Hak kemenangan Pakatan Rakyat dikembalikan oleh mahkamah setelah 3 bulan disamun oleh UMNO-BN. Rakyat patut gembira. DS Nizar dan Pakatan Rakyat layak meraikan kejayaan ini.
Namun begitu ada satu fakta yang wajar diinsafi oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat iaitu UMNO tak pernah pedulikan undang-undang. UMNO bukan jenis yang tahu menghormati undang-undang. Kalau mereka berpegang kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, pasti mereka tidak sanggup merampas kuasa secara tidak halal seperti yang disabitkan dimahkamah kelmarin. Kalau mereka menjunjung perlembagaan dan undang-undang, pasti mereka tidak tergamak melakukan drama kotor penyingkiran Speaker DUN pada 7 Mei.
Sepanjang sejarah kewujudan UMNO, parti itu telah terbukti tegak berkuasa dengan cara mengkhianati prinsip undang-undang dan melanggar suratan undang-undang. UMNO mengekalkan kuasa dengan tipu helah dan ketidakadilan dalam pelaksanaan sistem demokrasi. UMNO mengugut dan menafikan hak rakyat yang tidak menyokong parti mereka. UMNO hidup dan berkembang dengan amalan rasuah kecil dan besar. UMNO menggubal pelbagai akta dan enakmen bermotif politik untuk menyekat kebebasan rakyat yang tidak sependapat dengan mereka.
UMNO memaksa dan menghaiwankan pihak berkuasa keselamatan untuk menakut-nakutkan dan menghalang gerakan rakyat yang bangkin memprotes kezaliman mereka. Pemimpin-pemimpin UMNO sudah biasa dengan konspirasi dan fitnah untuk menjatuhkan sesama mereka apatah lagi untuk memusnahkan parti lawan. UMNO ada sejarah membunuh untuk maksud survival politik dan kebendaan.
Ketika Najib mengumumkan tiga ADUN kita telah beralih menyokong BN, pemimpin PR Perak dengan yakinnya memberitahu penyokong PR bahawa permohonan pembubaran DUN pasti diperkenankan oleh Tuanku Sultan. DUN tetap akan dibubarkan besok. Tak mungkin Tuanku tidak memperkenankannya berdasarkan tafsiran dan semangat undang-undang tubuh. Akhirnya apa yang terjadi?
Ungkitan ini bukan bermaksud mempertikaikan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin PR dan peguam-peguam yang dirujuk oleh PR tetapi sebagai bahan fikir untuk berhati-hati terhadap seribu kemungkinan langkah UMNO besok lusa. Kita percaya pemimpin dan peguam kita menyuarakan keyakinan berdasarkan prinsip dan semangat undang-undang yang sebenar. Malangnya UMNO bukan jenis manusia yang hormat dan menjunjung undang-undang. Oleh itu kita seharusnya berfikir tentang kemungkinan langkah mereka dari sudut pandang mereka selaku pelanggar undang-undang itu.
Menjelang persidangan DUN 7 Mei, pemimpin dan ahli undang-undang PR yakin bahawa UMNO tak akan dapat menafikan hak dan kuasa YB Sivakumar sebagai Speaker yang sah. Kita juga diyakinkan bahawa Speaker akan berjaya menggagalkan hasrat UMNO untuk memecat Sivakumar dan menggantikan Ganesan di kerusi itu melalui kuasa menerima atau menolak sesuatu usul yang ada pada Sivakumar. Akhirnya apa yang terjadi?
Kita menilai dari sudut proses dan prosedur yang biasa. Kita menganalisis undang-undang dari sudut tafsiran dan penguatkuasaannya yang biasa. Malangnya UMNO sudah biasa melakukan perkara-perkara yang luar biasa. UMNO jaguh melanggar proses dan prosedur resmi. UMNO juara memutarbelit peruntukan undang-undang untuk maksud politik dan pengekalan kuasa.
Oleh itu pemimpin dan pencatur langkah PR perlu menganalisis dan merumuskan andaian langkah-langkah UMNO dari sudut yang luar biasa dan di luar kerangka proses dan prosedur undang-undang yang biasa itu. PR perlu ada plan biasa dan plan luar biasa.
Berikutan keputusan mahkamah kelmarin, DS Nizar telah pun mengadakan mesyuarat exco tengah malam tadi dan membuat beberapa keputusan penting termasuk menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri (Rahman Hashim) dan Penasihat Undang-Undang Negeri (Kamal Md Shahid) berkuatkuasa serta merta. Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menghantar surat memohon perkenan menghadap DYTM Raja Muda untuk menerangkan keputusan mahkamah serta memohon perkenan pembubaran DUN.
Sebelum itu Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa UMNO akan mengambil tindakan segera memfailkan rayuan di mahkamah terhadap keputusan kelmarin. Najib berkata "kita akan selesaikan masalah ini". Apabila ditanya apakah usul undi tidak percaya terhadap DS Nizar merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini, Najib menjawab "langkah pertama ialah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah, then we'll make it from there."
Kenyataan pengarah utama rampasan kuasa ini wajib dikaji dengan penuh waspada. Najib pasti sedia melakukan apa saja demi maruahnya sebagai PM yang baru berusia sebulan. Najib juga telah membuktikan kekuatannya memekakkan telinga terhadap semua serangan termasuk serangan mega seperti isu Altantunya. Kelicikan strategi Najib tak boleh dipandang sebelah mata.
Zambry juga telah mengeluarkan kenyataan untuk memohon perintah mahkamah bagi menghalang atau menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengembalikan hak DS Nizar sebagai Menteri Besar. Malam tadi Tv3 telah memulakan langkah mewajarkan sidang tergempar DUN untuk prosiding usul undi tidak percaya terhadap DS Nizar sebagai MB. Dalam siaran Buletin Utama, Peguam UMNO, Shafie Abdullah memperincikan fakta-fakta palsu untuk meyakinkan penonton tentang keabsahan penyingkiran Speaker Sivakumar dan keabsahan perlantikan Ganesan sebagai Speaker DUN yang baru. Kesimpulannya, Ganesan berhak memanggil Sidang Tergempar DUN untuk prosiding 'vote of no confidence' terhadap DS Nizar. Laman-laman blog pro-UMNO juga telah mewar-warkan kemungkinan sidang tergempar itu pada hari khamis ini atau satu tarikh terdekat selepas khamis.
Dalam sidang media di kediaman DS Nizar tengah malam tadi, pemimpin-pemimpin PR dengan tegas menyatakan perlantikan Ganesan sebagai Speaker adalah tidak sah. Oleh itu Sivakumar masih Speaker yang sah. Jika sidang DUN mahu diadakan, permohonan perkenan mengadakan sidang itu hanya boleh dikemukakan oleh DS Nizar sebagai MB yang sah. Notis panggilan sidang mesti dikeluarkan dan ditandatangani oleh YB Sivakumar sebagai Speaker yang sah. Jika BN mahu mengusulkan undi tidak percaya terhadap MB DS Nizar, mereka hendaklah mengemukakan usul itu ke pejabat Setiausaha DUN tidak kurang daripada 14 hari sebelum tarikh sidang DUN yang dipanggil oleh Speaker Sivakumar setelah permohonan perkenan mengadakan sidang itu dikemukakan oleh DS Nizar kepada DYMM Sultan. Dan Speaker Sivakumar berkuasa untuk menerima atau menolak usul yang dikemukakan itu. Itu kata kita.
Sebaliknya UMNO tetap bertegas bahawa perlantikan Ganesan adalah sah. Speaker Ganesan juga berhak memanggil sidang tergempar DUN tanpa permohonan perkenan daripada DYMM Sultan kerana sidang 7 Mei hanya ditangguhkan (adjourned) dan bukannya diberhentikan (prorogued). Ganesan sudah tentu akan menerima usul yang dikemukakan oleh UMNO dan akhirnya BN pasti berjaya menyingkirkan DS Nizar daripada kerusi MB dengan kelebihan 3 undi (31-28). Itu kata UMNO-BN.
Masing-masing ada hujah. Hujah PR berdasarkan keputusan mahkamah kelmarin dan berdasarkan peruntukan-peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang sebenar. Hujah UMNO-BN jelas menghina keputusan mahkamah dan melanggar Undang-Undang Tubuh. Tetapi UMNO sentiasa yakin setiap kali melanggar undang-undang. UMNO juga berupaya menghaiwankan pelbagai pihak untuk mencapai kehendak politik mereka. Mereka dah biasa mengugut hakim. Mereka pakar mengerahkan pasukan keselamatan untuk menghalang langkah PR. Mereka adalah jelmaan mafia.
Oleh itu pemimpin-pemimpin dan pencatur strategi PR wajib mengambil perhatian terhadap segala kemungkinan yang bakal dihadapi besok lusa.
Penyokong PR boleh bergembira tetapi jangan terlalu teruja dengan keputusan Mahkamah Tinggi petang kelmarin. Bersiap sedialah untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya negeri jika DUN dibubarkan.
Terima kasih Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim! -cyberboron
2 ulasan:
Tiba-tiba teringat kata-kata TGNA suatu masa dulu yang mencetuskan kontroversi iaitu tentang 'kesamsengan' Allah Ta'ala. Mana-mana pihak yang merasakan dirinya berkuasa kerana dia 'samseng', 'mafia', 'brutal' dsbgnya, mereka lupa tentang Hari Pembalasan. Pada hari itu kelak ugut, rasuah, pistol, cotar dan gas pemedih mata pun dah tiada 'power' lagi. Helmet merah pun dah tak boleh pakai sebab semuanya berbogel...
Saya disini mencadangkan kepada ADUN ADUN PR supaya lebih berhati hati berhadapan dengan BN. Mungkin ada maksud dibelakang kenyataan "kita akan selesaikan masalah ini" oleh Najib. Mungkin BN akan menggunakan cara yang lebih samseng lagi bagi merampas negeri Perak. Apa lagi yang Bn tak berani buat sekarang. Mereka menganggap diri meraka paling berkuasa dan boleh buat apa saja yang mereka suka. Jadi nasihat saya berhati hati dan was waslah dengan oarang orang BN. Jangan pisang berbuah dua kali. Hidup rakyat.. hidup Nizar...hidup PR. TAHNIAH !!!!!
Catat Ulasan