12 Mei 2009

Kemenangan Nizar, Kisah Dari Dalam Kamar Mahkamah

Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim masuk ke kamar mahkamah tepat jam 2.30 petang dan terus membaca alasan penghakiman selama 1 jam 27 minit sebelum mengumumkan keputusan kes.

Antara perkara penting yang dinyatakan oleh Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim ialah:

1. Semua kenyataan dan perakuan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato' Ahmad Kamal Md Shahid dalam affidavitnya tidak diterima oleh mahkamah kerana pasukan peguam DS Nizar berjaya membuktikan Dato' LA itu tiada wibawa dan nyata berpihak (tiada credibility dan impartiality).

2. Semua pandangan Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail dalam celahannya sepanjang perbicaraan kes ini diputuskan sebagai tidak menepati tafsiran sebenar bagi peruntukan-peruntukan Perlembagaan Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak pada mana-mana artikel yang dirujuk.

3. DYMM Sultan Perak tidak mempunyai kuasa memecat Menteri Besar atau menitahkan Menteri Besar meletak jawatan.

4. Tindakan DS Nizar memohon perkenan pembubaran DUN pada 4 Februari 2009 tidak bererti Menteri Besar itu mengakui atau mengesahkan bahawa dia telah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli DUN Perak.

5. Ketika permohonan perkenan bagi pembubaran DUN dikemukakan oleh DS Nizar, kedudukan belahan sokongan dalam DUN Perak ialah 28 PR dan 28 BN, manakala kerusi ADUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah diisytiharkan kosong oleh Speaker pada 30 Januari dan 3 Februari.

6. DYMM Sultan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan status 'hilang sokongan majoriti' kepada Menteri Besar. Kuasa memutuskannya adalah hanya pada DUN, di dalam persidangan DUN, melalui usul undi tidak percaya (vote of no confidence).

7. Berdasarkan prinsip demokrasi dan sistem raja berperlembagaan, DYMM Sultan sepatutnya hendaklah memperkenankan permohonan pembubaran DUN yang dikemukakan oleh DS Nizar.

8. Oleh kerana DS Nizar tidak meletak jawatan, DYMM Sultan tidak berkuasa memecat atau menitahkan perletakan jawatan MB dan DYMM Sultan tidak berkuasa menyiasat untuk menentukan status kehilangan sokongan majoriti bagi seorang Menteri Besar, maka perlantikan DS Zambry sebagai Menteri Besar adalah tidak sah dan batal.

Selepas membaca kertas alasan penghakiman yang panjang lebar itu, Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim mengumumkan keputusan membenarkan semua tuntutan yang dikemukakan oleh DS Nizar kepada mahkamah.

Oleh itu Dato' Seri Ir. Hj. Mohamammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah. Perlantikan DS Zambry sebagai Menteri Besar adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Semua langkah, tindakan dan keputusan DS Zambry atas kapasiti Menteri Besar Perak sejak 6 Februari 2009 sehingga hari ini adalah tidak sah, haram dan batal. -cyberboron

Tiada ulasan: