29 Okt 2017

[VIDEO] Husam Dedah Komisyen Balak Diguna Beli Wisma Tok Guru

Komisyen balak diguna untuk beli Wisma Tok Guru, dedah Husam

Kelulusan kawasan balak seluas 5,500 ekar kepada tiga buah syarikat yang dimiliki orang yang sama didedahkan sebagai modus operandi untuk membiayai pembelian tapak Wisma Tok Guru.

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, beliau dimaklumkan secara jauh bahawa salah seorang ADUN Kelantan telah mengutip sejumlah wang daripada pengarah syarikat yang terlibat.


Sebahagian wang inilah telah digunakan untuk membayar tapak tanah Wisma Tok Guru, katanya di majlis dialog di Lakloh Kuala Krai malam kelmarin.

Beliau mempersoalkan apakah asas 5,500 ekar hutan Kuala Pahi diluluskan kepada tiga syarikat yang dimiliki oleh orang yang sama.

“Khazanah hutan dan tanah untuk perladangan baharu negeri Kelantan semakin pupus.

“Kelulusan baharu sepatutnya dibuat secara tender terbuka yang telus demi meningkatkan hasil negeri untuk faedah rakyat Kelantan.

“Juga dengan cara memilih syarikat yang layak dengan kemampuan kewangan yang tidak diragui bagi mengelakkan kroni dan Ali Baba mengambil kesempatan mengaut kekayaan dengan mudah atas harta rakyat,” katanya.

Lebih penting lagi menurutnya, hutan dan tanah yang semakin berkurangan di negeri itu patut diutamakan kepada rakyat jelata untuk dibangunkan demi meningkatkan ekonomi.

“Isu yang saya akan bangkitkan kali ini ialah kelulusan hutan tanah kerajaan untuk perladangan sawit seluas 5,566 ekar di Mukim Kuala Pahi, Daerah Batu Mengkebang, Jajahan Kuala Krai kepada tiga syarikat yang dimiliki oleh orang yang sama.

“Ia diluluskan oleh kerajaan melalui Akademi Yakin yang belum diketahui terma-termanya, kecuali satu iaitu ‘Sayugia juga dimaklumkan kelulusan ini khusus kepada BE sahaja dan tidak boleh ditawarkan kepada pihak ketiga sebelum perjanjian ditandatangani dengan pihak Akademi Yakin’.

“Akademi Yakin dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Haji Mohd Amar Bin Abdullah.

Menurutnya, syarat ini terkandung dalam surat Pengurus Operasi Akademi Yakin bertarikh 3 Oktober 2016.

“Berdasarkan syarat ini, boleh difahami, selepas perjanjian ditandatangani, syarikat-syarikat ini bebas menjual kawasan yang diluluskan kepada pihak ketiga,” katanya.

Kata Husam, adalah agak pelik, satu daripada syarikat ini hanya ditubuhkan pada 5 Ogos 2016 dan sembilan hari kemudian iaitu pada 14 Ogos, syarikat terus memohon untuk berusaha sama dengan Akademi Yakin.

“Pada 25 September 2016 iaitu 42 hari selepas permohonan itu dibuat, Jawatankuasa Teknikal Pelaburan Akademi Yakin Bil 3/206 telah secara dasar meluluskan permohonan ini.

“Semakan data-data di Suruhanjaya Syarikat menunjukkan syarikat ini tidak mempunyai apa-apa kenyataan kewangan bagi membuktikan mereka mempunyai kemampuan kewangan memajukan ladang berkenaan.

“Bahkan tercatit, bentuk perniagaan sebagai ‘dormant’ atau syarikat yang tidak aktif sahaja.

“Satu syarikat lagi, penyata kewangannya menunjukkan kerugian selepas cukai bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM 3.7 juta. Syarikat ketiga yang dimiliki oleh orang yang sama ini pula hanya ditubuhkan pada 16 Mei 2016.

“Juga tidak mencatatkan apa-apa mengenai kewangan termasuk kemampuan kewangan,” katanya.

Beliau yakin kelulusan ini telah dirancang oleh orang politik sebelum permohonan dibuat.

“Adalah meragukan bagaimana syarikat yang baru ditubuhkan sehari dua sebelum permohonan dibuat, dengan mudah mendapat kelulusan sebegini besar jika ia tidak diatur dengan persetujuan pihak berkuasa terlebih dahulu.

“Dengan latar belakang syarikat yang tidak mempunyai pengalaman perladangan mahupun kedudukan kewangan yang kuat mampu mendapat kelulusan yang besar sebegini, ia menimbulkan tanda tanya mengenai niat sebenar kelulusan ini dibuat,” katanya.

Beliau menimbulkan persoalan kenapa kelulusan 5,566 ekar ini dipecahkan kepada tiga syarikat walaupun pemiliknya adalah orang yang sama.

“Syarikat A : 1,478 ekar. Surat Akademi Yakin untuk bayaran deposit bertarikh 22 Mei 2017.


“Syarikat B : 2,000 ekar. Surat Akademi Yakin untuk bayaran deposit bertarikh 22 Mei 2017.


” Syarikat C : 2,088 ekar. Surat Akademi Yakin untuk bayaran deposit bertarikh 22 Mei 2017,” katanya.


Tambah beliau, semakan peta Google yang dibuat menunjukkan kawasan 5,500 ekar Mukim Kuala Pahi, Daerah Batu Mengkebang, Jajahan Kuala Krai ini mempunyai kepadatan hutan yang tinggi.

“Berapa nilai balak-balak yang ada di sini?

“Bolehkah Kerajaan Pas Kelantan berlaku telus?

“Amalan biasa, syarikat yang berjaya mendapat kelulusan ladang akan diberi izin untuk menebang dan menjual balak-balak yang ada dalam kawasan mereka.

“Jadi, orang ini akan mendapat dua kali durian runtuh.

“Kali pertama, mereka menjadi kaya raya dengan balak-balak yang ada dalam kawasan mereka dan mereka mungkin terus menjual balak dan tanah ladang yang mereka perolehi,” katanya.

Husam juga berkata kawasan hutan yang diluluskan ini adalah termasuk dan berdekatan dengan kawasan perkelahan dengan jeram atau air terjun yang cantik.

“Air Terjun Lata Berangin termasuk dalam kawasan yang diluluskan dan berdekatan pula dengan Hutan Lipur Lata Tembakah.

“Adakah kesan ekologi kepada tarikan semula jadi ini diambil kira?” soal Husam. -MD










4 ulasan:

Unknown berkata...

Itu baru benar - "MEMBALAK BERSAMA ULAMAK".

Lelakidicermin berkata...

apa tindakkan pemuda2 parti pak lebai.. tak nak demo ke... duit tu patut di guna utk rakyat... bukan utk parti .. ngok betul pak lebai ni..

Tanpa Nama berkata...

Tak perlukah dilapor kpd SPRM untuk memulakan siasatan

Tanpa Nama berkata...

ayoyo lobai.... korang dh tak ada duit ka? nampak muflis sangat. camne rakyat kelantan nak hidup bwh kerajaan yg tak tau cari duit camnih?? tau jual tanah, jual balak utk cari income. sampai bila bai??