2 Mei 2009

PAS Shah Alam Calonkan Hadi dan Husam untk Jawatan 1 & 2, Nizar Naib Presiden

Pas Shah Alam mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Husam Musa masing-masing sebagai Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu, Jun ini.

Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, dua pemimpin itu merupakan gandingan ulama dan profesional yang diputuskan oleh ahli Pas kawasan itu bagi memantapkan lagi pengaruh dan kepimpinan parti.

Katanya, selain Abdul Hadi dan Husam, pihaknya turut mencalonkan tiga pemimpin gabungan muka lama dan baru untuk menduduki jawatan Naib Presiden.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin; Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang yang menyandang jawatan itu ketika ini.

Pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden dijangka sengit apabila penyandangnya, Ust Nasharuddin Mat Isa akan diberikan saingan sengit.

Antara mereka yang menawarkan diri untuk jawatan itu adalah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Dalam pada itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pihaknya mungkin mengemukakan satu usul untuk menambah bilangan Ahli Jawatankuasa Pas peringkat pusat dalam muktamar parti itu pada 4 hingga 7 Jun ini.

"Usul ini kita buat berikutan pertambahan bilangan ahli serta kawasan Parlimen. Mungkin jumlah yang sedia ada tidak mencukupi dan ia wajar ditambah kepada 30 hingga 36 jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berbanding 18 jawatan ketika ini.

"Malah, Pas Shah Alam juga telah mencalonkan kira-kira 24 nama yang turut terdiri daripada muka lama dan baru untuk jawatan itu. Bagaimanapun, keputusan akhir akan ditentukan pada pemilihan nanti," jelasnya.

Tiada ulasan: