2 Mei 2009

Ahmad Awang : Bukan ulama pun boleh terajui Pas!

Bukan ulama pun boleh terajui Pas! Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Awang hari ini menyanggah Ketua Dewan Ulama parti itu, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang menyatakan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu disandang oleh golongan ulama.

Menurutnya, Majlis Syura Ulama Pas tidak pernah meletakkan sebarang garis panduan khusus atau syarat tersebut untuk melantik dua jawatan tertinggi itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan ia telah menjadi satu kefahaman umum sejak dahulu lagi bahawa kedua-dua jawatan tersebut lazimnya diisi oleh mereka yang berpendidikan formal dan berpengetahuan tinggi dalam bidang agama.

Menurut Ahmad, walaupun ketetapan telah dibuat oleh Dewan Ulama parti yang mahukan dua jawatan tertinggi itu perlu disandang oleh golongan ulama, tetapi ia masih belum muktamad dan perlu dibincangkan dalam Majlis Syura Ulama Pas.

“Sesiapa sahaja boleh mencambah pendapat tetapi ia masih tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama yang merupakan badan bukan eksekutif tertinggi parti yang bertanggungjawab terhadap dasar dan hala tuju Pas.

“Secara organisasinya, di bawah majlis ini terletak Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang dianggotai oleh Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan Ketua-ketua Dewan seperti Pemuda, Ulama dan Muslimat serta beberapa jawatan penting lain lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah beliau, syarat utama yang dipersetujui ialah setiap calon itu bukan sahaja perlu berilmu tetapi perlu secara konsisten beramal dengan ajaran Islam dan tawaduk dengan ilmu yang dikuasainya.

Beliau menegaskan seorang pemimpin bertaraf ulama amat diperlukan untuk memimpin sebuah parti yang memperjuangkan Islam tetapi pada masa sama tidak pula boleh menafikan kebolehan dan kapasiti pemimpin lain yang bukan ulama.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun membidas sesetengah pemimpin ulama yang tidak memahami konsep sebenar kepimpinan ulama bagi mewujudkan barisan pemimpin yang mantap.

Beliau memberitahu Bernama, kepimpinan ulama sebenar ialah kombinasi antara ulama dengan profesional bagi memantapkan masa depan parti itu dan memastikan Pas terus diterima oleh semua peringkat pengikut sepanjang masa.

Sehubungan itu, Abdul Fatah yang juga ADUN Bukit Tuku mahu pemimpin terbabit diberi pendedahan mengenai konsep itu seperti yang diputuskan oleh Dewan Pemuda Pas pada muktamar agung parti 20 tahun lalu, di Bukit Mertajam.

“Saya bimbang jika konsep kepimpinan ulama ini tidak difahami, sesetengah ahli Pas mahu Pas hanya dimonopoli oleh golongan ulama,” katanya kepada Bernama di Rantau Panjang, Kelantan hari ini.

Isu sama ada perlunya golongan ulama atau profesional menerajui kepimpinan Pas kembali hangat menjelang pemilihan parti itu Jun ini yang dijangka menyaksikan saingan sengit untuk jawatan Timbalan Presiden yang dikaitkan dengan hala tuju sebenar parti.

Penyandang jawatan, Nasharuddin Mat Isa telah mengesahkan untuk mempertahankan jawatan itu.

Antara nama yang disebut-sebut akan mencabarnya ialah dua Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu selain Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Bagaimanapun Husam hanya membayangkan untuk menawarkan diri bagi jawatan tersebut berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang ‘hubungan sulit’ Pas-UMNO.

Tiada ulasan: