2 Mei 2009

PENANTI : Hadi Diminta Bertegas Halang PAS Permatang Pauh

Ramai ahli PAS di seluruh negara telah melahirkan rasa terkejut dengan sikap PAS Permatang Pauh tetap dengan pendirian mahu meletakkan calonnya bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti walaupun hasrat tersebut terus ditolak oleh kepimpinan pusat parti itu.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan berkata, sehingga kini pendirian PAS Permatang Pauh kekal memandangkan hasrat pihaknya turut mendapat 'lampu hijau' daripada PAS Pulau Pinang demikian dilaporkan MSTAR hari ini.

"Kita tetap dengan pendirian untuk bertanding, pendirian kita jelas kerana matlamat kita bukan untuk kepentingan peribadi ataupun PAS semata-mata, sebaliknya juga untuk kepentingan Pakatan Rakyat," katanya.

Oleh kerana kedegilan sikap PAS Permatang Pauh untuk tidak menerima keputusan PAS Pusat, ia sudah tidak sepatutnya lagi di anggap sebagai sebuah kawasan PAS dan telah jelas membelakangkan nilai akhlak serta disiplin di dalam barisan kepimpinan PAS Permatang Pauh.

"Kita mencadangkan supaya Lembaga Disiplin Parti mengambil tindakan tegas ke atas PAS Kawasan Permatang Pauh serta mengisytiharkan calon yang bertanding dikemukakan oleh PAS Permatang Pauh di pecat keahlian demi menjaga kehormanian Pakatan Rakyat," tegas seorang pemimpin PAS peringkat kawasan di sini.

"Tindakan beliau tak ubah seperti gelagat UMNO yang apabila kecewa akan membuat keputusan sendiri serta membalakangkan mesyuwarah yang menjadi teras kepada sebarang keputusan parti, apatah lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan biadab terhadap keputusan PAS Pusat," tambahnya.

Ramai juga berpendapat bahawa keputusan PAS Permatang Pauh itu adalah hasil dari permainan dan provokasi pihak luar yang ingin memecah-belahkan Pakatan Rakyat dan ia menyebabkan BN mengambil peluang untuk mengubah sikap mereka dari tidak bertanding untuk turut sama bertanding ekoran "perpecahan" tersebut.

Gejala seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan dan Presiden parti, Hj. Abdul hadi Awang perlu membuat kenyataan yang tegas berhubung hal ini sebelum parasit ini merebak ke tempat lain yang akhirnya boleh menghancurkan jemaah dan parti.

Hj Abdul Hadi buat masa ini belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya dan pengumuman keputusan PAS Pusat hanya dikeluarkan oleh Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustapha Ali.

Tiada ulasan: