12 Jan 2011

Pembungkus Minyak Masak Tak Berlesen Diserbu

Audit syarikat bungkus minyak masak

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kini melakukan pemeriksaan dan mengaudit semua syarikat pembungkusan semula minyak masak di negara ini bagi membendung kekurangan bekalan di pasaran. Gambar fail.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemeriksaan itu bagi mengenal pasti punca kekurangan bekalan bahan mentah itu sejak beberapa minggu lalu.

“Kita melakukan pemeriksaan ke atas semua syarikat pembungkusan semula minyak masak untuk tahu ke mana hilangnya minyak masak itu di pasaran.

“Selain itu, kita juga akan periksa pemborong dan peruncit bagi mengenal pasti mengapa bahan itu tidak boleh sampai ke pengguna,” katanya selepas melancarkan produk Takaful Keluarga Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) hasil kerjasama dengan Etiqa Takaful Berhad (Etiqa Takaful).

Ismail Sabri berkata, setakat ini, pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas enam syarikat dan menyita satu syarikat berhubung kekurangan bekalan itu di pasaran.

“Sekiranya mereka didapati bersalah melakukan penyelewengan sehingga menyebabkan kurangnya bekalan minyak masak di pasaran, kita akan mengambil tindakan keras mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Di MARANG: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Terengganu menyita sebuah premis membungkus minyak masak tidak berlesen dan merampas 4,000 kilogram minyak masak bernilai RM10,000 di Kampung Padang Lebam, Bukit Payong, di sini, semalam.

Ketika serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari diketuai Timbalan Pengarah PDNKK, Ab Ghani Harun, tiga pekerja premis terbabit sedang membungkus minyak dalam paket satu kilogram untuk dijual di pasaran tempatan.

Ab Ghani berkata, premis rumah kedai berkenaan dikesan menjalankan kerja pembungkusan semula minyak masak tanpa lesen sah sejak lebih setahun lalu dan turut menyimpan dua tangki minyak masak besar dan satu tangki kecil dalam premis berkenaan.

Beliau berkata, peniaga terbabit melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan sabit kesalahan boleh dihukum denda RM100,000 atau penjara tiga tahun mengikut Seksyen 22 (1)(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tinjauan mendapati, terdapat dua tangki minyak besar diletakkan di bahagian belakang premis, dengan satu tangki kecil ditempatkan bahagian pembungkusan di depan premis. Peniaga berkenaan turut memiliki kelengkapan tiga mesin pembungkus manual dan satu mesin pembungkus automatik. -BH

Ulasan GB

GB sudah katakan sebelum ini di Minyak Masak Kurang Bukan Kerana Belian Panik. Petikan:

Apabila minyak masak tidak diperolehi di pasaran, kerajaan pada awalnya begitu cepat menuding jari kepada rakyat kononnya "belian panik" yang menyebabkan kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak tersebut.

Kini terbukti ia BUKAN disebabkan oleh belian panik, tetapi kegagalan kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sendiri di dalam mengawal dan memantau bekalan terutama syarikat syarikat pembungkus dan pemborong minyak masak yang melakukan penyelewengan disamping pengeluar yang mengambil kesempatan untuk mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak masak ke luar negara kerana ia lebih menguntungkan.

Jika bekalan minyak masak mencukupi di pasaran sudah tentu pengguna tidak akan melakukan pembelian panik akibat dicetuskan oleh kekurangan bekalan di pasaran dan kebimbangan akan berlakunya kenaikan harga.


Benar bukan apa yang GB katakan di atas?

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

minyak kelapa sawit tiada. najib tak komen pun?

Tanpa Nama berkata...

Nak serbu buat apa? Kalau Kerajaan BN pastikan minyak masak tak hilang dikedai-kedai runcit dan Super Market,kerja macam ni tak akan berlaku.Siapa yang salah?