20 Nov 2010

Hakim Bukan Islam Bela Umat Islam Di Masjid Kata Tiada Siapa Berhak Halau Mereka Keluar

Dua MP Pakatan antara 17 bebas tuduhan sertai perhimpunan Bersih

KUALA LUMPUR, 19 Nov — Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan 17 orang termasuk dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat - Tian Chua dan N Gobalakrishnan daripada tuduhan menyertai perhimpunan tidak sah anjuran Gabungan Pilihan Raya bersih dan Adil (Bersih) tiga tahun lalu.

Turut dibebas tuduhan ialah ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu.

Dalam keputusannya, Hakim Jagjit Singh berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bahawa perhimpunan itu haram dan wujud kecacatan dalam pertuduhan.

Perbicaraan itu mengambil masa tiga tahun.

Dalam pilihan raya yang diadakan lima bulan selepas perhimpunan itu, Chua dan Gobalakrishnan yang bertanding atas tiket PKR, masing-masing menang di kerusi Batu dan Padang Serai.

Antara lain hakim berkata pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa tertuduh berada di tempat perhimpunan, malah kesemua 17 tertuduh sudah bersurai selepas diarahkan berbuat demikian.

Kesemua tertuduh didakwa menyertai perhimpunan haram yang diadakan di pelbagai lokasi di ibu negara termasuk Masjid Negara dan kompleks membeli-belah Sogo.

Perhimpunan Bersih 2007 telah diadakan pada 10 November 2007 dan tidak mendapat permit polis.

Ia dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Bersih, yang turut disertai pelbagai parti pembangkang, yang bertujuan mahu menuntut pilihan raya yang adil.

Perhimpunan itu dilaporkan disertai oleh 100,000 orang.

Dalam memorandum tersebut, Bersih mengemukakan empat tuntutan iaitu penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketempangan yang sedia ada dapat dihapuskan, penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara dan akses media yang adil kepada semua pihak dalam pilihan raya supaya semua parti politik boleh menjelaskan dasar dan manifesto mereka kepada rakyat Malaysia.

Selain Chua, Gobalakrishnan dan Mohamad, turut terlepas daripada pertuduhan itu ialah Mohd Zad Abdullah, Mohd Salim Yeslam, Abdul Razali Abdul Rahman, Razali Abdul, Mohd Asri Ahmad, Mohd Harith Fathillah, Saleh Mohd Tahir, Azahar Yusop, Sulaiman Ahmad, Taib Abdullah, Mohd Shafie Ismail, Mohd Nazreen Mohd Nasir, Mohd Abi Salam Ariffin dan Ishak Othman.

Hakim Jagjit dalam penghakimannya berkata, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tertuduh ke-16 iaitu Mohamad dan tertuduh ke-17 iaitu Chua mendapati, pihak pendakwaan hanya bergantung kepada pita rakaman semata-mata dan tiada keterangan saksi menunjukkan kedua-dua tertuduh berhimpun di Istana Negara yang boleh memudaratkan kepentingan awam.

“Kedua-dua tertuduh berada di situ (Istana Negara) untuk menyerahkan memorandum kepada pihak istana dan mereka telah diberikan masa yang secukupnya oleh pihak polis untuk menyerahkan memorandum itu dan selepas menyerahkannya mereka beredar. Maka tidak timbul isu enggan bersurai dan wujudnya perhimpunan haram di tempat itu,” katanya.

Selain itu, penangkapan kedua-kedua tertuduh turut dipersoalkan kerana tangkapan dibuat jauh dari Istana Negara. Mohamad Sabu ditangkap di Tol Juru, Pulau Pinang manakala Chua ditangkap di Johor Bahru.

Bagi tertuduh ke-10 iaitu Gobalakrishnan, Jagjit berkata tiada keterangan oleh mana-mana saksi yang menunjukkan tertuduh terlibat dalam perhimpunan di Jalan Tun Perak di sini kerana pihak pendakwaan hanya bergantung kepada video rakaman semata-mata.

“Dalam video rakaman menunjukkan kehadiran tertuduh, namun tiada keterangan saksi pendakwaan yang mengatakan bahawa tertuduh terlibat dalam perhimpunan itu. Di dalam video itu juga menunjukkan tertuduh tidak berpakaian berwarna kuning ataupun merah yang tertera perkataan “Bersih” ataupun “Unit Amal”. Persoalannya, bagaimana nak mengaitkan tertuduh terlibat dalam perhimpunan tersebut,” katanya.

Bagi 14 tertuduh yang lain yang ditangkap di beberapa lokasi seperti Masjid Negara dan Jalan Raja Laut di sini telah menunjukkan kehadiran mereka di situ, bagaimanapun pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kehadiran mereka mengganggu ketenteraman awam.

Saya berpendapat orang awam berhak berada di dalam masjid kerana ia merupakan tempat beribadat dan tiada sesiapapun yang berhak menyuruh mereka keluar daripada masjid dan apa jua halangan daripada berada dalam masjid adalah satu perbuatan yang melanggar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu melanggar kebebasan beragama,” katanya.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menyertai perhimpunan itu dan mengingkari arahan polis untuk bersurai di beberapa tempat di sekitar ibu negara seperti Jalan Raja Laut, Jalan Istana Baru dan Jalan Tun Perak antara pukul 1 petang hingga 4 petang, 10 November 2007.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan mengikut Seksyen 27 (4) Akta Polis 1967.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff yang mengemukakan seramai 36 saksi manakala barisan pembelaan diketuai oleh Hanifa Maidin. -TMI

Imbasan tulisan GB Pada 10 Nov 2007


Gelombang Kuning - Terciptanya Satu Sejarah

Gelombang Kuning - itulah namanya! 10 November 2007 akan terpahat di dalam lipatan sejarah negara ini sebagai satu kemenangan rakyat merobek kesombongan dan keangkuhan Kerajaan UMNO/BN yang dari awal-awal telah berusaha untuk menggagal perhimpunan keramat ini.

Langit persis merestui dan mengasihani rakyat yang berhimpun, mencurahkan hujan rahmat disamping membersihkan kotoran gas pemedih mata yang disemburkan oleh anggota FRU ke arah mereka, sementara laluan ke Istana Negara sekalipun sesak dengan lautan manusia, dipermudahkan jalannya oleh Allah s.w.t. untuk peserta-peserta perhimpunan tiba menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Dipertuan Agong.

Inilah rakyatmu Tuanku, yang datang dari pelbagai ceruk bandar dan desa, tiba ke Istanamu setelah menempuh pelbagai susah payah, halangan, ujian dan dugaan, ingin memohon simpati dan belas ikhsan tuanku, agar mendengar aduan dan rayuan kami tentang salahlaku kerajaan yang ada terhadap perjalanan sistem pilihanraya di negara ini.

Hasrat rakyat itu berjaya disampaikan oleh pemimpin-pemimpin NGO dan parti pembangkang yang dibenarkan masuk ke Istana Negara diantaranya Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Tan Sri Khalid Ibrahim, Tim Presiden Keadilan, wakil NGO dan Bersih, Anuar Tahir, Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.

Siapa menduga, setelah diancam dan diugut berkali-kali oleh pihak berkuasa yang semuanya bertujuan untuk menggagal missi perhimpunan tersebut, ianya tidak mampu untuk membendung gelora kebangkitan rakyat. Tepat sekali kata-kata TG Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan : "Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti."

Kita amat terkilan dengan tindakan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang dengan ganas dan zalim melepaskan semburan asid kepada orang ramai yang berada di hadapan bangunan bank OCBC, setesen LRT, dan kedai-kedai yang berada di sepanjang jalan bawah LRT.

Harakahdaily melaporkan Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli yang merupakan ketua peserta himpunan di Masjid Jamek terus meminta semua peserta mara ke Dataran Merdeka.

Dalam keadaan para peserta sedang mara ke Dataran Merdeka, FRU sekali lagi menghala semburan kepada mereka menyebabkan keadaan menjadi kecoh dan kelam kebut dan mereka berlari bertempiaran sambil menjerit-jerit.

Beberapa minit kemudian, para barisan FRU yang terdiri daripada 10 orang sekali gus melepaskan tembakan gas pemedih mata di hadapan Stesen LRT Masjid Jamek dan di celah lorong ke Masjid India menyebabkan para peserta himpunan lari menyelamatkan.

Ada di antara peserta yang terpaksa kembali ke masjid untuk mengelak dari terkena gas pemedih mata malah ada di kalangan mereka terbahak-bahak sehingga termuntah kerana terhidu gas pemedih mata.

Segerombolan FRU mengejar para peserta himpunan menyebabkan mereka terpaksa berlindung di kawasan masjid, di samping itu kira-kira 20 orang FRU berbaris sambil memegang perisainya di hadapan pintu pagar masjid menyebabkan para peserta himpunan tidak dapat keluar.

Hampir setengah jam, para peserta tidak kira tua, muda, remaja, bahkan kanak-kanak terpaksa berlindung seketika di dalam Masjid Jamek sambil membersihkan muka yang terkena semburan asid dari FRU.

Akhirnya peserta himpunan berunding dengan pihak FRU untuk keluar dari kawasan masjid dan memberitahu mereka para himpunan akan bersurai.

Kelihatan para peserta memecat semula baju kuning mereka sebagai taktik untuk keluar dari perkarangan masjid kemudian selepas itu mereka memakai semula 'T-Shirt Bersih untuk sama-sama berarak ke Istana Negara.

Dan kita mengkagumi semangat waja yang ditunjukkan oleh pasukan Unit Amal Malaysia (tentera merah) yang menjadi benteng pertahanan rakyat dari dikasari dan dizalimi oleh anggota FRU sekalipun beberapa anggota Unit Amal telah ditangkap tatkala mereka nekad merempuh sebuah trak water canon yang menghala kepada orang ramai yang berkumpul di stesen LRT Masjid Jamek.

Semuga Allah membalas jasa mulia mereka serta memberikan kehinaan ketas anggota FRU yang ganas dan kejam itu.

Ada hikmahnya apabila Dataran Merdeka ditutup. Peserta-peserta perhimpunan terpaksa berpecah kepada beberapa tempat sehinggakan gerombolan lebih 50,000 yang dipimpin oleh Presiden PAS telah tiba di Istana Negara, yang terpaksa merempuh pelbai halangan yang dibuat oleh polis sekitar jalan ke Istana Negara.

Mana mungkin melupai detik bersejarah ini dan semuga ia menjadi titik mula untuk mempastikan kita akan dapat menikmati sistem demokrasi yang sebenar, bertanding di tanah yang seimbang dengan sistem pilihanraya yang adil, telus dan bersih.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Selepas ini diharapkan pihak Pakatan Rakyat dapat mengadakan rapat umum penyerahan memorandum kepada Yang Dipertuan Agung menuntut penggunaan dakwat India sebagai penanda bagi pemilih yang telah melaksanakan kewajipannya.

Tuntut penandaan menggunakan 'Indian Ink' semata-mata, jangan tuntut perkara-perkara lain, sebab SPR ini pening jika banyak sangat permintaan.

Jika nak tuntut juga seperti pemansuhan undi pos anjurkan rapat umum dan memorandum pada masa yang lain. Supaya hilang pening SPR.

ainul JB berkata...

Anon 0203, betoi tu kena minta satu.... satu...satu. Minta banyak2 depa tu bukan boleh ingat sangat maklumlah bukan cerdik sangat pun.

Tanpa Nama berkata...

nampak nya sekarang seolah2 keadilan hanya boleh di perolih dari orang yang bukan ISLAM kerana mereka saja memahami apa dah jadi kepada orang yang mengaku ISLAM tetapi tidak memprkatikan hak ISLAM ynag sebenarnya hanya mengikut arahan takut tidak dapat naik pangkat langgar tanggang langgang hak ISLAM tak apa asal apa yang aku kejar dapat walau pun menginiayai orang lain selalunya siapa saja yang melapor dulu orang itu yang betul siapa yang pandai bermain dengan isu dia yang betul siap yang dapat liputan pemberita dia juga yang betul apa saja yang keluat berita itu betul tak takut rakyat marah tetapi sebelum menyiarkan berita tak pernah berfikir berita ini betul kah atau tidak tidak pernah mengambil berita sebelah pihak lagi sampai bila pun tidak kan berlaku keadilan jika sekiranya bukti yang dinyatakan ditolak begitu saja sebab takut kepada public interest mana dia keadalian ?