27 Jul 2011

Kes Sarbani: PKR Gesa Tubuh Suruhanjaya Elak Pesalah Terlepas

Bagi mengelakkan hal sama berulang dalam kes kematian mendiang Teoh Beng Hock, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed.

Terdahulu keluarga mangsa juga turut menyatakan pendirian sama mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan.

Bagaimanapun kerajaan hanya bersetuju menubuhkan inkues bagi menyiasat misteri kematian Allahyarham.

Lantaran tidak mahu mereka yang bersalah terlepas dari tanggungjawab, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau menyokong sepenuhnya usaha keluarga Allahyarham yang mahukan keadilan di atas kematian bekas penolong pengarah Kastam Selangor itu.

"Polis Diraja Malaysia telah menolak sebarang tindakan terhadap tiga orang pegawai SPRM yang dinamakan di dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Teoh Beng Hock, Hishamuddin Hashim, Mohamad Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus memandangkan polis menganggap mereka tidak menyalahi sebarang undang-undang dan bergantung kepada siasatan dalaman SPRM. Pun begitu SPRM hanya menggantung ketiga-tiga individu tersebut,"kata Nik Nazmi.

"Sebenarnya mereka boleh disiasat di bawah Seksyen 304 dan 304A Kanun Keseksaan iaitu homisid salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh (culpable homicide not amounting to murder) dan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.

"Harus diingat permintaan untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja Teoh Beng Hock juga memakan masa yang lama dan hanya selepas keputusan koroner yang tidak muktamad dan tekanan politik barulah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan penubuhannya,"tambahnya lagi.

Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia berkata, laporan Suruhanjaya Diraja dalam kes Teoh Beng Hock mendedahkan kepada awam bagaimana teknik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan prosedur siasatan sehingga menyebabkan Beng Hock tertekan lalu bertindak membunuh diri.

Rumusan yang dibuat Oleh Suruhanjaya Diraja itu sebulat suara memutuskan bahawa ketiga-tiga pegawai SPRM bertanggungjawab di atas kematian mendiang.

"Bagaimanakah pengumuman penubuhan Jawatankuasa Eksekutif Transformasi SPRM dapat mengembalikan imej dan kewibawaan SPRM apabila jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri?

"Memandangkan isu ini isu serius yang sudah timbul berkali-kali, nyata sekali siasatan dalaman bukanlah penyelesaiannya. Seperti kata pepatah Inggeris, who will guard the guards? Jadi kalau SPRM yang buat salah, kalau panel itu dipengerusikan oleh ketua pesuruhanjaya SPRM. Sejauh mana kewibawaan siasatnya,"kata beliau lagi.

Minggu lalu, isteri kepada Allahyarham Sarbani, Maziah Manap membuat laporan polis menggesa pendedahan blogger terkenal, Raja Petra Raja Kamaruddin disiasat.

Dalam lapan entrinya, Raja Petra antara lain berkata, Penolong Penguasa SPRM, Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbani ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur, Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM itu.

“Di sana, Sarbaini telah ‘didera’ secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

“Mohd Fauzi juga mengatakan ‘orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain’, terkejut dengan itu Sarbani memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

“Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbani tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia,” dakwa beliau.

Dakwaan ini dikatakan dalam tulisannya ketika inkues masih berjalan. Inkues yang sedang berehat dua minggu akan disambung awal bulan depan.

Kematian Sarbani, Penolong Pengarah Pejabat Kastam Selangor telah mengejutkan banyak pihak.

Allahyarham ditemui meninggal dunia di Pejabat SPRM di Jalan Cochrane pada 6 April yang lalu. -tvsnews



Tiada ulasan: