27 Jul 2011

Polis Buat Laporan Polis Untuk Tangkap 10 Pemakai Baju Kuning

Sambutan kuning untuk PM di KL Sentral: 10 ditangkap

Sepuluh orang termasuk pembantu ahli parlimen Ampang dan pemimpin pemuda PKR ditangkap di KL Sentral petang ini kerana berpakaian kuning dan cuba menyerahkan memorandum tuntutan BERSIH 2.0 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Fareez Kamal Intidzam, pembantu kepada Zuraida Kamaruddin, ditahan oleh sekumpulan anggota polis sejurus sebelum ketibaan Najib dan rombongannya.

"Ironinya, seorang daripada kami memakai jersi bolasepak pasukan Malaysia dan saya sendiri memakai warna merah 'Patriot' ketika kami ditangkap,” kata Fareez kepada Malaysiakini.

Semua mereka yang ditahan kemudiannya dibawa ke balai polis Travers.

Selain Fareez, timbalan ketua penerangan pemuda PKR Rozan Azem Mat Rasip adalah antara mereka yang ditangkap.

Najib dan beberapa anggota jemaah menteri menaiki kereta api laju Express Rail Link, dari Putrajaya menuju ke stesen KL Sentral bagi mengedarkan bendera Jalur Gemilang menjelang sambutan hari kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Beliau dan rombongan yang sebelum itu dibawa dengan bas dari Pejabat Perdana Menteri ke Stesen Putrajaya Sentral pada 2.10 petang disambut 1,000 orang yang menunggu sejak 11 pagi.

Najib bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri lain meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai di stesen itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan di Facebook, Polis Kuala Lumpur, ASP Suffian Sulaiman berkata tangkapan itu dibuat ke atas sekumpulan orang awam yang memakai baju kuning dan membuat kacau.

“Berhubung majlis pelancaran kibar Jalur Gemilang di KL Sentral, polis KL telah tangkap seramai sepuluh orang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan di KL Sentral di Kuala Lumpur.

“Semasa tangkapan suspek memakai baju kuning tanpa apa-apa perkataan dan melaungkan reformasi. Tangkapan adalah bersabit laporan polis yang dibuat oleh ketua polis daerah Brickfields tentang maklumat mengatakan ada kumpulan pemuda berpakaian kuning akan membuat kacau,” tulisnya.

Menurut Suffian semua tahanan itu kemudiannya dibebaskan selepas percakapan mereka dirakamkan polis untuk siasatan lanjut. -mk


10 ditahan ketika cuba serah surat pada Najib

KUALA LUMPUR, 27 Julai: 10 orang temasuk enam anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang ditahan polis di stesen Sentral Kuala Lumpur siang tadi dibebaskan kira-kira jam 5.50 petang selepas diambil keterangan.

Kesemua mereka yang ditahan di Balai Polis Travers itu sebelum ini disoal siasat dibawah Seksyen 105, Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, mereka ditahan kira-kira jam 2.50 petang ketika sedang berbaris bersama pelatih PLKN menyambut ketibaan Datuk Seri Najib Razak untuk merasmikan kempen Kibarkan Jalur Gemilang di sini.

Antara yang ditahan termasuklah Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azin Mat Rasip, Exco AMK Pusat, Zaki Yamani, Zulfikar Ali Ariffin, Manivannan Gowindasamy, Chegu Sekar dan pembantu ahli parlimen Ampang, Mohamad Fareez Kamal Intidzan.

Insiden berlaku apabila Zaki cuba masuk ke dalam laluan Najib bagi menyerahkan sepucuk surat kepada Perdana Menteri itu.

Sebaik sahaja beliau masuk sambil memanggil "Datuk Seri", empat pengawal peribadi Najib terus memegangnya dan mengheret beliau keluar dari tempat tersebut dan diserahkan kepada anggota polis yang sedia berkawal.

Najib juga dilihat sempat melihat ke arah Zaki dan pergelutan yang berlaku yang hanya berjarak kira-kira satu meter darinya.

Seorang rakannya, Zulfikar pula ditahan apabila cuba menayakan kepada polis kenapa Zaki ditahan dengan cara kasar.

Ekoran itu kesemua mereka yang memakai baju kuning itu ditahan pihak polis. -HD





Ulasan GB

Baca semula ayat yang GB merahkan:.

Tangkapan adalah bersabit laporan polis yang dibuat oleh ketua polis daerah Brickfields tentang maklumat mengatakan ada kumpulan pemuda berpakaian kuning akan membuat kacau,”

Bila tidak ada laporan polis untuk mereka bertindak, maka mereka (polis) sendiri membuat laoran polis untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Nampak jelas bahawa POLIS itu bekerja untuk Najib dan UMNO.

Tiada ulasan: