20 Nov 2010

Enjin Bas Meletup, Pelajar Kolej Melecur Jatuh Dalam "Lubang Berapi"

Kuala Lumpur: Tiga pelajar kolej kejururawatan cedera, dua melecur teruk selepas enjin bas dinaiki tiba-tiba meletup menyebabkan mereka terjatuh ke dalam ‘lubang berapi’ di bahagian enjin yang terbakar.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam kelmarin di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, di sini, ketiga-tiga mangsa jatuh ke dalam lubang itu sejurus lantai bas berkenaan runtuh akibat letupan yang berlaku.

Ketika kejadian bas itu berhenti di persimpangan lampu isyarat dan ketiga-tiga mangsa yang dalam perjalanan pulang ke asrama di Subang Bestari, dekat sini, selepas membeli-belah di ibu kota sempena cuti Aidiladha, duduk di kerusi paling belakang.

Seorang mangsa, Nurzilawati Hussin (gambar), 20, berkata sedang rancak berbual, enjin bas di bawah lantai tempat mereka duduk tiba-tiba meletup, menyebabkan dia terus terperosok masuk ke bahagian enjin.

“Kejadian berlaku sekelip mata dan api menyambar kaki serta baju kurung dipakai saya hingga paras punggung. Dalam keadaan cemas itu saya sempat ditarik keluar rakan ke tempat selamat.


“Dalam keadaan terbaring kesakitan di tepi jalan, seorang lelaki yang simpati mencurahkan air ke kaki saya yang panas akibat terbakar,” katanya.

Nurzilawati dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), namun dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan kecederaan melecur dialaminya serius dan memerlukan pembedahan segera.

“Doktor memberitahu hampir 26 peratus tubuh saya melecur. Malah saya terpaksa menjalani pembedahan lebih tiga jam pagi tadi (semalam) memulihkan kulit melecur teruk,” katanya.

Menurutnya, dia belum lagi memaklumkan kejadian menimpanya kepada ibu bapanya di Batu Rakit, Terengganu kerana bimbang mereka sukar menerimanya.

“Saya sedih kerana kecederaan yang saya alami menyebabkan saya tidak dapat menduduki peperiksaan kolej bakal bermula 13 Disember depan.

“Saya mungkin terpaksa mengulangi semula semester ini dan membayar yuran kira-kira RM10,000. Itu satu lagi beban kerana bapa saya hanya bekerja sebagai penjual sate,” kata Nurzilawati.

Menurutnya, kesan kebakaran itu menyebabkan kulit bahagian punggung hingga tapak kakinya sakit seperti dihiris benda tajam selain menyebabkan dia tidak boleh bergerak.

Dia yang cedera paling teruk berbanding dua rakan lain mendakwa memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua bulan untuk sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Seorang lagi mangsa, Nur Nadia Husna Arshad, 20, turut melecur 11 peratus dari paha ke bawah.

Menurutnya, sebelum enjin bas itu meletup dia bersama Nurzilawati dan seorang lagi kawan, Nur Aisyah Abd Samad, 20, duduk di kerusi belakang bas dengan penutup enjin terletak berdekatan kaki mereka.

“Sebaik bas berhenti di satu persimpangan lampu isyarat, enjin bas tiba-tiba meletup dan mengeluarkan percikan api sebelum asap memenuhi bas.

“Kami bertiga kelam-kabut selamatkan diri dan saya tidak boleh melihat dengan jelas. Ketika hendak lari ke pintu bas, saya terjerumus ke dalam lubang di lantai bas.

“Saya terperosok di bahagian enjin hingga paras pinggang mengakibatkan kedua-dua kaki sangat pedih akibat terkena wap panas dan percikan api,” katanya yang ditemui di PPUM, semalam.

Nur Nadia berkata, selepas jatuh dia menguatkan diri keluar dari lubang itu dan merangkak ke pintu bas sebelum Nur Aisyah memapahnya keluar.

“Doktor beritahu saya perlu masa tiga hingga empat minggu untuk pulih, itupun jika menggunakan ubat khas yang agak mahal kosnya dan perlu dibayar tunai.

“Wakil syarikat bas datang melawat dan berjanji menanggung segala kos. Kalau benar saya harap mereka dapat bayar segera kerana saya ingin menduduki peperiksaan Disember ini,” katanya.

Sementara itu, Nur Aisyah yang dibenarkan keluar berikutan hanya melecur di tapak kaki kanan pula berkata, dia bersyukur ketiga-tiga mereka selamat walaupun berdepan insiden paling bahaya pernah mereka alami. -hm

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

1. Saman syarikat bas

2. Adakah syarikat bas mengikut perundangan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia mengenai keselamatan dalam industri pengangkutan?

Tanpa Nama berkata...

Alahai apa nak jadi kepada negara ini, balak bertimpa-timpa. Dalam Islam, peranan pemimpin yang bertaqwa sangat memberi kesan terhadap keamanan dan kemakmoran negara. Baldatun toiyyibatun wa-Rabbun Ghafuur. Atau ada berkat. Terasa ada berkat.

Sejarah keberkatan pemerintahan Umar Ibn Aziz (beliau juga Mujaddid kurun pertama, serigala dan kambing boleh berkawan. Satu masa rakyat melihat serigala kembali bermusuhan dengan kambing, dan berita pun tersebar bahawa Khalifah berkenaan telah kembali ke RahmatulLaah.

Cermin-cerminlah diri wahai orang-orang yang diamanahkan memimpin. Rakyat juga berhati-hatilah memilih pemimpin. Pihak yang telah jelas melakukan dosa pun diangkat juga, maka itulah akibatnya.

Peringatan Allah s.w.t. dalam Quraan buat tak endah je. Terjadinya kerosakan di atas muka bumi ini adalah hasil kerja tangan-tangan manusia itu sendiri, untuk Allah perjelaskan kebenaran-Nya.

Jika nak sedar, buatlah perubahan.