20 Nov 2010

Chegu Bard Serah Laporan Kepincangan Pemilihan PKR 2010

Laporan Rasmi Masalah Pemilihan PKR Oleh Chegu Bard

18 November 2010

Kepada :
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,
Presiden,
Parti Keadilan Rakyat

Laporan kepincangan proses pengundian Pemilihan KEADILAN 2010

Perkara diatas dirujuk.

Pertama sekali laporan ini ditulis dalam kebimbangan semua saksi yang didedahkan dalam laporan ini terbuka untuk ugutan, malah kebanyakan saksi tidak berapa selesa untuk tampil kerana tidak mahu menimbulkan masalah pada diri.

Berikut ialah antara kepincangan yang muncul

1. Tarikh tutup pendaftaran/pertukaran anggota sudah diputuskan ada pertukaran selepas tarikh yang dibenarkan.

Merujuk aduan Saufi Mi'ad (bekas Pemangku Ketua AMK Teluk Kemang) mengenai pertukaran keanggotaan Ramlan Roes yang dibuat selepas tarikh yang dibenarkan. Pertukaran ini dibuat dan secara sengaja disedari selepas tarikh dibenarkan untuk membolehkan Ramlan bertanding Ketua AMK Teluk Kemang dengan menyokong Kamarul Baharin, Pengerusi Perhubungan Teluk Kemang yang bertanding Ketua Cabang Teluk Kemang. Apabila bantahan dibuat secara lisan kepada JPP yang bertugas dalam proses penamaan calon, Pegawai bertugas bertanya sama ada Ramlan ini penyokong cheGuBard. Apabila dikatakan tidak maka bantahan tidak dilayan. Bantahan bertulis juga telah dibuat sebaliknya tidak diendahkan sehingga kini.

Masalah aduan pendaftaran dan pemindahan keanggotaan seperti ini juga wujud di banyak tempat tidak ditangani dengan serius sehingga menyebabkan masalah yang besar seperti di Kuala Nerus.

1. JPP disengajakan tidak cukup kakitangan ?

Alasan aduan tidak dilayan ialah JPP tidak cukup kakitangan. Saya menjadi pelik bagaimana ini boleh dijadikan alasan. Atau sengaja tidak cukup kakitangan supaya boleh menutup kelemahan. Dari peringkat awal Rembau telah menghantar 4 calon untuk membantu JPP namun semua ditolak kerana alasan tidak layak dan tidak ada pengalaman. Kemudian apabila melihat anggota JPP yang dipilih mengendalikan tugas besar, maka alasan menolak calon JPP dari Rembau dilihat cukup tidak munasabah. Ada anggota JPP sekarang yang tua dan terketar – ketar, ada anggota JPP yang buta IT tetapi calon JPP dari Rembau yang antaranya pelajar Kolej Tahun Akhir dan lepasan UITM ditolak kerana tak layak. Ada beberapa cabang lain juga mengadu perkara yang sama. Adakah ini terancang dimana beberapa cabang yang dilihat 'melawan' ditolak calon JPPnya ?

2. Pencalonan ditukar

Merujuk surat pengaduan rasmi yang dibuat oleh Zulkifli Ibrahim selaku penyelaras kempen saya yang mengadu mengenai kegiatan menukar pencalonan. Contohnya Tampin, memang sahih mensyuarat mencalonkan cheGuBard dan Chang Lih Kang sebagai calon Ketua dan Timbalan ketua AMK. Namun apabila muncul di database parti ia meletakkan nama Shamsul dan Khairul Anuar. Jika nama boleh ditukar bagaimana pula dengan nombor jumlah undi.

Surat yang dihantar sebulan lebih tidak berjawab dan tindakan tidak diambil. Orang yang dikenal bersalah bebas masuk dan keluar ibu pejabat dan menikmati bayaran gaji tanpa tekanan.

3. Buku daftar mengundi catat kurang dari jumlah Undi dalam peti undi

Perkara ini berlaku di beberapa tempat malah ada yang disenyapkan. Kebetulan di Kubang Pasu kami ada PACA maka kami berjaya 'menangkap' buku kehadiran yang hanya melaporkan kehadiran sekitar lebih kurang 70 orang sebaliknya kertas undi pula hampir 200 di dalam kotak.

Ini diperakui oleh JPP apabila memanggil wakil calon Zaid Ibrahim untuk berbincang dengan menyelesaikan dengan cara bahagi 2 jumlah undi. Ini penyelesaian apa ? Individu bersalah harus dihukum kerana jelas berlaku penipuan. Wakil calon saya langsung tidak dipanggil.

Berapa banyak cabang lain yang perkara ini dilaporkan berlaku tetapi kerana kelicikan kia dilakukan kami gagal membuktikanya.

4. Jumlah datang mengundi meragukan

Mendapat sms dari no. 0105895379 yang merupakan anggota KEADILAN setempat, beliau menyatakan tahu penipuan berlaku di mana pengundi yang hadir di Cabang Sandakan dan Libaran yang mana beliau sendiri melihat tiap cabang yang hadir paling tinggi hanya sekitar 200 orang itupun melibatkan 'pengundi hantu'. Beliau menamakan oleh En. Mustafa Osman, Ketua Penerangan Libaran sebagai terlibat. Beliau sendiri teragak – agak untuk tampil kerana jika identiti terdedah akan diancam samseng. Lebih lagi seolah tergambar parti itu sendiri sedia menipu. Beliau juga menyatakan bagaimana setiausaha Perhubungan Sabah yang dipukul di Lapangan Terbang berkaitan isu Pilihanraya Kecil tidak mendapat pembelaan malah seolah samseng yang memukul mendapat perlindungan parti, ini lebih menakutkannya.

Dr. Jurin Gunsalam, melaporkan pusat pengundian Libaran pada jam 2.00ptg hanya mencatatkan kehadiran 20 orang sahaja bagaimana mungkin sebelum ditutup kehadiran 900 orang dilaporkan.

Di Batu Sapi, Sandakan, Libaran satu siasatan terbuka harus dilakukan oleh badan bebas segera. Jumlah kehadiran luar biasa yang amat meragukan. Wakil kami hanya mencatatkan kehadiran paling tinggi sekitar 200 orang. Jika parti tidak mampu untuk lakukan siasatan. Beri kami buku kehadiran kami akan siasat sendiri.

5. Keputusan undi yang pelik

Jumlah undi yang tertera dalam laman web parti sendiri tidak konsisten. Ada nombor yang berubah ditengah-tengah minggu. Ada nombor yang menunjukkan undi mengurang. Adakah proses pengundian boleh dikira dengan cara 'negatif'.

Nurin Aina (no hp. 0127616421) Calon Exco wanita melaporkan punya bukti bagaimana jumlah undi boleh dilaporkan secara salah oleh JPP.

Saudara Hisham (no. hp : 0196623930) melaporkan bagaimana dalam proses pengiraan undi di Teluk Intan bagaimana undi yang dikira amat meragukan melibatkan calon MPP Nordin Mahmod tetapi apabila didesak semula tong dibuka dan dikira semula jelas undi tersebut dikurangkan dengan banyak dalam kiraan awal.

6. Keselamatan proses pengundian lemah yang memungkinkan penipuan

Di Tuaran laporan saudara Bobby (PACA di Tuaran) sebanyak 30 kertas undi tidak punya cop dibantah tetapi tidak dikira rosak atau batal sebaliknya dikira sebagai sah.

Ini laporan email dari Kenny, Ketua AMK Libaran yang menyatakan apa yang berlaku dengan peti undi di Sandakan.

---------- Forwarded message ----------
From: kenny cyl
Date: 2010/11/7
Subject: Peti Undi Dewan Pandu Putri
To: zulshowfx@gmail.com

..Terima panggilan dari Kent ( ketua AMK KK ) kira kira pukul 4:40ptg mengenai bilangan undi di Sandakan pada 6hb Oct.2010, lalu saya dan seorang AJK cabang Sandakan menuju ke tempat mengundi Dewan Pandu Putri dan sampai disana kira kira pukul 4:55ptg. Apabila saya sampai saya bertanya pada yang dimaklumkan Mustaffa mengapa tempat ini bersurai dan mengapa pengiraan undi bukan disini. Mustaffa menjawab bahawa tempat ini disewa sehingga pukul 5ptg dan selepas pukul 5ptg tidak dibenarkan menjalankan aktiviti-aktiviti, Oleh kerana itu peti undi terpaksa di alih ke tempat lain untuk pengiraan.didalam perbualan saya dengan Mustaffa, kereta Dmax biru itu lalu membawa peti undi itu beralih dari Dewan Pandu Putri kira kira pukul 5:05ptg. Saya bertanya pada Mustaffa lagi, ke mana peti itu di bawa, dia jawab : belum tentu lagi kerana mahu cari Hotel yang sesuai untuk pengiraan dan perkara ini telah pun di maklumkan pada orang atasan. Saya sekali lagi tanya, siapa yang di tugaskan dalam kereta yang membawa peti undi itu, Dia menjawab : Davi ada dalam kereta. Mustaffa tanya saya jika mahu tahu, call dia dalam pukul 6ptg dan saya pun diberi nombor telefon bimbit dia lalu di terus beralih dari Dewan itu. Setelah ini saya terus call Jurin Ketua AMK Kota marudu mengenai perkara itu, selepas saya memaklumkan hal ini pada Jurin, dalam bernerapa minit Chang Lih Kang Call saya dan saya memaklumkan hal ini lagi pada dia ... dan seterusnya..Nicholas, zulkifli...juga call pada saya. Saya dan AJK cabang Sandakan terus menuju ke tempat pengundian Cabang Sandakan di Jockey Lodge yang saya di maklumkan oleh Mustaffa bahawa tempat penggundian di Dewan Pandu Putri adalah untuk kawasan Libaran dan Jockey Lodge adalah untuk kawasan Sandakan. Setelah Saya dan AJK cabang Sandakan sampai di tempat undi kawasan Sandakan iaitu di Jockey Lodge, saya berjumpa dengan Benedict Wong dan dimaklumkan pengiraan undi sedang dijalankan di tempat tersebut. Benedict Wong memaklumkan saya bahawa peti undi itu ada di bilik gerakan Libaran dan saya bersama Benedict Wong menuju ketempat tersebut. AJK cabang Sandakan yang mengikut saya menolong di tempat pengundian di Jockey Lodge. Setelah saya sampai di bilik gerakan Libaran bersama Benedict Wong tetapi gate di bawah tangga berkunci. Disana Benedict Wong menelefon untuk mencari arah tuju peti itu, setelah beberapa pangillan yang dia buat, Benedict Wong memaklumkan saya bahawa Peti itu akan ada di Sanbay Hotel dan saya bersama Benedict Wong terus menuju ke Sanbay Hotel dan sampai disana kira kira pukul 5:45ptg. Thamrin sudah pun tunggu disana. saya membuat beberapa panggilan memaklumkan peti Libaran akan sampai ke Sanbay Hotel. Pada masa itu juga Tian Chua juga membuat panggilan pada saya mengenai hal ini dan saya pun memaklumkan dia juga dan dalam perbincangan saya dengan Tian Chua , peti undi Libaran pun sudah sampai kira kira 6ptg. Dan saya melihat Thamrin ada disitu dan Benedict Wong suruh saya hantar dia balik ke Jockey Lodge, lalu kita beralih dari Sanbay Hotel ke Jockey Lodge kira kira pukul 6:45ptg. Disana pengiraan undi kawasan Sandakan di adakan di bilik 207 yang di ketuai oleh Masri. Setelah saya tahu Pengiraan Undi Libaran ada Thamrin dan Sandakan ada Masri. saya pun meminta diri untuk pulang kira kira 7:15mlm. Kira-Kira pukul 10mlm Star reporter call saya bertanya mengenai Peti Undi Libaran. dan saya memaklumkan dia hal tersebut dan kemudian Malaysian Insider call saya juga dan cerita yang sama saya maklumkan. saya mendapat nasihat dari Nicholas bahawa ceritakan saja apa yang betul betul terjadi pada reporter. Pagi ini saya mendapat panggilan dari reporter lagi. cerita yang sama saya berikan padanya. TAMAT report by Kenny

Di semua tempat mengundi pula sebaik sahaja ditutup semua wakil PACA diarah keluar selama 30 min. Adakah ini satu yang terancang untuk merancang penipuan ?

Kami terpaksa menyiapkan jentera seperti melawan Bn yang diuruskan SPR. PACA terpaksa disediakan, sedangkan dipihak lain mereka lansung tidak mempedulikan untuk mewujudkan PACA pun. Di Kota Raja mujur kami sediakan PACA ada dalam sekitar 10 kejadian meja depan yang mencatat kehadiran pengundi mengarahkan kertas undi AMK diberikan kepada pengundi yang sudah lebih 40 tahun. PACA yang kami sediakan berjaya mengesan dan gagalkan usaha ini. Banyangkan berapa banyak yang sudah terlepas.


7. Campur tangan serius DSAI

Dr Jurin (no hp : 0195313585) melaporkan bahawa Ketua Cabang Kota Marudu memaklumkan bahawa beliau telh dihubungi oleh DSAI sendiri dengan 'mengarahkan' sokongan kepada calon tertentu dan mengarahkan menolak calon tertentu. Di Cabang tersebut juga proses pengundian telah mengambil sukarelawan JPP dari AJK cabang yang jelas memihak dan 'mengarahkan' undi ketika proses berlansung.

Ini belum masuk dengan usaha jahat menggunakan laman sosial dan sms menfitnah say dan teman- teman. Amizuddin Ahmat (bekas Ketua AMK Pulau Pinang) sendiri mendapat panggilan telefon dari seorang yang dikenali orang Shamsul yang menuduh saya membeli undi RM30 satu undi di Sabah / Sarawak.

8. Di cabang beluran Ketua AMK Beluran melaporkan Pusat Pengundian ditutup pada jam 3.30 ptg menyebabkan lebih dari 10 anggota AMK yang dibawa tiba jam 3.55 ptg gagal mengundi

9. Jumlah kertas undi yang dihantar ke Cabang juga pelik. Di Pendang ada pengundi tak dapat mengundi kerana kertas undi tidak cukuptetapi di Cabang Batu Sapi, Libaran dan beberapa cabang yang tiba – tiba mencatatkan kehadiran tinggi kertas undi terlebih cukup. Menurut maklumat JPP kertas undi disediakan hanya sekitar 20 % - 30 % dari jumlah pengundi tetapi di tempat yang jumlah undi pelik kertas undi tersedia lebih dari 50 %. Mana JPP tahu yang orang akan datang mengundi lebih ? Bagaimana dengan hak pengundi di Pendang yang dinafikan hak mengundi.

Saya memohon tindakan segera diambil. Satu keputusan mengumumkan menggantung keputusan Kubang Pasu, Libaran, Sandakan dan Batu Sapi perlu dibuat sebelum proses pengundian minggu ini bermula.

Kononya wujud pengundi hantu di Rembau saya juga mohon Rembau dibatalkan dan undi semula.

Satu penyiasatan terbuka perlu diadakan segera mengenai kepincangan yang berlaku.

Saya masih berpegang teguh dengan disiplin parti menggunakan seluruh saluran dalaman parti. Namun saya semakin diasak ke dinding.

Saya selaku anggota Parti KEADILAN Rakyat mohon keadilan.
Sekian dan terima kasih

Badrul Hisham Shaharin
calon Ketua AMK
Pemilihan KEADILAN 2010

Tiada ulasan: