26 Feb 2009

Karpal Diserang Oleh Pemuda UMNO

Pertama kali berlaku di dalam sejarah - demikian kata Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia merujuk kepada insiden Pengerusi DAP Karpal Singh dikepung sekumpulan anggota Pemuda Umno di bangunan Parlimen petang tadi.

Kumpulan pemuda UMNO menuntut Karpal Singh meminta maaf kepada pergerakan tersebut kerana mendakwa mereka menghantar peluru kepadannya.

Ini ekoran tindakan Karpal menggunakan perkataan 'celaka' yang ditujukannya kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam, serta mendakwa pergerakan itu menghantar peluru kepadanya.

Karpal bagaimanapun menarik balik perkataan "celaka" itu setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdul dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Amiruddin mengepung ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sambil meminta Karpal mengakui ada menyebut perkataan "Pemuda Umno celaka" dan meminta maaf kepada mereka.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang tadi ketika ahli parlimen Bukit Gelugor itu masuk melalui pintu utama bangunan tersebut.

Kira-kira 20 hingga 30 ahli Pemuda Umno terbabit dan mereka dipercayai dari Selangor and Kuala Lumpur

Bagaimanapun, Karpal kemudiannya menelefon ahli parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan yang kemudian tiba bersama beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat lain.

Suasana kelam-kabut di kawasan Parlimen itu bertambah kecoh apabila dua ahli Parlimen Segambut, Lip Li Eng dan Bukit Bintang, Fong Kui Lun cuba mempertahankan Karpal.

Namun salah seorang daripada Ketua Pemuda terbabit, Zulkarnain menarik baju ahli Parlimen Segambut itu.

Ekoran itu berlaku kekecohan antara kumpulan penyokong Umno dengan wakil-wakil rakyat pembangkang di situ sebelum pengawal keselamatan tiba untuk meleraikan mereka.

Khairy berkata tuduhan yang dilemparkan anggota parlimen satu tuduhan liar, gila serta berniat jahat.

"Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang ahli parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran.

"Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda Umno, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam.

"Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan," Khairy.

Tetapi menurut pemerhati kejadian tersebut, apa yang nyata Khairy bersama Pemudanyalah yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan apabila bertindak mengepung dan menyerang Karpal Singh di parlimen.

"Khairy selama ini meletakkan undang-undang di dalam tangannya untuk bertindak sesuka hati semata-mata kerana beliau menantu PM," tambahnya.

"Beliau menggunakan alasan "sentimen rakyat" sedangkan Pemuda UMNO tidak mewakili majoriti rakyat di negara ini."

Pandikar Amin Mulia menyatakan beliau akan meminta Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat perkara itu dan berjanji akan memastikan parkara itu tidak berulang.

Manakala Karpal pula dengan tegas berkata: "Saya mungkin kurang upaya, tetapi saya tidak tunduk kepada ugutan mana-mana pihak."

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Tiong King Sing memberitahu pemberita bahawa kesemua 22 anggota Pemuda Umno yang terbabit, telah ditahan oleh polis Bukit Aman.

Beberapa orang pemerhati juga mendesak supaya Khairy Jamaluddin patut dikenakan tindakan yang berat kerana mendalangi serangan tersebut.



Tiada ulasan: