"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia," kata pengerusinya Tan Sri Abu Talib Osman.
Hanya sebuah kerajaan yang stabil akan mampu memastikan hak untuk keamanan dan pembangunan, tambah beliau yang juga bekas Peguam Negara.
"Berdasarkan perkembangan yang berlaku berikutan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar, insiden pada persidangan DUN Perak pada 7 Mei dan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah, adalah sangat sukar isu Perak akan ditangani melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat," katanya.
"Tindakan mahkamah tidak semestinya menyelesaikan keadaan politik di Perak, " kata beliau
Sebelum ini pemimpin berpengalaman Umno, Tengku Razaleigh Hamzah turut menyokong pembubaran DUN Perak dan pilihanraya diadakan di negeri itu.
"Kita berharap Sultan memperkenan untuk membubarkan DUN. Ia bukan sahaja tindakan sewajarnya, tetapi satu-satunya cara keluar daripada krisis yang membelit Perak, merosakkan keluhuran undang-undang, mencalarkan badan kehakiman, polis dan perkhidmatan awam negeri, dan mencemarkan sistem beraja di mata umum," kata bekas naib presiden Umno itu di blognya.
Di awal krisis ini, Tengku Razaleigh telah mempertikaikan tindakan rampasan kuasa BN, termasuk menggugurkan jawatan Mohammad Nizar, dengan menyifatkannya di luar proses perlembagaan.
Beliau juga telah mencadangkan pilihanraya negeri diadakan atau rakyat akan semakin meluat pada Umno.
Dalam tulisan terbarunya, bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 berkata kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Zambry Abd Kadir lebih kurang tiga bulan "selama ini haram dan semua keputusan serta kontrak yang dibuat olehnya tanpa asas perundangan."
Tambahnya, persidangan DUN Perak minggu lepas yang membawa usul Zambry menggantikan Speaker, V Sivakumar dengan R Ganesan, pemimpin kanan MIC negeri dan bekas ADUN Sungai, juga tidak sah.
"Sultan, dan sistem beraja itu sendiri, menanggung malu dengan babak (politik) ini, termasuk usaha terancang oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi isu menjadi perkauman dan penderhakaan.
"Tindakan seumpama ini hanya merosakkan lagi institusi yang mereka dakwa cuba mempertahankannya, dan (susulan itu) ia mencemarkan Umno dan BN," katanya.
"Isu sebenarnya adalah perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan sistem beraja dilindungi selagi mendukung keunggulan perlembagaan dan hasrat rakyat."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan