta, KWSP pula rugi RM527.7 juta, Kumpulan Wang Persaraan rugi sebanyak RM546.2 juta dan Kerajaan Negeri Pahang menanggung rugi RM461.5 juta.

"Keenam-enam pemegang ini memegang kira-kira 2/3 daripada jumlah saham FGV yang diurus niaga di Bursa Saham Malaysia. Keadaan ini umpama pemilikan yang tidak sihat bagi mana-mana pasaran saham apabila saham merundum pemegang akan kerugian. Hanya dalam masa dua tahun kerugian yang begitu besar," katanya kepada Harakahdaily.

Berdasarkan semakan saham FGV pada jam 11 pagi hari ini harga saham itu terus turun kepada RM1.92 sesaham.

Yang menjadi kebimbangan, katanya, prospek harga saham FGV akan kekal rendah dalam tempoh dua hingga enam tahun dan jauh sekali untuk mencapai nilai saham RM4 hingga RM5 sesaham.

Ini kerana katanya, beberapa faktor penting akan menekan harga saham FGV iaitu harga minyak sawit rendah, kos pengurusan FGV agak tinggi, dan hasil buah sawit yang terhad kerana 50% pokok sudah tua.

"Dalam jangka masa pendek ini enam badan dan dana awam terbabit akan terus tanggung kerugian yang besar.

"Kenapa badan ini melabur begitu banyak dalam FGV sedangkan FGV sebuah syarikat perladangan khasnya kelapa sawit. Risiko barang-barang sektor pertanian ini sangat tinggi. Kita hairan mengapa syarikat ini sudah tahu risiko tinggi tetapi terus melabur dalam FGV," soal beliau.

Justeru, katanya, Anak menuntut pengurusan badan-badan dana awam ini memberi penjelasan mengenai perkara ini sama ada kepada pendeposit Tabung Haji dan pencarum KWSP.

"Ini adalah perkara yang kita perlu beri perhatian, sepatutnya pemegang saham ini melabur dalam pelaburan yang selamat dan menguntungkan bukannya berisiko tinggi. Akhirnya rakyat yang menampung kerugian ini," katanya.



ULASAN GB

GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Seperti yang GB pernah utarakan sebelum ini, perkataan-perkataan jelek dan hina itu akan kembali kepada penuturnya. Masihkah ingatkan kita tentang perkataan HARAMJADAH yang dituturkan oleh seorang PM bernama Mohd Najib kepada peneroka FELDA yang membantah penyenaraian saham Felda Global Ventures (FGV)? Apa jadi akhirnya? Najib ditimpa HARAMJADAH sampai ke hari ini dan sebuah akhbar melaporkan FGV bermungkinan terpaksa dikeluarkan dari senarai Bursa Malaysia kerana mengalami kerugian yang berterusan...

Terbaik Dari Ust Ahmad Awang: Perkasakan Pakatan Rakyat!


Perkasakan Pakatan, kata Ahmad Awang

Pencabar bagi jawatan presiden PAS Ahmad Awang berkata, beliau akan memperkukuhkan parti serta menyatupadukan ahlinya yang mempunyai pelbagai latar belakang sekiranya menang jawatan tersebut.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, bekas naib presiden PAS itu berkata, perkara itu perlu dilakukan memandang ia merupakan tanggungjawab dan kewajipan seorang presiden parti bagi memastikan semua ahli bersatu.

"Pertama sekali ialah perkukuhkan dan perbaiki parti serta menyatupadukan sebahagian aliran-aliran yang telah membawa kepada seolah-olah tak boleh ada kebersamaan.

"Itu tugas dan kewajipan presiden," katanya yang turut berharap supaya tiada perpecahan ahli PAS selepas muktamar pada awal Jun depan.

Ahmad berdepan pertembungan satu lawan satu dengan Hadi dalam pemilihan PAS kali ke-61 di Kuala Selangor.

Hadi pertama kali dicabar sepanjang 13 tahun kepimpinannya.

Ini dipercayai susulan kenyataan dan tindakannya yang didakwa tidak menguntungkan Pakatan Rakyat.

Berikut sedutan temubual Ahmad bersama Malaysiakini.

Selepas tahun 1956 - selepas 13 tahun, kenapa baru sekarang ustaz bertanding jawatan presiden parti. Selama ini jawatan itu menang tanpa bertanding. Apa yang menyebabkan ustaz memutuskan untuk bertanding jawatan itu?

Bila kata mencabar, saya tak ambil pengertian "mencabar" presiden. Cuma saya menganggap saya ambil tanggungjawab memenuhi tuntutan atau permintaan daripada sebahagian ahli parti yang mencalonkan saya untuk jawatan tersebut. Dan dalam PAS, memang kita parti yang amalkan sistem demokrasi dan dalam perlembagaan, kita diberi hak kepada setiap ahli untuk dicalonkan apa jua jawatan dalam parti. Dari jawatan presiden sampailah ke peringkat ahli jawatankuasa.

Soal sebelum ini tak ada mana-mana pihak yang dicalonkan untuk mengisi jawatan itu, itu bergantung pada keadaan parti setiap masa. Mungkin disebabkan parti sekarang melihat jawatan presiden perlu ada calon lain. Calon presiden sekarang adalah golongan yang dilihat sebagai golongan agamawan atau ulama dan (calon) yang lain saya lihat tak ada persediaan (untuk bertanding), jadi saya menyahut dan hormati kehendak sebahagian mereka (ahli).

Jadi kecenderungan ramai mahu saya dicalonkan. Dan apabila saya fikir dan timbang serta hormati kehendak ahli, berdasarkan perlembagaan parti dan dari segi hukum agama pun tak jadi kesalahan jika seseorang bersedia untuk dicalonkan bagi parti gerakan Islam.

Ini bukan perlawanan nak tentang satu sama lain tapi ini satu pertandingan dan persaingan yang sihat dan sebagai persaingan idea, pemikiran untuk dilihat oleh perwakilan. Mereka boleh memilih bagi menentukan sama ada sesuai atau tidak menerajui PAS sekarang yang dilhat sebagai pertubuhan bukan hanya sebuah parti seperti zaman 30-an dulu yang macam kampungan. Kerana dalam PAS sekarang ada pelbagai ahli dari latar belakang berbeza. Jadi saya sahut cabaran untuk bersetuju menerima pencalonan ini setelah berfikir amat dalam.

Ustaz dianggap memecah tradisi parti?

Saya menghormati beliau (Hadi) dan kalau jumpa pun saya panggil dengan panggilan mesra iaitu 'ayah chik'. Itu menunjukkan kemesraan kami. Walaupun lima tahun sejak kebelakangan ini jarang bersama. Dan saya rasa tak timbul (pecah tradisi), saya tetap hormati dia sebagai rakan, sahabat dan juga salah seorang naib presiden Persatuan Ulama Sedunia. Saya pula ada menubuhkan cawangan Persatuan Ulama Sedunia dan dengan sendiri dalam konteks hubungan Persatuan Ulama Sedunia pun kami bersama.

Dulu walau ada konflik dalaman parti, jawatan presiden tetap tidak dicabar. Adakah masalah yang melanda PAS sekarang begitu kronik sehingga ahli meminta ustaz bertanding?

Amalan demokrasi itu satu perkara. Macam kita lihat tadi, barangkali PAS dalam suasana politik hari ini berada dalam politik negara dan parti nasional kerana duduk di dalam Pakatan Rakyat dan ia merupakan saingan kepada BN. Jadi perkara mutakhir ini mungkin dirasakan sebahagian ahli untuk melihat persaingan di kalangan pimpinan dalam konteks kepimpinan iaitu pelaksanaan tanggungjawab dalam parti supaya lebih komprehensif yang menunjukkan kepada amalan kebijaksanaan dalam kepimpinan. Mungkin mereka kini nak lihat sesuatu yang lebih baik. Bukan bermakna sekarang tak baik.

PAS kini dilihat terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ahli PAS yang pro-ulama dan profesional. Ustaz yang mana satu?

Pada saya PAS hanya satu kelompok kumpulan sahaja iaitu ahli Parti Islam Se-Malaysia. Saya akui ahli mempunyai pelbagai latar belakang. Ada yang profesional, berpendidikan dan pelbagai arah pemikiran. Tapi kita melihat kepelbagaian pemikiran, pandangan, sudut pandang berbeza dalam parti itu sebagai satu perkara yang baik. Dan apabila diurus, dengan kepelbagaian itu capai objektif yang komprehensif dan keputusan bersama dapat diperolehi.

Berbeza pendapat, pandangan ini kepelbagaian yang cantik tapi perlu diolah dan diselaraskan sehingga lahir satu kesepakatan. Dalam Islam, ia mengaturkan prinsip dalam jamaah berdasarkan kepada permesyuaratan.

Jadi ustaz tak meletakkan diri ustaz di mana-mana pihak?

Saya kira yang memberi gelaran pro-ulama dan sebagainya ini, pada saya ia masalah yang mesti kita perbetulkan dan selaraskan. Dan dalam PAS pun ada perlembagaan parti dan menjadi tugas pemimpin untuk menyatupadukan ahli dengan segala usaha dan ikhtiar dan menjadikan parti yang didukung ini, ahlinya bersatu dengan pendapat yang berbeza. Dan akhirnya, pemikiran yang terbaik itu akan dipilih untuk dijadikan keputusan bersama.

Berdasarkan pemilihan kawasan, Hadi dilihat mempunyai peluang dan kelebihan yang lebih besar. Mungkin ustaz ada strategi ustaz untuk berkempen memenangi jawatan ini?

Soal berkempen tak timbul. Tetapi bila ahli calonkan saya, saya setuju dan oleh itu saya kena berusaha. Mereka yang calonkan saya juga kena usaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan. Dalam pertandingan ada menang dan kalah. Kalau masuk untuk main-main dan tak nak menang, saya pun tak menerima pencalonan ini. Tapi saya melihat, kita berusaha dan ikhtiar dan ahli perlu beri dukungan. Dengan ikhtiar ini, insya-Allah boleh capai kemenangan.Semua itu kita serahkan pada perwakilan. Ini usaha kita. Ia bukan tak boleh dicapai. Kita percaya dengan keyakinan itu, kita serahkan dan dalam berusaha, kita juga perlu beri maklumat yang diharapkan sampai kepada perwakilan.

Adakah ustaz meletakkan peratusan keyakinan untuk menang pada pemilihan kali ini?

Soal yang penting ialah usaha dan ikhtiar dan ia meyakinkan saya boleh capai kemenangan. Serah pada perwakilan. Benda ini bukan perkara yang tak boleh dicapai dan dari situ datang peratusannya.

Apa ustaz harapkan apabila menjadi presiden? Dan apakah perkara pertama ustaz akan lakukan sekiranya menang jawatan ini?

Pertama sekali ialah perkukuhkan dan perbaiki parti serta menyatupadukan sebahagian aliran-aliran yang telah membawa kepada seolah-olah tak boleh ada kebersamaan. Saya balik pada teras asal. PAS yang ada ini sudah baik dah, tetapi baiki berasaskan prinsip dan perlembagaan PAS. Itu tugas dan kewajipan presiden. Dan perkasakan Pakatan Rakyat. Tetapi sebelum ke sana, saya nak perkasakan jamaah dulu. Bagaimana cara nak laksanakannya, bagi saya menang dulu.

Saya tak mahu melihat yang kalah (dalam pemilihan) nanti diasingkan. Dan saya selalu mengetengahkan bahawa yang kalah jangan tubuh parti atau kumpulan lain. Saya percaya semua ahli PAS sayang parti seperti saya. Saya tak mahu terus ada perpecahan dalam PAS selepas muktamar. Usaha ini boleh dilaksanakan. Tambahan pula Majlis Syura ini terdiri daripada ulama dan mereka beri nasihat untuk membimbing agar jangan berlaku perselisihan faham pada jamaah.

Jika ustaz kalah, adakah tetap akan meneruskan visi ini?

Insya-Allah. Saya bersama sahabat saya pun, tujuan kita dalam kedudukan PAS adalah untuk terus maju ke hadapan bersama Pakatan dan slogan "PAS For All" kita nak terus terbina. (PAS) bukan hanya untuk Melayu dan ahli PAS sahaja.

Dalam erti kata lain, adakah presiden sekarang gagal untuk menyatupadukan dan kukuhkan parti?

Yang itu saya punya visi. Yang orang itu, dia punya visi dia. Kena tanya dia. -mk

ULASAN GB

GB katakan TERBAIK... kerana Ustaz Ahmad Awang tegas dengan misinya... PERKUKUHKAN PAKATAN RAKYAT. Itulahlah resolusi Muktamar PAS bertahun-tahun yang cuba dicabuli oleh sesetengah pemimpin di dalam PAS kini.

Mereka lansung tidak menghormati suara ahli di dalam PAS. Malah ada ahli MSU dan pimpinan tertinggi PAS sendiri yang berulangkali membuat kenyataan "semak semula kedudukan PAS dalam PR", sedang mereka terlupa MSU itu sendiri dibentuk oleh Muktamar.

mereka lansung tidak bersyukur dengan nikmat dan rahmat kemenangan yang Allah kurniakan kepada PAS melalui Pakatan Rakyat. Perencanaan jahat sesetengah pihak untuk membawa keluar PAS dari PR akan tetap gagal.

InsyaAllah kami doakan Ustaz Ahmad Awang berjaya di dalam pemilihan PAS nanti sebagai Presiden PAS yang baharu.

27 Mei 2015

Apakah PAS Hanya Untuk Orang Pantai Timur?


Poster calon-calon untuk PAS PAS Pusat sudah pun bertaburan di media sosial.

Kumpulan Pro-Ulama (baca: pro-UG, pro-UMNO) telah memulakan langkah dengan membuat satu poster yang memaparkan calon-calon mereka: Presiden: Haji Abd Hadi Awang, Timbalan Presiden: Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda: Nik Abduh Nik Abd Aziz, Ketua Muslimat: Nuridah Salleh.

Namun ia mendapat kritikan hebat dari pengguna media sosial kerana amat jelas calon-calon yang dibariskan kesemuanya datang dari pantai timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Apakah PAS hanya untuk mereka dari pantai timur? Soal seorang ahli PAS.

"Ia amat tidak realistik. Seolah-olah mereka mahu membolot semua jawatan tertinggi di dalam PAS," ujar seorang lagi ahli PAS.

"Satu hal lagi, kesemuanya datang dari satu kumpulan. Ia tidak menggambarkan dan mewakili kerencaman ahli-ahli PAS. Perwakilan PAS perlu tolak mereka kerana ia amat kenegerian, ia terlalu assabiyah," tambahnya lagi.

"Nampak gaya macam pantai timur hendak menjajah PAS seluruh negara," kata seorang lagi ahli PAS yang tidak berpuas hati dengan poster berkenaan.

"Jika dibandingkan dengan barisan calon-calon dari Pro-Pakatan, mereka lebih realistik. Datang dari pelbagai tempat dan dari pelbagai latarbelakang dipimpin oleh seorang ulama, " katanya.





Satu undian siber juga telah dilakukan oleh seorang facebooker untuk menilai sokongan ahli PAS samada kepada kumpulan pro-ug atau pro-pr.

Sila klik PAUTAN INI.