28 Jun 2011

Baca Fatihah & 3 Qul Rahsia Umur Panjang & Sihat Tubuh Badan

Kampung Gong Halt - Seorang warga emas hanya mengamalkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran seperti surah al-Fatihah dan tiga ‘Qul’ sepanjang hayatnya merupakan rahsia umur panjang dan diberikan kesihatan yang baik.

Isa Dollah, 110 tahun, berkata, dia tidak ada rahsia lain untuk memohon dipanjangkan usia melainkan amalan surah-surah tersebut yang diamalkannya daripada usia muda hingga kini.

Menurutnya, dia juga tidak ada pantang dalam pemakanan dan makan semua makanan yang digemarinya, namun dia bersyukur kerana tidak menghidapi sebarang penyakit berbahaya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana diberikan usia yang panjang untuk terus melaksanakan ibadat di muka bumi ini.

“Saya tidak ada rahsia atau petua melainkan yakin dengan kelebihan yang dianugerahi Allah dalam surah al-Fatihah yang merupakan ‘ibu’ kepada al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam majlis ‘Walkabout’ Ahli Parlimen Kuala Krau turun padang melawat dan menyampaikan sumbangan kepada warga emas, sakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU), di sini, kelmarin.

Turut serta dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar, Pegawai Penerangan Temerloh, Hamdzah Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Samrah Hassan.

Isa yang mempunyai lima cahaya mata berkata, setiap kali selepas solat pasti dia akan mengamalkan bacaan surah-surah itu dan menjadikannya zikir sepanjang hari.

Menurutnya, selain surah-surah itu dia juga menggalakkan umat Islam membaca al-Quran setiap hari dan memohon kepada Allah kesihatan, kemurahan rezeki dan usia yang panjang.


“Saya bersyukur kerana dalam usia sebegini saya mampu melihat cucu-cucu saya membesar di depan mata. Walaupun saya sudah tidak berdaya untuk bekerja keras seperti zaman muda, namun saya bersyukur dengan rezeki dan anugerah Allah kepada diri saya.

“Ini bermakna saya merupakan insan paling tua di kampung ini,” katanya sambil bergurau dan tersenyum lebar. -SH

Tiada ulasan: