24 Jun 2009

Waran Tangkap Terhadap Ahli Parlimen Kapar

MMahkamah Koroner di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang enggan menerima sapina untuk menjadi saksi dalam prosiding inkues bagi mengetahui punca kematian pelakon Tamil tempatan, K. Sujatha.

Majistret Mohd. Faizi Che Abu yang bertindak sebagai Koroner memerintahkan demikian selepas pegawai penyiasat, Cif Inspektor Tay Chiew Thua memaklumkan bahawa usaha telah dilakukan untuk menyerahkan sapina itu tetapi gagal.

Chiew Thua menyatakan demikian selepas dipanggil oleh Timbalan Pendakwa Raya Geethan Ram Vincent bagi menjelaskan perkara tersebut.

Pegawai polis itu memberitahu, dia menerima arahan daripada pegawai penyiasat kes, Cif Inspektor Zukkifeli Pajar pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Manikavasagam yang dihubungi melalui telefon bimbit kemudian menyuruhnya menemui beliau di lobi Parlimen pada pukul 2.30 petang semalam.

Bagaimanapun setibanya di Parlimen, menurut Chiew Thua, dia menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Manikavasagam yang memaklumkan beliau sudah keluar makan tengah hari dan tidak akan kembali kerana menghadiri mesyuarat di Kapar.

Selepas mendengar penjelasan tersebut, Mohd. Faizi yang mengeluarkan perintah waran tangkap turut mengarahkan Manikavasagam hadir pada prosiding yang dijadualkan 9 Julai ini memandangkan beliau adalah saksi penting.

Manikavasagam menafikan yang beliau sengala mengelak daripada menerima sapina untuk tidak menghadiri prosiding inkues.

"Saya baru dengar sudah ada waran tangkap... saya akan mohon untuk ketepikan waran tangkap. Bagaimana waran tangkap boleh dikeluarkan jika sapina tidak diserahkan?" katanya.

Beliau akan failkan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Terdahulu, menurut Manikavasagam, beliau sehingga pagi tadi tidak diserahkan sapina bagi tujuan tersebut.

"Memang ada pegawai polis yang menghubungi saya minggu lalu dan saya telah meminta datang ke pejabatnya hari Jumaat, Sabtu atau Ahad lalu tetapi mereka tidak datang.

Sementara itu, Ketua Unit Forensik Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Shahrom Abd. Wahid turut dipanggil memberikan pendapatnya mengenai sebab kematian Sujatha menerusi laporan bertarikh 20 Mei 2008 yang disediakan bagi membantu siasatan.

Katanya, bedah siasat forensik perlu dilakukan ke atas mayat Sujatha berikutan arahan sudah dikeluarkan polis menerusi POL 61.

"Sebaik saja POL 61 dikeluarkan ia bermakna polis menaruh syak terhadap kematian Sujatha dan bedah siasat mesti dilakukan berikutan sebab kematian yang diberi oleh hospital adalah tidak sah mengikut Kanun Prosedur Jenayah.

"Ini berikutan pihak hospital gagal membuktikan kematian Sujatha disebabkan racun parakuat memandangkan ujian kandungan racun itu dalam air kencing yang dijalankan ke atas wanita itu adalah negatif,’’ katanya.

Bagaimanapun Shahrom bersetuju bahawa kesan klinikal pada mayat Sujatha sememangnya jelas menunjukkan wanita itu telah minum racun parakuat berdasarkan lecur kimia iaitu ulser yang ada pada bibir mayat pelakon itu.

Saksi ke-21 itu turut menyatakan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) gagal mengguna pakai Seksyen 328 Kanun Prosedur Jenayah yang menjelaskan sebab kematian mangsa yang seharusnya dibuktikan secara saintifik dan bukannya klinikal.

‘‘Oleh demikian, pihak hospital harus melakukan bedah siasat forensik supaya ia lebih jelas kenapa mangsa menemui ajal iaitu sama ada bunuh diri atau sebaliknya,’’ katanya.

Menurut beliau, sekiranya pegawai penyiasat telah mengarahkan bedah siasat forensik dijalankan, doktor tidak perlu meminta kebenaran daripada waris.

Dalam laporannya, pakar itu turut berpendapat bahawa Sujatha minum racun tersebut tanpa sebarang paksaan secara fizikal oleh orang lain berdasarkan tiada kesan percikan di bahagian selain bibir atau kesan mengelakkan diri daripada dipaksa minum.

Inkues ini diadakan bagi mengetahui punca kematian Sujatha yang merupakan setiausaha peribadi Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings, S. Vell Paari yang juga anak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Inilah salah satu sikap "beretika" yg ditunjukkan pembangkang..suka menyusahkan org lain..akhirnya diri sendiri yg susah..kemudian salahkan org lain..mmg hampeh tahap gaban..