28 Jun 2011

Banyak Pihak Kesal Polis Heret Sasterawan Negara, A.Samad Said Bawah Akta Hasutan

Teras: Tindakan polis siasat Samad Said keterlaluan

Teras Keupayaan Melayu (Teras) kesal dengan tindakan polis apabila Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said turut diheret di bawah Akta Hasutan, berkaitan dengan perhimpunan 9 Julai anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Pada majlis tersebut A. Samad Said (gambar) menyampaikan ucapan dan puisi berjudul “Unggun Bersih” di ibu negara 19 Jun lalu.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu, Azmi Abdul Hamid berkata, beliau kesal dengan tindakan polis yang menyiasat Sasterawan Negara itu semata-mata kerana membaca puisi sahaja.

“Saya kesal polis menyiasat beliau atas puisi yang dibacanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan semalam, A Samad Said dipanggil polis untuk diambil percakapan berhubung Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.

Jelas Azmi, pihak polis nampaknya beria-ia untuk menghalang Bersih 2.0 sehingga tokoh yang dihormati rakyat menjadi mangsa untuk disiasat hanya kerana puisi .

“Adakah ini menunjukkan pihak berkuasa sekarang sudah menganggap puisi yang murni dan bersifat teguran dan menyatakan kebenaran itu termasuk suatu kesalahan yang boleh mengancam negara?” katanya.

Dalam pada itu, Azmi beranggapan tindakan polis yang menjalankan siasatan ke atasnya di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan sebagai suatu yang agak keterlaluan.

“Sasterawan negara itu terkenal sebagai seorang yang mampu mengungkap realiti dengan kata-kata yang sangat indah dan tepat pada makna dan kandungan untuk masyarakat tahu erti nilai murni seperti menegakkan kebenaran dan keadilan. Niat beliau juga adalah untuk meluruskan keadaan yang dilihatnya sebagai pincang.

“Ini termasuk soal pemerintahan dan hak demokrasi yang perlu diperbetulkan,” ujarnya.

Azmi tegas berkata, pihak plis perlu belajar bahasa sastera sebelum menganggap puisi Samad Said sebagai ancaman dan hasutan.

Katanya, mereka perlu jujur melihat mesej Sasterawan Negara itu dengan niat menghargai dan bukan mencurigai.

“Namun begitu, kami mendokong semangat beliau yang nampaknya tidak gentar dengan tekanan yang dianggap polis boleh menekan golongan karyawan daripada menyatakan pandangan mereka mengenai perkembangan semasa,” katanya.

Selain itu, beliau juga berasa kesal apabila turut disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya. -TMI



Sasterawan Negara Sedih, Karyanya Jadi Senjata Politik

Sasterawan negara, Datuk A. Samad Said melahirkan kesedihan beliau kerana siasatan polis yang dijalankan ke atasnya dikategorikan dibawah akta hasutan, sedangkan beliau hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai Sasterawan dalam membaiki sistem masyarakat.

Beliau mempersoalkan motif pihak berwajib yang mencurigai tujuan dan niat murni beliau dalam memberi komen mengenai situasi negara tatkala ini.

"Mengapa ini harus berlaku? Mengapa seorang sasterawan yang melalui puisinya merakam keadaan yang buruk diterima dengan penuh prasangka, itu menyedihkan saya.

"Akta hasutan? Apakah saya menghasut? Tidak. Saya ke sana untuk melahirkan situasi yang lebih murni, bukannya menghasut," kata beliau ketika ditemui selepas disiasat lebih sejam hari ini di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

Ketika mengulas mengenai siasatan keatas dirinya, A. Samad yang lebih mesra sebagai Pak Samad menyatakan betapa 'puisi' kini menjadi satu senjata dan diambil perhatian serius Kerajaan dan bukan seperti dulu.

"Saya fikir puisi sekarang sudah menjadi sebagai alat senjata. Dulu puisi untuk hiburan sekarang puisi dapat perhatian luar biasa.

"Apa yang saya lakukan adalah untuk merakam peristiwa untuk membaiki sistem sedia ada. Dalam puisi daya kata perlu perlu mempersuci demokrasi bukan untuk keruhkan. Dalam puisi itu saranan yang harus dihargai, bukan dicurigai," kata beliau.

Pak Samad disiasat bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 27(5) Akta Polis 1967berhubung pengucapan puisinya di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu.

Siasatan hari ini merupakan tindakan kedua ke atas sasterawan negara itu, selepas tindakan sama dijalankan ke atasnya pada Mac 2009 berhubung dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Tanpa menunjukkan rasa gentar, A. Samad turut menepis pandangan bahawa tindakan pihak polis itu akan terus menekan golongan karyawan daripada menyatakan pandangan mereka mengenai perkembangan semasa.

"Barangkali memberi amaran, tapi bagi seorang sasterawan ini lebih mendorongnya kerana (beliau) tahu kesusasteraan mempunyai kuasa," katanya.

Beliau tetap mendukung agenda himpunan BERSIH 2.0 yang menuntut agar pilihan raya dan sistem politik yang berteraskan keadilan dan ketelusan untuk membawa kebaikan kepada semua rakyat negara ini.

Beliau turut menolak sebarang sentimen bangsa yang dimainkan pihak tertentu dalam percubaan menafikan hak rakyat ini.

"Saya tak mahu cakap soal bangsa. Kita semua orang Malaysia. Kalau seorang cakap Melayu, seorang cakap India, Seorang cakap Cina, itu tak membantu. (Bersih) ini untuk kebaikan kita semua," tegas beliau. -tvsnews



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kata-kata tak sokong BN dan UMNO juga dikira hasut?

bunbinban berkata...

emmmm...mcm negara diktator atau negara komunis dah malaysia ni. baca puisi tak leh, baju kuning tak leh, berhimpun pun tak leh. yg boleh cuma penyokong, pengampu, penjilat dan org2 yg bodoh sombong. hahaha....weyyyy org umno, cuba korang pakat2 baca dan kaji dgn teliti ciri2 negara diktator dan negara komunis, ada persamaan tak dengan kerajaan BN kamu yg di katakan begitu kuat(kuat menipu). Demokrasi kepala bapak korang la kalau mcm ni.

Tanpa Nama berkata...

Polis ni mana tau sastra apatah lagi sastrawan.Depa kenal menteri-menteri UMNO aje.