25 Jun 2009

Isu Ke Manek Urai : Fantasi Kerajaan Perpaduan UMNO Akhirnya Berkubur

Demi kepentingan nasional, mungkin; namun untuk memenuhi keperluan Barisan Nasional (BN), mustahil. Demikian tegas dan jelasnya pendirian Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berhubung isu kerjasama dengan BN

Seharusnya ketegasan ini dapat menyimpulkan betapa kukuhnya tautan semangat, azam dan wawasan di kalangan saf kepemimpinan Pakatan Rakyat. Walau cuba disergap dengan silap mata media bahwa ada kecenderungan di kalangan komponen Pakatan Rakyat untuk bekerjasama hatta menubuhkan Kerajaan Perpaduan, mereka tidak mudah keliru atau hilangan kawalan.

Memang benar Presiden Pas, Hadi Awang ada mengisytiharkan kesediaan partinya untuk bersemuka dengan mana-mana pihak, termasuk Umno dan BN. Namun itu adalah langkah untuk mencari perpaduan dan kesepakatan dalam hal kepentingan rakyat. Maka apa yang dimaksudkan oleh Hadi sengaja dimanipulasi untuk mengatakan beliau mahu dan bersedia berunding menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Jauh panggang dari api!

Memang begitu lazim politik. Sepotong ayat boleh ditafsir beberapa lapis makna dan maksud. Bagaimanapun kali ini, kebeningan perjuangan dan matlamat politik Pakatan Rakyat amat menyerlah. Sidang media bersama di antara Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang di bangunan Parlimen 22 Jun lalu benar-benar menjadi obor yang benderang bagi semua.

BN seharusnya dapat dipimpin oleh obor perjuangan Pakatan Rakyat yang cukup terang ini. Obor ini dinyalakan oleh keikhlasan dan ketelusan. Kenyataan Hadi diapi-apikan oleh pihak tertentu, terutamanya media arus perdana untuk menggerhanakan hubungan dan juga melakar keretakan dalam Pakatan Rakyat.

Lelucon ini sudah tentunya untuk memenuhi keperluan dan kepentingan BN terutamanya Umno yang hayat politiknya tinggal “nyawa-nyawa ikan”. Betapa tidaknya, tiap kali Umno bersuara politik, rakyat, khususnya orang Melayu sukar mempercayainya. Namun sebagai badan politik Umno masih perlu terus bersuara; tidak kira dalam isu apa jua. Malangnya, suara Umno sering sumbang dan serba tidak kena.

Inilah sahaja pilihan yang ada dan yang mampu dilakukan Umno. Ia berharap suara ini akan kelihatan sebagai satu realiti dan bukan fantasi. Maka diciptakanlah impian sebuah Kerajaan Perpaduan. Konsep ini dijaja sebagai bertolak daripada keperluan dan kepentingan nasional. Bagi yang lemah semangat dan lemah daya penakulan politik, impian ini akan segera mendorong mereka untuk menjadikannya realiti. Oleh itu mereka akan mudah menggerakkan dayausaha untuk menyokong pelaku-pelaku projek Kerajaan Perpaduan supaya menjadikannya satu kenyataan.

Ini sebenarnya matlamat Umno dan Barisan Nasional. Ia ingin menggerakkan naluri massa supaya “memaksa” dan “menekan” setiap aktor dalam rundingan Kerajaan Perpaduan dengan memberikan sokongan kepada mereka. Melalui jalan ini Umno berharap rakyat akan terpandang kembali akan kewujudan Umno dan memberi sokongan kepadanya supaya menjadikan impian Kerajaan Perpaduan satu kejayaan.

Sebagai satu strategi politik, pendekatan Umno-BN ini bertujuan serampang dua mata. Pada satu perspektif ia mahu mengabsahkan kewujudan Umno-BN dan pada dimensi lain, ia diharap dapat mengkucar-kacirkan saf pimpinan Pakatan Rakyat dan meleburkan perpaduan di kalangan penyokongnya.

Umpan Umno-BN ini tidak mengena. Majlis Pimpinan Perpaduan Rakyat adalah lebih berwibawa dan bijaksana daripada apa yang dapat dibaca oleh Umno-BN serta pakar strategi medianya. Meskipun pada pusingan awalnya kelihatan apa yang dirancang Umno-BN ini hampir berjaya, namun kecekapan, kecekalan dan hemah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengatasi semuanya.

Sekaligus ini membuktikan bahawa mungkin pada usianya, majlis ini boleh dianggap terlalu muda namun hakikatnya ia sudah jauh melepasi umur pembentukan atau formatifnya. Majlis ini dengan tenang dan bergaya mengisytiharkan kepada kawan dan lawan bahawa ia adalah satu entiti yang sarat dengan integriti dan berhemah tinggi. Pakatan Rakyat makin popular di mata rakyat. Kenyataan ini amat sukar dan tidak dapat dihadami oleh naluri BN. Deklarasi 22 Jun yang dibuat di bangunan Parlimen adalah amat simbolik. Inilah pakatan kental yang layak menguasai dan mewarisi demokrasi Malaysia pada waktu yang terdekat ini. - TVA

Isu Ke Manek Urai : Menangani Sikap Double Standard Speaker Parlimen

Seringkali berlaku keadan di Dewan Rakyat Speaker telah bertindak wewanangan di dalam menjalankan tugasnya serta membuat keputusan secara diskriminasi dan berat sebelah.

Setiap kali yang menjadi mangsa adalah wakul rakyat pembangkang, dan dengan kesalahan yang sama malah lebih teruk, seseorang penyokong kerajaan tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Setakat ini, telah banyak kali berlaku insiden wakil rakyat pembangkau diarahkan keluar dewan, malah ada yang digantung tanpa gaji dan elaun, misal yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Semalam Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua dibuang dari Dewan Rakyat untuk sehari kerana mengingkari arahan Timbalan Speaker Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk duduk ketika perbahasan.

Arahan itu dikeluarkan beberapa minit sebelum sidang Dewan Rakyat berhenti untuk rehat pukul 1 tengah hari semalam.

"Saya tidak tahu apa kesalahan saya sehingga saya dibuang dari Dewan... saya hanya berdiri untuk minta laluan bagi mencelah (Ahli Parlimen-BN) Pasir Salak (Datuk Tajuddin Abdul Rahman)," kata Pua ketika ditemui di lobi Parlimen.

"Beliau (Timbalan Speaker) minta saya keluar, saya keluar lah," katanya.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berharap Wan Junaidi akan menarik balik keputusan bagi membolehkan Pua mengambil bahagian dalam sesi perbahasan sebelah petang nanti.

Ketika Tajuddin berbahas, Pua bangun dan mengajukan soalan apabila wakil Pasir Salak itu mengatakan kononnya ahli-ahli Parlimen terpaksa membahaskan pelbagai perkara walaupun tidak arif dalam sesetengah isu.

Kejadian berlaku ketika Parlimen membahaskan usul pembahagian semula peruntukan bagi beberapa kementerian ekoran penyusunan Kabinet baru-baru ini.

Usul itu dibahaskan sejak kelmarin.

Kita tidak mempertikaikan kuasa Speaker untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahi peraturan, namun persoalan kini kenapa DOUBLE STANDARD?

Nampaknya Speaker dan Timbalan Speaker tidak menghormati dan tidak mematuhi etika kerjanya untuk berlaku adil dan saksama sewaktu menjalankan tugasnya dan "tidak menghormati pilihan rakyat". Sekalipun seseorang ahli parlimen itu dari pembangkang tidak ada sebab dan adalah tidak wajar bagi seseorang Speaker atau tumbalannya bertindak dengan cara diskriminasi dan pilihkasih.

Ketidak-mampuan mereka mengawal diri serta menjalankan amanah secara jujur dan saksama telah menyebabkan maruah jawatan Speaker itu menjadi terlalu hanyir.

Mungkin selepas ini pihak wakil rakyat Pakatan Rakyat perlu memikirkan langkah-langkah berpatutan bagi mempastikan kemuliaan dewan dihormati oleh pihak Sepaker dan timbalannya supaya mereka tidak melakukan tindakan secara sewenang-wenang. Tiada cara lain kecuali memberikan undi tidak percaya kepada Speaker sepertimana yang kumpulan mereka (UMNO BN) lakukan di Perak. Mungkin kali pertama gagal tetapi jika berterusan kita lakukan akhirnya akan tercampaklah nanti speaker-speaker itu dari kerusinya.

Jika tidak berjaya juga, maka keputusan di tangan rakyat untuk memindahkan pihak UMNO BN mengambil tempat sebagai pembangkang pula tidak berapa lama lagi.


MANEK URAI : MEDIA UMNO BN MASIH CARA LAMA

Propaganda media jajahan Umno dan BN khususnya dalam isu kerajaan perpaduan telah menyebabkan ramai orang politik yang melatah dan melompat. Lenggok berita dan gaya laporan, bukan sahaja memukau pembaca malah upaya memecahbelahkan keutuhan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun isu itu tidak tembus mempengaruhi pengundi di Manek Urai yang lebih menumpukan kepada kerja-kerja mencari rezeki semata-mata.

Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah mengakui propaganda media tidak sampai kepada pengundi dan rakyat akar umbi di sana. Ikuti temubual SALMIYAH HARUN bersama beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Sejauhmana mainan media yang mahu memecahbelahkan ahli dan penyokong PAS dengan isu kerajaan perpaduan mempengaruhi pengundi Manek Urai?

Pengundi di Manek Urai tidak membaca suratkhbar. Propaganda media tidak berjaya mempengaruhi pengundi dan penyokong PAS di Manek Urai. Memandangkan mereka di kalangan pekebun kecil, dan kerja kampung, mereka tidak ada masa membaca suratkhbar.
Jadi kita bernasib baiklah. Propaganda media perdana tidak sampai kepada pengundi dan rakyat akar umbi. Manek Urai dikira terselamat daripada isu yang sedang heboh dimainkan oleh media arus perdana.


Terkini, kalau Dato' boleh jelaskan berdasarkan pemerhatian, macam mana gerak kerja Umno di Manek Urai?

Umno masih tercari-cari tapak di Manek Urai. Ini kerana mereka sedang menghadapi masalah pertikaian calon. Apa yang Umno cuba buat misalnya beberapa hari lalu, Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Syafie Apdal dengan Menteri Pertanian, Dato' Mustapa Mohamed turun di Sungai Sok, Chuchuh Putri, Peria dalam Manek Urai. Apa yang didapati orang yang sama yang mengikuti (membontoti) mereka.

Agak ramailah orang yang hadir tetapi saya dimaklumkan orang tempatan hanya lapan orang tetapi mereka yang ramai itu adalah di kalangan ahli rombongan mereka. Cara mereka buat itu baguslah, menampakkan suasana orang ramai semasa pimpinan turun melawat biarpun orang yang sama.

Pemuda BN ada menuduh PAS Kelantan membuat pendekatan politik samseng dalam ceramah dan mengapi-apikan sehingga menimbulkan suasana provokasi. Bagaimana dakwaan ini Dato'?

Kalau BN kata kita samseng, kita tidak boleh cakap apalah. Cumanya PAS Kelantan memang bersungguh-sungguh mempertahankan kerusi Dun Manek Urai dan akan lawan Umno sampai mati. Bukan bergaduh.

Tetapi makna kita berlawan ini, kita lawan sampai mati yang mana sampai akhir hayat kita lawan Umno. Sama ada dia mati atau kita mati. Bukan sehingga bunuh membunuh. Saya menggerakkan jentera dan berpesan kepada ahli, kita lawan sampai mati.

Kalau Umno mentafsirkan ia satu pergaduhan fizikal ianya tidak kenalah. Kita hendak menerangkan satu sikap perjuangan di kalangan pemuda PAS bahawa sampai mati kita akan tetap lawan Umno. Jadi kita harap Umno pun hendak lawan PAS sampai dia mati jugalah. Jadi kita tidak mahu Umno itu menjadi kawan kita. Kita nak lawan dia.

Sehingga kini bagaimana sikap pengundi atas pagar, apakah tanpa undi mereka akan menjejaskan majoriti yang diperolehi PAS?

Pengundi atas pagar di Manek Urai tidak ramai. Lebih kurang 20 peratus. Ini satu kawasan kubu kuat PAS. Allahyarham Pak Su Weil (Bekas Adun Manek Urai) sudah lima penggal menjadi wakil rakyat di sini.

Kini jentera parti sudah berkampung di Manek Urai. Semua PAS kawasan di Kelantan yang membantu sembilan peti undi ini sedang berkampung dan menjalankan kerja-kerja pilihan raya.

Masing-masing sewa rumah di sini, baik Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama berkampung bersama jentera peti undi. Kita berkubulah bagi mempertahankan undi yang sedia ada itu. Jentera parti bagi negeri-negeri akan hadir tetapi belum sepenuhnya lagi datang.

Bagaimana pula dengan dakwaan mengatakan ada jentera pilihan raya PAS dari beberapa buah negeri dihalang turun ke Manek Urai, memadai petugas dari Kelantan sahaja?

Negeri-negeri sudah ada pengagihan jentera pilihan raya. Cuma mereka belum sampai lagi. Pada 13 Jun lalu jentera setiap negeri sudah hadir di Kelantan untuk menerima taklimat daripada jentera pilihan raya parti negeri.

Ada di kalangan mereka menetapkan tarikh masing-masing untuk turun ke Manek Urai. Sebabnya kita kena faham ini satu pilihan raya yang tempoh masanya agak panjang. Apabila Pak Su Weil meninggal pada 22 Mei 2009, mengikut peraturan pilihan raya kena diadakan dalam tempoh 60 hari. Tempoh tamat pada 22 Julai dan SPR membuat pilihan raya pada 14 Julai bermakna seminggu sahaja lagi hendak tamat tempoh.

Tidak pernah lagi SPR buat macam ini. Kita tidak menggesa jentera negeri untuk datang awal sampai akhir ianya terlalu lama. Jadi mungkin jentera negeri akan hadir kemudian sikitlah, memandangkan jentera parti Kelantan sudah berkampung.

PAS Kelantan tidak pernah halang sesiapa datang untuk membantu. Dakwaan itu tidak benar dan mungkin ia propaganda Umno untuk mengalahkan PAS dengan memecahbelahkan jentara pilihan raya kita.

Bagaimana dengan pengundi yang menetap di luar Manek Urai atau luar Kelantan, apakah PAS sudah ada strategi untuk membawa mereka balik mengundi pada 14 Julai nanti?

Itu kita sudah uruskan bagi jentera di peringkat peti undi dan peringkat Dun malah mereka ini sentiasa dihubungi sama ada melalui surat atau penggilan telefon. Kita akan mengadakan satu perjumpaan dengan pengundi luar di Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini, bahkan tambang menambang itu akan diuruskan oleh jawatankuasa pengundi luar.

Kita mengharapkan SPR betul-betul menekankan kepada majikan termasuk kementerian Pelajaran agar mewajibkan majikan memberi cuti kepada pengundi ini. Isunya SPR sendiri yang mengundang masalah apabila badan itu sengaja membuat hari mengundi pada hari bekerja (Selasa). Jadi kita betul-betul mengharapkan SPR memberi arahan kepada majikan bagi memberikan cuti satu hari.

Pada padangan Dato' mengapa pengundi luar ini perlu balik pada hari mengundi walaupun ada yang beranggapan menang atau kalah di Manek Urai ianya tidak begitu penting?

Kita sebagai orang Kelantan misalnya di Manek Urai, rakyat kenalah buktikan bagaimana tanggungjawab kita sebagai pengundi walaupun ada sedikit kesusahan kena mengambil cuti. Saya tidak nafikan budaya orang Kelantan ada dua hari yang mustahak dalam setahun iaitu Hari Raya dan hari pilihan raya. Jadi mereka yang betul-betul anak Kelantan pastinya mereka tidak akan 'miss'.

Apakah PAS sudah bertemu dengan calon yang sesuai untuk kerusi yang ditinggalkan oleh Pak Su Weil ini?

Isyallah seminggu lagi Tuan Guru Nik Aziz akan mengisytiharkan calon bersama-sama dengan pimpinan Pakatan Rakyat di Manek Urai. Majlis ini akan diadakan berdekatan rumah Pak Su Weil.

Apakah calon yang akan dikemukakan itu mempunyai ciri-ciri yang sama dengan Pak Su Weil?

Nak cari pimpinan seperti Pak Su Weil ini sudah tentulah sukar, tidak ada. Dia (Allahyarham) ni... satu-satunya individu yang sukar diganti, dan tidak ada yang boleh menandingi Allahyarham. Satu pun tidak ada.

Hendak mencari pemimpin macam Allahyarham ini sudah tidak ada bukan sahaja di Manek Urai bahkan di dalam PAS. Allahyarham ini sungguh istimewa. Kalau ada rakyatnya mengadu misalnya "Pak Su ada harimau di belakang rumah saya". Pak Su Wel akan pergi sendiri sambil membawa senapang untuk tembak harimau.

Dia akan mengambil berat setiap masalah rakyatnya di Manek Urai. Ada perkara yang saya tidak pernah beritahu sesiapa, menurut Adun Dabong yang rapat dengan keluarga Allahyarham ini, selepas dua tiga hari Pak Su Weil meninggal apabila beliau menyemak semula geran tanah Pak Su Wel ini hanya ada dua geran sahaja sedangkan tanah Allahyarham ini banyak.

Tanah tapak rumah, tanah tapak markas PAS, tanah kebun, rupa-rupanya geran tanah ini berada di mahkamah kerana membuat jaminan untuk rakyatnya yang menghadapi masalah. Ini satu pengorbanan Allahyarham yang cukup terharu. Beliau sanggup guna geran tanah untuk selesai masalah rakyat.

Nampaknya media jajahan BN memainkan isu kononnya PAS tidak menaikkan poster Presidennya, Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Manek Urai. Sebaliknya hanya menaikkan poster MB Kelantan sahaja. Boleh jelaskan sikit?

Di Manek Urai ni terutama di Kelantan, poster Tok Guru Nik Aziz ni mempunyai 'comercial value' yang tinggi. Mereka yang biasa dengan pengendalian pilihan raya di Kelantan, mengakui inilah cara untuk menarik undi.

Saya adalah di antara yang bernasib baik terlibat dalam hal ini sejak pilihan raya tahun 1982. Pada masa itu, kita sebagai pemuda mencetak gambar Tok Guru Nik Aziz yang mengenakan serban di atas bahu. Apa yang berlaku misalnya satu imam di Masjid Mukim Manek Urai berkata "tengok (lihat) gambar Tok Guru Nik Aziz ni dapat pahala".

Kalau kita perhatikan betul-betul Tok Guru Nik Aziz ni bukan sahaja mendengar kuliah dia dapat pahala tetapi tengok muka dia pun dapat pahala. Inilah membuatkan poster Tok Guru ini mempunyai nilai komersil yang tinggi dari rakyat.

Jadi gambar Tok Guru Nik Aziz sahaja yang ada nilai untuk tarik pengundi di sini. Dalam hal ini kita hanya menilai dari sudut nilai komersil sebagai cara menarik pengundi di Manek Urai. Kita betul-betul eksploit gambar Tok Guru untuk pancing undi.

Tidak timbul kononnya poster Tok Guru Haji Hadi Awang diketepikan. Itu hanya mainan media Bn untuk runtuhkan kita.

Apa pandangan Dato', kononnya dikatakan terdapat sekatan terhadap petugas-petugas PAS dari luar Kelantan untuk bertugas di Manek Urai?

Dakwaan itu tidak benar. Oleh kerana saya sendiri selaku mewakili perwakilan negeri Kelantan di dalam mambahaskan ucapan dasar Presiden telah membuat jemputan secara terbuka kepada semua PAS negeri-negeri hadir mengikut susunan yang telah pun ditetapkan dan kami telah pun meyewa rumah-rumah untuk menempatkan petugas-petugas luar seluruh negara dan sewaan rumah dibiayai oleh PAS kawasan dari Kelantan.

Kami juga menyediakan makan minum yang juga dibiayai oleh PAS Kelantan. Saya yang buat jemputan di sini dan saya hendak mengulangi jemputan kepada semua ahli PAS agar dapat turun ke Manek Urai. Beberapa jentera negeri sudah ada misalnya dari Pulau Pinang. Bagaimanapun, rumah yang kami sewakan tidak mencukupi, akhirnya kami tambah beberapa rumah sewa lagi.

Benarkah terdapat halangan terhadap pimpinan yang pro kerajaan perpaduan berkempen di Manek Urai? Maaf Dato' kerana bertanyakan soalan ini tetapi ada kedengaran desas-desus ini...

Kita sendiri di Dun Manek Urai tidak tahu siapa yang sokong, siapa yang pro, siapa yang anti... tidak tahu! Sebab perkara ini hanya di kalangan pimpinan, jadi macam mana kita nak sedar sedangkan kita tidak tahu. Rakyat tidak tahu.

Semua di alu-alukan hadir ke Manek Urai. Cumanya di sini rakyatnya terlalu 'localize', kawasan pedalaman. Petrol station ada satu, pejabat pos tak ada langsung. Rakyat di sini agak tidak terdedah kepada suasana yang lebih mencabar.

Kita kena berhati-hati untuk tidak mengocakkan suasana itu. Maknanya kita lebih banyak gunakan tenaga tempatan dan gunakan pergerakan kempen rumah ke rumah dan juga kena kita banyak gunakan ceramah kelompok.

Jadi ceramah besar ialah yang melibatkan Menteri Besar Kelantan, sebelum pencalonan ada dua dan selepas itu pun ada dua lagi ceramah besar. Ceramah secara menyeluruh memang tidak berlaku. Saya sekali lagi menafikan bahawa ada sekatan seperti yang saudari maksudkan itu. Kita tegaskan sesiapa sahaja di kalangan pimpinan PAS atau Pakatan Rakyat boleh masuk dan berkempen di Manek Urai.

Kerajaan UMNO BN Beri Tanah Kepada Jean Todt?

Kementerian Pelancongan hari ini enggan menjelaskan kepada Parlimen kenapa Jean Todt iaitu tunang pelakon terkenal Michelle Yeoh diberikan kontrak lumayan RM900,000.

Naib Presiden PKR Azmin Ali berkata alasan bahawa bayaran itu untuk khidmat Todt menarik rakyat asing menetap di sini di bawah kempen “Malaysia- rumah kedua ku” tidak masuk akal.

Ini kerana misi itu dilaksanakan sepenuhnya oleh wakil pejabat Pelancongan Malaysia di seluruh dunia, tambah beliau.

Selain menerima hampir sejuta ringgit setahun, Todt turut ditawarkan tanah di Pulau Besar Terengganu, kata Azmin .

Azmin mendesak kerajaan mendedahkan butir-butir perjanjian Kementerian Pelancongan dan Todt supaya rakyat mengetahui bagaimana RM900,000 dibelanjakan.

Menteri Pelancongan Datuk Ng Yen Yen melantik Jean Todt sebagai ‘duta’ Pelancongan Malaysia untuk tempoh setahun dalam usaha kerajaan menarik 2,000 pelancong menetap di negara ini.

Azmin menampilkan dokumen yang menunjukkan yuran perkhidmatan Jean Todt sahaja mencecah RM593,400. Kos itu termasuk wang untuk tambang perjalanan, perbelanjaan dan wang saku.

Selain itu Umno-BN turut membayar Todt RM388,000 untuk bercuti di dalam negara, kata Azmin.

“Mengapa sejumlah RM593,000 dibayar kepada Jean Todt untuk membuat promosi ini,” tanya Azmin.

“Kalau kita tengok pecahan yang saya dapat, kos untuk tambang kapal terbang dari Eropah ke Kuala Lumpur ke Eropah mencecah RM180,000 ringgit. Ini tidak termasuk kos penginapan yang mencecah RM80,000 untuk tiga malam,” tambah Azmin.

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib bagaimana pun enggan menjawab pertanyaan Azmin.

Azmin berkata beliau mempunyai maklumat terperinci mengenai pemborosan yang berlaku tetapi mahu memberi peluang kepada UMNO-BN menjelaskan perbelanjaan sebegitu besar.

“Saya mahukan kerajaan memberi jawapan dengan tepat. Saya harap kementerian dapat beri jawapan secepat mungkin kerana ini sesuatu yang mudah dan mereka boleh menjelaskan dengan segera,” kata beliau.


24 Jun 2009

MANEK URAI : PAS SEMAKIN MANTAP

Pas telah pun menetapkan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai (N41) adalah anak tempatan.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas negeri, Abdul Fatah Harun berkata, keputusan itu dibuat hasil daripada kehendak akar umbi dan perbincangan yang dibuat di peringkat Pusat.

“Pucuk pimpinan Pas Pusat telah pun memutuskan nama calon tersebut dan akan diumumkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz pada 26 Jun ini. Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira banyak faktor termasuk kehendak akar umbi,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, Pas memilih calon anak tempatan Kuala Krai dan tidak akan melangkaui kawasan di luar Kuala Krai.

Mengulas mengenai gerak kerja jentera Pas menghadapi pilihan raya kecil itu beliau berkata, Pas telah mengatur strategi yang tersendiri dengan kekuatan yang lebih mantap dan kukuh.

“Apa yang kita lihat setakat ini ialah UMNO seolah-olah hilang akal apabila isu utama yang dibuat iaitu berhubung kerajaan perpaduan sudah tidak wujud lagi. Ini menyebabkan mereka terpaksa mencari isu lain.

“Pas sekarang semakin bernafas dan mantap. Penduduk Manek Urai juga semakin yakin dengan kepimpinan menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz,” katanya.

Menurut beliau, apa yang nyata ahli dan penyokong Pas Manek Urai bersyukur dengan pendirian Nik Abdul Aziz lebih-lebih lagi pendirian beliau berhubung isu kerajaan perpaduan.

PAS UMNO : Mujahid Dan Mat Sabu Diantara Timb Pesuruhjaya PAS P.Pinang

Bekas Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu telah dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya II PAS Pulau Pinang bersama-sama dengan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa yang dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya I.

Turut dilantik ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Kepala Batas, Rosidi Hussain sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS III Pulau Pinang. Manakala bagi jawatan setiausaha Fazhil Kerni dilantik semula.Bendahari disandang oleh Taqiudin Hamzah.Untuk jawatan Ketua Penerangan, Zulkiply Ishak daripada kawasan Kepala Batas turut dilantik.

Ahli Jawatankuasa yang turut dilantik ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Hamdan Abdul Rahman, Halim Kader, Rosli Hasan, Jamaludin Said dan Bukhari Ghazali.

Demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Salleh Man. -siasahdaily

PAS UMNO : Kerajaan Belanjakan RM1 Juta Untuk Todt Sebagai Duta Tourism Malaysia

Kerajaan Malaysia hari ini membuat pengakuan telah memperuntukkan RM1 juta untuk bekas pengurus Formula 1 Ferrari, Datuk Seri Jean Todt sebagai duta Tourism Malaysia selama dua tahun.

Demikian dinyatakan oleh menteri Pelancungan Datuk Seri Ng Yen Yen di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak yang juga Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Azmin telah meminta kerajaan menjelaskan urusjanji kerajaan mengenai perundingan dengan Todt bersama tunangnya Datuk Michelle Yeoh, seorang aktes Malaysia dengan mendakwa RM1 juta telah dibelanjakan untuk rakyat Perancis itu.

Menteri berkenaan berkata satu juta di Eropah tidak mempunyai apa-apa nilai sekarang attkala mempertahankan perlantikan Todt. Beliau menambah Jean Todt seorang yang amat dikenali. Beliau meyakini Malaysia. Todt mempunyai rangkaian luas dan dikenali pada peringkat antarabangsa.

Azmin juga ingin tahu kebenaran dakwaan bahawa Todt dan tunangnya telah ditawarkan untuk memiliki tanah bagi mendirikan rumah mereka di di Pulau Besar di negeri Terengganu.

Yen yang juga Naib Presiden MCA menafikan dakwaan tersebut sebagai sebahagian dari urusjanji kerajaan dengan Todt dan menafikan Todt memiliki tanah di Terengganu.

Azmin menyatakan beliau mempunayi dokumen untuk membuktikan kerajaan telah menawarkan tanah di Pulau Besar kepada Todt sebagai sebahagian dari perundingan perlantikannya sebagai duta pelancongan.

Walau bagaimanapun Azmin enggan untuk mendedahkan samada Todt ada membuat sebarang pembayaran untuk memiliki tanah berkenaan atau ianya diberikan secara percuma atau pada akadar diskaun.

Azmin berkata beliau menunggu dahulu jawapan penuh dari kerajaan sebelum mendedahkan butiran tersebut dengan lebih terperinci.


PAS UMNO : Isu Labuan dan Terowong SMART Riuhkan Parlimen

Ketiadaan perancangan jangka panjang industri pelancongan Wilayah Persekutuan Labuan telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad didalam sessi soal jawab Dewan rakyat pagi tadi menerima jawapan yang kurang meyakinkan dari Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sri Sulaiman Abd Rahman Taib.

Khalid menyatakan Labuan telah diserahkan kepada Wilayah Persekutuan semenjak 1984, iaitu 25 tahun yang lalu dan adalah sesuatu yang pelik dalam tempoh itu tiada perancangan sepertimana yang diakui oleh Timbalan Menteri Pelancongan sendiri.

Dengan sebab itu Khalid secara seloroh meminta Barisan Nasional letak jawatan saja dan Pakatan Rakyat ambil alih jika tak tahu nak buat apa.

Timbalan menteri berkenaan telah bangun menjawab menyatakan bahawa infrastruktur di Labuan semua telah ada, Kementerian Pelancongan sekarang tidak ada rangka panjang, bukan tidak ada perangcangan.

Parlimen sekali lagi gamat apabila Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim bangun meminta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan berikutan perbelanjaan hampir RM2 bilion telah dibelanjakan bagi membina Smart Tunel untuk mengatasi masalah banjir di Bandaraya Kuala Lumpur, namun keadaan banjir masih lagi serius. Mengapakah Smart Tunel ini tidak efektif dalam mengatasi masalah banjir seperti yang dirancang.

"Smart Tunnel terpaksa ditutup beberapa kali, dan terdapat beberapa banyak kereta yang tenggelam hasil daripada usaha pelaburan dua billion tersebut," kata Tan Sri Khalid.

"Penggunaan tunnel itu tidak menyelesaikan masalah keseluruhannya, dan apakah langkah-langkah kementerian untuk menyelesaikan maslaah keseluruhan," tambahnya dengan diganggu oleh wakil rakyat Batu Pahat dengan menuduh MB Selangor tersebut tidak ada KPI.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas telah bangun mengelak untuk menjawab soalan tersebut dengan menyatakan ia terkeluar dari soalan asal disamping meminta MB Selangor tersebut memahami fungsi SMART ditubuhkan, malah beliau sempat mengeluarkan perkataan bodoh sebelum beliau diminta oleh wakil rakyat pembangkang untuk menarik balik "unpaliamentary remark" tersebut.

Suasana menjagi gamat apabila menteri berkenaan telah menarik balik tetapi telah ditegur oleh Ahli Parlimen Gombak yang memerhatikan gelagat Menteri berkenaan yang tidak memasang mikrofonnya sewaktu membuat penarikan balik.

Akhirnya beliau menarik balik perkataan bodoh berkenaan.



UMNO PALING KECEWA PAS DAN PR TOLAK KERAJAAN PERPADUAN

Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Dr Mahfodz Mohamad berkata, keterlanjuran PAS dalam menghadapi isu kerajaan perpaduan sekali gus telah memperlihatkan kepura-puraan Umno kononnya untuk bekerjasama dalam membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, Umnolah antara yang paling kecewa dengan keputusan PAS dan Pakatan Rakyat yang menolak kerajaan perpaduan dengan bermacam-macam tohmahan termasuklah mengatakan PAS penakut.

"Umno tohmah kita mengatakan kita takut dengan Pakatan Rakyat sebab itulah mereka beriya-iya sangat hendak mewujudkan kerajaan perpaduan," katanya semasa dihubungi.

Sebenarnya, kata Ustaz Mahfodz, PAS dalam masa yang sama boleh melihat sejauh mana hati budi serta keikhlasan Umno dalam merealisasikan agenda itu.

"Tetapi akhirnya PAS melihat hati budi Umno sebenarnya. Nampaknya Umno sudah terlalu terlajak dalam memberi respons dalam isu ini. Sehingga surat khabar yang tidak pernah memuji PAS akhirnya terlalu memuji PAS dan Umno pula sanggup menawarkan bermacam-macam syarat untuk menarik PAS bekerjasama dalam kerajaan perpaduan," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur atas keputusan majlis Pakatan Rakyat dan juga Majlis Syura PAS yang menolak kerjasama dengan Umno.

Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor juga bersyukur kerana keputusan itu melegakan semua pihak di peringkat akar umbi yang selama ini 'susah hati' kerana mainan politik umno yang sengaja mahu melihat Pakatan Rakyat berpecah.

"Keputusan itu sekaligus menyatupadukan semula PAS dan Pakatan Rakyat termasuk ahli dan penyokong PAS dari peringkat bawah hinggalah ke atas," katanya.

Beliau juga turut mengingatkan pimpinan parti itu jangan mudah terpedaya dengan mainan politik Umno BN sekali gus berbincang terlebih dahulu bersama pimpinan tertinggi mereka sebelum memberi reaksi sesuatu perkara.

"Apabila ada keputusan pimpinan tertinggi mereka diperingkat bawah akan taat setia dengan keputusan itu," katanya selepas ini ahli dan penyokong PAS menumpukan sepenuhnya kepada pilihan raya kecil Manek Urai. - Salmiya Harun

PAS UMNO : HIMPUNAN PAKATAN RAKYAT 30 JUN (SELASA DEPAN)

Pakatan Rakyat akan menganjurkan Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 rakyat pada 30 Jun nanti, demikian lapor harakahdaily.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, program tersebut diadakan bagi menjelaskan kekeliruan terhadap segala fitnah dan konspirasi yang ditimbulkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan tujuan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

Beliau yang mewakili Sekretariat Pakatan Rakyat menyeru orang ramai hadir ke program tersebut yang akan diadakan di Stadium MPPJ, Kelana Jaya bermula pukul 9.00 malam.

"Program ini diadakan bagi menerangkan kepada orang ramai terhadap fitnah dan konspirasi yang dimainkan oleh Umno-BN yang bertujuan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat," jelas beliau kepada Harakah.

Satu ceramah perdana akan diadakan pada malam tersebut dimana kesemua pemimpin utama Pakatan Rakyat dijangka hadir.

Antara yang telah menyatakan persetujuan untuk hadir pada malam tersebut; Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Tokoh DAP Lim Kit Siang dan pemimpin-pemimpin utama ketiga-tiga parti.

PAS UMNO : Pilihanraya Perak Selepas Manek Urai?

Pilihan Raya Kecil Negeri Perak dijangka akan berlaku selepas pilihan raya kecil Dun Manik Urai, demikian kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, lapor harakahdaily.

"Saya menjangkakan pilihan raya Negeri Perak mahu atau tidak akan diadakan, sebab itu kita cadang mahu buat persiapan apa yang patut hadapi pilihan raya Perak.

Beliau melihat bertapa pentingnya kini JPP yang dikendalikan bersedia awal dengan memantapkan ahli-ahli jawatankuasa mengenai nilmu pilihan raya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama Harakah di bangunan Parlimen baru-baru ini.

Beliau merupakan Pengarah JPP yang baharu sahaja dilantik selepas pemilihan jawatankuasa PAS Pusat pada Muktamar ke-55 yang lalu.

Menyentuh isu persiapan, ujarnya JPP akan meneliti dari segi 'finding' yang perlu dilakukan lebih awal agar ia tidak sekadar menjadi 'ad hoc' semata-mata.

Di Perak katanya pada pilihan raya umum yang lalu, PAS telah bertanding 21 kerusi dan hanya menang enam.

Namun ujar Ustaz Halim, ada beberapa kerusi lagi PAS kalah bawah 1500 undi, justeru kerusi-kerusi ini akan difokuskan.

"Kita kalah tipis dalam 10 kerusi. Jika boleh menang 6 lagi, boleh jadi 16 kerusi, di bawah 1500.

"Dalam PRK Bukit Gantang apa yang kami lihat ialah jentera di peringkat kawasan di sana tak begitu bermaya, kerja pilihan raya tidak berjalan dengan baik jika tiada bantuan negeri dan kawasan susahlah, kita kena melihat itu," katanya.

Begitupun jika diadakan pilihan raya kecil di Perak, Ustaz Halim yakin PAS akan menang lebih kerusi berbanding sekarang.

Tetapi katanya gerak kerja perlu dicantumkan dengan politik dan strategi dengan mengemuka calon bukan Islam dan taktikal strategi dengan soal wang semua perlu disiapkan.

"Selepas Manik Urai kita akan turun di Perak," ujarnya ringkas.

UMNO PERLU SOKONG PAS JIKA IKHLAS PERJUANGKAN ISLAM

SSekiranya UMNO ikhlas berpadu dengan Pas, parti itu perlu memilih bersatu dengan Pas sebagai menyokong perjuangan Islam yang dibawa dasar parti itu.

Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, hanya Islam yang dapat mengembalikan perpaduan orang Melayu dan Islam.

Menurutnya, dasar perjuangan Islam hanya wujud dalam Pas sedangkan UMNO tidak memperjuangkan sebagaimana dasar yang dibawa PAS.

“Sebetulnya UMNO kembali kepada Pas, lebih-lebih lagi UMNO sudah hampir runtuh dan musnah.

“Kalau UMNO memiliki niat ikhlas untuk berpadu, mereka perlu memberi sokongan kepada Pas, termasuk Pakatan Rakyat (PR),” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini dilaporkan penganalisis politik tanah air bimbang kuasa politik Melayu akan lupus sekiranya idea kerajaan perpaduan Pas dan UMNO tidak menjadi kenyataan.

Profesor Dr Ahmad Atory Hussain dari Pusat Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia kononnya berkata, amat malang dan bahaya jika Pas enggan bekerjasama dengan UMNO kerana kerajaan perpaduan sebenarnya bertujuan menyatupadukan bangsa Melayu di negara ini tanpa mengambil kira ideologi politik.

Dalam perkembangan lain, Pemuda Pas Terengganu akan membantu Pas Kelantan untuk memenangkan calon parti pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai depan.

Menurutnya, Pemuda parti itu akan menurunkan kira-kira 100 orang tenaga kerja untuk meraih sokongan.

“Kita hanya menjaga satu Unit Peti Undi di DUN tersebut dan Pemuda di kawasan masing-masing di negeri ini juga akan turut memberikan kerjasama kepada Pas di Kelantan,” katanya.


Waran Tangkap Terhadap Ahli Parlimen Kapar

MMahkamah Koroner di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang enggan menerima sapina untuk menjadi saksi dalam prosiding inkues bagi mengetahui punca kematian pelakon Tamil tempatan, K. Sujatha.

Majistret Mohd. Faizi Che Abu yang bertindak sebagai Koroner memerintahkan demikian selepas pegawai penyiasat, Cif Inspektor Tay Chiew Thua memaklumkan bahawa usaha telah dilakukan untuk menyerahkan sapina itu tetapi gagal.

Chiew Thua menyatakan demikian selepas dipanggil oleh Timbalan Pendakwa Raya Geethan Ram Vincent bagi menjelaskan perkara tersebut.

Pegawai polis itu memberitahu, dia menerima arahan daripada pegawai penyiasat kes, Cif Inspektor Zukkifeli Pajar pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Manikavasagam yang dihubungi melalui telefon bimbit kemudian menyuruhnya menemui beliau di lobi Parlimen pada pukul 2.30 petang semalam.

Bagaimanapun setibanya di Parlimen, menurut Chiew Thua, dia menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Manikavasagam yang memaklumkan beliau sudah keluar makan tengah hari dan tidak akan kembali kerana menghadiri mesyuarat di Kapar.

Selepas mendengar penjelasan tersebut, Mohd. Faizi yang mengeluarkan perintah waran tangkap turut mengarahkan Manikavasagam hadir pada prosiding yang dijadualkan 9 Julai ini memandangkan beliau adalah saksi penting.

Manikavasagam menafikan yang beliau sengala mengelak daripada menerima sapina untuk tidak menghadiri prosiding inkues.

"Saya baru dengar sudah ada waran tangkap... saya akan mohon untuk ketepikan waran tangkap. Bagaimana waran tangkap boleh dikeluarkan jika sapina tidak diserahkan?" katanya.

Beliau akan failkan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Terdahulu, menurut Manikavasagam, beliau sehingga pagi tadi tidak diserahkan sapina bagi tujuan tersebut.

"Memang ada pegawai polis yang menghubungi saya minggu lalu dan saya telah meminta datang ke pejabatnya hari Jumaat, Sabtu atau Ahad lalu tetapi mereka tidak datang.

Sementara itu, Ketua Unit Forensik Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Shahrom Abd. Wahid turut dipanggil memberikan pendapatnya mengenai sebab kematian Sujatha menerusi laporan bertarikh 20 Mei 2008 yang disediakan bagi membantu siasatan.

Katanya, bedah siasat forensik perlu dilakukan ke atas mayat Sujatha berikutan arahan sudah dikeluarkan polis menerusi POL 61.

"Sebaik saja POL 61 dikeluarkan ia bermakna polis menaruh syak terhadap kematian Sujatha dan bedah siasat mesti dilakukan berikutan sebab kematian yang diberi oleh hospital adalah tidak sah mengikut Kanun Prosedur Jenayah.

"Ini berikutan pihak hospital gagal membuktikan kematian Sujatha disebabkan racun parakuat memandangkan ujian kandungan racun itu dalam air kencing yang dijalankan ke atas wanita itu adalah negatif,’’ katanya.

Bagaimanapun Shahrom bersetuju bahawa kesan klinikal pada mayat Sujatha sememangnya jelas menunjukkan wanita itu telah minum racun parakuat berdasarkan lecur kimia iaitu ulser yang ada pada bibir mayat pelakon itu.

Saksi ke-21 itu turut menyatakan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) gagal mengguna pakai Seksyen 328 Kanun Prosedur Jenayah yang menjelaskan sebab kematian mangsa yang seharusnya dibuktikan secara saintifik dan bukannya klinikal.

‘‘Oleh demikian, pihak hospital harus melakukan bedah siasat forensik supaya ia lebih jelas kenapa mangsa menemui ajal iaitu sama ada bunuh diri atau sebaliknya,’’ katanya.

Menurut beliau, sekiranya pegawai penyiasat telah mengarahkan bedah siasat forensik dijalankan, doktor tidak perlu meminta kebenaran daripada waris.

Dalam laporannya, pakar itu turut berpendapat bahawa Sujatha minum racun tersebut tanpa sebarang paksaan secara fizikal oleh orang lain berdasarkan tiada kesan percikan di bahagian selain bibir atau kesan mengelakkan diri daripada dipaksa minum.

Inkues ini diadakan bagi mengetahui punca kematian Sujatha yang merupakan setiausaha peribadi Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings, S. Vell Paari yang juga anak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.



PPSMI : DASAR KERJAAAN UMNO BN YANG GAGAL

kerajaan akan mengumumkan keputusan menyeluruh berhubung kontroversi pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), awal Julai ini.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan demikian - jaminan yang paling konkrit pernah disampaikan oleh kerajaan - ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Parlimen pagi ini.

PPSMI mendapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk bukan Melayu yang bimbang dengan pencapaian pelajar dalam subjek berkenaan khususnya di kalangan pelajar luar bandar.

Malah pejuang bahasa kebangsaan juga melihat PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan apabila bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.

Kemuncak terhadap bantahan itu apabila Gerakan Menentang PPSMI (GMP) mengadakan perhimpunan membabitkan kira-kria 5,000 orang yang kemudiannya berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menuntut pemansuhan dasar tersebut.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kementerian memfokuskan kepada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru dan murid dengan menambah baik latihan guru serta meningkatkan mutu pengajaran serta pembelajaran subjek itu di sekolah.

"Antara langkah yang diambil ialah masa pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah ditambah untuk membolehkan kandungan pengajaran dan pembelajarannya ditambah,” ujarnya.

Menurutnya, langkah itu penting kerana penguasaan bahasa Inggeris yang baik di kalangan murid dan guru merupakan pra syarat utama kepada kejayaan dasar seperti PPSMI.

Tambahnya, kajian kementerian dan pasukan penyelidik bebas daripada institusi pengajian tinggi (IPT) mendapati tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid dan guru secara keseluruhannya berada pada tahap sederhana.


PAS UMNO : MAJLIS PEGUAM AKAN SAMAN KERAJAAN

Majlis Peguam Malaysia menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Abdul Aziz, membantah sekeras-kerasnya penahanan lima peguam yang memberi khidmat guaman kepada tahanan polis pada 7 Mei lalu.

Presidennya, Ragunath Kesavan berkata Majlis Peguam memandang serius penahanan ini kerana ia secara langsung menafikan hak tahanan kepada proses undang-undang yang adil.

Memorandum itu mahu kerajaan menjamin hak tahanan mendapatkan khidmat guaman serta memastikan polis tidak lagi bertindak di luar bidang kuasa mereka.

Lima peguam terbabit ditahan atas tuduhan perhimpunan secara haram dalam usaha mereka memberi khidmat bantuan guaman kepada 15 individu yang ditahan polis kerana terbabit dalam perhimpunan solidariti untuk aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Wong Chin Huat.

Wong ditahan di bawah Akta Hasutan selepas melancarkan kempen pemakaian baju hitam sebagai tanda berkabung untuk rampasan kuasa BN di Perak.

Fadiah Nadwa Fikri, Murni Hidayah, Puspawati Rosman, Ravinder Singh Dhalliwal dan Shuhaini Safwan dari Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur dibebaskan selepas ditahan di Balai Polis Brickfields.

"Akses kepada peguam adalah aspek penting sistem keadilan dan pada hemat saya kita perlu kembali semula kepada asas: menghormati kedaulatan undang-undang.

"Sesuatu yang malang untuk yang tertuduh apabila peguam mereka ditahan sebaik sahaja menjejak kaki ke balai polis. Menahan peguam semasa mereka menjalankan tugas-tugas mereka secara jelas melanggar sistem keadilan," kata Ragunath.

Ragunath menambah tindakan undang-undang terhadap polis bagaimanapun akan tetap diteruskan.

"Kami tetap memfailkan tindakan mahkamah bagi pihak lima peguam terbabit," kata Ragunath.

Sementara itu, Nazri berkata beliau akan meneliti kandungan memorandum ini dan akan mengambil tindakan positif keatas isu ini sementara dalam isu yang membabitkan polis, beliau akan serahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein. Salinan memorandum itu juga akan beliau serahkan kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Nazri mengelak menjawab soalan wartawan apakah polis telah melakukan kesalahan menahan peguam-peguam terbabit namun beliau akui bahawa kedaulatan undang-undang harus dipertahankan.