24 Feb 2009

Apa Hak Polis Soalsiasat Speaker Perak?

Polis hari ini diheret dalam kancah politik Perak apabila menyoal siasat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar.

Pihak polis bagaimanapun tidak memberitahu Sivakumar sebab kenyataannya diambil, sesuatu yang menjadi amalan biasa pihak polis dalam semua siasatan.

Sivakumar memberi kenyataan kepada sepasukan tiga pegawai dan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak.

Pasukan yang diketuai Ketua JSJK, Supt Amarjit Singh mengambil keterangan beliau di pejabat guamannya di Jalan Tun Sambanthan di Ipoh mulai jam 2.45 petang hingga 5.15 petang.

Siasatan itu bagaimanapun dipercayai berkaitan tindakan Sivakumar menggantung Zambry Kadir dan enam exconya dari Barisan Nasional sehingga 18 bulan atas cubaan berfungsi sebagai kerajaan negeri secara tidak sah.

Keputusan itu diambil minggu lalu pada mesyuarat jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan oleh Sivakumar.

Susulan keputusan itu yang berlandaskan kuasa Speaker, Perdana Menteri mengarahkan supaya laporan polis di buat terhadap Sivakumar.

Dalam kenyataannya Sivakumar berkata beliau telah dihubungi oleh seorang pegawai polis yang mengarahkannya untuk di Balai Polis Sungai Senam bagi membolehkan polis mengambil keterangan beliau.

Bagaimanapun, polis tidak menyatakan tujuan dan keperluan untuk kenyataannya itu.

Sivakumar berkata beliau telah memberikan sepenuh kerjasama kepada polis untuk menjelaskan beliau tidak menyalahi sebarang peruntukan undang-undang.

"Dengan bertemu pegawai polis berkenaan hari ini untuk merekodkan kenyataan saya, saya telah memberikan sepenuh kerjasama sehingga ke tahap kerjasama saya itu tidak melanggari atau menyalahi apa-apa peruntukan undang-undang di negara ini," katanya.

ikhsan TVANTARA



Tiada ulasan: