12 Jan 2011

Ugutan Terhadap YB Shuhaimi Supaya Tinggalkan PKR

PKR nafi ADUN Sri Muda letak jawatan

PKR menafikan dakwaan bahawa ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafiei akan meletakkan jawatan atau melompat parti.

Naib Ketua PKR Kota Raja Kamarudzaman Sanusi berkata, SMS yang disebarkan pagi ini berhubung perkara itu adalah "palsu dan berniat jahat".

"Saya hendak sebut dengan jelas, SMS itu palsu, berniat jahat dan dilakukan musuh politik yang tertentu dan berkepentingan," katanya dalam sidang media di pejabat Shuhaimi di Kota Kemuning, Shah Alam.

Sebelum ini, ura-ura bahawa Shuhaimi akan melompat parti atau meninggalkan PKR bertiup kencang. Panggilan telefon serta sms yang dihantar juga tidak berjawap menguatkan lagi khabar angin itu.

Sementara itu, menurut seorang sumber yang dekat dengan ADUN tersebut ketika dihubungi hari ini, semua program Shuhaimi kini dibekukan buat sementara waktu.

Difahamkan, langkah itu adalah bagi memastikan keselamatan ADUN berkenaan.

Shuhaimi bagaimanapun tetap akan hadir untuk diambil keterangan oleh polis di Bangunan SUK petang ini, menurut sumber berkenaan.

Terdapat pelbagai versi mengenai siasatan polis itu. Ada yang mengaitkan dengan rumahnya yang disimbah dengan cat merah 7 Januari lalu.

Ada juga yang mengaitkannya dengan tulisan Shuhaimi di blog berhubung isu perlantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru yang didakwa sesetengah pihak, khususnya dari Umno bahawa ADUN Sri Muda itu menghina Raja-raja Melayu.


Adun Sri Muda: 25 aduan, polis mahu guna Seksyen 111

SHAH ALAM, 11 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Shuhaimi Shafiei tidak hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini bagi memberi keterangan berkaitan laporan yang mendakwa beliau menghina Sultan Selangor, atas nasihat peguam.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua berkata peguam PKR memutuskan Shuhaimi hanya akan hadir memberikan keterangan sekiranya menerima notis mengikut Seksyen 111, Kanun Tatacara Jenayah.

“Setakat ini tidak ada notis rasmi dikeluarkan bagi mewajibkan Suhaimi datang ke balai... sesiapa yang diperlukan untuk siasatan kami sedia bekerjasama,” katanya kepada pemberita di luar IPD Shah Alam di sini hari ini.

Selain Tian Chua, beberapa penyokong Shuhaimi turut berkumpul di luar IPD Shah Alam di sini sambil membawa kain rentang dan melaungkan sokongan terhadap Adun berkenaan.

Ditanya mengenai lokasi Shuhaimi ketika ini, beliau berkata wakil rakyat itu berada di dalam negeri dan sibuk dengan tugasan hariannya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika dihubungi berkata, notis mengikut Seksyen 111 itu hanya dikeluarkan sekiranya seseorang saksi itu enggan atau tidak hadir ke balai seperti yang diarahkan.

Beliau berkata polis berhak memanggil saksi bagi direkod kenyataan atau rakaman pernyataan mengikut Seksyen 112, Kanun Tatacara Jenayah tetapi sekiranya tidak hadir baru notis mengikut Seksyen 111 dikeluarkan.

“Dia yang berjanji hendak datang tetapi tidak datang, jadi sekarang baru kita (akan) guna Seksyen 111, namun Seksyen 111 itu bukan bermakna dia salah, ia untuk rekod kenyataan, kita bukan hendak tangkap dia dan kalau kita hendak tangkap, buat apa kita keluarkan notis,” katanya.

Mengenai dakwaan Shuhaimi mengenai kedatangan anggota polis ke rumahnya yang disifatkannya seolah-olah cuba mengugutnya, Tun Hisan menjelaskan anggota polis pergi ke rumah Adun itu bagi memaklumkan yang beliau perlu hadir ke balai untuk memberikan keterangan.

“Anggota polis cuma pergi ke rumahnya kerana dia sebelum ini berada di Bandung, Indonesia dan kita pergi ke rumahnya sebab hendak tanya bila dia hendak datang ke balai.

“Apabila sudah ada 25 laporan polis dibuat terhadap Shuhaimi, polis mesti menjalankan siasatan dan ini bukan mengenai politik atau tidak, kaya atau miskin atau bangsa apa, kita hanya pandang dari segi undang-undang,” katanya. – Bernama


Ulasan GB

Kini jelas. Laporan polis menuduh YB Shuhaimi menghina Sultan Selangor dan insiden simbahan cat merah di pejabatnya adalah sebenarnya ugutan politik supaya ADUN Sri Muda itu tinggalkan PKR dan sertai UMNO.

Hebahan SMS mendakwa bahawa Shuhaimi Shafiei akan meletakkan jawatan atau melompat parti adalah bukti nyata bahawa ada gerakan untuk memberi tekanan kepada ADUN berkenaan supaya melompat parti.

De javu Perak. Masihkah kalian ingat?

Kita berdoa agar Allah memberikan kekuatan kepada YB SHuhaimi dan agar beliau bertenang dan bersabar melalui ujian ini.

Tiada ulasan: