28 Jun 2009

Kemenangan Manek Urai Wajib Dipertahankan - TGHH

Pilihanraya lalu Barisan Nasional (BN) menghadapi kejatuhan merundum dalam memenangi kepercayaan rakyat Malaysia setelah Pakatan Rakyat menguasai kebanyakan pilihanraya kecil yang diadakan sejak Mei tahun lalu.

Kemenangan berturut-turut Pakatan Rakyat di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Penanti awal bulan lepas akan disusuli kemenangannya di Manek Urai 14 Julai nanti.

Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapannya di majlis pengisytiharaan calon PAS malam tadi menegaskan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai wajib dipertahankan.

"Pada tahun 1978, PAS dihentam secara habis-habisan oleh BN dengan cara yang zalim, sehingga mereka (BN/Umno) mengisytiharkan darurat dan pilihanraya pada ketika itu nyata berat sebelah," ujarnya.

Mengimbas sejarah pahit PAS yang pernah berkerjasama bersama dengan Umno pada tahun 1978 itu, beliau mengharapkan sejarah itu akan sentiasa diingati seluruh ahli PAS secara langsung akan menolak Umno/BN.

"PAS ketika itu hanya mampu memenangi dua buah kerusi dan salah satu kerusi yang di menangi adalah Manek Urai, maka wajarlah untuk wajib kita pertahankan manek Urai ini," tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru khususnya kepada penduduk tempatan untuk mempertahankan Manek Urai bagi meneruskan kepimpinan ulamak yang diterajui Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Presiden PAS itu juga berkata pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) terus berbohong dalam kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai dengan mengatakan tidak wujud minyak dan gas serta industrinya di negeri Kelantan.

Beliau mendedahkan beliau sendiri telah pergi ke pelantar cari gali minyak dan gas di perairan Kelantan sebaik sahaja mendapat berita tentang wujudnya 'emas hitam' itu di negeri tersebut, sedikit masa dahulu.

"Kebetulan saya duduk tepi pantai, bersama orang ke laut (nelayan) (saya telah pergi) melawat pelantar minyak, tengok pelantar minyak (dan) pelantar gas di situ.

"Dalam kawasan (perairan) Kelantan, bukan dalam perairan Siam dan perairan antarabangsa,"jelasnya ketika berucap dalam majlis perisytiharan calon pilihan raya kecil DUN Manek Urai, di Kampung manek Urai Lama,kelmarin yang dipetik Buletin Online.

Sehubungan itu, beliau berkata, Petronas wajib membayar royalti minyak sebanyak 5% kepada negeri Kelantan sebagaimana perjanjian di antara syarikat minyak itu dengan kerajaan-kerajaan negeri pada tahun 1975.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nak buat apo peti minyak tu bokan ado perancanggan pembangunaan!!!tak tahulah ado perancanggan nak tukar sarban atau jubah kerana PR..MU..AKAKAKA.