Kemunculan parti Islam baru untuk semua?
Malaysia tidak lama lagi bakal menyaksikan kelahiran parti Islam baru yang akan membuka pintu kepada semua rakyat tidak mengira kepercayaan dengan syarat mereka bersetuju dengan perjuangan terasnya.
Ini akan menjadi menjadi kenyataan sekiranya PAS tidak memenuhi pendekatan inklusif yang dibina pada masa ini, kata MP Shah Alam.
Tidak seperti PAS, kata Khalid Samad, objektif parti baru itu antara lain lebih kepada memerangi rasuah dan menegakkan keadilan.
Bercakap kepada Malaysiakini, beliau yang juga bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata parti itu masih berpandukan kepada prinsip-prinsip Islam.
"Pendekatan kami lebih inklusif. Kami mahu semua kumpulan orang Islam dan bukan Islam bersama-sama kami dan menentang rasuah. Inilah apa yang (Allahyaham bekas presiden) Datuk Fadzil Nor bawa.
"Ia adalah perjuangan Islam berdasarkan kepada prinsip Islam. tetapi jika bukan Islam bersedia untuk menerima asas perjuangan, maka tidak ada masalah (mereka untuk menyertainya)," katanya.
Tidak seperti pemimpin PAS yang lain, Khalid lebih jelas menceritakan mengenai inisiatif baru itu sebagai parti politik yang sedang dalam penubuhan sedangkan pemimpin lain memilih menggunakan perkataan 'platform'.
Ditanya sama ada kumpulan pemimpin progresif yang dikenali G18 mahu menubuhkan parti baru, Khalid berkata:
"Ya, besar kemungkinan jika ia tidak memenuhi visi pendekatan yang inklusif yang dibina pada masa ini.
"Jika ia mula menjadi lebih pendiam, lebih nak halau orang keluar keluar, nak yang suci murni saja bersama dia, maka sudah tentu pendekatan itu (tubuh parti baru) kami mahu," katanya.
Perincian mengenai parti itu masih di peringkat awal, kumpulan pemimpin progresif itu merancang untuk menarik sokongan profesional, aktivis, pemimpin NGO Islam atau bukan Islam. -mk
Pakatan Rakyat Baru Direstui Anwar?
Perkembangan terkini dalam blok pembangkang menunjukkan bukan saja sebuah parti Islam baru bakal wujud tidak lagi, bahkan juga akan disusuli dengan penyusunan semula Pakatan Rakyat yang benar-benar beraspirasi mahu menggantikan BN mentadbir negara ini.
Setelah kumpulan progresif Pas yang menggelarkan diri mereka G18 mengadakan beberapa pertemuan, seorang daripada anggotanya, Khalid Samad hari ini mengesahkan mengenai penubuhan sebuah parti Islam baru itu.
Katanya, parti baru itu berkonsepkan untuk semua tanpa mengira kepercayaan dengan teras perjuangannya ialah untuk memerangi rasuah dan menegakkan keadilan kepada rakyat.
Sebelum ini beberapa pemimpin progresif Pas seperti Mohamad Sabu, Nizar Jamaluddin dan lain-lain turut membayangkan perkara yang sama yang sekaligus menunjukkan mereka ini sudah tawar hati dengan trend perjuangan yang dibawa oleh Pas pro ulama sekarang.
Pada malam semalam juga, kumpulan G18 ini turut mengadakan pertemuan dengan pimpinan utama PKR dan DAP di kediaman bekas Setiausaha Agung Pas, Kamaruddin Jaafar yang dipercayai sebagai tanda-tanda awal kepada penyusunan semua Pakatan Rakyat yang dalam keadaan tidak menentu ketika ini.
Antara pemimpin PKR yang hadir dalam pertemuan itu ialah Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tian Chua, Johari Abdul, Saifuddin Nasution dan Shamsul Iskandar manakala daripada DAP pula ialah Lim Kit Siang, Teresa Kok, Liew Chin Tong dan beberapa yang lain.
Dengan adanya pertemuan tersebut serta kehadiran pemimpin utama PKR dan DAP, kebarangkalian paling nyata ialah bukan saja penubuhan sebuah parti Islam baru akan menjadi kenyataan tidak lama lagi tetapi juga penyusunan semua Pakatan Rakyat yang lebih mantap dan kuat.
Adalah dijangkakan sebaik saja parti baru itu disahkan penubuhannya, ia akan terus memohon menyertai Pakatan Rakyat atau PKR dan DAP sendiri yang akan mencadangkan kemasukannya ke dalam gabungan pembangkang.
Ia akhirnya terserah kepada Pas sama ada mahu terus kekal bersama Pakatan Rakyat atau secara sukarela "mencari selipar dan berlaku pergi" meninggalkan gabungan itu.
Jika Pas mahu terus kekal, bermakna Pakatan Rakyat baru ini akan dianggotai oleh empat parti, tetapi kiranya Pas memilih untuk mengundurkan diri ia akan kekal dianggotai oleh tiga parti.
Pertemuan kumpulan G18 dengan pimpinan PKR dan DAP ini diadakan hanya beberapa jam selepas Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan daripada Penjara Sungai Buloh yang melahirkan keyakinan bahawa gabungan pembangkang akan menjadi lebih kuat setelah melalui penyusunan semulanya.
Sambil menegaskan bahawa Pakatan Rakyat masih berfungsi sama ada di peringkat negeri mahupun Parlimen, Anwar berkata, barisan pembangkang selepas disusun semula dengan kekuatan baru, termasuk sokongan NGO-NGO, akan muncul lebih kuat dan bersatu selepas ini.
Beserta ikrar tidak akan meninggalkan perjuangan ini selagi nyawa dikandung badan, Anwar ternyata tidak sekadar membaca buku dan mengaji Al Quran saja ketika mendekap di penjara.
Sepertimana jangkaan banyak pihak sebelum ini, kehidupan di penjara tanpa tekanan dan gangguan akan membuatkan Anwar lebih bebas berfikir dan merangka strategi yang lebih baik untuk kepentingan Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihanraya akan datang.
Serentak dengan itu, tidak disangsikan lagi bahawa penubuhan parti Islam baru dan penyusunan semula Pakatan Rakyat yang sedang direncanakan ini adalah dalam pengetahuan dan restu Anwar sepenuhnya.
Di luar atau dari dalam penjara, Anwar nampaknya sentiasa ada untuk politik Malaysia. -Shahbudindotcom
ULASAN GB
Ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi sungguh teruja dengan kehadiran parti dari kumpulan progresif.
Mereka yakin dengan para profesional yang sekalipun tewas di dalam pemilihan PAS, namun di atas usaha merekalah PAS berjaya mencai era kecemerlangannya di arena politik tanahair.
Era kecemerlangan ini akan berulang, kali ini dengan sebuah "kapal baru", malah di bawaha Pakatan yang baru, dinamakan Pakatan 2.0.
Yang nyata, parti baharu ini mempunyai misi dan visi yang jelas. Ia benar-benar sebuah parti yang profesional dipimpin oleh tenaga profesyenal yang masih mempunyai dasar Islam yang kental.
Kehadiran beberapa NGO yang turut menyokong parti baharu ini seperti PASMA, IKRAM, ABIM dan lain-lain akan menjadikan parti baharu ini seperti parti AKP yang dipimpin oleh Erdogan di Turki.
Dan jika dulu Anwar pemimpin gerakan Reformasi 1998 yang buat pertama kali telah berjaya membangkitkan kesedaran rakyat sehingga sejak itu UMNO BN gagal untuk mencapai majoriti dua pertiganya di parlimen, kini gerakan reformasi kedua bermula, dipimpin oleh tenaga progresif insyaAllah bakal menamatkan rejim pemerintahan kerajaan UMNO BN digantikan dengan "Pakatan Rakyat" yang sebenarnya.


































