26 Feb 2009

SPRM disifatkan hina DUN Perak

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V Sivakumar menyifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghina institusi DUN apabila menyiasat tindakan yang dibuatnya secara sah.

"Saya amat kecewa dengan tindakan SPRM ini. Saya rasa tindakan mereka ini adalah satu penghinaan kepada institusi DUN dan sememangnya saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku," Bernama memetik beliau berkata kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan kepada pegawai SPRM di Kediaman Rasmi Menteri Besar semalam.

Beliau juga menyifatkan tindakan SPRM itu menjejaskan prinsip demokrasi dalam negara ini dan mengancam doktrin pengasingan kuasa antara tiga badan kerajaan, iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Sivakumar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh berkata sebagai Speaker, beliau cuma menjalankan tugas mengikut peraturan sedia ada, dan menurutnya "tetapi nampaknya saya pula yang disoal siasat".

Bagaimanapun menurutnya beliau yakin telah memberi kerjasama penuh dengan memberi keterangan kepada dua pegawai SPRM dari Ibupejabat di Putrajaya selama kirakira dua jam, bermula dari pukul 6 petang.

Jumaat lepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dilaporkan berkata Suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa V. Sivakumar kerana menggantung Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Excon kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan DUN berkuatkuasa serta merta.

Ahad lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata "tidak ada yang lebih lucu daripada nasihat Perdana Menteri kepada Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Barisan Nasional supaya beliau membuat laporan polis berkenaan dengan penggantungannya oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (V Sivakumar)".

Tidak diketahui adakah tindakan sepasukan tiga pegawai dan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak yang mengambil keterangan dari Sivakumar itu juga dianggap lucu oleh Dr Mahathir.

1 ulasan:

Prof. Era Pasca berkata...

http://bagindareformasi.blogspot.com/2009/02/komedi-di-perak.html

kelakar2