26 Feb 2011

DAP Perhebatkan Kempen Menangkan PAS Di Kerdau

DAP usaha tambah undi Cina pada PAS

TEMERLOH, 26 Feb: DAP akan berusaha untuk memastikan undi pemilih Cina kepada calon PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Kerdau dapat ditingkatkan.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw berkata, walaupun jumlah pengundi Cina di Dun Kerdau sekitar 450 orang atau 3.6 peratus, namun pertambahan walaupun satu undi adalah penting.

Katanya, DAP akan menerangkan kepada mereka mengenai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sama ada kerajaan negeri dan Pusat dalam usaha untuk menambahkan sokongan kepada calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada PRK Kerdau.

“Kami akan menerangkan kepada mereka keadaan negara dalam semua segi, politik, ekonomi bagi menambah undi kepada calon PAS kerana semua adalah penting,” katanya ketika ditemui semasa menunggu pengisytiharan calon yang akan bertanding pada PRK Kerdau di perkarangan Dewan Majlis Daerah Temerloh, di sini sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong menambah rakyat mesti didedahkan dengan penyelewengan kerajaan BN seperti penyalahgunaan wang rakyat, rasuah, nepotisme, pilih kasih dalam pembahagian projek dan tender kerajaan dan sebagainya.

“Kita akan menerangkan isu-isu berkenaan kepada mereka,” ujarnya.

Berdasarkan statistik Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Dun Kerdau mempunyai 8,721 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu 88.36 peratus atau 7,706 orang adalah pengundi Melayu, 455 pengundi Cina (3.6 peratus), India (3.4 peratus) dan 260 orang daripada lain-lain kaum (2.98 peratus).

Berada kira-kira 20 kilometer dari bandar Temerloh, Kerdau mempunyai penduduk yang rata-ratanya menjalankan kegiatan pertanian kelapa sawit dan getah di bawah program Felda dan Felcra selain usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Terdapat tiga tanah rancangan dalam Dun Kerdau iaitu Felda Jengka 22, 23 an 25, selain mempunyai beberapa penempatan Orang Asli. -harakahdaily

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alhamdulillah semoga berjaya, insyaallah