26 Feb 2011

Merlimau: PAS Yakin Menang, Yuhaizad Calon Bersih & Lebih Berkalibar

Merlimau: PAS tetap yakin berpeluang cerah merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kawasan itu 6 Mac ini walaupun tidak pernah menang sekali pun dalam dua pilihan raya disertainya bagi kerusi itu pada 1999 dan 2008.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata calon yang dipertaruhkan PAS, Yuhaizad Abdullah, 38, adalah anak tempatan yang mempunyai latar belakang pendidikan baik dan dapat mewakili suara PAS dalam DUN Melaka termasuk mampu menarik pengundi baru iaitu golongan muda.

“Beliau juga boleh berhujah. Tidak mustahil kita boleh menang di sini. Kita pernah menang dan kalah sebelum ini... harapan tetap ada,” katanya selepas mengumumkan pemilihan Yuhaizad di Markas PAS As-Solihin di Merlimau Pasir, malam kelmarin.

Yuhaizad yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Bahagian Jasin, berasal dari Batu 23 ½ Kampung Chinchin, Jasin memiliki Diploma Tasawur Islam dari Ilham Center Kuala Lumpur. -BH


Proses penamaan saksi saingan BN, PAS

MERLIMAU: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang bermula hari ini dengan proses penamaan di Politeknik Merlimau, dijangka menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Tinjauan sehingga petang semalam, mendapati tiada sebarang pihak atas nama calon Bebas atau parti lain berdaftar mengumumkan untuk bertanding di situ.
BN selaku penyandang kerusi ini sejak diperkenalkan pada 1995 atau empat penggal, mengumum mempertaruhkan bekas Pengurus Bisnes dan Sosioekonomi Perbadanan Melaka Holdings merangkap Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, Roslan Ahmad, 44, sebagai wakil parti itu.

Pengumuman pemilihan anak bekas wakil rakyat Sungai Rambai, Datuk Ahmad Ithnin itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lalu di Pusat Operasi BN berhadapan Politeknik Merlimau dengan disaksikan 1,000 penyokong parti.

Perarakan mengiringi Roslan pagi ini untuk pusat penamaan dijangka diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bersama pemimpin parti komponen BN lain.

Lawannya, PAS pula pada malam kelmarin memilih meletakkan Timbalan Ketua Dewan Pemuda negeri merangkap Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Yuhaizad Abdullah, 38, sebagai calon untuk mengibarkan bendera mereka. -BH


Tiada ulasan: