27 Jul 2011

Nik Aziz Nafi Sokong Biometrik SPR

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan bahawa beliau menyokong cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan sistem biometrik untuk identiti pengenalan pengundi dalam pilihan raya umum.

"Saya hanya menyatakan akan menyokong apa jua sistem yang membawa kebaikan dan tidak diragui. Sekiranya biometrik meragukan, maka ia juga wajar ditolak. Adapun laporan yang menyatakan bahawa saya menyokong adalah tidak tepat.

"Lebih baik (guna) dakwat kekal yang kita (pembangkang) minta (dulu) itu, supaya tidak ragu, selagi biometrik ini meragukan maka tak usah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kota Baharu hari ini.

Semalam sebuah akhbar menyiarkan di muka depannya berita bertajuk "Nik Aziz sokong biometrik" dan memetik kenyataan Menteri Besar Kelantan itu selepas merasmikan pelan hala tuju ICT negeri Kelantan 2011-2015 di Kota Darulnaim, di Kota Baharu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak sistem biometrik itu kerana berpendapat sistem itu terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik.

Ditanya sama ada di Kelantan terdapat pertindihan dalam senarai daftar pemilih, Nik Abdul Aziz berkata PAS pusat sedang membuat semakan senarai daftar pemilih di seluruh negara dan dijangka siap dua minggu lagi. --Bernama


Nik Aziz sokong PAS tolak biometrik

KOTA BHARU, 27 Julai: "Saya hanya menyatakan akan menyokong apa jua sistem yang membawa kebaikan dan tidak diragui. Sekiranya biometrik meragukan, maka ia juga wajar ditolak. Tolak kotor, ambil BERSIH."

"Adapun laporan yang menyatakan bahawa saya menyokong adalah tidak tepat. Saya menyokong pendirian PAS Pusat yang menolak kaedah biometrik yang ingin diperkenalkan oleh SPR," tegas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebuah akhbar harian semalam membuat berita sensasi apabila menyiarkan di muka depannya berita bertajuk "Nik Aziz sokong biometrik".

Ekoran itu timbul kekeliruan di kalangan orang ramai apakah sikap sebenar PAS dalam isu penggunaan biometrik dalam pilihan raya umum akan datang kerana pemimpin lain PAS memaklumkan parti itu menolak penggunaan biometrik.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sistem biometrik terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik.

"PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu dan juga pengundi yang mengundi banyak kali dalam setiap pilihan raya," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam sidang media bersama pimpinan PAS yang lain menjelaskan, PAS mengambil keputusan menolak cadangan kerajaan untuk menggunakan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini seperti yang diumumkan oleh SPR baru-baru ini.

Penolakan PAS terhadap sistem biometrik kerana diyakini sistem tersebut tidak berkemampuan menyelesaikan masalah pengundian bertindih dan menghalang masalah yang berlaku dalam pilihanraya di negara kita sejak sekian lama.

Beliau menjelaskan, sebaliknya PAS tetap bertegas untuk menggunakan dakwat kekal kerana hanya dengan cara itu yang dapat mengatasi masalah pengundian bertindih dalam pilihanraya di negara kita.

Menurutnya, keputusan menolak penggunaan sistem biometrik dibuat oleh PAS hasil perbincangan yang diadakan oleh para pemimpin PAS pada mesyuarat khasnya di Pejabat Agung PAS yang diadakan semalam.

Apa yang dikatakan oleh Nik Aziz sebenarnya bukanlah sebagaimana yang disimpulkan oleh akhbar harian berkenaan.

Wartawan Harakahdaily, Rizal Tahir, di Kota Bharu melaporkan Tuan Guru Nik Aziz PAS hanya akan membuat keputusan menyokong atau sebaliknya berhubung biometrik selepas diberi penerangan berhubung perlaksanaan perkara itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, walaupun tidak menafikan hanya akan menyokong sekiranya perkara itu baik, namun penerangan berhubung perkara itu perlu dilakukan terlebih dahulu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung sistem biometrik yang bakal dilaksanakan oleh SPR dalam pilihan raya umum selepas merasmikan pelan halatuju ICT negeri Kelantan 2011-2015 di Kota Darulnaim, Kota Bharu. -HD


Tiada ulasan: