27 Jul 2011

Apabila Majlis Perundingan Media Tiada Sambutan, Rais Pun Berdalih Kata Ia Hanya Cadangan

Majlis Perundingan Media hanya cadangan, kata Rais

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Di sebalik bantahan berterusan daripada organisasi media yang bimbang ia akan menambah kawalan pihak berkuasa, Putrajaya hari ini berkata, Majlis Perundingan Media (MPM) yang dihalusi Isnin lalu hanyalah satu cadangan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim (gambar) berkata, MPM “hanya satu percubaan”.

“Jika ia tidak menerima sokongan... kami tiada masalah untuk melepaskan daripada penyeliaan kami,” katanya.

Bagaimanapun Rais yang juga pengerusi bersama MPM berkata, “ramai yang sudah menyatakan persetujuan” tetapi hanya golongan “elitis tidak memberi persetujuan mereka”.

Seorang lagi pengerusi MPM ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mesyuarat Isnin lalu dikatakan gagal mencapai konsensus atau persetujuan mengenai cadangan Putrajaya mahu mengadakan MPM.

Ketika ditemui di sini hari ini, Rais berkata MPM bertujuan memastikan media bertindak dengan penuh tanggungjawab dan mematuhi undang-undang.

“Kami mahukan kerjasama, tiada agenda lain,” kata beliau.

Katanya, satu pakatan media mesti wujud dan “mereka boleh melakukan apa yang mereka hendak lakukan, tetapi undang-undang mesti dihormati.”

Pada Khamis lalu, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa beberapa ketua organisasi media dijangka membantah cadangan Putrajaya yang mahu membentuk MPM dengan tidak mempedulikan satu pertemuan bagi membincangkan terma rujukannya yang diadakan Isnin lalu.

Satu sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa daripada mereka sendiri menghadiri pertemuan itu, beberapa ketua media telah bersetuju untuk memperlihatkan protes dengan menghantar editor-editor junior sebagai wakil.


Difahamkan ketua-ketua berkenaan termasuk dari organisasi media yang dikawal oleh Barisan Nasional, bimbang majlis seumpama itu hanya akan mengenakan lebih banyak halangan ke atas kebebasan akhbar di Malaysia.

Menurut surat kementerian Rais, anggota MPM termasuklah wakil dari kerajaan, media cetak, elektronik dan media baru serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Antara yang dijemput agensi berita Bernama, Kumpulan Utusan, Astro TV, stesen Media Prima seperti TV3, NTV7, TV8, TV9, Hot FM, Fly FM dan One FM, AMP Radio Network, AlHijrah Media Corporation, Suara Johor, Star RFM, Husa Network, kesemua akhbar di bawah Kumpulan NSTP, Kumpulan Media Karangkraf, Star Publications (M) Berhad, The Sun, The Edge, Malay Mail, Makkal Osai, Tamil Nesan, Sin Chew Daily, Malaysia Nanban, Kwong Wah Yit Poh Press Berhad, China Press, Nanyang Siang Pau, Sarawak Press Sdn Bhd, See Hua Daily dan United Daily News.

Kesemua akhbar perlu mendapatkan permit penerbitan tahunan manakala stesen siaran elektronik dikawal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Blog House Malaysia telah dipilih sebagai wakil tunggal media baru manakala pertubuhan bukan kerajaan terdiri daripada Institut Akhbar Malaysia, Kesatuan Wartawan Malaysia dan Persatuan Penerbit Majalah.

Portal berita atas talian seperti The Malaysian Insider, Malaysiakini, Free Malaysia Today, Malaysia Today atau Merdeka Review sendiri tidak dijemput meskipun mereka mempunyai kad tauliah media dikeluarkan Jabatan Penerangan.

Surat jemputan kementerian itu juga disertakan dengan kertas cadangan penubuhan MPM, yang memperincikan terma rujukan untuk dibincangkan pada pertemuan Isnin ini termasuk peranan, objektif, fungsi, keanggotaan dan aktivitinya.

Kertas cadangan itu menggariskan lima fungsi MPM, antara lain memperbaiki pengurusan dan perkongksian maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan, program dan aktiviti komuniti dan membincangkan isu-isu semasa dan merangka pelan komunikasi untuk menangani mereka secara bersepadu dan teratur.

Dalam pada itu, Rais menganggap pelancaran kempen Kibarkan Jalur Gemilang tahun ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dianggap unik kerana ia melibatkan pemimpin pergi ke tempat tumpuan awam yang berbeza dari sebelum ini apabila rakyat dibawa ke lokasi sambutan.

Kata Rais, pelancaran kempen itu di Stesen KL Sentral di sini adalah istimewa kerana melibatkan pemimpin tertinggi negara bersama rakyat.

Ketika ditemui pemberita selepas pelancaran kempen itu, beliau berharap rakyat tidak lupa kepada amanat Najib dalam ucapan pelancaran itu bahawa kesejahteraan yang dicapai melalui transformasi akan mensejahterakan suasana dalam negara.

“Kerajaan yang beliau pimpin kini telah membawa kita ke tahap kemajuan, satu demi satu, sehingga gagasan 1Malaysia itu bererti kepada setiap insan yang menjadi warganegara Malaysia dapat bersama berasa megah dan bangga tidak kira apa pegangan politik, agama ataupun kebudayaan masing-masing,” katanya.

Sempena sambutan kemerdekaan ke-54 tahun ini, Rais berkata 244 program jalinan dirancang untuk diadakan di negeri-negeri menerusi Badan Bukan Kerajaan dan sektor swasta.

Selain melancarkan kempen itu, Perdana Menteri turut melepaskan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 Jabatan Penerangan ke setiap negeri untuk menjalankan aktiviti serta program kemasyarakatan bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan tahun ini.

Tahun ini, sambutan kemerdekaan diadakan pada 16 September serentak dengan sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka. -TMI

Berita Sebelum Ini

Rais Terkedu, Media Arus Perdana Bantah Keras Penubuhan Majlis Perundingan Media



Tiada ulasan: