7 Feb 2011

[Video] GEMPAR: 6 Terbunuh, Penduduk Serang Pengikut Ahmadiah

Jakarta: Sekurang-kurangnya enam terbunuh dan berpuluh yang lain cedera apabila kira-kira 1,000 penduduk Islam bertempur dengan sekumpulan pengikut ajaran Ahmadiah di Jawa Barat, semalam.

Agensi berita Antara melaporkan, penduduk Islam sebelum itu mengepung sebuah rumah di daerah Pandeglang di Jawa Barat bagi menghalang pengikut Ahmadiah daripada bersembahyang di situ.

Antara berkata, enam orang terbunuh dalam pertempuran yang tercetus apabila pengikut Ahmadiah menikam seorang penduduk tempatan. Polis bagaimanapun hanya dapat mengesahkan tiga kematian.

“Setakat ini kami dapat mengesahkan tiga kematian dan mereka adalah pengikut Ahmadiah dari Jakarta.

“Kami masih perlu mengesahkan identiti mereka, manakala empat orang lagi cedera parah. Pengikut ajaran Ahmadiah bersenjatakan parang dan lembing dalam pertempuran itu,” kata ketua polis daerah, Alex Fauzi Rasyad kepada stesen televisyen tempatan MetroTV.

Satu perintah kerajaan yang dikuatkuasakan pada 2008 selepas menerima tekanan pemimpin Islam, melarang kumpulan Ahmadiah daripada menyebarkan ajaran mereka di Indonesia yang antaranya mempercayai Mirza Ghulam Ahmad adalah rasul terakhir.

Ajaran Islam sebenar menyatakan bahawa Nabi Muhammad adalah rasul terakhir manakala kepercayaan Ahmadiah dianggap sesat dan mencemarkan kesucian Islam. Mengikut undang-undang 1965, mereka yang terbabit boleh dihukum hingga lima tahun penjara.

Kumpulan Ahmadiah mendakwa mempunyai 500,000 pengikut di Indonesia, manakala pertubuhan Islam terbesar, Nahdlatul Ulama 30 juta ahli. – AFP







Tiada ulasan: