11 Mei 2009

NIZAR MB YANG SAH - HUJJAH HAKIM DAN KRONOLOGI

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah dan bukan Zambry Abdul Kadir.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.

Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan tersebut.

Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang menteri besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Berikut ialah kronologi di mahkamah tinggi petang tadi:-

1.15 tengah hari: Wartawan mula berkumpul di hadapan mahkamah.

1.20 tengah hari: Keadaan masih masih lagi tenang. Kelihatan beberapa trak FRU mula memasuki kawasan pekarangan mahkamah.

1.58 tengah hari: Barisan peguam kedua-dua pihak - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berada di depan Mahkamah Tinggi Dagang 8. Kelihatan juga segelintir penyokong mula berkumpul, menunggu masa untuk masuk ke kawasan mahkamah.

2.15 petang: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat tiba di kawasan pekarangan mahkamah.

2.30 petang: Mahkamah mula bersidang.

3.30 petang: Hakim, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim sedang membaca kertas penghakiman.

3.45 petang: Hakim, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

4.15 petang: Mahkamah menolak keputusan peguam Zambry untuk menangguhkan keputusan pengesahan Nizar sebagai MB Perak tapi boleh kemuka rayuant rasmi.

4.15 petang: Kira-kira 30 penyokong Nizar berkumpul di luar perkarangan kompleks mahkamah sambil melaungkan laungan 'Reformasi'.

4.30 petang: Nizar akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah esok pagi di Istana Kuala Kangsar bagi memaklumkan secara rasmi keputusan mahkamah.

4.43 petang: Nizar mengambil keputusan pertama menggantung penasihat undang-undang negeri Kamal serta-merta.

5.05 petang: BN Perak menghormati keputusan mahkamah yang sahkan Nizar; kosongkan bangunan SUK dengan segera, kata pembantu Zambry Abdul Kadir.

5.30 petang: Pasukan FRU diletakkan di kawasan sekitar bangunan SUK Perak.

6.10 petang: Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah mengeluarkan arahan tiada pihak yang boleh mengadakan perhimpunan dan perarakan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

6.30 petang: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, BN akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah mengesahkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dan mahu warga Perak bertenang.



Tiada ulasan: