19 Mei 2013

Hassan Ali Mendapat Apa Yang Beliau Sebutkan.. Tak Dapat Satu Undi Pun...


Hassan Ali pernah menggesa rakyat supaya "jangan beri Pakatan walau satu undi". Tetapi apa yang berlaku adalah disebaliknya dimana undi Pakatan Rakyat telah bertambah.

Malah di Selangor sendiri PAS telah berjaya menambahkan kerusi daripada 8 kepada 15 kerusi DUN.

Dan yang tak mendapat satu undi pun ialah Hassan Ali sendiri, apabila beliau tidak lansung dapat menjadi calon bagi UMNO/BN yang dbodeknya di sepanjang program jelajah dari utara sampai ke selatan tanahair.

Beliau akhirnya dipermainkan UMNO BN.

Umum mengetahui bahawa Hassan Ali amat bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor setelah termakan hasutan dari UMNO BN kononnya beliaulah orang yang paling layak menjadi Menteri Besar Selangor ketika beliah masih lagi di dalam PAS.

Akibat dari hasutan itu beliau telah melakukan beberapa tindakan bodoh seperti menggugurkan Khalid Samad dan Shaari Sungip dari barisan pimpinan PAS Selangor disamping melakukan tindakan-tindakan yang tidak menggambarkan beliau seorang yang boleh bekerja di dalam satu pasukan khususnya Pakatan Rakyat sehinggalah akhirnya beiau dipecat yang menurut kenyataan Presiden PAS, "keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Dato’ Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS." Boleh baca di SINI tentang kisah pemecatannya.

Tujuan GB menulis entri ini bukan untuk menghenyak orang yang telah jatuh, tetapi ingin menarik perhatian tentang perlunya seseorang ahli jemaah untuk berlaku "ikhlas dan jujur" (sincere & honest) di dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan.

GB pernah menulis begini

sepertimana yang GB katakan berkali-kali, PAS ini hizbullah, (parti Allah), Allah akan tetap menjaga dan membersihkan parti ini dan mengekalkan hanya mereka yang layak dan yang tidak mengkhianati perjuangan parti berada di dalamnya.

Allah berhak untuk memilih siapa saja yang layak untuk dijadikan pemimpin di dalam partiNya sekalipun bukan dari kalangan ulamak dan akan mengeluarkan sesiapa dari partiNya walaupun dia seorang ulamak ternama. Kerana perjuangan parti Islam menuntut bukan sahaja "keilmuan" tetapi yang terlebih penting ialah KEIKHLASAN!


Jika Hassan ALi ikhlas dan jujur di dalam perjuangannya, besar kemungkinan hari ini beliau adalah diantara pemimpin PAS Selangor yang paling kanan untuk dicalonkan sebagai MB Selangor.

Namun demikianlah "sibghah" (celupan) dan perancangan Allah... Hassan Ali kini sudah menjadi sejarah...

Mengapa MB Johor Hanya Berani Serang Koo Ham Tetapi Tidak Chua Soi Lek?


Khaled bidas kenyataan Koo Ham

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membidas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mengkritik MCA kerana membenarkan wakilnya menjawat dalam Exco Kerajaan Negeri Johor.

Menurutnya, pelantikan Adun Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong selaku exco bukan kerana patuh kepada Umno, sebaliknya akur kepada titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Konsep kita ialah konsep kerjasama dan muafakat. Bukan soal subservient (patuh) dan sebagainya, tetapi konsep kerjasama dan muafakat.

“Dan apa yang MCA patuh adalah kepada tuanku dan bukannya kepada Umno. Penerimaan jawatan itu adalah menghormati titah tuanku bukannya Umno. Apa sahaja kita buat pembangkang akan perlekehkan. Jadi kita tak heran bila dia cakap begitu,” katanya kepada pemberita selepas Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2013 di Pusat Islam Iskandar, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Koo Ham menerusi laman sosial Twitter yang mendakwa MCA tidak berpendirian kerana sebelum ini tunduk kepada Umno dan kini kepada Sultan Johor khususnya melibatkan soal penerimaan jawatan Exco Kerajaan Negeri Johor oleh Siew Kiong.

Selain itu, Mohamed Khaled turut mengucapkan tahniah kepada barisan Kabinet Kerajaan Persekutuan yang baru dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas pemilihan ramai ahli parlimen Johor.

“Tahniah kepada semua dan terima kasih kepada perdana menteri kerana telah beri tanggungjawab serta mengiktiraf ramai wakil-wakil rakyat Johor untuk bersama-sama dalam kabinet untuk penggal ini.

“Saya percaya wakil-wakil rakyat dari Johor tidak akan sia-siakan keyakinan perdana menteri dan mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyumbang kepada proses mentransformasikan negara,” katanya. -SH

Ulasan GB

GB hairan kenama MB Johor yang baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hanya membidas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mengkritik MCA kerana membenarkan wakilnya menjawat dalam Exco Kerajaan Negeri Johor sedangkan tidak bersuara lansung terhadap kenyataan Presiden MCA, Chua Soi Lek yang sudah awal-awal menentang perlantikan exco tersebut?

Malah MCA dikhabar mahu mengambil tindakan keatas exco berkenaan.

Soi Lek berkata: Tee (exco berkenaan) masih belum terlepas daripada tindakan disiplin oleh parti dan ia akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat MCA.

Bukankah kenyataan Soi Lek itu lebih jelas merupakan satu penghinaan terhadap Sultan Johor?

Mengapa kecut untuk bersuara menyanggahi Presiden MCA itu?

Exco MCA Johor bakal berhadapan dengan tindakan disiplin parti
KUALA LUMPUR, 14 Mei — MCA tidak pernah bersetuju dengan perlantikan Exco Kerajaan Negeri Johor ke atas Datuk Tee Siew Kiong dan beliau akan berdepan dengan tindakan disiplin parti, kata presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini.

Dalam satu kenyataan, Dr Chua berkata MCA kekal dengan pendirian diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tahun lalu tidak akan menerima sebarang jawatan kerajaan jika memperoleh prestasi buruk dalam Pilihan Raya 2013.

"Saya mahu jelaskan MCA tidak pernah mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang untuk menjadi Exco Kerajaan Negeri Johor selaras dengan resolusi parti yang diluluskan pada 2011 dan 2012," kata Dr Chua.

Dr Chua kemudiaan menjelaskan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang perlantikan tersebut memandang kuasa mutlak adalah milik Sultan Johor .

"Perlantikan Tee adalah dibuat oleh Sultan Johor yang mempunyai kuasa untuk melantiknya.

"Sultan mempunyai kuasa untuk melantik Besar dan Exco Kerajaan Negeri Johor kerana keunikkan Perlembagaan Negeri," terang Dr Chua.

Walaupun tidak mmepunyai sebarang kuasa untuk menghalang keputusan tersebut, Dr Chua menegaskan Tee masih belum terlepas daripada tindakan disiplin oleh parti dan ia akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat MCA.

"Jawatankuasa Pusat MCA akan meneliti kes Tee dan dia mungkin berhadapan tindakan disiplin ke atas perlantikan Exco Kerajaan Negeri Johor," tambahnya.

Namun, Dr Chua menggesa para pemimpin MCA dan penyokongnya untuk menghormati pengumuman perlantikan Tee kerana keunikkan Sultan Johor dan kuasanya di negeri selatan tanahair tersebut.

Sebelum ini, Dr Chua mengatakan parti itu memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya tidak mencatatkan peningkatan daripada keputusan yang dicapai pada pilihan raya 2008 pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lalu.

MCA hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen sahaja berbanding 15 sebelum ini.

Difahamkan pelantikan seorang wakil MCA dalam senarai Kabinet itu dibuat atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang mahu wakil Cina dalam kerajaan negeri Johor.

Tee yang merupakan Setiausaha Penganjur MCA Kebangsaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang akan mengetuai portfolio Pelancongan, Perdagangan Domestik dan Kepenggunaan.
— Bernama


Benarkah Zahid Hamidi Nak Tangkap Anwar?


Bernarkah Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Keselamatan Dalam Negeri bercita-cita untuk menangkap DS Anwar Ibrahim atau ia sekadar propagnda murahan akhbar pencacai yang begitu tertekan dengan sambutan rakyat terhadap siri perhimpunan yang diadakan oleh Pakatan Rakyat di seluruh negara?

Jika benar Ahmad Zahid Hamidi bercita-cita demikian, yang akan menerima kesan negatif paling besar ialah UMNO BN sendiri kerana masing-masing sudah pun melihat bagaimana sambutan rakyat terhadap Anwar malah segala kempen dan perancangan untuk menghancurkan kareer Anwar tidak berjaya. Malah apa yang berlaku ialah di sebaliknya dimana "majoriti" rakyat menyokong Anwar. Saya menekankan perkataan "majoriti" kerana itulah hakikatnya, Pakatan Rakyat berjaya memperolehi "majoriti" undi popular semasa PRU13 yang lalu.

Hanya "persempadanan" yang dilakukan oleh SPR menyebabkan majoriti "bilangan kerusi" tidak dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Hal itu pun masih banyak menimbulkan keraguan kerana petisyen akan berlaku selepas ini yang mana sekurang-kurangnya 27 kerusi parlimen kini sedang diteliti oleh Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

UMNO BN tetap tumbang kerana sepertimana GB selalu ungkapkan, hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Kemenangan dengan cara penipuan tetap tiada keberkatan dan kemenangan secara demikian tidak mempunyai dasar yang kukuh untuk bertahan lama.


[VIDEO & GAMBAR] 60,000 Banjiri Majlis Kesyukuran Pakatan di P Pinang


Walaupun polis memberi amaran bahawa ia adalah perhimpunan haram, namun puluhan ribu membanjiri majlis 'kesyukuran' kerajaan negeri di Esplanade di Pulau Pinang malam tadi.

Orang ramai, kebanyakannya para belia yang berpakaian Baju-T hitam bersama vuvuzela plastik, penuh dengan semangat Blackout 505 Pakatan menentang dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum pada pada 5 Mei.

Penceramah terakhir di majlis tersebut, pemimpin Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di kebanyakan negara jika berlaku penipuan seperti itu, maka akan berlaku mogok awam yang besar.

Oleh itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak patut berterima kasih kepada Pakatan kerana mengekalkan keamanan dan tenang dalam semua bantahan yang diadakan.

"Di semua negeri, dari Pulau Pinang ke Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang, kita mengadakan perhimpunan yang aman tetapi Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata ianya haram," katanya.

"Saya ingin memberitahu mereka (bahawa), mereka boleh cuba untuk mengisytiharkan perhimpunan kita haram tetapi mereka tidak boleh menghalang kuasa rakyat kerana Suara rakyat Suara keramat," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Anwar berkata, adalah mustahil untuk menerima keputusan pilihan raya umum apabila terdapat hampir 30 kerusi yang meragukan, dengan BN mengekalkan Putrajaya walaupun ia hanya mendapatkan 48 peratus undi popular.

Beliau yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata, walau apa cara sekali pun, rakyat Malaysia tidak boleh menerima penipuan tersebut.

"Jika terdapat mana-mana kerusi yang Umno atau BN telah menang, dan tidak ada bukti penipuan, kita akan terima keputusannya, " katanya.

"Tetapi jika terdapat 30 kerusi yang kita kalah, kita ada bukti penipuan pilihan raya dan kita akan mencabar keputusan ini," ikrarnya. -mk




Bukti Nyata Pakatan Rakyat Terus Mendapat Sokongan Rakyat


Dimana jua Pakatan Rakyat menganjurkan black 505 Suara Rakyat Suara Keramat yang bermula di Stadium MBPJ Kelana Jaya, Selangor pada 8hb Mei 2013 dan terbaru semalam 17hb Mei di Seremban 2, Seremban, Negeri Sembilan... puluhan ribu malahan sampai ke angka ratusan ribu rakyat datang berhimpun secara aman menunjukan bantahan cara perjalanan PRU 13 yang lalu.

Rakyat boleh menerima kekalahan jika PRU 13 yang lalu dijalankan secara adil, telus dan bersih.

Himpunan ini bukannya himpunan revolusi tapi himpunan aman bantahan rasa tidak puas hati.

Perlunya pihak berwajib ambil berat agar sistem Pilihanraya kita bukan saja adil, telus dan bersih tapi perlu jua dilihat adil, telus dan bersih.

Kebanjiran orang ramai membuktikan Pakatan Rakyat sebenarnya 'memenangi' hati rakyat Malaysia dalam PRU13 walaupun belum berjaya membentuk kerajaan. -omakkau

[MEMALUKAN] 5 Belum Angkat Sumpah, Mesyuarat Kabinet Pasca PRU13 TIDAK SAH


Mesyuarat Kabinet Najib semalam dihadiri menteri, timbalan menteri tidak sah

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Kabinet baru dan legitimasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diragui bukan saja kerana Barisan Nasional (BN) mendapat 47% undi popular berbanding 51% undi diperolehi Pakatan Rakyat (PR), tetapi kerana Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) adalah paling tidak adil dan kotor di dalam sejarah negara.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata sekiranya PRU-13 bersih, bebas dan adil, dengan padang sama rata untuk kedua-dua perikatan, bukan saja undi popular PR akan meningkat sebanyak 60 peratus atau melebihi 65 peratus, tetapi juga memenangi majoriti daripada 222 kerusi Parlimen.

Katanya, sekarang ini, Kabinet pasca-PRU-13 Najib juga menjadi sandiwara malah jenaka kerana mempunyai dua Menteri dan tiga Timbalan Menteri tidak sah walaupun mereka melalui upacara mengangkat sumpah yang tidak sah di hadapan Yang Dipertuan Agong, semalam.

“Amat sedih dan mengejutkan apabila Jabatan Perdana Menteri dan pelbagai jabatan kerajaan lain yang terbabit begitu cuai dan lalai sehingga diabai, malahan dilanggar pematuhan terhadap undang-undang, peraturan, adat dan protokol yang tidak sepatutnya berlaku di dalam demokrasi berparlimen berusia 56 tahun di bawah enam Perdana Menteri.

“Semalam, selepas upacara mengangkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara, Najib menjalankan sesi Kabinet selama dua jam di Bilik Kabinet Putrajaya.

“Bagaimanapun, timbul masalah membabitkan kedua-dua prosiding – kerana sehingga waktu ini, Datuk Paul Low dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) bukanlah Menteri yang sah dan Waytha Moorthy (Pejabat PM), Dr J Loga Bala Mohan (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) bukanlah Timbalan Menteri yang sah kerana mereka belum lagi mengangkat sumpah sebagai Senator,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ini bermakna mesyuarat Kabinet selama dua jam semalam dicemari dengan penyalahan undang-undang kerana dihadiri dua Menteri tidak sah, Paul Low dan Abdul Wahid.

Tambahan, katanya, Paul Low sudah pun diwawancara sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang mana dia tidak berhak, memandangkan pelantikan Kementeriannya hanya boleh berjalan apabila dia mengangkat sumpah sebagai Senator, jelas di dalam Perkara 43 (1)(b) dalam kes Menteri dan Perkara 43A(1) dalam kes Timbalan Menteri.

“Saya difahamkan sehingga sekarang, kelima-lima mereka belum mengangkat sumpah untuk menyandang dua jawatan Menteri dan tiga jawatan Timbalan Menteri. Apakah akan ada upacara angkat sumpah “tergesa-gesa” tengah malam buat kelima-lima mereka sebagai Senator?” ujarnya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Najib sepatutnya menjelaskan bagaimana boleh berlaku pelanggaran Perlembagaan dan undang-undang yang turut memalukan Yang di-Pertuan Agong dengan penghasilan satu sandiwara pelantikan Kabinet.

“Malah Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International-Malaysia yang ditandatangani Najib Razak pada 20 Februari lalu untuk mematuhi dan memerhati empat prinsip tadbir urus baik diabaikan iaitu:

Kebenaran, integriti, tatalaku beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah atau terlibat dengan amalan rasuah dalam apa jua cara;

Mendukung dan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat secara keseluruhan;

Tadbir urus yang baik serta ketelusan; dan

Mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan Malaysia. - Roketkini

18 Mei 2013

Impian Najib Tawan Selangor Berkecai, Kisah Musang Yang Gagal Makan Anggur


Akhirnya BN dan Umno bukan sahaja gagal menawan kembali Selangor seperti yang diimpikan oleh Najib, malah kehilangan lebih banyak kerusi.

Lebih pahit lagi, BN mengalami prestasi terburuk apabila hanya 685,502 pengundi yang mengundi parti itu berbanding 1,044,758 pengundi yang mengundi Pakatan Rakyat, demikian lapor harakahdaily.

Pemerhati berpendapat, Najib telah benar-benar menunjukkan kemarahannya kepada Umno Selangor apabila tiada seorang pun pemimpin Umno Selangor yang dilantik sebagai menteri.

Ia memecah rekod kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah kabinet tidak mempunyai wakil dari Umno Selangor.

Paling ketara ialah apabila Noh Omar yang sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani digugurkan dari kabinet.

"Mengapa Noh dan pemimpin Umno Selangor yang lain sahaja yang perlu bertanggungjawab sedangkan orang paling awal mesti bertanggungjawab atas kekalahan Umno Selangor ialah Najib sendiri kerana beliau bukan sahaja Pengerusi Perhubungan Umno Selangor malah Pengarah Pilihan Raya BN Selangor.

"Sebab itulah rakyat melihat Noh dimangsakan kerana keengganan Najib untuk bertanggungjawab," kata Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar.

Turut diketepikan ialah Kordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed, Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang mengiklankan "Sayangi Selangor" yang dipasang pada stesen dan gerabak sistem keretapi komuter di Lembah Klang. Mohd Zin kecundang di parlimen Sepang di tangan peguam PAS, Mohamed Hanipa Maidin dengan majoriti 1,104 undi.

Kisah Najib mengenepikan pemimpin-pemimpin UMNO/BN Selangor dari senarai kabinetnya yang terakhir itu adalah lambang kecewa beliau yang amat sangat kerana kegagalan untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat.

Walaupun berita-berita yang dikeluarkan BERNAMA dan akhbar-akhbar pencacainya seperti Utusan dan NST cukup membodeknya dengan membuat laporan gila babi bahawa ribuan hadir di setiap perhimpunan UMNO BN di Selangor, rupa-rupanya, benarlah, Bermain Dengan Angka, Najib Dikencingkan Dengan Akhbar Media Perdana.

Kini Najib senyap seribu bahasa mengenai tawan Selangor.

Apabila melihat gelagat Najib itu, teringat kita tentang cerita zaman kanak-kanak dahulu tentang serigala dan anggur masam.

Sang serigala yang sangat kepingin memakan buah anggur telah terkial-kial melompat untuk mendapatkan buah anggur yang terlekat di atas pokok anggur tersebut.

Meskipun beberapa kali serigala malang itu cuba mendapatkan buah anggur tersebut tetapi usahanya gagal kerana lompatannya tidak cukup tinggi untuk mencapai anggur tersebut.

Akhirnya serigala malang tersebut dengan perasaan hampa berlalu pergi daripada pohon anggur tersebut sambil mengeluh saya bukan nak sangat makan anggur tersebut sebab anggur itu masam rasanya.

Anekdot di atas menjelaskan sikap Najib dan UMNO, tak dapat tawan Selangor, maka dicantasnya semua dari kabinet...


Berakhirnya Politik Ibrahim Ali, Si Pengkhianat Itu...


Ibrahim Ali, akhirnya tumpas di gelanggang sendiri. Beliau tewas ditangan Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz dengan majoriti diperolehi calon PAS itu sebanyak 8047 undi.

Nik Abduh, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, memperoleh 33,431 undi berbanding penyandang kerusi, Datuk Ibrahim Ali yang mengumpulkan 25,384 kerusi.

Kerusi Parlimen Pasir Mas telah menyaksikan pertembungan satu sama satu setelah calon BN untuk kerusi tersebut, Che Johan Che Pa, tidak menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon biarpun hadir sama pagi ini.

Presiden PERKASA mendapat sokongan bulat daripada mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mempertahankan kerusi tersebut.

GB sebelum ini pernah menjangkakan kekalahan Ibrahim Ali setelah beliau menipu TGNA dan PAS di Kelantan dimana beliau telah bertindak mengkhianati PAS setelah menang PRU12 pada 2008 di atas tiket PAS.

Berikut ulasan GB di dalam entri Ibrahim Ali Yang Bakal Mati Katak Dalam Politik Malaysia

Ibrahim Ali menyangkakan jika TGNA berundur, harapannya untuk menang di dalam pilihanraya lebih cerah.

Walhal, beliau yang telah menipu TGNA dan PAS di Kelantan tidak menyedari bahawa riwayat politiknya yang bakal berakhir lantaran penipuannya itu.

Bukan TGNA yang ingin bertanding tetapi ahli PAS seuruh negara yang tidak benarkan beliau berundur.

GB jangkakan Ibrahim Ali bakal tewas di dalam PRU akan datang. Dan rakyat Pasir Mas sedang menunggu untuk menghukum Ibrahim Ali di dalam PRU13 nanti. Jangan cuba lari ke kawasan lain!


Maka hukum kebenaran dan keadilan pun berjalan.... berakhirlah riwayat politik pengkhianat yang bernama Ibrahim Ali itu...

Hadiah Untuk Rakyat: BN Menang, GST Pun Dilaksanakan!


Nasibmulah rakyat! BN menang PRU13 walaupun dengan cara yang paling tidak bermaruah

Namun yang lebih mengecewakan, GST dikenakan setelah ditangguhkan sebelum pilihanraya diadakan semata-mata untuk mengelak rakyat daripada melahirkan undi protes. Dan kini ia dilaksanakan sebaik saja Pilihanraya selesai. Begitu mudah rakyat tertipu dan ditipu.

Kata Idris Jala, perlaksanaan GST akan meningkatkan pendapatan negara. Namun ditutupnya fakta bahawa GST akan menurunkan pendapatan rakyat!

Beliau berkata cukai perkhidmatan sebanyak tujuh peratus juga dilaksanakan di negara jiran, Singapura. Tetapi beliau mengabaikan fakta bagaimana Singapura menaikkan pendapatan rakyatnya sehingga pendapatan perkapita rakyatnya USD 60500.


Cahaya Islam Bersinar Di Selangor


Islam mula memancarkan cahayanya di negeri Selangor, jika diukur dari prestasi PAS mencatat kejayaan memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) baru-baru ini.

Kerusi DUN yang dimenangi PAS ialah Sabak, Taman Templer, Gombak Setia, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Chempaka, Dusun Tua, Bangi, Seri Serdang, Paya Jaras, Meru, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Tanjung Sepat.

Keupayaan PAS memenangi tambahan tujuh kerusi lagi menjadikan lima belas berbanding lapan kerusi DUN sahaja pada 2008, peningkatan hampir 100 peratus, merupakan satu lonjakan dan kemenangan yang besar bagi PAS, satu-satunya parti yang menggabungkan perjuangan politik dan aktiviti dakwah.

Pada PRU-13, rakyat Selangor yang terdiri dari golongan teknokrat, kelas menengah dan miskin bandar serta celik internet dan kaya maklumat dengan bebas dan berani menyatakan sokongan kuat kepada PAS.

Jika trend ini berterusan maka suatu hari nanti, kita tidak harus terperanjat jika Selangor, negeri termaju dan terkaya di negara ini, akan mengikut jejak langkah Kelantan, negeri yang terkenal dengan gelaran “Serambi Mekah”.

Analisa keputusan PRU-13 di negeri Selangor khususnya, menunjukkan para pengundi tidak takut dengan dakyah Umno mempermainkan isu pelaksanaan hukum hudud jika PAS berkuasa, baik di peringkat negeri lebih-lebih lagi di peringkat persekutuan.

Walaupun hampir 100 peratus ahli Umno terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam, mereka bersembunyai sebalik tabir MCA, untuk cuba menakut-nakutkan rakyat dengan menghina hudud, hukum yang jelas disebut dalam Al Quran.

Kalaupun ada segolongan rakyat yang termakan dengan suntikan racun Umno-Barisan Nasional (BN) ini, mereka ini adalah orang-orang Melayu yang kurang berpendidikan yang kebanyakannya menetap di kampung-kampung.

Rakyat di bandar dan pinggir bandar, baik orang Melayu, Cina atau India terutamanya di Selangor tidak mudah terpedaya dengan taktik jahat Umno-BN ini dan ini terbukti dengan jumlah undi yang dipungut oleh calon-calon PAS berdasarkan demografi pengundi.

Masyarakat Cina di Selangor jelas mengundi calon PAS di kawasan-kawasan di mana tidak terdapat calon DAP dan nampaknya orang Melayu di kampung lebih takut kepada hudud berbanding masyarakat Cina dan India di bandar.

Pelik tapi benar

Senario yang pelik tetapi benar. Ini adalah kesan daripada indoktrinasi Umno dan Biro Tata Negara yang menanam fahaman perkauman yang sempit, dasar ‘pecah dan perintah’ yang diwarisi daripada penjajah Inggeris serta fahaman sekular yang memisahkan agama dan politik.

Masihkah kau ingat? Lebih 30 tahun yang lalu, ahli-ahli PAS yang komited dengan perjuangan Islam susah hendak bergerak ke sana ke mari kerana takut dicap sebagai anggota parti yang menyeleweng dari ajaran Islam.

Masihkah kau ingat? Parti PAS pada suatu ketika dahulu hanya disertai oleh orang kampung, pak-pak lebai, ustaz dan guru agama yang berketayap dan berserban putih.

Masihkah kau ingat? Imej ahli-ahli PAS digambarkan sebagai mempunyai watak yang jumud, kolot dan kurang berpelajaran serta mempunyai pandangan yang melampau, fanatik dan sebagai pengganas.

Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS membentuk kumpulan-kumpulan kecil yang dinamakan Usrah dengan bergerak dari rumah ke rumah untuk menyebarkan fahaman politik Islam (siyasah syar’iyyah) sambil berdakwah.

Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS menganjurkan pelbagai program seperti Tamrin, Halaqah, serta kuliah dan pengajian agama untuk memantapkan kefahaman ahli-ahli lama dan untuk menarik ahli-ahli baru.

Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS bergerak dalam kumpulan yang lebih besar dengan menganjurkan mesyuarat agung tahunan di peringkat cawangan dan kawasan di mana kehadirannya boleh dibilang dengan jari.

Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS merekrut ahli-ahli baru dengan cara menyebarkan borang keahlian PAS secara sembunyi-sembunyi dan kadang-kadang dimarahi oleh golongan Umno tegar.


Tetapi kini tidak lagi kerana PAS di Selangor adalah anggota gabungan Pakatan Rakyat (termasuk DAP dan PKR) yang kembali memerintah negeri Selangor untuk penggal kedua.

Kini mesej dakwah Islam disampaikan kepada anggota masyarakat secara terbuka dan meluas serta markas (tempat di adakan mesyuarat parti, program kuliah dan latihan) semakin banyak ditubuhkan dan diimarahkan.

Hijrah Rasulullah

Mengimbau kembali sejarah kedatangan Islam lebih 1,400 tahun yang lalu, maka kita dapati Islam mula berkembang di kota Madinah dan bukannya dikampung atau di desa.

Hijrahnya Rasulullah saw ke Madinah atas perintah Allah yang diberitahu melalui malaikat Jibril adalah kerana warga Madinah menyambut baik Islam yang dibawa oleh baginda. Nama Madinah sendiri membawa makna kota atau bandaraya yang bercahaya.

Sejarah juga memperlihatkan betapa para penduduk Madinah yang digelar golongan Ansar lebih kuat keimanan mereka dan lebih dahulu menerima Islam berbanding golongan Muhajirin, mereka yang ikut berhijrah ke Madinah dari Mekah.

Oleh pancaran cahaya Ilahi, mereka menjadi sangat kasih dan sayang kepada Rasulullah saw dan menyediakan segala keperluan baginda dan para sahabat baginda yang ikut serta berhijrah.

Seruan untuk ‘Ubah’ dan hijrah adalah seruan Allah. Hijrah Rasulullah adalah perintah Allah, pergi ke kota Madinah dengan meninggalkan bangsa Arab jahiliyyah dan orang-orang musyrikin Mekah.

Dengan meninggalkan Umno-BN juga satu bentuk penghijrahan; berhijrah dari parti ‘asobiyyah’ yang sempit, di mana para pemimpinnya sudah tercemar dengan akhlak yang buruk, amalan rasuah dan kronisme serta salah guna kuasa yang bermaharajalela.

Untuk menyekat pengaruh Umno dari terus meracuni pemikiran rakyat, kerajaan negeri perlu menyediakan persiapan dengan lebih intensif seperti menambah peruntukan untuk Hal Ehwal Islam.

Pembinaan sekolah agama rakyat perlu diperbanyakkan terutama di kawasan kubu kuat Umno, bantuan kewangan kepada sekolah agama rakyat dan swasta ditambah, gaji dan elaun guru-guru agama dinaikkan.

Kelas-kelas fardhu ain, termasuk kelas tafsir Al Quran, harfiah, bahasa Arab, tajwid, program ceramah di masjid dan surau harus dipertingkatkan di seluruh negeri supaya Selangor dapat melahirkan masyarakat madani dan celek Al Quran.

Para pegawai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang membantut dan menentang perkembangan Islam harus ditukar dan digantikan dengan penjawat-penjawat awam negeri yang beriltizam dan beristiqamah dengan perjuangan Islam.

Kerajaan Selangor harus memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap pengwujudan sekolah-sekolah agama ala pengajian pondok seperti di Kelantan, agar dapat melahirkan lebih ramai kader-kader Islam hingga memantapkan pentadbiran kerajaan negeri dengan roh Islam.

Memang ada program untuk menarik anak muda ke masjid tetapi aktiviti serta program seumpama ini harus dipergiat dan ditingkatkan lagi agar anak-anak muda tidak lagha dengan program hiburan yang sengaja dijaja oleh Umno-BN.

Ini adalah sekadar beberapa cadangan yang harus dilakukan oleh kerajaan negeri dengan segera, sambil mengharapkan pertolongan daripada Allah swt dan agar segala usaha kita mendapat keberkatan daripadaNya. -Zainal Abdidin Nor/FMT

Wang Rakyat Dihabiskan Untuk Iklan Ucap Tahniah Kepada Timbalan Menteri


Syarikat kerajaan yang ditubuhkan bagi membina rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah dikritik hari ini kerana membayar untuk iklan muka penuh di akhbar Utusan Malaysia milik Umno dan The Star milik MCA untuk memberi ucapan tahniah kepada Datuk Husni Hanadzlah kerana dilantik semula sebagai menteri kewangan kedua.

Iklan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) (gambar) menyiarkan gambar bewarna Husni dari ahli lembaga pengarah, pengurusan dan pekerja.

Menurut seorang pegawai The Star, SPNB dikenakan bayaran RM59,529.60 untuk iklan tersebut.

Pegawai Utusan Malaysia pula mengatakan mereka mengenakan bayaran sebanyak RM37,000 kepada SPNB.

“Mengapa badan berkanun menggunakan duit pembayar cukai untuk mengucapkan tahniah terhadap pelantikan semula menteri? Ini amalan membodek,” kata ahli Parlimen DAP Tony Pua kepada The Malaysian Insider.

“Sesiapa yang meluluskan ini seharusnya dihukum.”

SPNB adalah syarikat dimiliki penuh oleh Kementerian Kewangan.

Ini merupakan penggal kedua Husni memegang portfolio itu bersama-sama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang melantik dirinya sendiri sebagai menteri kewangan I.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mengatakan iklan tersebut sebagai “pembaziran” wang awam dan melambangkan obsesi hubungan awam yang telah terbukti tidak memberikan banyak kesan sepertimana semasa Pilihan Raya 2013 lalu.

“Adalah sesuatu yang luar biasa untuk syarikat, terutamanya syarikat kerajaan, untuk mengucapkan tahniah kepada seseorang individu menteri. Ini adalah pembaziran dan menunjukkan contoh tidak baik.

“Ia melambangkan jenis politik fiefdom dan obsesi dengan pendekatan perhubungan awam yang menjadi begitu berleluasa di bawah Najib tetapi tidak memberikan apa-apa kesan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini persoalan timbul mengenai ahli strategi “bilik perang” Barisan Nasional (BN) yang menggunakan jumlah dana besar akan tetapi gagal untuk menghentikan gabungan pemerintah itu daripada kalah lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya 5 Mei lalu.

Sumber parti mengatakan BN juga melakukan penyumber luaran strategi berkaitan dengan perhubungan awam dan pakar jenama seperti kepada Paul Stadlen dari APCO dan Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dari TV3 akan tetapi kelihatan sia-sia.

Stadlen telah menjadi orang utama bagi hubungan Putrajaya dengan media antarabangsa sementara Farid dipinjamkan dari keluarga TV3 Media Prima Bhd kepada Jabatan Perdana Menteri sejak beberapa tahun lepas.

“Mereka membelanjakan wang di akhbar tempatan yang semakin mengecut edarannya dan stesen TV yang tidak menarik minat orang muda. Buang masa dan wang,” katanya.

Dianggarkan BN telah membelanjakan lebih daripada RM100 juta secara langsung dan tidak langsung untuk kempen media agresif termasuk media cetak, televisyen, papan iklan dan laman sesawang untuk Pilihan Raya 2013.

BN menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah 133 kerusi, kurang tujuh berbanding apa yang mereka perolehi semasa Pilihan Raya 2008. Gabungan pemerintah itu juga buat pertama kali hilang undi popular semenjak 1969, mendapat 48 peratus berbanding PR 52 peratus.

Gabungan itu walau bagaimanapun menafikan dakwaan ahli strategi bilik perang gagal untuk mencapai sasaran Pilihan Raya 2013, mengatakan mereka masih lagi menguasai Putrajaya dan merampas semula Kedah.

Mereka juga mengatakan berjaya mempertahankan Perak dari dirampas PR, salah satu negeri yang jatuh ke tangan PR pada pilihan raya umum ke 12. -TMI

Hijrah: Keceluparan Zahid Hamidi Disanggah Prof Mohd Agus


Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff terkejut apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baru dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri meminta rakyat yang enggan menerima sistem pilihan raya Malaysia berhijrah ke negara lain yang menjalankan pilihan raya mengikut sistem yang digemari.

“Mengapa DS Zahid boleh mengeluarkan kenyataan sebegini?” tanya beliau di dalam Facebooknya.

Beliau juga mempersoalkan apakah salah jika rakyat mempersoalkan pelaksanaan sistem pilihan raya yang ada dan apakah perlembagaan negara kita menghalangnya.

“Setahu saya, Perkara 10 Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk bebas mengeluarkan pendapat, berhimpun dan berpersatuan,” jelasnya.

Tambahnya, tidak ada satu klausa pun dalam perlembagaan yang membenarkan menteri untuk memberitahu rakyatnya supaya berhijrah ke negara lain hanya kerana berbeza pendapat dalam politik.

“Jika kita akui negara kita adalah negara demokrasi, maka berdemokrasilah secara jujur,” ujarnya.

Sebagai menteri, kata beliau Zahid sepatutnya membangkitkan kasih sayang dan semangat patriotik rakyat kepada negara, bukannya mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Sebagai menteri, kata Mohammad Agus, Zahid sepatutnya menggunakan masa untuk merancang mengatasi masalah keselamatan, jenayah, social ills dalam negara daripada menyerang rakyat yang mempunyai perbezaan politik dengan parti kerajaan.

“Saya mohon kita semua hentikan kenyataan sebegini hanya kerana kita mempunyai perbezaan politik. Ini adalah tanah air kita bersama.

“Saya yakin, sebagai rakyat, kita semua mahu terus menyumbang bakti kepada negara kita ini mengikut keupayaan masing-masing, biarpun dalam bentuk yang berbeza. Malaysia adalah negara kita bersama,” katanya.

17 Mei 2013

[LIVE] Himpunan Blackout505 Di Seremban, N9


Perhimpunan Blackout505 diteruskan dan lokasi selanjutnya diadakan di Negeri Sembilan pada hari ini, bertempat di kawasan parkir Jalan Haruan 4/7, Pusat Komersial Oakland, Seremban.

Dianggarkan kehadiran iaah diantara 40,000 hingga 60,000 orang.




"Kabinet Terakhir BN" Terus Terima Kritikan


Badan pemikir: Kabinet Najib tidak akan berupaya tangani kehendak rakyat

KUALA LUMPUR, 17 Mei — Kabinet yang dibentuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya 2013 tidak akan berupaya menangani isu pokok dan perubahan yang dikehendaki rakyat kerana wakil Kabinet Najib jelas pertubuhan berkenaan menunjukkan Najib kekurangan calon yang berkelayakan.

Badan pemikir PKR turut menegaskan Kabinet baru Najib itu juga adalah kumpulan “pasukan lama” dan “tukang sorak” untuk mempertahankan kedudukan Presiden Umno itu ketika pemilihan parti majoriti Melayu berkenaan penghujung tahun ini.

“Institut Rakyat berpendapat Kabinet baru tidak akan serius dan berupaya menyelesaikan perubahan perkara pokok yang diinginkan dalam negara ini iaitu masalah sosio-ekonomi dan aspirasi demokrasi rakyat Malaysia,” kata pertubuhan berkenaan dalam satu kenyataan hari ini. “Kabinet baru itu hanyalah pasukan lama Najib untuk mempertahankan kerusi Presiden.”

Malahan, mereka turut merasakan anggota Kabinet Najib dalam bidang utama seperti kewangan, jenayah, pendidikan dan pertahanan nasional hanyalah “anggota yang tidak menunjukkan prestasi yang baik dan dikitar semula”.

“Institut Rakyat kecewa dengan barisan kabinet Najib kerana pada dasarnya, tidak ada transformasi, sederhana atau perpaduan kebangsaan yang didorong oleh anggota Kabinet yang baru ini,” tegas badan pemikir berkenaan dalam kenyataan tersebut.

Antara perkara yang dibangkitkan Institut Rakyat adalah kurangnya anggota Kabinet wanita, kitar semula pemimpin veteran Umno dan BN, penurunan wakil masyarakat Cina dalam anggota Kabinet, perlantikan semula pemimpin yang bermasalah, dan banyak lagi.

“Kebimbangan utama adalah ‘tradisi’ tidak sihat dan buruk yang dilaksanakan sejak pentadbiran (bekas perdana menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad) bagi Perdana Menteri pada masa yang sama menjadi Menteri Kewangan.

“Ini bukan satu amalan biasa di negara-negara Komanwel yang lain atas sebab yang mudah bahawa semak dan imbang mesti dilaksanakan bagaimana kumpulan eksekutif membelanjakan wang negara,” katanya. Presiden Umno itu telah melantik 17 ahli partinya untuk jawatan menteri apabila menamakan Kabinetnya sebelum ini, yang kebanyakkan adalah muka lama yang bertukar portfolio atau kekal kecuali muka baru seperti — Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Setiausaha BN Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan, penganalisis berpendapat dominasi Umno dalam Kabinet 2013 menunjukkan keinginan Najib untuk meningkatkan sokongan peribadinya menjelang pemilihan parti akan datang akan tetapi boleh menjejaskan langkah pembaharuan negara perdana menteri itu, kata beberapa pemerhati.

Walaupun sinis dengan jumlah besar veteran dalam Kabinet 32 orang itu, pemerhati mengatakan Najib perlu diberi peluang untuk membuktikan beliau boleh menunaikan janji transformasi kerajaan dan ekonomi, sebaik sahaja kekal sebagai presiden parti.

Ulasan GB

GB lebih melihat bahawa barisan kabinet yang diumumkan Najib adalah kabinet terakhir BN.

Setuju?

Najib Perlu Lepaskan Jawatan Menteri Kewangan


Portfolio Menteri Kewangan sewajarnya tidak lagi dipegang oleh Perdana Menteri sebaliknya diberi kepada timbalannya bagi mewujudkan budaya semak imbang di peringkat tertinggi kerajaan dalam membuat keputusan berkaitan kewangan negara.

Menurut Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Syahir Sulaiman, Malaysia mengalami defisit fiskal selama 16 tahun berturut-turut sejak 1998.

Dalam tempoh ini, format penjawatan Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan yang dipraktikkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad diteruskan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan disambung oleh Datuk Seri Najib Razak.

"Negara sangat memerlukan budaya ‘semak dan imbang’ (check and balance), bukannya budaya ‘cek dan baki’ (cheque and balance) di peringkat tertinggi membuat keputusan.

"Dasar fiskal negara yang disuburkan oleh sistem urus tadbir yang tidak pruden, dek kuasa yang diberi pada orang yang sama memegang jawatan CEO dan CFO dalam kerajaan.

"Hatta di peringkat persatuan, kelab dan masjid, seorang pengerusi tidak boleh turut memegang jawatan bendahari, bagi mengelakkan berlaku salahguna kuasa dan pecah amanah," kata Pengarah Institut Polisi Studi DPPM itu.

Kabinet yang diumumkan Najib petang semalan membabitkan 24 kementerian membabitkan 33 jawatan Menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri, 26 Timbalan Menteri, termasuk seorang Senator sedia ada dan lima lagi Senator (dua Menteri dan tiga Timbalan Menteri) akan dilantik.

Ulasan GB

Beberapa tahun yang lalu GB sudah ulas hal ini di SINI. Petikan:

Semenjak Tun Dr. Mahathir memegang Kementerian Kewangan selain menjadi Perdana Menteri, trend itu nampaknya berterusan dengan diikuti oleh PM selepasnya, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak.

Maisng-masing PM tersebut dilihat hendak menjaga dan memanipulasi pelbagai kepentingan dengan menyandang jawatan Menteri Kewangan.

Malah seingat GB, sebelum Pak Lah berundur sebagai PM beliau telah terlebih dahulu menerima tekanan daripada kumpulan Najib supaya menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Najib yang pada ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.

Mahathirlah yang telah meletakkan "precedent" tersebut.

Sudah sampai masanya ia diubah semula dengan Najib menyerahkan portfolio kewangan kepada orang lain sebelum nanti dibongkar segala kepentingan yang beliau ada di kementerian berkenaan.