12 Mei 2009

Kemenangan Nizar, DUN Perak Akan Dibubarkan

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya malam ini pendokong dan penyokong PR masih boleh gembira. Gembira kerana MB Nizar masih sah sebagai MB Perak. Tetapi esok belum tentu kegembiraan ini akan berlanjutan. Difahamkan yang Tuanku Raja Muda telah perkenan untuk menerima mengadap MB Nizar pada jam 8.30 pagi esok. Baginda mewakili Ayahandanya yang sedang berada di Amerika Syarikat. Sudah tentu Baginda telah memaklumkan akan keputusan mahkamah kepada Paduka Ayahandanya. Tidak mungkin tanpa perkenan Paduka Ayahanda, Tuanku Raja Muda akan memperkenankan pertemuan dengan MB Nizar.

Saya mula merasakan bahawa DUN Perak akan dibubarkan setelah MB Nizar mengadap Tuanku Raja Muda. Inilah peluang terbaik untuk istana memulihkankan kembali rasa kagum dan hormat rakyat kepada institusi istana. Pada waktu yang sama juga akan menjernihkan kembali tuduhan melampau UMNO yang kononnya PR menderhaka kepada Tuanku Sultan Perak. Mungkin esok saya akan berselera makan tengah hari setelah mendengar berita yang DUN Perak telah dibubarkan.

Tetapi jikalau sehingga tengah hari berita pembubaran DUN tidak dirasmikan, maka mengertilah rakyat bahawa DUN Perak tidak akan dibubarkan sehinggalah PRU 13. Pelbagai alasan untuk menolak boleh diberi. Tuanku Sultan sedang berada di Amerika Syarikat. Oleh itu pembubaran DUN ditangguhkan sehingga Baginda telah berangkat pulang ke Tanah Air. Dalam tempoh penangguhan ini, Speaker MIC akan memanggil Sidang DUN Tergempar.

Kepada PR, Speaker MIC itu adalah speaker haram. Tetapi kepada UMNO, Speaker MIC itulah penyelamat mereka sekiranya DUN Perak tidak dibubarkan esok. Mahkamah dengan jelas telah menyatakan bahawa MB Nizar adalah MB Perak yang sah kerana belum ada usul undi tidak percaya kepadanya. Bermakna hanya Sidang DUN sahaja yang boleh memecat MB Nizar daripada jawatan MBnya.

Malam ini dan mungkin ketika ini sedang berlangsung Mesyuarat Exco Perak yang dipengerusikan oleh MB Nizar untuk membatalkan mana-mana keputusan MB DPulau yang menyimpang jauh daripada manifesto PR. Mungkin pemegang jawatan-jawatan politik tajaan UMNO dikehendaki memulangkan kembali elaun yang mereka telah terima dalam tempoh tiga bulan ini. Pada waktu yang sama juga elaun ketua-ketua kampung PR yang tertunggak akan dibayar sepenuhnya. Jikalau ada yang tidak puas hati, mereka boleh merujuk kesnya di mahkamah.

Saya tidak pasti di mana lokasi Mesyuarat Exco pada ketika ini. Sepatutnya mereka boleh terus memasuki pejabat mereka di bangunan SUK kerana mahkamah yang sama juga telah mengarahkan agar MB DPulau bersama enam exconya meninggalkan bangunan SUK serta merta.

Saya juga tidak pasti dimana MB DPulau sedang berada ketika ini. Mungkin MB DPulau telah mengosongkan Kediaman Rasmi MB Perak dengan berkampung di Bangunan UMNO yang bersebelahan dengan Hotel Casuarina yang tidak berapa jauh daripada kediaman MB. Pedulikan di mana MB DPulau sedang merencana sesuatu pada malam ini. Kita hanya akan memikirkan semula perihal MB DPulau setelah DUN Perak di bubar atau tidak dibubarkan selepas MB Nizar mengadap Tuanku Raja Muda pada pagi esok. -dango mamamat

Kemenangan Nizar, Kisah Dari Dalam Kamar Mahkamah

Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim masuk ke kamar mahkamah tepat jam 2.30 petang dan terus membaca alasan penghakiman selama 1 jam 27 minit sebelum mengumumkan keputusan kes.

Antara perkara penting yang dinyatakan oleh Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim ialah:

1. Semua kenyataan dan perakuan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato' Ahmad Kamal Md Shahid dalam affidavitnya tidak diterima oleh mahkamah kerana pasukan peguam DS Nizar berjaya membuktikan Dato' LA itu tiada wibawa dan nyata berpihak (tiada credibility dan impartiality).

2. Semua pandangan Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail dalam celahannya sepanjang perbicaraan kes ini diputuskan sebagai tidak menepati tafsiran sebenar bagi peruntukan-peruntukan Perlembagaan Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak pada mana-mana artikel yang dirujuk.

3. DYMM Sultan Perak tidak mempunyai kuasa memecat Menteri Besar atau menitahkan Menteri Besar meletak jawatan.

4. Tindakan DS Nizar memohon perkenan pembubaran DUN pada 4 Februari 2009 tidak bererti Menteri Besar itu mengakui atau mengesahkan bahawa dia telah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli DUN Perak.

5. Ketika permohonan perkenan bagi pembubaran DUN dikemukakan oleh DS Nizar, kedudukan belahan sokongan dalam DUN Perak ialah 28 PR dan 28 BN, manakala kerusi ADUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah diisytiharkan kosong oleh Speaker pada 30 Januari dan 3 Februari.

6. DYMM Sultan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan status 'hilang sokongan majoriti' kepada Menteri Besar. Kuasa memutuskannya adalah hanya pada DUN, di dalam persidangan DUN, melalui usul undi tidak percaya (vote of no confidence).

7. Berdasarkan prinsip demokrasi dan sistem raja berperlembagaan, DYMM Sultan sepatutnya hendaklah memperkenankan permohonan pembubaran DUN yang dikemukakan oleh DS Nizar.

8. Oleh kerana DS Nizar tidak meletak jawatan, DYMM Sultan tidak berkuasa memecat atau menitahkan perletakan jawatan MB dan DYMM Sultan tidak berkuasa menyiasat untuk menentukan status kehilangan sokongan majoriti bagi seorang Menteri Besar, maka perlantikan DS Zambry sebagai Menteri Besar adalah tidak sah dan batal.

Selepas membaca kertas alasan penghakiman yang panjang lebar itu, Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim mengumumkan keputusan membenarkan semua tuntutan yang dikemukakan oleh DS Nizar kepada mahkamah.

Oleh itu Dato' Seri Ir. Hj. Mohamammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah. Perlantikan DS Zambry sebagai Menteri Besar adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Semua langkah, tindakan dan keputusan DS Zambry atas kapasiti Menteri Besar Perak sejak 6 Februari 2009 sehingga hari ini adalah tidak sah, haram dan batal. -cyberboron

Kemenangan Nizar, Nik Aziz Ajak Umat Islam Puasa Syukur

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyiftkan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini boleh menampung kecacatan yang berlaku dalam institusi kehakiman di negara ini, demikian dilaporkan harakahdaily. .

Beliau berharap kewibawaan institusi kehakiman yang dipertikaikan banyak pihak sebelum ini kembali pulih semula.

"Saya sangat bersyukur dengan perkembangan yang berlaku hari ini. Sebaik sahaja mendengar berita itu saya telah menunaikan sujud syukur," katanya dihubungi di sini, petang ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Abdul Aziz Abdul Rahim petang tadi mengembalikan semula kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 5 Febuari lalu jawatan Nizar dirampas kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) Perak yang diketuai Dato' Dr Zambry Abdul Kadir selepas tiga bekas Adun Pakatan Rakyat meninggalkan parti lama.

Mahkamah juga memutuskan Zambry dan enam anggota Exconya mengosongkan segera pejabat mereka di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.

Pada penghakiman itu Abdul Aziz berkata, seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun) seperti kes Stephen Kalong Ningkan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berharap dengan keputusan mahkamah tersebut akan menyelesaikan konflik yang berpanjangan di Perak sejak Febuari lalu.

Ditanya kemungkinan Dr Zambry akan memohon membubarkan Dun katanya, ia terpulang kepada pihak terbabit bagi menentukannya bagi memastikan politik di Perak kembali stabil.

"Saya bersyukur dengan apa yang berlaku. Saya juga berharap semua pihak dalam Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh melukakan hati pihak lawan dalam isu ini.

"Biarlah isu ini berakhir dalam suasana aman dan diterima semua pihak," katanya.

"Setelah kita menang di Perak kini Perak telah bertukar menjadi Emas buat Pakatan Rakyat, Kejahatan telah terbukti dan kebenaran telah menjelma. Saya menasihati agar yang beragama Islam untuk puasa sunat esok hari serta sembahyang Sunat Syukur 2 rakaat. Jangan terlalu gopoh dengan kemenangan ini" tambahnya.

Menurut sumber setelah Tuan Guru Nik Aziz menerima berita ini beliau telah solat sunat dan disusuli dengan sujud syukur.


KEMENANGAN NIZAR KEMENANGAN RAKYAT

Pemimpin pelbagai lapisan hari ini senada menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersabit kemelut politik Perak sebagai kemenangan untuk rakyat dan kejayaan untuk sistem perundangan negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan tersebut merupakan satu kemenangan buat rakyat dan juga sistem demokrasi di negara ini.

"Kami menyeru agar YAB Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan segera dikembalikan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Perak," tulis beliau di dalam blognya.

Kata beliau lagi keputusan hari ini membuktikan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Makanya adalah mustahak bagi semua institusi kerajaan untuk menghormati semangat yang termaktub dalam perlembagaan. Ini termasuklah sistem pengasingan kuasa yang secara jelas menggariskan pengasingan di antara kuasa eksekutif, kehakiman dan juga perundangan. Sejajar dengan itu adalah penting untuk kita mengiktiraf sidang bawah pokok yang berlangsung pada 3hb Mac 2009 serta segala resolusi yang diluluskan pada hari tersebut.

Bagi menyelesaikan kemelut politik di Negeri Perak, Pakatan Rakyat tuntas dengan tuntutan agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan serta merta. Ini membolehkan rakyat menentukan kerajaan mana yang memperolehi mandat serta kepercayaan mereka melalui pilihanraya yang bakal diadakan nanti.

"Kami yakin rakyat pasti memilih yang terbaik buat masa depan mereka dan negara ini. Sepanjang kemelut di Perak, Pakatan Rakyat menunjukkan iltizam untuk tetap teguh menjunjung Keluhuran Perlembagaan serta konsisten membawa Perubahan," tambahnya.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kemenangan Nizar adalah kemenangan rakyat.

"Ini adalah satu kemenangan rakyat, dan ini juga adalah signal kepada Najib yang kita ketahui menjadi dalang dibelakang rampasana kuasa di perak bahawa rakyat mahukan perlembagaan tertegak," ujar Mahfuz dalam kenyataannya.

Menurut Mahfuz, kemenangan ini memberi gambaran bahawa apa sahaja yang dilakukan Najib dan Menteri Besar BN yang haram, Zambru Abdul Kadir ialah bertentangan kepada perlembagaan dan Undang Tubuh kerajaan Perak.

Dengan keputusan ini juga, menjawab segala fitnah yang dilontarkan BN kepada Pakatan Rakyat, katanya.

Malah dengan kemenangan ini nyata apa yang dilakukan Najib dan Zambry sebelum ini hanyalah mempermainkan undang tubuh kerajaan negeri selain mempersenda Sultan Perak.

Justeru Mahfuz menyeru Najib dan Zambry memohon maaf kepada rakyat Perak dan Pakatan Rakyat atas fitnah besar yang dilakukan ini hingga menyebabkan Perak 'kucar-kacir' selama tiga bulan.

Sementara itu, entah kenapa secara tiba-tiba, Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata polis akan mengadakan kawalan di sekitar bangunan berkenaan bagi memastikan keadaan keselamatan terkawal.

Mulai 5.30 petang, beberapa unit Unit Simpanan Perkutuan (FRU) tiba di sekitar bangunan itu dan mula mengadakan kawalan.


11 Mei 2009

NIZAR GANTUNG PENASIHAT UNDANG-UNDANG PERAK

Langkah pertama diambil oleh YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini ialah memecat Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkuat kuasa serta merta.

Tindakan itu adalah antara enam langkah segera yang diumumkan oleh Nizar sebaik sahaja Mahkamah Tinggi di sini memutuskan yang beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Selain itu, lima lagi langkah segera yang diambil beliau adalah:

- Pihaknya akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan secara rasmi berhubung keputusan mahkamah yang diputuskan hari ini dan meminta restu baginda.

- Semua keputusan yang dibuat oleh Zambry sepanjang beliau menjawat jawatan Menteri Besar secara tidak sah akan dikaji semula dan tidak dianggap tidak sah sehingga notis seterusnya diberitahu kelak kecuali keputusan berhubung mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 Mei lalu.

- Meminta Zambry dan Exco-exco lain untuk mengosongkan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta berikutan keputusan mahkamah.

- Mesyuarat Exco akan diadakan dengan segera

- Pihaknya tetap berpegang bahawa DUN harus dibubarkan berdasarkan kepada usul yang diluluskan pada sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac 2009



NIZAR MB YANG SAH - HUJJAH HAKIM DAN KRONOLOGI

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah dan bukan Zambry Abdul Kadir.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.

Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan tersebut.

Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang menteri besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Berikut ialah kronologi di mahkamah tinggi petang tadi:-

1.15 tengah hari: Wartawan mula berkumpul di hadapan mahkamah.

1.20 tengah hari: Keadaan masih masih lagi tenang. Kelihatan beberapa trak FRU mula memasuki kawasan pekarangan mahkamah.

1.58 tengah hari: Barisan peguam kedua-dua pihak - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berada di depan Mahkamah Tinggi Dagang 8. Kelihatan juga segelintir penyokong mula berkumpul, menunggu masa untuk masuk ke kawasan mahkamah.

2.15 petang: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat tiba di kawasan pekarangan mahkamah.

2.30 petang: Mahkamah mula bersidang.

3.30 petang: Hakim, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim sedang membaca kertas penghakiman.

3.45 petang: Hakim, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

4.15 petang: Mahkamah menolak keputusan peguam Zambry untuk menangguhkan keputusan pengesahan Nizar sebagai MB Perak tapi boleh kemuka rayuant rasmi.

4.15 petang: Kira-kira 30 penyokong Nizar berkumpul di luar perkarangan kompleks mahkamah sambil melaungkan laungan 'Reformasi'.

4.30 petang: Nizar akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah esok pagi di Istana Kuala Kangsar bagi memaklumkan secara rasmi keputusan mahkamah.

4.43 petang: Nizar mengambil keputusan pertama menggantung penasihat undang-undang negeri Kamal serta-merta.

5.05 petang: BN Perak menghormati keputusan mahkamah yang sahkan Nizar; kosongkan bangunan SUK dengan segera, kata pembantu Zambry Abdul Kadir.

5.30 petang: Pasukan FRU diletakkan di kawasan sekitar bangunan SUK Perak.

6.10 petang: Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah mengeluarkan arahan tiada pihak yang boleh mengadakan perhimpunan dan perarakan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

6.30 petang: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, BN akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah mengesahkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dan mahu warga Perak bertenang.



Isu Nizar : Najib Tak Puashati dan Kata UMNO BN Akan Kemukakan Rayuan

Ketidak-ikhlasan PM, Najib Tun Razak untuk menyelesaikan kemelut politik Perak jelas terbukti apabila beliau dengan terang-terang menyatakan Barisan Nasional akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah mengisytiharkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Malah beliau mengugut rakyat Perak, supaya jangan “terlalu teruja” dengan keputusan mahkamah itu malah berjanji “kita akan selesaikan segala masalah.” Najib bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.

Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.

Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.

Najib berkata, rayuan akan dikemukakan terhadap keputusan mahkamah kerana "kita rasa kita ada kes yang kuat.”

Ditanya sama ada pilihanraya negeri adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak, Najib menjawab:"Saya tak boleh komen perkara itu pada masa ini."

Ditanya sama ada beliau akan menghadap Sultan Perak, Perdana Menteri berkata beliau boleh berbuat demikian pada bila-bila masa.

Beliau juga ditanya sama ada BN akan mengatur satu lagi sidang DUN untuk meluluskan usul tidak percaya terhadap Nizar bagi membolehkan BN kembali berkuasa di Perak.

"Saya tidak tahu lagi, langkah pertama kita adalah membuat rayuan," tambahnya.

Isu Nizar : Kenyataan Kit Siang dan Husam Kecewakan Ahli PR

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyarankan agar BN dan Pakatan bekerjasama menyelesaikan Krisis Perlembagaan.

Najib dipercayai membuat saranan itu apabila beliau telah dapat menghidu keputusan mahkamah tinggi yang bakal tidak memihak kepada UMNO BN.

Tetapi yang anehnya terdapat beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang telah melompat kegembiraan dengan ajakan Najib berkenaan seolah-olah menerima jalan penyelesaian yang diberikan Najib untuk ditipu oleh beliau lagi seperti kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang sebelum itu yang telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengannya bagi menyelesaikan krisis politik di Perak.

Ini diikuti oleh kenyataan naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang menyatakan "PAS menyokong saranan Perdana Menteri itu dan ini adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku di Perak dan diharap semua pihak dapat bekerjasama dalam menyelesaikan isu berkenaan."

Kedua-dua kenyataan pemimpin berkenaan dilihat oleh ramai penganalisis politik sebagai gopoh dan tidak berfikir panjang sebelum menyokong saranan Najib berkenaan.

"Apakah anda hendak meletakkan leher anda untuk disembelih oleh Najib lagi sedangkan kita amat tahu kelicikan politik beliau?" tanya seorang penganalisis politik di ibu kota.

"Apabila Najib tersepit, beliau akan cuba memperdayakan musuh politiknya dan apabila musuh politiknya termakan umpan dan jeratnya, maka UMNO-BN akam memanipulasikannya untuk kepentingan politik mereka," tambhnya.

Ramai berpendapat apa yang perlu kini ialah seluruh rakyat perlu mengutuk tindakan Najib yang telah merampas kuasa dan perlantikan Menteri Besar dan exco dari kalangan mereka itu sendiri terbukti satu tindakan yang menyalahi undang-undang dengan penghakiman dari hakim mahkamah tinggi hari ini. Pemimpin Pakatan Rakyat mesti menolak sebarang ajakan yang memperdayakan malah sepatutnya mendesak supaya pilihanraya negeri diadakan.

Tindakan pemimpin-pemimpin PR itu dilihat sebagai menghina segala usaha Mohd Nizar dan pemimpin PR Perak yang bertungkus-lumus mempertahankan kerajaan mereka selama ini.


Nizar vs Zambry : Pilihanraya Negeri Harus Diadakan Semula - Hakim

Polis rusuhan telah dikerah di Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh yang menjadi paksi kerajaan negeri sejurus selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, dan bukan Zambry kadir dari UMNO.

Nizar kini dalam perjalanan pulang ke Ipoh untuk memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihanraya negeri di adakan semula.

Zambry pula dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sambutan ulangtahun UMNO di PWTC.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur sebelum bertolak pulang, Nizar menggesa Zambry dan barisan EXCOnya untuk meletak jawatan dalam kerajaan negeri, selaras dengan keputusan mahkamah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah di sisi perlembagaan, dan bukan Zambry Kadir dari UMNO.

Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim turut memerintahkan supaya Zambry dan barisan enam EXCO Barisan Nasional mengosongkan kedudukan mereka dalam kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri Perak harus kembali semula di bawah teraju Nizar.

Hakim Abdul Aziz juga berkata pilihanraya negeri harus diadakan semula.

Keputusan mahkamah tinggi itu, jika dihormati oleh Barisan Nasional, mampu menyelesaikan kemelut politik Perak yang berpanjangan setelah BN melancarkan rampasan kuasa awal tahun ini.

Krisis itu tercetus apabila BN dikatakan menawarkan gula-gula politik kepada tiga ADUN Pakatan Rakyat, termasuk dua yang menghadapi tuduhan rasuah, untuk lompat keluar dan menyokong BN.

Sultan Perak seterusnya melantik Zambry sebagai Menteri Besar walapun jawatan berkenaan masih diisi oleh Datuk Seri Nizar dari Pakatan Rakyat.

Nikar merujuk pertikaian itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberikan keputusannya hari ini.

Zambry enggan menunggu untuk keputusan mahkamah dan terus mengatur untuk diadakan sidang Dewan Undangan Negeri Khamis lalu.

Polis di bawa masuk ke sidang itu untuk mengheret keluar Speaker Dewan V.Sivakumar bagi membolehkan Zambry melantik calon pilihan sendiri dan seterusnya menguasai Dewan Undangan Negeri Perak.

Insiden itu mengaibkan Malaysia di kaca mata dunia namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan tindakan polis itu sebagai sesuatu yang perlu dilakukan.

Najib adalah Pengerusi BN Perak dan dilihat sebagai orang yang mendalangi rampasan kuasa berkenaan. Beliau belum mengulas keputusan mahkamah hari ini yang disambut baik oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agong PAS Kamaruddin Jaafar berkata mahkamah secara nyata dan jelas menyatakan “penggunaan polis dan jentera kerajaan untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat ternyata tidak betul dan melanggar perlembagaan.”

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution berkata Najib harus akur dengan keputusan mahkamah dan mengambil langkah susulan untuk membetulkan keadaan di Perak.

“Langkah pertama ialah mengembalikan Nizar sebagai Menteri Besar sah bagi membolehkan beliau menghadap Sultan untuk membubarkan Dewan supaya pilihanraya negeri diadakan,” kata Saifuddin.

Setiausaha Kerja DAP Teresa Kok berharap permohonan Nizar untuk membubarkan DUN Perak dan pilihanraya negeri diadakan akan mendapat perkenan Sultan.

“Barisan Nasional tidak harus menghalang langkah ini kerana inilah pendekatan terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik Perak,” kata Teresa. -TVA

Najib Altantuya Ditempeleng Kuat Oleh Keputusan Mahkamah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merancang rampasan kuasa di Perak hari ini menerima "penampar gila" dari Mahkamah Tinggi apabila hakim Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan perkara itu selepas mendapati kerusi itu tidak kosong kerana Nizar tidak pernah meletak jawatan dan tiada sebarang usul undi tidak percaya yang dilakukan terhadapnya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mahkamah juga menolak permohonan peguam Zambry untuk menangguhkan keputusan pengesahan Nizar sebagai MB Perak tetapi boleh mengemukakan rayuan rasmi.

Nizar berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan secara rasmi berhubung keputusan mahkamah yang diputuskan hari ini.

Katanya, semua keputusan yang dibuat oleh zambry akan dikaji semula dan bukannya tidak sah sehingga notis seterusnya kecuali sidang DUN pada 7 Mei lalu.

"Kita akan minta Datuk Zambry dan Exco lain untuk mengosongkan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta berikutan keputusan mahkamah.

"Mesyuarat Exco akan diadakan segera dan kita berpegang yang DUN harus dibubarkan berdasarkan kepada usul yang diluluskan pada sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac 2009,"katanya.

Nizar telah kehilangan jawatan tersebut awal Februari berikutan krisis politik Perak.

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah memohon agar menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara mahu mengemukakan rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mula membacakan kertas penghakiman bermula kira-kira 2.30 petang.

Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.

berita berkaitan

Nizar Menang!!
Nizar Akan Menang Petang Ini







foto dari skuadbatucave

Terengganu : Waran Tangkap Untuk Ramzi

Polis Terengganu hari ini memperolehi waran tangkap ke atas bekas setiausaha politik bekas mentri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh setelah beliau gagal untuk melaporkan diri dan membantu di dalam siasatan polis.

Polis Terengganu telah memberi tempoh tiga hari mulai semalam kepada Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh, untuk tampil membantu siasatan berhubung kes penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Terengganu bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC II Hamzah Mohd Jamil, telah berkata jika Ahmad Ramzi gagal berbuat demikian, polis akan mendapatkan waran tangkap terhadap beliau.

Beliau memberitahu pemberita di sini semalam bahawa polis telah cuba mengesan Ahmad Ramzi, yang juga bekas calon BN bagi kerusi Parlimen Marang pada pilihan raya umum lepas, di kediaman beliau di sini dan Kuala Lumpur tetapi gagal.

Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 096246222.

Pada 13 April lepas, Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid; Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh dan Adun Paka, Zakaria Abdullah, menerima SMS berbentuk ancaman terhadap keselamatan mereka.

Itu menyebabkan ketiga-tiganya bersama tujuh lagi ADUN daripada BN enggan hadir pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri keesokan harinya.

Polis yang menyiasat kes berkenaan telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun dari Seri Kembangan, Selangor, di Bandar Baru Bangi pada 20 April lepas, kerana disyaki menghantar SMS itu.

Nizar Menang!!

Seperti yang GB ramalkan sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak.

Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abd Rahim, di sini, sebentar tadi.

Dalam penghakimannya, hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.

Mahkamah juga memutuskan menteri besar BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan enam exconya mengosongkan dengan kadar segera pejabat mereka - di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.

Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.

Dalam penghakimannya, Abdul Aziz berkata jika Sultan Perak mahu meletakkan Mohamad Nizar meletakkan jawatan, maka baginda sepatutnya mengambil sidang DUN untuk mengemukakan usul tersebut.

Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.
Mengulas kemenangannya, menteri besar Pakatan Rakyat itu berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut.

Nizar sebelum ini mengemukakan semakan kehakiman untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.

Mohammad Nizar memfailkan semakan kehakiman itu pada 13 Februari lalu, memohon perintah injunksi bagi menghalang Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari lalu, atau ejennya daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Mohammad Nizar juga memohon perintah supaya Zambry memberikan tunjuk sebab bagaimana dan mengikut dasar atau kuasa apa beliau berhak memegang jawatan itu.

Beliau turut memohon perisytiharan mahkamah, Zambry bukanlah Menteri Besar Perak dan tidak berhak menjawat jawatan itu.

Selain itu, Mohammad Nizar juga memohon mendapatkan takrif mengenai Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) sama ada jawatan Menteri Besar boleh dikosongkan.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah

Nizar Akan Menang Petang Ini

MMahkamah Tinggi petang ini akan memutuskan pertikaian antara Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mengenai siapa menteri besar yang sah. Hakim Abdul Aziz Abd Rahim dijangka akan mengumumkan keputusan tersebut.

Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac.

Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong BN.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.

Gani Patail menyatakan bahawa Nizar dilucutkan daripada menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Perak kerana tidak mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak .

Peguam untuk Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah berhujjah bahawa pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Feb lepas, menggantikan Nizar, adalah tidak mengikut perlembagaan.

Beliau berkata bahawa Zambry tidak boleh menuntut pejabat Menteri Besar kerana Mohammad Nizar belum meletak jawatan dan pejabat Menteri Besar tidak pernah dikosongkan.

“Pelantikan seseorang ke pejabat Menteri Besar mungkin hanya sah jika pejabat itu dikosongkan.

“Jika pejabat itu tidak dikosongkan, tidak ada pelantikan yang sah dalam undangundang untuk menduduki pejabat itu, kerana tidak boleh ada dua orang memegang satu jawatan Menteri Besar,” kata Sulaiman dalam hujah dua jamnya.

Pada 13 Februari, Mohammad Nizar, 52, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac, tahun lepas, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau pada ketika mana adalah Menteri Besar Perak.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, Mohammad Nizar mengukuhkan bahawa:

* Beliau telah menasihat dan memohoan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengelakkan berlaku sebarang kebuntuan dalam pentadbiran hal ehwal negeri itu memandangkan tiga anggota DUN tersebut telah meletak jawatan;

* Tidak ada pembubaran DUN;

* Tidak ada usul tidak percaya dibentangkan terhadap beliau di DUN;

* Beliau belum meletak jawatan daripada pejabat Menteri Besar. Sulaiman, dalam hujah beliau hari ini juga mempertikaikan bahawa Menteri Besar Perak tidak boleh dilucutkan jawatan oleh Sultan Perak.

“Menteri Besar mungkin hanya boleh dilucutkan jawatan setelah undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota DUN itu,” kata beliau.

Ini kerana, kata Sulaiman, Menteri Besar itu tidak memegang jawatan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia tetapi memegang jawatan tertakluk kepada keyakinan anggota DUN yang mana (Menteri Besar) bertanggungjawab.

“Peranan Duli Yang Maha Mulia di bawah Artikel 16(6) hanya memutuskan sama ada atau tidak untuk membubarkan DUN, jika Menteri Besar telah hilang undi tidak percaya,” kata Sulaiman.

Sulaiman yang sebelum ini tidak bersetuju dengan hujah pencelah, Gani Patail berkata bahawa pembubaran DUN tidak hanya tertakluk pada keadaan di mana Menteri Besar telah hilang keyakinan majoritinya.

“Apabila Menteri Besar menghadap Sultan memohon perkenan untuk membubarkan DUN, ia bukan satu pengakuan bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti. Pembubaran boleh dipohon pada bila-bila masa, untuk sebarang sebab, dan bukan terhad pada hilang keyakinan majoriti,” katanya.

Sulaiman juga berkata mahkamah hendaklah mematuhi dan mengaplikasikan keputusan Stephen Kalong Ningkan menentang Tun Abang Openg dan kes Tawi Sli, yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Sarawak pada 1966, pada kes ini.

Pada kes itu yang memutuskan bahawa Gabenor tersebut tidak boleh melucutkan Ketua Menteri tersebut dan tidak boleh melantik seorang Ketua Menteri kedua sementara ada seorang lagi memegang jawatan berkenaan, dan bahawa hanya satu jalan untuk Ketua Menteri untuk melucutkan jawatan dengan cara undi tidak percaya dalam Majlis Negeri.

Perlembagaan Sarawak, Perlembagaan Perak sangat jelas bahawa ia tidak ada kuasa untuk melucutkan jawatan Menteri Besar itu dan budibicara untuk melantik dua orang memegang jawatan Menteri Besar itu.

“Peruntukan Artikel 7(1) Perlembagaan Sarawak sama dengan Artikel 16(6) Perlembagaan Perak dan keputusan kes itu masih merupakan satu undang-undang yang baik,” kata beliau.

Sebelumnya Hakim Abdul Aziz Abd Rahim di dalam satu penghakimannya yang terdahulu menyatakan bahawa kes yang dikemukakan oleh DS Nizar berhak diberi laluan untuk mendapatkan penghakiman mahkamah.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Hakim Abdul Aziz memperakui bahawa permohonan DS Nizar tiada kaitan dengan sebarang unsur remeh, menyusahkan atau penyalahgunaan proses mahkamah seperti dakwaan pasukan peguam yang mewakili Jabatan Peguam Negara dan Dr. Zambry.

Hakim Abdul Aziz menjelaskan perintah 'quo warranto' yang dipohon oleh DS Nizar merupakan salah satu penyelesaian untuk menentukan keabsahan perlantikan Dr. Zambry sebagai Menteri Besar dalam keadaan DUN tidak dibubarkan dan Nizar tidak meletak jawatan.

Pasukan peguam yang mewakili Dr. Zambri diingatkan bahawa DS Nizar telah menghadap Sultan dan memohon pembubaran DUN. Pembubaran yang dipohon akan disusuli dengan pilihanraya negeri. Langkah itu boleh menyelesaikan kebuntuan berkenaan status pihak yang memiliki majoriti (jelas) dalam DUN.

"Malangnya Sultan enggan memberi perkenan membubarkan DUN dan kemudiannya responden (Dr. Zambry) dilantik sebagai Menteri Besar baru", kata Hakim Abdul Aziz.

Seterusnya Hakim merujuk kepada Fasal XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Menurut Hakim, Fasal itu memperuntukkan hanya 4 keadaan yang menyebabkan jawatan Menteri Besar menjadi kosong termasuk Menteri Besar itu sendiri meletak jawatan. "Tetapi Nizar tidak meletak jawatan kerana tidak berlaku usul undi tidak percaya terhadapnya di dalam persidangan DUN", kata Hakim Abdul Aziz.

Sementara itu, Hakim Abdul Aziz berkata kedua-dua belah pihak telah bersetuju bahawa tiada pertikaian berhubung keengganan Sultan membubarkan DUN. Pemohon dan Peguam Negara bersetuju bahawa Sultan memiliki kuasa 'prerogative' untuk berbuat demikian.

Hj. Sulaiman Abdullah memberitahu pemberita bahawa soal DS Nizar derhaka kepada Sultan Perak tidak timbul sama sekali kerana dia tidak pernah mempersoalkan kuasa Sultan. Saman yang sedang didengar oleh mahkamah sekarang ini adalah di antara DS Nizar dan Dr. Zambry.

UMNO BN Lahirkan Anak Haram Dari Rampasan Kuasa

Walaupun tidak ramai yang sempat memakai baju hitam pada 7 Mei lalu - kerana sebahagiannya sudah ditahan di sekitar bangunan yang menempatkan Dun Perak di Ipoh, dan ada pula yang ditangkap lebih awal lagi, seperti Mohamad Sabu dan Wong Chin Huat - namun ia memang akan tercatat dalam sejarah politik negara ini sebagai hari hitam gelap-gelita buat amalan demokrasi.

Hanya dengan alasan kecil, itu pun bagi mempastikan rancangan Umno-BN untuk mempertahankan rampasan kuasa mereka tidak diganggu, maka hak asasi warga dicabul semahunya. Tangkapan dibuat sewenang-wenangnya.

Untuk kesekian kalinya, pasukan polis telah diperkakaskan oleh Umno-BN bagi menyempurnakan keserakahan kuasa mereka, sehingga segala peraturan dan undang-undang tidak lagi dihormati. Ya ... memakai baju hitam dan saranan agar umat Islam bermunajat serta menunaikan solat hajat, di pagi Khamis itu, pun sudah menjadi satu kesalahan besar.

Mat Sabu ditahan di depan sebuah restoran berdekatan pejabat Harakah secara tidak beradab. Masjid dan surau sekitar Manjoi, Ipoh dikepung polis dan FRU. Lokasi dalam radius 500 meter di sekitar kawasan Dun Perak menjadi tempat larangan, satu lagi bentuk pencabulan ke atas kebebasan berhimpun, hinggakan ada yang hanya mahu minum pagi di restoran mamak dekat Wiswa DAP dan pejabat PAS Perak pun digari.

Pincang dan songsang

Benar sekali perumpamaan pakar Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari bahawa "apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu". Segalanya pincang dan songsang. Keserakahan nafsu politik BN untuk mengekalkan kuasa yang dirampas dari Pakatan Rakyat nampak cukup hodoh. Selalunya apabila terlalu gopoh dan gelojoh, banyaklah tindakan yang menjolok mata, hilang rasionalnya, dan menjadi bahan ketawa orang.

"Anak-anak haram" yang dilahirkan sejak rampasan kuasa awal Februari lalu memang membawa masalah. Status Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar, barisan Exconya, dan kini speaker Ganesan yang dilantik 7 Mei lalu hanya merumitkan lagi keadaan. Peraturan sidang Dun bukan sahaja tidak dihormati, malah Speaker yang masih sah, V Sivakumar dicekek lehernya, diheret keluar secara kasar oleh anggota polis berpakaian preman, dan dikurung dalam stor sehingga sidang haram itu ditangguhkan! Kita bengong memikirkan, bila pula sidang itu bermula secara rasminya sedangkan Raja Muda hanya bertitah pada sebelah petang. Dengan itu, segala prosiding, seperti perlantikan Speaker baru yang didahulukan oleh rampasan kuasa oleh Timbalan Speaker, Hee Yit Foong, Adun Jelapang, jelas tidak sah.

Wira

Sivakumar memang seorang wira pada hari gelita itu. Selama hampir enam jam beliau tidak berehat, keluar ke tandas, juga untuk makan tengahari, demi menjaga "kerusinya" daripada dirampas BN. Meskipun berdepan pelbagai halangan dan tekanan psikologi, di samping kekerasan fizikal, Speaker Dun Perak itu terbukti tidak mudah mengalah. Tegas dengan keputusannya, beliau tetap tidak berganjak. Bukan calang orang yang dapat menanggung beban tugas dalam waktu yang segenting itu. Begitu juga dengan semangat setiakawan pimpinan Pakatan Rakyat, termasuk wakil-wakil rakyat Dun dan Parlimen, yang datang memberi sokongan moral sehingga menyebabkan sebahagian mereka ditahan.

Insiden 7 Mei itu turut menambahkan lagi koleksi bukti-bukti bahawa tiada pilihan lebih baik selain membubarkan Dun bagi mendapatkan semula mandat baru rakyat. Raja Nazrin, yang diakui bijaksana dan berpandangan jauh, menyaksikan sendiri bagaimana krisis yang berlarutan itu perlu segera ditamatkan. Mahkamah mungkin ada jalan keluar tersendiri, namun solusi terbaik tetap merujuk suara rakyat. -ahmad lutfi othman

UMNO Gelabah, 20,000 Bukan Islam Sertai Kelab penyokong PAS

Penyertaan 20,000 masyarakat bukan Islam ke dalam Kelab Penyokong PAS sejak ia ditubuhkan pastinya 'mengancam' kestabilan politik Barisan Nasional (BN) pada masa depan kata, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu,, demikian lapor harakahdaily.

Justeru itu katanya secara tidak langsung membuatkan Umno dan BN terasa bahang kemerosotan sokongan makin menghampiri politik sempit yang diamalkan sejak 50 tahun lalu.

"Ahli Kelab Penyokong PAS kini mencecah 20,000 orang seluruh negara dan perkembangan itu menggugat pengaruh Umno dan BN.

Kerajaan tahu sekiranya masyarakat bukan Islam berpaling tadah dari menyokong BN hayat parti itu semakin pendek, " tegasnya dalam sidang media bersama Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa selepas merasmikan 'Konvensyen Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang' di Dewan Besar Sungai Dua, Butterworth semalam.

Kata beliau lagi, kemasukan itu berikutan terpengaruh dengan model yang ditunjukan oleh Kerajaan Kelantan yang bersih dari gejala rasuah dan tidak mengamalkan diskriminasi dalam pemerintahan.

Tambahan lagi, keaktifan lajnah yang diterajui oleh Dr Mujahid sendiri menjadi daya tarikan tersendiri kerana selama ini golongan terbabit beranggapan PAS sebuah parti ekstrim yang tidak mahu mendengar serta menerima pandangan atau budaya kaum lain, katanya.

"Dulu mereka nampak PAS jahat Umno dan BN baik. Tetapi, hasil pendekatan yang dilaksanakan rupa-rupanya PAS adalah parti yang terdiri daripada pejuang yang ikhlas dan jujur, " tambahnya.

Selain daripada faktor politik di Kelantan kata Mohammad Sabu, dialog yang ketara merupakan faktor mempengaruhi kecenderungan mereka untuk bersama PAS atas nama 'PAS For All'.

PAS Pusat juga bertekad akan meletakan status kelab ini ke satu tahap sesuai dengan peranan mereka dalam usaha membantu parti agar masyarakat mereka turut serta memperjuangkan keadilan, kesejahteraan dan kedamaian, katanya.

Sementara itu, Dr Mujahid yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri menambah, di Pulau Pinang sendiri mempunyai keahlian seramai 2,000 orang.

Paling ramai di Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.Konvensyen ini katanya, untuk mencari kesepaduan di samping untuk mencari jawatankuasa yang akan memimpin Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang.

"Saya berterima kasih Dr Oii yang sanggup menjadi Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang sehingga hari ini. Untuk membantu beliau mesti ada jawatankuasa yang dapat bekerjasama mencari formula baru setiap masa," kata Mujahid.