24 Jun 2009

PPSMI : DASAR KERJAAAN UMNO BN YANG GAGAL

kerajaan akan mengumumkan keputusan menyeluruh berhubung kontroversi pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), awal Julai ini.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan demikian - jaminan yang paling konkrit pernah disampaikan oleh kerajaan - ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Parlimen pagi ini.

PPSMI mendapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk bukan Melayu yang bimbang dengan pencapaian pelajar dalam subjek berkenaan khususnya di kalangan pelajar luar bandar.

Malah pejuang bahasa kebangsaan juga melihat PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan apabila bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.

Kemuncak terhadap bantahan itu apabila Gerakan Menentang PPSMI (GMP) mengadakan perhimpunan membabitkan kira-kria 5,000 orang yang kemudiannya berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menuntut pemansuhan dasar tersebut.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kementerian memfokuskan kepada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru dan murid dengan menambah baik latihan guru serta meningkatkan mutu pengajaran serta pembelajaran subjek itu di sekolah.

"Antara langkah yang diambil ialah masa pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah ditambah untuk membolehkan kandungan pengajaran dan pembelajarannya ditambah,” ujarnya.

Menurutnya, langkah itu penting kerana penguasaan bahasa Inggeris yang baik di kalangan murid dan guru merupakan pra syarat utama kepada kejayaan dasar seperti PPSMI.

Tambahnya, kajian kementerian dan pasukan penyelidik bebas daripada institusi pengajian tinggi (IPT) mendapati tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid dan guru secara keseluruhannya berada pada tahap sederhana.


Tiada ulasan: