24 Feb 2009

Rebat Ditamatkan, Pos Malaysia Kaut RM22.8 juta

Kerajaan berhasrat untuk tidak meneruskan pemberian rebat petrol kepada pemilik-pemilik kenderaan selepas Mac ini.

Keputusan itu didorong oleh prestasi harga minyak semasa yang sudah menurun ketika ini, beritahu Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah di persidangan Dewan Rakyat semalam.

"Mengenai rebat ini, oleh kerana harga minyak sudah turun, kita belum membuat satu dasar tapi saya jangka kita tidak akan teruskan rebat ini,'' kata Ahmad Husni ketika menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

Terdahulu, beliau memberitahu, jumlah rebat tunai yang telah dibayar kepada pemilik kenderaan yang layak adalah sebanyak RM3.6 bilion bagi tempoh 14 Jun 2008 hingga 31 Januari lalu dengan jumlah pemilik kenderaan kira-kira 7.5 juta.

Sementara jumlah komisen kepada Pos Malaysia Bhd. mencecah RM22.8 juta.

Untuk tujuan rekod, Pos Malaysia yang telah diswastakan dan sahamnya telah dimiliki oleh sebuah syarikat yang ada kaitan rapat dengan menantu PM yang mana bererti syarikat tersebut telah memperolehi komisyen secara "atas angin" sebanyak RM22.8 juta.

Ahli Majlis Tertinggi KeADILan (MPT) Badrul Hisham dalam blognya pernah mendakwa berkaitan pembayaran subsidi kerajaan berikutan kenaikan harga minyak.

Badrul berpendapat syarikat (Pos Malaysia) tersebut menikmati keuntungan hasil daripada mekanisma pembayaran subsidi tersebut.

"Tahukah anda, setiap plan yang diperkenalkan oleh Pak Lah mesti ada motif rasuah atau salahguna kuasa? Contoh untuk kenaikan harga minyak ini. Penstrukturan subsidi yang dibayar menggunakan wang pos "Bayangkan duit yang masuk ke dalam poket Khairy, setiap RM10 yang dibayar sebagai subsidi...10 sen akan masuk ke poket sebagai komisen wang pos," katanya dalam blog tersebut.

Katanya sejumlah enam juta kenderaan di Malaysia yang mana setiap kenderaan akan mendapat subsidi RM 620, maka secara tidak langsung sebanyak RM 6.20 komisen yang bakal diperolehi oleh menantu Perdana Mneteri itu untuk sejumlah kenderaan yang mendapat rebet tunai tersebut.

Tiada ulasan: