16 Jan 2012

Amah Maut Dihempap Pintu Pagar Rumah

Johor Bahru: “Ketika saya cuba mengangkat pagar itu, Bibik masih bernyawa, tetapi beberapa minit kemudian dia diam dan tidak bergerak,” kata Shahrul Hassan, 41, menceritakan insiden amahnya terbunuh akibat dihempap pintu pagar rumah majikannya di Jalan Raja Udang, Larkin Jaya, di sini, semalam.

Gambar: TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Oneh, 50-an, tergelincir ketika membersihkan halaman rumah dan memaut pintu pagar bagi mengelakkan terjatuh, namun pagar besi seberat lebih 200 kilogram itu tumbang lalu menghempap kepala serta badannya.

Shahrul berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terdengar dentuman kuat.

Sebaik keluar rumah untuk mencari punca bunyi, dia menemui Oneh yang dipanggil Bibik dan bekerja dengan ibu bapanya sejak lebih tiga tahun lalu, berlumuran darah dihempap pintu pagar.

“Saya sedih melihat keadaannya dan tidak banyak yang dapat kami buat untuk menyelamatkannya. Saya juga sebak mengenangkan hasrat Bibik mengerjakan haji tidak tercapai kerana dia pernah memberitahu wang simpanannya sudah mencukupi.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini dan menganggap ia sebagai takdir Allah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. -hm

Amah maut ditimpa pintu pagar 200kg

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu rumah warga Indonesia maut dihempap pintu pagar seberat 200 kilogram ketika mencuci lantai di luar kediaman majikannya dekat Jalan Raja Udang, Larkin Jaya, di sini, tengah hari semalam.

Kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari ketika mangsa dikenali sebagai Oneh, 50-an, sedang membersihkan kawasan depan rumah itu sebelum dipercayai tergelincir akibat lantai licin.

Dalam keadaan cemas, mangsa dipercayai bertindak memaut pintu pagar terbabit untuk mengelak daripada terjatuh, tetapi bahan binaan besi itu tumbang menghentak kepala serta menghempap badan mangsa.

Anak majikan mangsa, Shahrul Hassan, 41, berkata ahli keluarganya yang berada dalam rumah ketika itu, terkejut dengan dentuman kuat daripada arah luar rumah itu sebelum bergegas keluar meninjau.

“Kami terkejut mendapati bibik (Oneh) sudah terbaring berlumuran darah di bawah pintu pagar yang tumbang. Kami bergegas mengalihkan pintu pagar terbabit kerana ketika itu mendapati bibik masih lagi bernyawa.

“Namun belum sempat mendapatkan bantuan kecemasan, beberapa minit kemudian, dia menghembus nafasnya yang terakhir di hadapan kami sekeluarga,” katanya yang sedih mengenangkan kejadian menimpa pembantu rumah yang dianggap bagaikan ahli keluarga sendiri itu.

Shahrul berkata, keluarganya bersedih dengan kejadian menimpa mangsa yang bekerja sebagai pembantu di rumahnya sejak empat tahun lalu dan menganggapnya seorang pekerja setia dan dedikasi dalam menjalankan tugasan dengan baik.

“Walaupun menerima kejadian ini sebagai suatu takdir namun kami bersedih mengenangkan bibik tidak mempunyai ahli keluarga dan hidup sebatang kara.

“Malah, gajinya disimpan kerana dia berhajat menunaikan ibadah haji bersama kami,” katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, yang mengesahkan kejadian itu mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

Katanya, siasatan polis mangsa sedang membersihkan persekitaran rumah majikannya sebelum tergelincir dan dihempap pintu pagar itu yang dipautnya ketika mengelak daripada terjatuh.

“Mangsa meninggal akibat kecederaan parah di bahagian kepala, muka dan beberapa anggota.

“Mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat, sebelum diserahkan kembali kepada majikannya untuk dikebumikan,” katanya. -BH



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ketentuan Allah.
Kita pun kadang2 pernah tergelincir & dlm keadaan panik utk elak dari tersembam kita akan cuba capai apa2 yg terdekat utuk perpaut.

Mesti kuat pautan arwah sehinggakan pagar tu bole jatuh, ataupun skrew, besi ikatan pagar tu dah tak kuat, reput atau ada yg dah tanggal. Cuba kita semak2 pagar kita pula, sbgai langkah pencegahan.

Al fatihah.

Tok Kie berkata...

Innalillahirajiun .... Alfatihah .. niat suci murninya moga diterima Allah.

Tanpa Nama berkata...

moga arwah bibik di tampat kan d tempat orang2 yg beriman....amin

al fatihah...