11 Mei 2009

Terengganu : Waran Tangkap Untuk Ramzi

Polis Terengganu hari ini memperolehi waran tangkap ke atas bekas setiausaha politik bekas mentri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh setelah beliau gagal untuk melaporkan diri dan membantu di dalam siasatan polis.

Polis Terengganu telah memberi tempoh tiga hari mulai semalam kepada Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh, untuk tampil membantu siasatan berhubung kes penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Terengganu bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC II Hamzah Mohd Jamil, telah berkata jika Ahmad Ramzi gagal berbuat demikian, polis akan mendapatkan waran tangkap terhadap beliau.

Beliau memberitahu pemberita di sini semalam bahawa polis telah cuba mengesan Ahmad Ramzi, yang juga bekas calon BN bagi kerusi Parlimen Marang pada pilihan raya umum lepas, di kediaman beliau di sini dan Kuala Lumpur tetapi gagal.

Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 096246222.

Pada 13 April lepas, Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid; Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh dan Adun Paka, Zakaria Abdullah, menerima SMS berbentuk ancaman terhadap keselamatan mereka.

Itu menyebabkan ketiga-tiganya bersama tujuh lagi ADUN daripada BN enggan hadir pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri keesokan harinya.

Polis yang menyiasat kes berkenaan telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun dari Seri Kembangan, Selangor, di Bandar Baru Bangi pada 20 April lepas, kerana disyaki menghantar SMS itu.

Tiada ulasan: