10 Feb 2009

Ulasan Berita Hangat 10 Feb 2009

Waran tangkap ke atas ADUN Changkat Jering, Osman Jailu di tarik balik. Beliau dikatakan sedang menjalani rawatan di hospital dan mempunyai sijil cuti sakit.

Mohd Osman, Jamaluddin, Usaili dan dua orang lagi iaitu, juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Ruslan Sahat dan bekas anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul bin Hassan menghadapi 16 pertuduhan menerima dan meminta rasuah berkaitan satu projek iaitu cadangan membangunkan tanah seluas 36.42 hektar bernilai RM180 juta di kawasan pusat bandar Seri Iskandar dekat sini secara usahasama dengan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).

Perbicaraan rasuah Osman Jailu dan Jamaluddin Mat Razi ditangguhkan ke 15 Jun depan.

SPR ADAKAN SIDANG MEDIA JUMAAT INI

MSTAR melaporkan : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima notis kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya telah menerima notis kekosongan kerusi Parlimen daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia

Dalam pada itu pejabat SPR negeri Kedah pula menerima notis kekosongan kerusi DUN daripada Speakernya, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail.

Dalam pada itu Abdul Aziz berkata pihaknya akan bertemu Jumaat ini untuk menentukan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan tersebut.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan akan diadakan pada hari yang sama, beliau enggan mengulas lanjut tetapi menyatakan perkara berkenaan akan diputuskan pada mesyuarat Jumaat ini.

PM TELAH ARAH UMNO BERSIAP-SEDIA

PM menyedari bukan satu laluan mudah untuk BN di dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang akan diadakan tidak lama lagi.

Banyak pihak meramalkan BN akan tersungkur di kedua-dua pilihanraya kecil berkenaan ekoran kemelut politik Perak yang sedang hangat kini. Rakyat Perak terutamanya memang sedang menunggu detik pilihanraya berkenaan untuk menunjukkan bantahan mereka terutama kepada TPM, Najib yang telah melakukan rampasan kuasa secara tidak bermaruah di Perak.

KARPAL SINGH TIDAK HADIR DI MAHKAMAH

Di mahkamah Ipoh, orangramai berkumpul sejak pukul 8 pagi dan bersurai kira-kira pukul 3 petang selepas menerima maklumat Karpal tidak akan hadir dan beliau berada di ibu negara.

Karpal Singh berkata beliau tetap akan meneruskan rancangannya untuk menyaman Sultan Perak, kerana menurutnya, tindakan itu tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang.

Katanya, beliau sedia didakwa di mahkamah sekiranya tindakannya itu tidak mengikut lunas undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.

KERAJAAN HARAM BN PERAK TIDAK GAMBARKAN KOMPOSISI PENDUDUK PERAK

ADUN-ADUN BN kerajaan yang dibentuk selepas rampasan kuasa terlalu cacat. Hanya terdapat seorang wakil bukan Melayu di dalam barisan keanggotaan ahli dewan undangan negeri dan beliau telah dilantik sebagai exco iaiatu Dr. Mah Hang Soon (ADUN Chenderiang).

Ramai pihak tidak yakin kerajaan haram BN ini mampu mentadbir negeri Perak dengan baik apabila jumlah exco yang diumumkan terlalu kecil iaitu hanyalah 6 orang.

ADUN Sungai Rapat pula yang dilantik menjadi exco, Hamidah Osman pernah menghina kaum India di Dewan Undangan Negeri satu ketika dahulu.

Ketandusan mereka yang layak dari kalangan BN untuk menjawat jawatan exco akan menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri Perak akan berdepan dengan banyak masalah dan akan menyebabkan mereka dikalahkan dengan lebih teruk nanti di dalam PRU yang akan datang.






Benarkah Mereka Sakit?

Sakit. Tidak sihat. Itu alasan yang diberikan oleh dua orang bekas exco yang melompat parti dari PKR kepada Bebas yang menyokong BN sewaktu gagal menghadirkan diri untuk perbicaraan kes rasuah mereka yang dijadualkan hari ini.

Alasan yang sama telah mereka gunakan sewaktu mereka berdua dilaporkan hilang yang secara tiba-tiba pulih apabila muncul bersama Najib di hari pengumuman mereka mengisytiharkan lompat parti yang membuka jalan untuk berlakunya rampasan kuasa di Perak.

Terlalu mudah untuk memberikan alasan sakit dengan membeli sijil sakit yang berharga RM4-RM5 di klinik apatah lagi dengan wang berjuta yang telah diperolehi dari kegiatan tidak bermoral dan beretika.

Mereka tidak menyedari alasan sakit yang diberikan berulangkali akan menyebabkan alasan itu nanti akan bertukar menjadi "kebenaran" apabila "minda bawah sedar" mereka disuapkan dengan hal yang negatif seperti itu.

Munkin mereka berdua ini tidak pernah menyedari bahawa "minda bawah sedar" akan menerima pernyataan mereka itu sebagai sesuatu yang benar dan kelak nanti mereka akan benar-benar merasai apa yang mereka sendiri hajatkan.

Apabila mereka menghujani minda bawah sedar mereka bahawa mereka sakit, mereka sebenarnya sedang "berdoa" untuk ke arah itu.

Justeru itu kita suka memberi amaran kepada mereka berdua supaya tidak mudah menjadikan "sakit" sebagai alasan untuk sesuatu keuzuran apatah lagi ia dilakkan untuk menutup satu tipu helah.

Seorang boleh menipu seseorang sekali-sekala tetapi orang yang sama tidak boleh menipu semua orang pada masa yang sama. Manusia tidak mudah boleh ditipu sedemikian, kerana dengan demikian anda menipu Tuhan dan menipu diri anda sendiri.

Itu hukum universal. Itu sunnatullah.

Oh rupa-rupanya mereka berdua perlu disekolahkan lagi nampaknya walaupun kini dah bergelar jutawan.


Ulasan Berita Hangat 10 Feb 2009 Edisi Ptg

Mahkamah Majistret Ipoh keluarkan waran tangkap terhadap Adun Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu kerana tidak hadir kes rasuah projek pembangunan bernilai RM180 juta.

Adik Mohd Osman, Noriza Jailu sebagai penjamin beliau, memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh tidak dapat hadir kerana telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur malam semalam kerana masalah jantung.

Selain Osman, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkat terhadap ahli perniagaan Usaili Alias.

Bagaimanapun perintah itu dibatalkan setelah tertuduh hadir kira-kira sejam kemudian.

Perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari bermula hari ini ditangguhkan ke 15 Jun depan dan pihak pendakwa menafikan desas-desus menyatakan kes itu digugurkan. Namun ia belum dapat meyakinkan rakyat kerana kes ditangguh terlalu lama dan Bernama turut telah melaporkan perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari bermula hari ini terpaksa ditangguhkan ke 15 Jun depan kerana Hakim Mahkamah Sesyen, Tan Looi Heng menghadiri seminar sehingga esok dan kes itu kemudian didengar di hadapan Majistret Sharmila Abdul Samad.

6 EXCO ANGKAT SUMPAH

Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang baru, yang terdiri dari dua muka lama dan empat muka baru, hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini pagi ini.

Mereka terdiri dari dua bekas Exco, Datuk Ramly Zahari (ADUN Manong) dan Datuk Saarani Mohamad (ADUN Kota Tampan).

Empat muka baru pula terdiri daripada Ketua Pemuda MCA Perak, Dr. Mah Hang Soon (ADUN Chenderiang), Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Padzi Paharudin (ADUN Sungai Manik), Hamidah Osman (ADUN Sungai Rapat) dan Mohd Zahir Abdul Khalid (ADUN Kamunting).

BBC Perak di dalam kenyataannya membantah perlantikan ADUN Sungai Rapat sebagai exco kerana Hamidah pernah menghina kuam India apabila dia bertanya kepada Speaker Dewan Negeri, V. Sivakumar yang berbangsa India samada menerima perumpamaan lama, yang mana patut dibunuh dahulu, ular ataupun orang India.

Semua exco Pakatan Rakyat memboikot majlis berkenaan. ADUN Bebas juga tidak kelihatan.

NIZAR DIHALANG MEMASUKI BANGUNAN SUK

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dihalang daripada memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Nizar berkata beliau akan tetap menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar dari kediaman rasminya.

Bangunan SUK dikawal ketat ketat pihak polis termasuk anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU). Dua trak FRU turut ditempatkan di hadapan bangunan SUK.

Tidak kelihatan gelagat penyokong Umno yang dikatakan akan "berbuat apa sahaja" untuk menghalang Mohammad Nizar memasuki bangunan pejabatnya.

SPR BERMESYUARAT JUMAAT INI

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini untuk membincangkan mengenai tarikh pilihan raya bagi kedua-dua kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membincangkan mengenai kekosongan dan langkah-langkah seterusnya termasuk tarikh mengadakan pilihan raya kecil bagi dua kerusi berkenaan.

Bagaimanapun kata beliau, sehingga tengah hari ini, pihaknya belum menerima notis maklumat kekosongan daripada Speaker DUN Kedah dan Speaker Dewan Rakyat.

PKR CADANGKAN CALON INDIA UNTUK BUKIT SELAMBAU

PKR merancang meletakkan calon berketurunan India pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah susulan peletakan jawatan penyandangnya V Arumugam semalam.

Penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia akan meletakkan calonnya memandangkan kerusi DUN berkenaan diperuntukkan kepada PKR.


Perompak Ganti Pencuri

Dr MAZA, bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis yang sangat popular di negara kita, sedang mengikuti kursus sabatikal di UK pernah menyatakan:

"Mungkin sudah sampai masanya untuk rakyat Malaysia memikirkan kaedah pemilihan Perdana Menteri negara ini dengan cara yang membabitkan setiap individu rakyat."

Saya terpanggil untuk membaca tulisannya kembali, mencari "maksud" yang ingin disampaikan kepada rakyat Malaysia sekalipun sebelum ini saya jarang sangat dapat bersetuju dengan tindak-tandunya.

Paling tidak bersetujunya saya dengan Dr.Maza apabila beliau telah menerima perlantikan sebagai Mufti Perlis yang pada anggapan saya sudah pasti batinnya nanti akan tersiksa kerana tidak mungkin orang sebijak dan sealimnya dapat menerima persekitaran politik UMNO yang beliau sendiri telah maklum keadaannya.

Beliau (dan Mufti Perak Datuk Seri Ust Harussani Zakaria juga) sudah pasti mengingati pesanan Rasulullah yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya, serta Abu Daud dan al-Baihaqi dengan sanad yang sahih dari Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, "sesiapa yang datang ke muka pintu Sultan (pemerintah), maka dia akan ditimpa ujian. Tidaklah sesiapa yang menambah dekatnya dia kepada Sultan (pemerintah) melainkan akan ditambahkan jarak jauhnya dia dari Allah SWT".

Seterusnya dikeluarkan oleh al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus daripada Abu Hurairah beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, "apabila kamu melihat seorang alim banyak bercampur gaul dengan Sultan (pemerintah), maka ketahuilah bahawa si alim itu sebenarnya adalah seorang pencuri".

Hal yang sama pernah saya luahkan sewaktu Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada 29 Mac 1982. Saya telah menulis dua kali di dalam sebuah akhbar tabloid waktu itu yang kebetulan ruangan tetap Subky Latif pada waktu itu tidak dapat disiarkan dan editornya menggantikan ia dengan tulisan saya. Saya telah menyatakan ketidak-bersetujuan saya dengan langkah Anwar tersebut. Kerana pada hemat saya langkahnya itu pasti akan menimbulkan fitnah, dan fitnah pasti akan mendapat balasan dalam bentuk fitnah juga.

Rakan sepangajian saya waktu itu, Dr Syed Azman Syed Nawawi (kini ADUN Batu Burok) yang memaklumkan kepada saya mengenai kemasukan Anwar kedalam UMNO tatkala persiapan sedang sibuk pada masa itu untuk mengundangnya (diatas nama Presiden ABIM) sebagai penceramah di tempat kami ketika itu. Ternyata nwar tidak hadir kerana pada masa itu beliau tampil di kaca TV mengisytiharkan diri menyertai UMNO dengan Dr Mahathir (kini Tun) di sisi. Tempat beliau (sebagai penceramah) digantikan dengan Ust Abdul Ghani Shamsuddin.

Tulisan saya di tabloid itu tidak berapa disenangi oleh beberapa pimpinan ABIM waktu itu termasuklah Cikgu Sidek Baba (kini Prof Dr) yang meminta saya "mengendurkan" sedikit kritikan saya terhadap langkah Anwar memilih platform UMNO untuk meneruskan perjuangan.

Memendekkan cerita, akhirnya benar, Anwar menerima bahananya tatkala kakinya hanya selangkah saja lagi untuk bergelar Perdana Menteri.

Berbalik kepada Dr. Maza. Apa yang saya bimbangkan sebelumnya menjadi kenyataan. Dr MAZA akhirnya tidak berupaya untuk menerima tekanan dan fitnah yang menyebabkan beliau meletakkan jawatannya sebagai mufti Perlis dan membuat kenyataan perletakan jawatannya itu sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri.

MSTAR pernah menyiarkan pandangan MAZA bahawa mereka yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah diberikan undi tidak percaya supaya berhati-hati. Katanya:

"Adakah penggantinya lebih baik darinya? Kalau tidak nanti, takut keluar mulut harimau, masuk mulut buaya," kenyataan beliau kepada mStar.

Beliau cuba untuk menunjukkan bahawa pengganti Abdullah (Najib) yang digembar-gemburkan tidak semestinya lebih baik.

Dalam bentuk sindiran MAZA meminta "pemimpin negara itu" mengundur diri "apabila negara kacau".

Anak singa di Pulau Teberau
Anak tebuan seekor lari
Jika negara sudah kacau
Eloklah tuan mengundur diri


Dalam rangkap akhir pantun empat kerat itu, MAZA meminta pengunduran itu digantikan dengan seorang pemimpin yang “berbudi tinggi”.

Pergilah mandi di Titi Tinggi
Jangan tersepak tali pencuci
Carilah ganti berbudi tinggi
Bukan perompak ganti pencuri




Tidak tahu apa sebabnya MAZA yang sentiasa berpegang teguh kepada sanad dan musnad terhadap sesuatu dalil hadith kali ini terpaksa menggunakan pantun untuk memberi isyarat dan amarannya tentang "pengganti" yang disifatkannya sebagai "perompak yang mengganti si pencuri." Mungkin dengan cara itu beliau dapat menyampaikan mesejnya dengan jelas kepada "bangsanya" sebelum berangkat ke Lampeter, United Kingdom.

Katanya MAZA lagi:

"Saya sendiri setuju pasca PRU12 telah membuktikan beberapa perkara seperti ia berjaya mematahkan keegoan, keangkuhan dan kesombongan sesetengah ahli politik BN yang selama ini ingat mereka tidak boleh tumbang dan jatuh.

"Tapi episod itu sudah berlalu dan PRU telah membayar dan menunaikan hasrat rakyat. Sudah cukup pengajaran itu. Orang yang hendak dihukum telahpun dihukum. Jangan bicara lagi pasal hukuman, lihat kesan pada hukuman. Umno pun telah dihukum, yang tinggalpun nyawa-nyawa ikan...," kata Asri.

Tetapi nasihat MAZA tidak diperdulikan dan "orang yang dimaksudkan" tidak mengambil pengajaran dari implikasi PRU12 yang lalu, sebaliknya masih galak untuk meneruskan "kareernya" sebagai perompak kali ini merompak ahli-hali politik Pakatan Rakyat untuk menjayakan misinya membentuk sebuah kerajaan haram di Perak!


Kisah Si PEKAN Yang Tamak Dan Gelojoh!

Kononnya, pada waktu dahulu ada sebuah gua ajaib. Gua ini digelar batu belah batu bertangkup dan amat ditakuti oleh ramai penduduk kampung. Pintu gua ini boleh terbuka dan tertutup bila diseru dan sesiapa yang termasuk ke dalam gua itu tidak dapat keluar lagi.

Suatu masa dahulu di sebuah kampung yang berdekatan dengan gua ajaib ini, tinggal Mak Tanjung bersama dua orang anaknya, Melur dan Pekan. Mak Tanjung asyik bersedih kerana baru kehilangan suami dan terpaksa menjaga kedua-dua anaknya dalam keadaan yang miskin dan daif.

Pada suatu hari, Mak Tanjung teringin makan telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke sungai untuk menangkapnya. Bukan main suka hatinya apabila dapat seekor ikan tembakul.

"Wah, besarnya ikan yang mak dapat !" teriak Pekan kegembiraan.

" Ya, ini ikan tembakul namanya. Mak rasa ikan ini ada telurnya. Sudah lama mak teringin untuk memakan telur ikan tembakul ini," kata Mak Tanjung.

Mak Tanjung terus menyiang ikan tembakul itu. Dia pun memberikan kepada Melur untuk dimasak gulai.

" Masaklah gulai ikan dan goreng telur ikan tembakul ini. Mak hendak ke hutan mencari kayu. Jika mak lambat pulang, Melur makanlah dahulu bersama Pekan. Tapi, jangan lupa untuk tinggalkan telur ikan tembakul untuk mak," pesan Mak Tanjung kepada Melur.

Setelah selesai memasak gulai ikan tembakul, Melur menggoreng telur ikan tembakul pula. Dia terus menyimpan sedikit telur ikan itu di dalam bakul untuk ibunya. Melur dan Pekan tunggu hingga tengah hari tetapi ibu mereka tidak pulang juga. Pekan mula menangis kerana lapar. Melur terus menyajikan nasi, telur ikan dan gulai ikan tembakul untuk dimakan bersama Pekan.

" Hmmm..sedap betul telur ikan ini," kata Pekan sambil menikmati telur ikan goreng.

" Eh Pekan, janganlah asyik makan telur ikan sahaja. Makanlah nasi dan gulai juga," pesan Melur kepada Pekan.

" Kakak, telur ikan sudah habis. Berilah Pekan lagi. Belum puas rasanya makan telur ikan tembakul ini ," minta Pekan.

" Eh, telur ikan ini memang tidak banyak. Nah, ambil bahagian kakak ini," jawab Melur.

Pekan terus memakan telur ikan kepunyaan kakaknya itu tanpa berfikir lagi. Enak betul rasa telur ikan tembakul itu! Setelah habis telur ikan dimakannya, Pekan meminta lagi.

" Kak, Pekan hendak lagi telur ikan," minta Pekan kepada Melur.

" Eh , mana ada lagi ! Pekan makan sahaja nasi dan gulai ikan. Lagipun, telur ikan yang tinggal itu untuk mak. Mak sudah pesan dengan kakak supaya menyimpankan sedikit telur ikan untuknya ," kata Melur.

Namun, Pekan tetap mendesak dan terus menangis. Puas Melur memujuknya tetapi Pekan tetap berdegil. Tiba-tiba, Pekan berlari dan mencapai telur ikan yang disimpan oleh Melur untuk ibunya.

" Hah, rupa-rupanya ada lagi telur ikan! " teriak Pekan dengan gembiranya.

" Pekan! Jangan makan telur itu! Kakak simpankan untuk mak," teriak Melur.

Malangnya, Pekan tidak mempedulikan teriakan kakaknya, Melur dan terus memakan telur ikan itu sehingga habis. Tidak lama kemudian, Mak Tanjung pun pulang. Melur terus menyajikan makanan untuk ibunya.

" Mana telur ikan tembakul, Melur? " tanya Mak Tanjung.

" Err... Melur ada simpankan untuk mak, tetapi Pekan telah menghabiskannya. Melur cuba melarangnya tetapi...."

" Jadi, tiada sedikit pun lagi untuk mak? " tanya Mak Tanjung.

Melur tidak menjawab kerana berasa serba salah. Dia sedih melihat ibunya yang begitu hampa kerana tidak dapat makan telur ikan tembakul.

" Mak sebenarnya tersangat ingin memakan telur ikan tembakul itu. Tetapi...." sebak rasanya hati Mak Tanjung kerana terlau sedih dengan perbuatan anaknya, Pekan itu.

Mak Tanjung memandang Melur dan Pekan dengan penuh kesedihan lalu berjalan menuju ke hutan. Hatinya bertambah pilu apabila mengenangkan arwah suaminya dan merasakan dirinya tidak dikasihi lagi. Mak Tanjung pasti anak-anaknya tidak menyanyanginya lagi kerana sanggup melukakan hatinya sebegitu rupa.

Melur dan Pekan terus mengejar ibu mereka dari belakang. Mereka berteriak sambil menangis memujuk ibu mereka supaya pulang.

" Mak, jangan tinggalkkan Pekan! Pekan minta maaf ! Mak...." jerit Pekan sekuat hatinya.

Melur turut menangis dan berteriak, " Mak, Kasihanilah kami! Mak!"

Melur dan Pekan bimbang kalau-kalau ibu mereka merajuk dan akan pergi ke gua batu belah batu bertangkup. Mereka terus berlari untuk mendapatkan Mak Tanjung.

Malangnya, Melur dan Pekan sudah terlambat. Mak Tanjung tidak mempedulikan rayuan Melur dan Pekan lalu terus menyeru gua batu belah batu bertangkup agar membuka pintu. Sebaik sahaja Mak Tanjung melangkah masuk, pintu gua ajaib itu pun tertutup.

Melur dan Pekan menangis sekuat hati mereka di hadapan gua batu belah batu bertangkup. Namun ibu mereka tidak kelihatan juga.

Sumber: Dongeng Warisan - Batu Belah Batu Bertangkup
kiriman myogis


Najib Ulangi Sejarah Bapak

Sekiranya... diulangi sekiranya BN berjaya menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak seperti mana diperkatakan sejak semalam dan hari ini ia memberi signifiken tersendiri kepada pengarah perancangan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan itu, iaitu Mohd Najib Razak. Kejayaan ini memberi makna dan erti besar kepada Najib dan wajarlah kalau beliau bergembira, bertepuk tangan dan ketawa besar.

Banyak signifiken-signifikennya. Pertama kejayaan itu cukup manis dan bererti kerana Najib baru saja mengambil alih Pengerusi Perhubungan Umno Perak daripada Tajol Mohd Rosli Ghazali. Kejayaan dalam masa singkat itu menunjukkan ‘kebolehan’ dan kebijaksanaan Najib sebagai pemimpin Umno.

Kejayaan itu memberi dalil bahawa Najib berkemampuan untuk memulihkan Umno. Kejayaan itu juga orang akan menganggap Najib sebagai bisa, bijak berketrampilan dalam politik.

Signifiken lain ia memberi kekuatan dan keyakinan kepada Najib apabila beliau mengambil alih kepimpinan Umno daripada Abdullah Badawi pada Mac kelak. Apa yang diharap kejayaan Najib menawan kerajaan Pakatan tanpa pilihan raya itu permulaan menarik pada era kepimpinannya nanti.

Apabila merenung mengenai apa yang berlaku, Najib yang mengumumkan bahawa BN Perak sudah ada majoriti untuk menubuhkan kerajaan apabila empat Adun, Jamaluddin Mohd Radzi, Othman Jailu, Hee Yit Fong dan Nasaruddin Hisham menyertai BN meyebabkan saya teringat kepada apa yang berlaku 48 tahun lalu di Terengganu.

Hampir lima dekad lalu satu kejadian yang hampir sama tetapi tidak serupa telah berlaku dalam arena politik negara ini, iaitu mengenai kejatuhan atau tumbangnya kerajaan Pas di Terengganu. Senario dan kronologi kejatuhan kerajaan Terengganu itu sama dengan apa yang berlaku di Perak kini.

Kerajaan Pas Terengganu jatuh apabila berlakunya lompat melompat parti. Peristiwa lompat melompat di Terengganu itu hampir sama kelakuan dan tabiat dengan lompat melompat di Perak kini. Ia bermula dengan seorang Adun dari Parti Negara, melompat menyertai Pas kemudian dilantik menjadi Exco.

Rentetan itu ia diikuti dengan kejadian melompat parti daripada tiga Adun Pas ke dalam Perikatan termasuk speaker yang berlaku secara penuh trajis dan tektikal sifatnya. Lompatan itu bukan berlaku di luar tetapi di dalam Dewan persidangan apabila Adun Pas menyokong undi tidak percaya yang dikemukakan Perikatan.

Kerana berlaku lompat melompoat itulah akhirnya menyebabkan kerajaan Pas Terengganu hanya bertahan selama satu tahun setengah sahaja.

Begitu jugalah apa yang berlaku di Perak. Kejatuhannya kerana berlaku lompat melompat. Ia dimulakan dengan Adun Bota, Nasaruddin Hisham yang melompat menyertai PKR. Dari tindakan itulah menyebabkan dua ahli PKR bermasalah (berhadapan dengan tuduhan rasuah) mengambil sikap dingin kepada parti yang mana akhirnya menyebabkan parti hilang kepercayaan kepada keduanya.

Apa yang dilakukan oleh Nasaruddin itu ialah sebagai permulaan kepada perisitwa lompat melompat yang membawa kajatuhan sebuah kerajaan.

Ini sama dengan apa dilakukan oleh Adun parti negara itu. Apabila itu berlaku ia menyebabkan pihak lawan kerajaan iaitu Perikatan atau BN akan beusaha untuk menawan hati Adun lain.

Lompatan itu memberi ilham untuk mereka melakukan sesuatu atas dasar tundak balas.
Kejadian lompatan itu juga mencetuskan semangat dan mencabar pihaknya untuk berusaha sedaya mungkin bagi menarik mana-mana Adun kerajaan menyokongnya. Sekiranya tidak ada perisitwa lompat melompat itu ia tidak akan mengusik keadaan yang tenang sebelum itu.

Walaupun BN atau Perikatan ada niat tetapi ia tidak mudah untuk mencetuskan apa-apa tindakan ataupun tidak terjadi sedrastik itu.

Berbalik kepada apa yang hendak diperkatakan tadi, apabila mengenangkan apa yang berlaku di Terengganu itu saya teringat kepada Tun Razak Hussein. Tun Razaklah yang menjadi pengarah kepada projek menjatuhkan kerajaan Pas Terengganu itu. Andaian ini berpandukan kepada kedudukan dan jawatan yang dipegangnya. Siapakah Tun Razak, dia ialah bapak kepada Najib.

Sekali lagi ada persamaan dalam kedua peristiwa itu dari segi watak – terserah untuk dikatakan protoganis atau antoganis, mereka adalah anak beranak. Waktu berlaku kejatuhan kerajaan Terengganu itu, Tun Razak ialah timbalan perdana menteri dan juga menteri pertahanan. Jawatan itu sama dengan disandang Najib ketika ini. Najib adalah timbalan perdana menteri dan bekas menteri pertahanan.

Saya tidak mengatakan Tun Razak menjadi pengarah dalam rampasan kuasa di Terengganu tetapi semasa kejadian itu berlaku tahun 1961 Tun Razak adalah penjawat jawatan itu. Apakah dengan kedudukan dan jawatan itu memungkinkan mereka mudah mencapai apa-apa yang disasarkan? Seorang yang menjadi menteri pertahanan sudah tentu arif dengan strategi pertahanan dan serangan. Sukar untuk dijelaskan tetapi sejarah telah melakarinya dan itu realitinya.

Cuma dalam beberapa persamaan dan signifiken itu pada saya apa yang berlaku ada tahun 1961 di Terengganuu itu lebih bermaruah dengan apa yang berlaku di Perak kini. Kejatuhan kerajaan Terengganu dirasakan lebih gentleman kerana ia dibuat di sidang Dewan Undangan Negeri menerusi satu usul undi tidak percaya, tetapi pengumuman kejatuhan kerajaan Perak dibuat di pejabat Timbalan Perdana Menteri Putrajaya yang kelihatan arrogent dan begitu berkuasa!

Kesimpulannya bapa borek anak pastilah rintik!

Oleh mso

Osman Jailu Dimasukkan Ke ICU?

Perakdaily.com melaporkan bekas exco Perak yang juga ADUN Changkat Jering, Kaptan Bersara Osman Jailu telah dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif, salah sebuah hospital di Selayang.

Osman Jailu yang dilaporkan hilang kemudian muncul bersama-sama kumpulan dengan TPM Najib Tun Razak telah keluar dari PKR untuk menjadi ahli bebas bersama dengan seorang lagi rakannya Jamaluddin Mat Razi ADN Behrang.

Kemelut politik Perak bermula apabila kedua-dua ADUN ini yang sepatutnya dihadapkan ke mahkamah hari ini di atas tuduhan rasuah telahh ditunda ekoran hakim yang mendengar kes mereka dikatakan akan berkursus.

Ramai pihak berpandangan bahawa kes mereka akan ditutup atau diberikan keringanan setelah mengisytiharkan diri mereka keluar PKR untuk menjayakan perencanaan jahat Najib merampas kuasa untuk membentuk kerajaan haram di Perak.

Seorang lagi yang telah melompat ialah Timbalan Speaker, Hee Yit Foong dari DAP kepada Bebas dan diberitakan telah disenaraikan sebagai salah seorang exco kerajaan haram BN yang akan mengangkat sumpah hari ini.

Walaubagaimana pun nasib Jamaluddin dan Osman belum diketahui samada mereka akan turut disenaraikan sebagai exco.

ADUN Bota, Datuk Nasruddin Hashim yang menyertai PKR dan kemudian mengisytiharkan diri masuk semula ke BN melengkapkan konspirasi BN membentuk kerajaan haram di Perak yang banyak pihak menyifatkan tindakan beliau tersebut tidak akan dapat dimaafkan oleh rakyat Perak yang telah datang mendengar ceramah kemasukannya ke dalam PKR beberapa hari sebelum mengumumkan penyertaan semula ke BN.


Laporan penuh akan menyusul

Allahyarham Roslan Selamat Disemadikan

Jenazah Allahyarham Roslan Shahrum selamat disemadikan di kampung Allahyarham di Changkat Larang, Lahat dekat Batu Gajah.

Beribu-ribu orang menziarahi jenazah Allahyarham buat kali terakhir di kediamannya di Changkat Larang di sini petang tadi.

Ahli Parlimen Gopeng, YB Lee Boon Chye yang turut hadir menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar untuk negara.

Allahyarham dikatakan meninggal dunia semasa berbasikal untuk pergi ke Farmasi tetapi telah terjatuh di bahu jalan. Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Batu Gajah.

DS Nizar membacakan talkin pada Allahyarham, manakala Tuan Sheikh Mohd Nor Al-Hafiz membacakan tahlil dan Ustaz Zulkarnain Ibrahim membacakan doa di tanah perkuburan Islam Changkat Larang, tempat persemadian Allahyarham.

Antara yang hadir ialah DS Anwar Ibrahim, Dr Hatta Ramli, Dato Mahfuz Omar, Ustaz Haji Ahmad Awang, barisan ahli parlimen dan Adun. Para pimpinan tertinggi Parti pakatan Rakyat Perak dan Pegawai kerajaan juga kelihatan hadir.

Roslan, Pengerusi Yayasan Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, adalah lulusan ijazah sarjana muda Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan memperoleh ijazah Sarjana Sains Pembangunan dan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia.

Pensyarah Institut Perguruan Ipoh itu berkatam sebulan lepas, suaminya pernah pengsan semasa berada di Taiwan dan setelah menjalani pemeriksaan, doktor mendapati jantung Allahyarham besar dan kurang oksigen.

"Dia patut pergi pemeriksaan tetapi arwah pergi ke Gaza, Palestin dan hingga hari ini tak buat apaapa pemeriksaan kesihatan," katanya kepada pemberita.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Sumber Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.

Malah beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM, dulu ITM) di Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Safiah Harun dan mempunyai 11 orang anak yang berusia antara sembilan dan 23 tahun.

Kelab GB merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan semuga Allah menghimpun roh Allahyarham di kalangan orang yang dicucuri rahmat dan bersama para syuhada.

PERHIMPUNAN PERTAHANKAN PAKATAN RAKYAT DI PERAK

Sokongan rakyat terhadap kepimpinan MB Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin jelas ditunjukkan dengan kehadiran lebih 35 ribu orang yang hadir di dalam satu perhimpunan yang diadakan di kediamaan rasmi Menteri Besar di Ipoh malam semalam.

Datuk Seri Anwar menyifatkan Datuk Seri Nizar seorang pemimpin yang berhemah tinggi yang gigih berusaha mengikis budaya rasuah yangs ebatu dengan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

"Kita sokong Nizar kerana prinsipnya, kita sokongnya kerana ketegasannya, kita sokongnya kerana akhlaknya, kita sokongnya kerana jiwanya jiwa untuk membela nasib rakyat Perak," tegas Anwar.

Anwar juga menyelar Najib yang menggunakan taktik kotor untuk merampas kuasa di Perak.

9 Feb 2009

Ulasan Berita Hangat 9 Feb 2009

Ahli Parlimen Bukit Gntang Roslan Shahrom meninggal dunia akibat komplikasi jantung selepas jatuh dari basikal yang dinaikinya hari ini.

Dengan kematian ini, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan. Adalah dipercayai Speaker Dewan Rakyat secara rasmi akan memaklumkan kepada SPR berlaku kekosongan di kerusi Parlimen Bukit Gantang itu dan dalam masa 60 hari SPR dijangka akan mengadakan pilihan raya kecil.

Dalam pilihanraya umum lalu, Roslan mengalahkan bendahari Umno, Datuk Azim Mohd Zabidi dengan majoriti 1,566 undi.

Roslan mendapat 20,015 undi manakala Abdul Azim menerima 18,449 undi. Manakala calon bebas, M Morgan mendapat 872 undi.

Sementara itu Pemuda PAS Kelantan mencadangkan supaya Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin dicalonkan bertanding pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan tidak lama lagi.

ADUN BUKIT SELAMBAU V.ARUMUGAM LETAK JAWATAN EXCO KEDAH

Di Kedah, anggota Exco, V. Arumugam mengosongkan jawatan tersebut tetapi masih kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Selambau.

Demikian diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak

Baru-baru ini, beliau mendakwa berdepan dengan ugutan supaya meninggalkan Pakatan Rakyat untuk menyertai BN.

Arumugam merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Beliau yang bertanding sebagai calon Bebas, menyertai PKR selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu dan diberikan jawatan Exco dalam kerajaan negeri.

Arumugam memperoleh 13,225 undi manakala calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, Krishnan Subramaniam pula memperoleh 10,863.

DAP SOKONG KEPIMPINAN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

DAP akan terus menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun Pengerusi Kebangsaannya, Karpal Singh semalam menggesa agar Ketua Umum Pakatan Rakyat itu melepaskan kedudukannya atas alasan sudah tidak layak lagi.

"DAP mengulangi sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk mewujudkan sebuah kerajaan alternatif yang demokratik, memusatkan rakyat dan kepimpinan beretika berdasarkan lima prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, kebajikan sosial dan nilai moral universal.

"Sehubungan itu, DAP menyokong Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pemimpin Pembangkang di Parlimen dan akan kekal (dalam kedudukan itu) memandangkan tiada pemimpin tunggal yang pernah mempersoalkan perkara ini semasa mesyuarat dalaman di mana-mana peringkat," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

MUKHRIZ PELAWA PAS SERTAI BN

PAS Perak hari ini disaran menyertai Barisan Nasional (BN) bagi mengukuhkan perpaduan Melayu dan seterusnya membentuk satu pentadbiran kerajaan negeri yang lebih mantap.

Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, PAS harus mempertimbangkan cadangan berkenaan agar sebuah kerajaan negeri yang kuat dan bersatu padu dapat dibentuk.

"Dengan cara itu, kita (BN) akan dapat memimpin dan mentadbir negeri Perak dengan lebih terjamin dan berkuasa kerana gabungan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) BN, Bebas dan PAS akan dapat mewujudkan satu pentadbiran negeri yang lebih mantap," katanya kepada pemberita.

10 ADUN BN AKAN ANGKAT SUMPAH SEBAGAI EXCO KERAJAAN HARAM BN ESOK

Kerajaan Haram BN Kedah akan melantik Exconya pada hari esok. MB kerajaan BN tersebut Zambry Abdul Kadir berkata, senarai nama Exco berkenaan akan hanya diumumkan pada majlis mengangkat sumpah Exco kerajaan negeri Perak di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar yang dijadualkan esok.

Beberapa jalan di Kuala Kangsar terutama yang menghala ke Istana Iskandariah, Bukit Chandan akan ditutup kepada orang ramai mulai pukul 8 pagi sehingga tamat majlis mengangkat sumpah anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Iskandariah esok.


Bukit Gantang Bakal Nilai Penerimaan Rakyat

Nampaknya apa yang dihajati para pemimpin Pakatan Rakyat di Perak untuk menilai sokongan rakyat negeri itu kepada mereka menjadi kenyataan apabila anggota Parlimen Pas Bukit Gantang, Roslan Shaharum meninggal hari ini.

Roslan dikatakan meninggal akibat komplikasi jantung selepas jatuh dari basikal yang dinaikinya hari ini.

Menurut maklumat, Roslan keluar dari rumahnya dengan bebasikal tanpa membawa talipon bimbit pagi ini dan terjatuh semasa mengayuh basikal berdekatan dengan stesen minyak Petronas di Pekan Batu Gajah.

Dengan kematian ini, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan. Adalah dipercayai Speaker Dewan Rakyat secara rasmi akan memaklumkan kepada SPR berlaku kekosongan di kerusi Parlimen Bukit Gantang itu dan dalam masa 60 hari SPR dijangka akan mengadakan pilihan raya kecil.

Di Kedah, jika perletakan jawatan Adun PKR Bukit Selambau yang juga Exco kerajaan negeri, V Arumugan diterima, maka satu pilihan raya kecil juga terpaksa diadakan.

Namun sehingga kini, beliau hanya membuat pengumuman di media sahaja ekoran tekanan kuat terhadapanya. Arumugan masih belum menyerahkan surat itu kepada PKR ataupun kepada Dewan Undangan Negeri.

Namun menurut sumber PKR, beliau menerima tekanan hebat dengan pelbagai cara agar meninggalkan PKR dan menyertai BN namun situasi beliau agak sukar untuk membuatkannya menyertai BN.

Ini kerana, kebanyakan penyokong beliau yang berada di estet dan berpegang kepada prinsip makkal sakhti tidak akan mengizinkan perkara itu berlaku bahkan akan mengancam nyawa beliau jika menyertai BN.

Untuk itu, beliau dinasihatkan bercuti untuk mengelakkan tekanan itu.

Dengan kematian Roslan bermakna pilihan raya kecil akan berlaku di Perak. Ini juga bermakna, rakyat di Perak berpeluang untuk menghantar mesej mereka samada kerajaan Perak yang baru dibentuk diterima oleh mereka ataupun tidak.

Sebelum ini, ketika dua Adunnya hilang (Behrang dan Changkat Jering), kerajaan negeri Perak di bawah Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, melalui Speaker telah memohon kepada SPR agar diadakan satu pilihan raya kecil.

Apabila sah kedua-duanya mahu menyokong BN dan ditambah seorang lagi Adunnya dari DAP keluar dari pakatan itu, Pakatan Rakyat telah memohon agar Dun Perak dibubarkan untuk membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan.

Namun Sultan Perak telah mengambil sikap untuk tidak membubarkan Dun tetapi menyerahkan kuasa kepada BN untuk membentuk kerajaan baru.

Episod di atas menampakkan kesediaan Pakatan Perak untuk menghadapi pilihan raya. Kini, dengan takdir Allah anggota Parlimennya meninggal dunia dan pilihan raya kecil akan diadakan.

Walaupun Roslan menang dengan undi yang memberangsangkan di Bukit Gantang iaitu dengan majoriti 1,566 undi dalam pilihan raya umum lalu, Pakatan khasnya Pas tidak boleh mengambil mudah perkara ini.

Ini kerana, ketika mereka mahu menunjukkan rakyat Perak menyokong mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memimpin BN Perak kini akan berbuat apa saja untuk memastikan BN menang kali ini.

Ini kerana, kemenangan bermakna sokongan untuk kerajaan negeri yang beliau bentuk dan kekalahan bermakna penolakan rakyat Perak terhadap kerjabuat beliau itu.

Kalau dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu ramai menolak ia adalah referandum untuk Najib, namun di Bukit Gantang, ia tidak boleh ditolak lagi.

Saya percaya, Dr Mahathir pun sukar untuk mengatakan ia bukan satu penilaian untuk Najib dan kerajaan baru Perak yang dibentuknya, walaupun di Kuala Terengganu dia masih lagi mengaitkan pilihan raya itu dengan Datuk Seri Abdullah dan bukan penilaian terhadap Najib sebagaimana yang dianggap oleh banyak pihak lain.

Melihat kepada cara Najib mengendalikan hal di Perak ini, BN khasnya beliau sendiri nampaknya sangat fobia dengan pilihan raya selepas menghadapi kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Sebab itulah, BN sekali-kali akan mengelak dari menghadapi pilihan raya.

Ini kerana, suasana yang ada di Perak sekarang benar-benar memihak kepada Pakatan Rakyat. Walaupun berlaku sedikit kesusahan ekoran kenyataan Karpal Singh yang meminta Anwar berundur dari memimpin Pakatan, namun di akar umbi sokongan kepada Anwar dan Pakatan makin kuat.

Seorang rakan saya yang membuat tinjauan ke Perak merumuskan perkara berikut:-

Di pihak Pakatan, hujjah mereka adalah:-

1) Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin "tidak derhaka" dan Menteri Besar Pakatan Rakyat itu hanya mengikut undang-undang tubuh negeri.

2) Nizar masih lagi Menteri Besar Perak yang sah

3) Cara pembentukan kerajaan baru di Perak telah menimbulkan persoalan dan seterusnya mengenai kesahihan kerajaan negeri yang baru itu.

4)Hanya pilihan raya bebas dan adil akan dapat menyelesaikan ketidaktentuan politik di negeri Perak.

5) Pakatan Rakyat menyifatkan tindakan mengosongkan pejabat rasmi menteri besarnya sebagai "rampasan kuasa yang biadap."

6) Ekoran itu, pelbagai reaksi sedang ditunjukkan oleh rakyat sebagai reaksi spontan kepada krisis di Perak ini. Reaksi tersebut adalah untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penyalahgunaan kuasa oleh Barisan Nasional.

Di pihak BN pula, media mereka terus dengan pendekatan berikut:-

1) Nizar ingkar titah Sultan.

2) Beliau telah menderhaka padahal dia hanya melaksanakan keputusan partinya iaitu Pas dan Pakatan.

3) Dia juga difitnahkan hendak menyaman sultan padahal yang menyaman adalah Karpal Singh.

4) Dia juga didakwa menganjurkan perhimpunan haram padahal yang berlaku adalah ekoran kemarahan rakyat terhadap apa yang berlaku.

5) Sultan juga didesak menarik balik gelaran Datuk Serinya.

Dalam situasi inilah pilihan raya kecil Bukit Gantang akan diadakan. Pilihan raya ini bermakna satu referandum diadakan untuk menilai penerimaan rakyat terhadap kerajaan BN yang baru mengambil alih kerajaan negeri Perak ini.

zulkifli sulong

Berita Terkini : 9 Feb 2009 Edisi Ptg

Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang Ustaz Roslan Shahrum telah kembali ke rahmatullah akibat satu kemalangan jalanraya pagi ini.

Pilihanraya kecil bakal diadakan di Bukit Gantang dalam tempoh 60 hari.

Dalam PRU ke-12 yang lalu, Roslan memperolehi 20,015 undi menewaskan Bendahari Umno Malaysia ( BN), Abdul Azim bin Mohd Zabidi yang memperolehi 18,449 undi dan calon Bebas Mohganan A/l P.manikam dengan memperolehi 872 undi. Roslan menang dengan majoriti 1,566 undi.

Roslan meninggalkan seorang balu Safiah Harun dan 11 orang anak.

(GB berharap selepas ini SPR tidak berdalih lagi dengan beralasan ada keraguan di dalam sijil kematian Allahyarham semata-mata untuk mengikut telunjuk Najib dan BN)

ADUN BUKIT SELAMBAU (PKR) LETAK JAWATAN?

ADUN Bukit Selambau Kedah, YB Arumugan a/l Vengatarakoo dikatakan telah mengemukakan surat peletakan jawatan, dan memberi laluan untuk pilihanraya kecil diadakan bagi kerusi Bukit selambau, Kedah.

Difahamkan Arumugam terlalu tertekan ekoran dakwaan tekanan hebat terhadapnya dan keluarganya supaya melompat menyertai Barisan Nasional (BN).

Arumugam juga mendakwa beliau dan pegawainya telah menerima banyak ugutan.

"Semua ini dilakukan untuk memaksa saya meninggalkan PKR dan menyertai BN," dakwanya dalam laporan polisnya itu.

Katanya, selain ugutan, beliau juga ditawarkan dengan tawaran lumayan untuk memujuknya meninggalkan PKR. Berikut ialah kenyataan media yang diberinya minggu lalu.

Di dalam PRU12 yang lalu, Arumugan a/l Vengatarakoo dari PKR mengalahkan calon BN dengan majoriti 2,362 undi. Beliau memperolehi 13225 undi mengalahkan Krishnan a/l Subramaniam dari BN yang memperolehi 10863 undi.

Di Kedah, Pakatan Rakyat memerintah selepas memenangi 22 daripada 36 kerusi dengan kelebihan 8 kerusi di DUN negeri. BN mempunyai 14 kerusi.

MALAM PERTAHANKAN PAKATAN RAKYAT

Semua pemimpin utama Pakatan Rakyat akan memohon untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Demikian makluman yang diberikan oleh Datuk Seri Anwar sewaktu berucap di Malam Pertahankan PR yang diadakan malam tadi di kediaman rasmi MB Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Datuk Seri Anwar juga ditanya mengenai kenyataan Karpal Singh yang meminta beliau berundur dari memimpin Pakatan Rakyat, beliau menyatakan itu hanyalah pandangan peribadi Karpal Singh. Pemimpin-pemimpin DAP lain masih terus mahu beliau memimpin Pakatan Rakyat.

ESOK KERAJAAN HARAM BN AKAN MELANTIK EXCO

Kerajaan Haram BN yang bermenteri besarkan Zambry Abdul Kadir dijangka akan melantik barisan exconya pada hari esok.

Dua menteri besar juga dikatakan akan berebut untuk memasuki pejabatnya hari esok.

KEBAKARAN DAN BANJIR DI AUSTRALIA

Kebakaran di Australia bertambah buruk. Angka korban ialah 128 orang.

Sementara itu puluhan ribu hilang tempat tinggal di dalam kejadian banjir yang berlaku di Queensland.


Perak : Ribuan Hadiri Program Rumah MB Nizar

Suka atau tidak, mahu atau tidak, pilihanraya mesti diadakan di Perak.

Itulah pemerhatian yang dapat dirumuskan dengan melihat perkembangan mutakhir di Perak.

Suhu politik di negeri Long Jaafar benar-benar telah naik mendadak. Perhimpunan Pertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat yang diadakan sebentar tadi di kediaman Menteri Besar Perak yang dihadiri oleh tidak kurang 30 ribu rakyat membuktikan bahawa tidak mungkin sama sekali arus kebangkitan rakyat itu dapat dibendung lagi.

TPM, Datuk Seri Najib bertanggungjawab terhadap segala kemelut yang berlaku dan beliau kini telah menjadi satu ikon kebencian rakyat Perak.

Datuk Seri Nizar telah menyatakan dengan tegas dan memberi amaran supaya jangan berlaku biadab dengan rakyat Perak, dan jangan pijak kepala rakyat sambil menegaskan hak rakyat perlu dikembalikan dengan diadakan semula pilihanraya di Perak.

"Kita akan ambil semula hak kita yang telah dirompak oleh Najib Altantuya," tegasnya.

Laungan "Allahu Akbar" dan "Reformasi" sentiasa kedengaran di sepanjang majlis ceramah yang bermula selepas Isya' itu.

Apa yang dilakukan oleh Najib yang telah memperkosa kedaulatan rakyat telah ditolak oleh rakyat dan beliau kini dihalang untuk datang ke Perak. Kemarahan rakyat Perak terhadap beliau memuncak kebelakangan ini sehingga beliau terpaksa membatalkan kedatangannya ke Perak untuk bersama-sama meraikan Tahun Bru Cina di SRJK Yuk Choy diatas nasihat pihak polis yang melihat "ancaman besar" sedang menantinya jika beliau hadir di Perak.

Ia diulangi oleh Naib Presiden DAP Pusat, Dr Tan Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong yang dengan tegas menyeru "mari kita nyahkan Najib balik ke KL sebagaimana orang Terengganu menghalau Najib."

"Kami tidak mahu kamu (Najib) datang ke Perak" kata Tan dalam bahasa Manderin sambil mengharapkan masih ada sinar keadilan di dalam sistem kehakiman di Malaysia supaya kes ini boleh dibawa kemahkamah mendapat keputusan yang betul untuk Perak Darul Ridzuan dan bukan Darul Zalim.

Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan tujuan perhimpunan diadakan untuk menyatakan kepada seluruh Rakyat dan seluruh dunia bahawa Datuk Seri Nizar adalah Menteri Besar yang sah dan sehingga kini beliau masih seorang Menteri Besar.

Beliau telah dipilih melalui pilihanraya, walaupun dia seorang manusia yang ada kelemahan tetapi beliau tidak boleh dipecat dengan sewenang-wenangnya, kata Abdul Hadi.

"Sila beritahu apakah penyelewengan yang beliau lakukan jika ada, samada rasuah dan sebagainya." tanya Abdul Hadi.

Sambil merujuk tindakan Najib sebagai perompak kerajaan Perak Abd Hadi bertanya "adakah rakyat Perak boleh menerima kerajaan penyamun?"

Kita akan bangkit sebagai umat Malaysia yang berbagai bangsa dan agama untuk menegakkan kebaikan, kerana kita berada dalam satu kapal dan jangan benarkan orang tebuk kapal itu.

"Mari kita menghalau hantu dan jembalang yang berkuasa di Perak." seru Abdul Hadi.

"Cantas pemimpin-pemimpin yang celaka dan humbankan ke laut." katanya mengakhiri ucapannya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyatakan bahawa kemenangan Pakatan Rakyat di Perak telah dicabuli sekalipun majoriti rakyat Perak menginginkan perubahan dan telah menabalkan Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak.

Anwar menegaskan bahawa kita menyokong Datuk Seri Nizar kerana jiwanya adalah jiwa yang hendak membela rakyat Perak. Dia tidak mengkayakan dirinya (sepertimana jiwa pemimpin UMNO). .

Beliau menjawab kritikan pihak tertentu yang mempersoalkan tindakan Nizar yang menganugerahkan tanah kepada penduduk kampung baru Cina di negeri Perak yang kononnya telah membelakangkan Kanun Tanah Negara.

"Apa salah bagi tanah kepada tanah kepada orang Cina dan India di Kampong Baru," tanya Anwar sambil mempersoalkan seluruh genting Hingland kepada siapa UMNO bagi? Lim Goh Tong! Bagaimana pula dengan Pangkor?

"Bagi tanah kepada taukeh Cina tidak apa, bagi tanah kepada Cina miskin salah. Kita wajib tolong orang miskin tidak mengira Melayu, Cina dan India," tambah Anwar.

Keputusan Menteri Besar Perak itu (dengan sedikit pemberian tanah kepada kaum Cina yang miskin) tidak sedikit pun menjejaskan kepentingan orang Melayu tetapi UMNO sengaja menyemarakkan sentimen perkauman untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu.


"Pendirian PR cukup jelas, Hj Abdul Hadi, Lim Kit Siang dan saya, kita sepakat secara prinsip untuk bela rakyat dan kedaulatan raja-raja Melayu dipertahankan." tegas Anwar.

Anwar sewaktu ditanya selepas majlis ceramahnya mengenai kritikan Karpal Singh yang mendesak beliau berundur dari memimpin Pakatan Rakyat menjelaskan bahawa beliau telah pun menanyakan hal tersebut kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan YB Lim Kit Siang menyatakan bahawa itu hanyalah pandangan peribadi Karpal.”

Kredit kepada
idhamlim
pinkturtle
malaysianinsider
perakexpress
cenangau

Video akan menyusul

8 Feb 2009

Ulasan Isu Hangat 8 Feb 2009

Sebanyak 82% responden 7th Edition tidak bersetuju dengan gesaan Karpal Singh supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur dari memimpin Pakatan Rakyat.

Karpal Singh, Pengerusi DAP telah membuat gesaan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti daripada memimpin ikatan pembangkang dengan menuduh Ketua Umum itu yang mencetuskan budaya melompat parti selain menjejaskan 'keharmonian' dalam Pakatan Rakyat.

Karpal Singh telah seringkali menimbulkan isu kontroversi di dalam Pakatan Rakyat. Tatkala masing-masing pimpinan PR berusaha untuk mencari titik persefahaman terhadap pelbagai isu yang yang menjadi masalah kepada keharmonian hubungan diantara kaum di dalam PR, Karpal Singh tidak membantu malah akan terus menyemarakkan perbezaan dan mempertajamkan perselisihan.

Ini dapat dilihat sewaktu PRK Kuala Terengganu. Pengerusi DAP ini lansung tidak turun membantu berkempen sebaliknya melontarkan isu Hudud yang diperjuangkan oleh PAS yang sedikit sebanyak telah memberikan impak negatif terhadap sokongan pengundi bukan Melayu kepada PAS semasa pilihanraya tersebut.

Sedangkan pemimpin DAP lain seperti Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng sendiri telah datang berkempen malah menghadiahkan LCD besar kepada Sekretariat Kempen PRK P036 waktu itu. Lain-lain pemimpin DAP telah turut hadir termasuklah Penasihat DAP sendiri, Lim Kit Siang, Ronnie Liu, Teresa Kok, Elizabeth Wong dan lain-lain.

Serangan Karpal Singh kepada Datuk Seri Anwar kali ini sebenarnya bukanlah kerana isu lompat parti seperti yang didakwa tetapi kerana Datuk Seri Anwar telah membuat kenyataan tidak menyokong langkah Karpal yang ingin menyaman Sultan Perak.

Karpal Singh menganggap seluruh DAP itu dia yang empunya, malah dengan nada yang angkuh menyatakan bahawa beliau pernah mengugut DAP supaya keluar dari Pakatan Rakyat. PAS dan PKR tidak pernah mempunyai masalah besar dengan mana-mana pemimpin DAP yang lain kecuali yang seorang itulah, dan yang itulah dijadikan bahan oleh BN untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Hussin Ali mempersoalakan "Bila melihat kenyataan dan telatah beliau sejak akhir-akhir ini, hati kecil saya tertanya-tanya, untuk siapa dan untuk apa beliau berkhidmat... untuk apa dan untuk kepentingan siapa."

Sudah sampai masanya DAP mencari pemimpin lain yang boleh bekerjasama dengan parti-parti komponen di dalam Pakatan Rakyat setelah Karpal beberapa kali secara terbuka membuat onar tatkala Pakatan Rakyat perlu mengukuhkan keharmonian menghadapi musuh utama iaitu BN.

2 MENTERI BESAR DI MAJLIS THAIPUSAM DI GUNUNG CHEROH PERAK

Kedua-dua Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamalauddin dan Dr Zambry hadir untuk meraikan penganut ugama Hindu di kuil Subramaniam Gunug Cheroh Perak hari ini. Dr Zambry yang telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar untuk kerajaan haram BN di Perak kini menyedari menghadapi masalah dengan masyarakat kaum India Perak apabila kerajaan haram BN yang dipimpinnya tidak mempunyai seorang pun yang mewakili rakyat kaum India.

MALAM INI PERHIMPUNAN PERTAHAN KERAJAAN PR DI KEDIAMAN MENTERI BESAR

Datuk Seri Anwar Ibrahim, TG Haji Abdul hadi Awang dan Lim Kit Siang dijangka akan bersama di dalam Perhimpunan untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di perak yang akan diadakan di kediaman Menteri Besar Perak bermula jam 8.00 malam ini.

MAJORITI RAKYAT PERAK TETAP MAHUKAN PILIHANRAYA DIADAKAN

Sekalipun terdapat rakyat Perak yang menyokong pihak Istana yang mengambil keputusan tidak membubarkan DUN namun rata-rata kebanyakan rakyat Perak merasakan mereka patut diberikan peluang untuk menentukan siapa yang sepatutnya menerajui kerajaan Perak.

Perhimpunan yang dipimpin oleh UMNO untuk menyokong tindakan Sultan Perak hanya dihadiri oleh sekitar 200-300 orang.

YAB Datuk Seri Nizar pula masih terus menerus menerima sokongan dari masyarakat pelbagai kaum di Perak dan rasanya tidak mungkin untuk sesiapa menafikan karisma beliau yang kini telah berjaya menambat hati pengundi-pengundi di Perak.



Perutusan MB Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin

BismilahirRahmanirRahim

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.

Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.

Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.

UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.

Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar

Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?

Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.

Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat

Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.

Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.

Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.

Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.

Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.

Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak

Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.

Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.

IR MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN

Menteri Besar Perak

Sejarah Menunjukkan UMNO Menderhakai Raja

Media arus perdana terus memainkan sentimen kononnya Pakatan Rakyat khususnya Datuk Seri Nizar Jamaluddin telah melakukan penghinaan terhadap Sultan Perak dengan keengganan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak sepertimana yang dititahkan kepadanya.

Persoalan kini, apakah benar tindakan Nizar menghina Sultan Perak dan yang kedua siapa sebenarnya yang telah menghina institusi Raja Melayu selama ini?

Menurut Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tindakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar keputusan Sultan Perak dalam penyelesaian kemelut politik di negeri itu bukan suatu bentuk penderhakaan.

Beliau berkata, atas nama Islam, setiap manusia adalah sama di sisi Tuhan dan mereka bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan di akhirat kelak.

"Ini bukan soal Melayu (menderhaka) tetapi dalam Islam, raja atau rakyat, orang bandar, orang kampung, tak kira raja, tok guru, setaraf semuanya dan mereka bertanggungjawab kepada Allah di akhirat kelak," katanya.

Sementelah lagi Nizar tidak ada mengungkap sebarang perkataan-perkataan yang boleh ditafsir atau dilihat sebagai menghina Sultan Perak.

Apabila Nizar pada 4 Feb 2009 menyatakan dia "mohon ampun dari Tuanku dengan Sembah Durhaka", banyak pihak memutarbelitkan ayat itu dan dijadikan sandaran kononnya Nizar telah menderhakai Sultan.

Itu tahap mentaliti Melayu UMNO. Terkinja-kinja mendengar perkataan "sembah derhaka" bak belut di ketil ekornya.

"Sembah derhaka" di dalam konteks berkomunikasi dengan pihak istana sebenarnya ialah untuk melahirkan rasa "ketidak-bersetujuan" dengan titah Tuanku, dalam ertikata lain "bermohon agar dipertimbangkan semula" titah Tuanku tersebut.

Justeru tidak timbul lansung Nizar derhaka kepada Sultan sepertimana yang digembar-gemburkan oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan walaupun Nizar enggan menunaikan titah meletakkan jawatan kerana "sembah derhaka" telahpun disampaikan.

Kenyataan Ahli Parlimen Karpal Singh yang ingin menyaman Sultan Perak untuk membela Nizar pula kemudiannya digunakan untuk menjustifikasi kononnya pemimpin Pakatan Rakyat telah menderhaka dan cuba mengaibkan Raja Melayu.

Sebenarnya immuniti raja telah terhakis hasil usaha Perdana Menteri ke 4, (Tun) Dr Mahathir. Pada waktu itu UMNO dengan bantuan media arus perdanalah yang menyokong kuat tindakan TDM apabila setiap hari menghidang dan memaparkan "pembaziran" wang negara terhadap perbelanjaan raja-raja. Disiarkan di seluruh akhbar tentang istana-istana yang dimiliki oleh setiap orang sultan dan raja serta didedahkan semua perbelanjaan yang terpaksa ditanggung negara untuk raja-raja pada ketika itu untuk memburukkan institusi raja.

Malah sewaktu membentangkan Rang Undang-undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 pada 18 Januari 1993, PM telah menyatakan:

"Sementara halangan ke atas teguran ini dikatakan akan memelihara kemuliaan Raja, tetapi apabila Raja tidak ditegur, maka ia tidak akan sedar akan kesalahan yang telah dilakukannya. Dengan itu, mungkin lebih banyak kesalahan akan dilakukan dan kesalahan ini mungkin akan menjadi lebih serius. Ini bukan sahaja akan mencemarkan kemuliaan Raja, bahkan juga boleh menimbulkan kebencian rakyat terhadap Raja. Tidaklah benar jika dikatakan larangan terhadap mengkritik Raja akan memelihara kemuliaan Raja. Sebenarnya kemuliaan Raja akan tercemar kerana larangan ini."

"Kekebalan Raja atau Sovereign Immunity adalah suatu prinsip feudal -- satu konsep kononnya `The King can do no wrong`. Mengikut Dr. Hogg dalam bukunya `Liability of the Crown` konsep ini berasas kepada alasan bahawa seorang Raja tidak boleh didakwa dalam mahkamahnya sendiri. Alasan ini sudah lama dipersoal dan ditolak oleh pakar-pakar undang- undang di Eropah seperti Adams yang merasakan tidak ada keraguan bahawa feudal lords diletak di bawah mahkamah mereka sendiri -- `No doubt at all of the subjection of feudal lords to their own courts`"

Dengan kelulusan terhadap Rang Undang-undang tersebut oleh Parlimen waktu itu, siapa sebenarnya yang telah mencabut immnuniti Raja jika bukan UMNO sendiri?

Kemudian kita melihat isu kekecohan perlantikan Menteri Besar Perlis selepas Pilihanraya Umum 2008 dimana Perdana Menteri ke 5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan UMNO telah bertindak lebih jauh ke hedapan dengan mengeluarkan watikan perlantikan yang mana watikah hanya boleh dikeluarkan oleh pihak istana.

Tidakkah itu boleh dikatakan lebih "derhaka" kepada Raja Perlis yang mana watikah perlantikan seseorang Menteri Besar adalah tugas pihak Istana bukan oleh PM atau Presiden UMNO?

Jika Pak Lah dan UMNOnya meletakkan alasan bahawa suara ramai itu perlu dihormati dan diakui oleh pihak istana, apa pula yang menghalang UMNO untuk menerima Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang telah diterima oleh sekalian rakyat Perak?



Ia kemudiannya diikuti dengan krisis perlantikan MB di Terengganu yang semakin runcing apabila UMNO secara rasminya membunyikan gendang perang terhadap Istana Terengganu dan Sultan Mizan Zainal Abidin Shah.



"Idris Jusoh mewakili sokongan menyeluruh dari semua perwakilan yang dilantik. Ini tidak berubah. Oleh itu perlantikan orang lain (yang dibuat Istana) ke jawatan itu telah mencabul Perlembagaan," kata Abdullah.

Kenyataan Abdullah menyusuli tunjuk perasaan ahli-ahli Umno yang berang dengan keputusan Istana menolak pemimpin mereka - Pengerusi Umno Negeri Idris Jusoh - di luar perkarangan Istana Tamu, Kuala Terengganu semasa berlangsungnya majlis penerimaan watikah perlantikan Menteri Besar baru.

Juga pada hari yang sama, kesemua 23 dari 24 Adun BN bertindak memboikot majlis watikah itu. Adun-adun terbabit sepakat mengikat ikrar meneruskan tentangan dalam satu pertemuan bersama Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi di Kediaman Rasmi Seri Perdana, Putrajaya.

Abdullah Ahmad Badawi benar-benar mahu Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu sehingga “memaksa” kesemua 22 ADUN UMNO untuk menanda tangani satu perjanjian untuk terus berdiri memberikan sokongan kepada Idris Jusoh.

Tidakkah itu lebih derhaka namanya?

Kemuncak penderhakaan ialah pada hari yang sama Ahmad menerima watikah pelantikannya, sekumpulan penyokong Idris dan 22 wakil rakyat BN berdemonstrasi membantah wakil Kijal itu dekat kediaman menteri besar Terengganu.

Beberapa orang daripada mereka menaikkan kain rentang yang menyebut “Kami nak Idris, natang”.


“Natang”, dalam loghat Terengganu, bermaksud binatang yang masing-masing sedia maklum perkataan itu ditujukan kepada Sultan Mizan yang tidak menerima Idris Jusoh yang dicadangkan oleh Abdullah.

Justeru itu sandiwara UMNO yang kononnya mereka pembela raja dan istana di dalam isu kemelut politik Perak adalah penipuan yang tiada taranya kepada rakyat di negara ini. Mereka cuba berlagak seperti doktor yang cuba merawat penyakit sedangkan mereka sebenarnya adalah sebahagian dari penyakit yang menyerang. Mereka cuba menunjukkan kononnya mereka jaguh pembela institusi Raja walhal mereka pada hakikatnya peruntuh dan penderhaka sebenar terhadap raja-raja.