
"Mungkin sudah sampai masanya untuk rakyat Malaysia memikirkan kaedah pemilihan Perdana Menteri negara ini dengan cara yang membabitkan setiap individu rakyat."
Saya terpanggil untuk membaca tulisannya kembali, mencari "maksud" yang ingin disampaikan kepada rakyat Malaysia sekalipun sebelum ini saya jarang sangat dapat bersetuju dengan tindak-tandunya.
Paling tidak bersetujunya saya dengan Dr.Maza apabila beliau telah menerima perlantikan sebagai Mufti Perlis yang pada anggapan saya sudah pasti batinnya nanti akan tersiksa kerana tidak mungkin orang sebijak dan sealimnya dapat menerima persekitaran politik UMNO yang beliau sendiri telah maklum keadaannya.

Seterusnya dikeluarkan oleh al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus daripada Abu Hurairah beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, "apabila kamu melihat seorang alim banyak bercampur gaul dengan Sultan (pemerintah), maka ketahuilah bahawa si alim itu sebenarnya adalah seorang pencuri".
Hal yang sama pernah saya luahkan sewaktu Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada 29 Mac 1982. Saya telah menulis dua kali di dalam sebuah akhbar tabloid waktu itu yang kebetulan ruangan tetap Subky Latif pada waktu itu tidak dapat disiarkan dan editornya menggantikan ia dengan tulisan saya. Saya telah menyatakan ketidak-bersetujuan saya dengan langkah Anwar tersebut. Kerana pada hemat saya langkahnya itu pasti akan menimbulkan fitnah, dan fitnah pasti akan mendapat balasan dalam bentuk fitnah juga.

Tulisan saya di tabloid itu tidak berapa disenangi oleh beberapa pimpinan ABIM waktu itu termasuklah Cikgu Sidek Baba (kini Prof Dr) yang meminta saya "mengendurkan" sedikit kritikan saya terhadap langkah Anwar memilih platform UMNO untuk meneruskan perjuangan.

Berbalik kepada Dr. Maza. Apa yang saya bimbangkan sebelumnya menjadi kenyataan. Dr MAZA akhirnya tidak berupaya untuk menerima tekanan dan fitnah yang menyebabkan beliau meletakkan jawatannya sebagai mufti Perlis dan membuat kenyataan perletakan jawatannya itu sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri.
MSTAR pernah menyiarkan pandangan MAZA bahawa mereka yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah diberikan undi tidak percaya supaya berhati-hati. Katanya:
"Adakah penggantinya lebih baik darinya? Kalau tidak nanti, takut keluar mulut harimau, masuk mulut buaya," kenyataan beliau kepada mStar.
Beliau cuba untuk menunjukkan bahawa pengganti Abdullah (Najib) yang digembar-gemburkan tidak semestinya lebih baik.
Dalam bentuk sindiran MAZA meminta "pemimpin negara itu" mengundur diri "apabila negara kacau".
Anak singa di Pulau Teberau
Anak tebuan seekor lari
Jika negara sudah kacau
Eloklah tuan mengundur diri
Dalam rangkap akhir pantun empat kerat itu, MAZA meminta pengunduran itu digantikan dengan seorang pemimpin yang “berbudi tinggi”.
Pergilah mandi di Titi Tinggi
Jangan tersepak tali pencuci
Carilah ganti berbudi tinggi
Bukan perompak ganti pencuri

Tidak tahu apa sebabnya MAZA yang sentiasa berpegang teguh kepada sanad dan musnad terhadap sesuatu dalil hadith kali ini terpaksa menggunakan pantun untuk memberi isyarat dan amarannya tentang "pengganti" yang disifatkannya sebagai "perompak yang mengganti si pencuri." Mungkin dengan cara itu beliau dapat menyampaikan mesejnya dengan jelas kepada "bangsanya" sebelum berangkat ke Lampeter, United Kingdom.
Katanya MAZA lagi:
"Saya sendiri setuju pasca PRU12 telah membuktikan beberapa perkara seperti ia berjaya mematahkan keegoan, keangkuhan dan kesombongan sesetengah ahli politik BN yang selama ini ingat mereka tidak boleh tumbang dan jatuh.
"Tapi episod itu sudah berlalu dan PRU telah membayar dan menunaikan hasrat rakyat. Sudah cukup pengajaran itu. Orang yang hendak dihukum telahpun dihukum. Jangan bicara lagi pasal hukuman, lihat kesan pada hukuman. Umno pun telah dihukum, yang tinggalpun nyawa-nyawa ikan...," kata Asri.
Tetapi nasihat MAZA tidak diperdulikan dan "orang yang dimaksudkan" tidak mengambil pengajaran dari implikasi PRU12 yang lalu, sebaliknya masih galak untuk meneruskan "kareernya" sebagai perompak kali ini merompak ahli-hali politik Pakatan Rakyat untuk menjayakan misinya membentuk sebuah kerajaan haram di Perak!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan